Friday, August 29, 2008

MENARA PELITA


Kalau telah bertemu kejujuran dengan kejujuran, bersatu rasa dengan rasa, terciptalah keadilan dan bahagia dalam rumahtangga dan negara, terlaksanlah segala cita-cita, barulah rakyat merasa makmur, senang dan tenteramlah hati dalam mengabdi.

DI TEBING TATAU


Menara tempat azan berkumandang di tebing Sungai Tatau

Sebuah kota lebih baik diperintah oleh seorang yang baik budi pekertinya daripada oleh hukum-hukum yang baik.
-Aristotle

Menjadi Seorang Thomian...


Kontinjen St Thomas semasa perarakan Maulidur rasul 1971


Detik-detik ketika menuntut di Sekolah Menengah St Thomas ( 1967 - 1971) Kuching merupakan lembaran sejarah peribadi yang amat terkesan di hati. Di sini bermula kehidupan yang mana pemikiran dan pandangan tentang masyarakat Malaysia sekeliling lebih terbuka atau kembali terbuka. Ketika belajar di Sekolah Rendah Pulo pergaulan hanya bersama penuntut-penuntut anak Melayu. Pergaulan dan persahabatan terbatas bersama kaum Melayu sahaja.

Ketika belajar di SMB St Thomas sedikit timbul rasa pesimis terhadap kemampuan diri. Di dalam kelas anak-anak dari pelbagai bangsa duduk bersama dengan karenah yang pelbagai. Sesungguhnya hampir semua bangsa terdapat di kelas kami ketika itu; Iban, Melayu, Cina, India Melanau malah terdapat keturunan Portugis juga..

Semasa di dalam tingkatan satu, saya bersama teman-teman dari kaum Melayu/Melanau mengambil mata pelajaran Advance Malay yang diajar oleh guru kami Allahyarham Dato Haji Hussein Hj. Paris. Manakala anak-anak dari kaum bukan Melayu pula belajar mata pelajaran Elementary Malay dan juga Commerce secara bersilang. Maknanya budak-budak Melayu tidak berpeluang belajar mata pelajaran Commerce. Jika diingat kembali terasa satu kerugian bagi anak-anak Melayu ketika itu disebabkan peraturan sebegini.

1970 Pasukan Kadet Polis dimulakan di Sarawak. Empat buah sekolah telah dipilih untuk memperkembangkan aktiviti ini. Sekolah-sekolah tersebut ialah SMB St. Thomas, SMB St. Joseph, SMK Green Road dan STAR. Saya ikut serta dalam pasukan ini sehingga mendapat pangkat koperal. Cikgu pembimbing pasukan St. Thomas waktu itu ialah cikgu Abdul Rahman Sahari. Dan beliau masih lagi mengikatkan tali pertunangan dengan isteri beliau sekarang Puan Normah Mohd Salleh (Hajah).Saya baru mendapat berita dari makluman di akhbar Cikgu Abdul Rahman Sahari telah meninggal dunia awal puasa yang lalu. Takziah buat Kak Hajh Normah dan famili. Semoga roh Allayyarham berada bersama mereka yang mendapat keredhaan Allah jua.

Seperti biasa teman-teman rapat yang ikut serta dalam pasukan ini termasuklah Allahyarham Haji Odita, Tuan Haji Ahmad Sedek, Datuk Haji Khalid Yusuf dan beberapa orang teman lain. Ketika bersama pasukan inilah saya berpeluang menjejakkan kaki di Pulau Satang Besar apabila pasukan Kadet Polis membuat perkelahan/camping sehari. Kami ke sana menggunakan sebuah bot milik Polis Marin yang namnya saya tak ingat tapi bentuknya serupa bot milik Jabatan Laut "Menaul".

Setiap tahun SMK St Thomas akan mengadakan pasaria/ Food & Fun Fair. Kami akan bertugas bergilir-gilir menjaga gerai yang ada. Memang cukup seronok sekali. Seingat saya ibu-bapa para penuntut amat memberi sokongan terhadap aktiviti ini.

Sekolah St Thomas tidak mengajar mata pelajaran Sastera untuk peperiksaan MCE namun saya dan Allahyarham Odita tetap menduduki peperiksaan ini. Setiap hari sabtu, Allahyarham cikgu Dato' Hj Hussain akan memberi sedikit petunjuk kepada kami berdua dalam menghadapi mata pelajaran Sastera.

Di sebelah SMK St Thomas ialah sekolah Menengah St. Mary . Kesmua pelajarnya terdiri daripada pelajar perempuan berbeza dengan SMK St. Thomas yang keseluruhan pelajarnya lelaki, kecuali pelajar tingkatan enam. Namun untuk mata pelajaran Bahasa Melayu, pelajar-pelajar St. Mary akan bersama kami dalam sebuah kelas yang sama. Ada beberapa nama pelajar perempuan yang masih saya ingat ketika itu, anataranya Hayati Sahari, Nohayati, Masbah, Zubaidah dan juga Khadijah. Itu belaku sekitar 1970-1971. Mereka kini merupakan wanita-wanita yang berjaya di dalam kerjaya mereka. Saya bangga kerana dapat belajar bersama mereka.


Banyak kenangan manis yang boleh saya ingati ketika berada di SMK St. Thomas. Sesekali ketika rindu, saya akan memandu melintasi sekolah ini dan merenung kembali bangunan utamanya yang berbentuk kota. Di sinilah kami bermain dan berlari empat dekad yang lalu. Ah..betapa cepat masa berlalu. Seolah-olah baru semalam saya berada di sana. Aa yang tak boleh saya lupa ialah kata-kata keramat SMK St Thomas...AIM HIGHER...ya..aim higher.






Thursday, August 28, 2008

SENANDUNG IRAMA MINDA PHARO ABDUL HAKIM

Oleh : JAIS SAHOK Yang Indah Itu Bahasa: Utusan Borneo 18 Syawal 1414

Agak lama saya berasa sunyi untuk bersua karya dengan saudara Pharo Abdul Hakim setelah gagal menemukan gagasan yang tetap dan tepat untuk memperkatakan puisi beliau yang memenangi hadiah dalam peraduan mengarang sempena perpindahan DBPCS ke bangunan barunya di Petra Jaya. Yang berjaya mengusahakan kerja itu ialah saudara Hazami Jahari dan ulasan itu terbit dalam Yang Indah Itu Bahasa.
Kegagalan saya itu menjadi adik (saya berharap adik bungsu kerana saya mengundang kegagalan yang lain) kepada kegagalan saya menanggapi puisi-puisi Allahyarham Ismawi haji Husly.
Pada 13 Mei 1994, bersamaan 30 Ramadan 1414, saudara Pharo Abdul hakim muncul dengan sebuah sajak (saya kira yang terbaharu berdasarkan tarikh penerbitannya sekalipun tidak bermaksud yang terakhir dari segi penulisannya) yang dijuduli Salam Buat Marudi dalam ruangan sastera (sajak) akhbar nasional Berita Minggu. Kemunculan yang saya anggap sebuah kekonsistenan (kesinambungan usaha lalu) - tahniah - yang bermakna.
Untuk membolehkan para pembaca berkongsi baca sajak itu, berikut ialah catatan saya (catatan semula) tentangnya:

Salam Buat Marudi

Marudi
dingin subuhmu yang sepi
diratapi embun yang resah
nelayan sibuk bersama tangkapan semalam
buat melanjutkan usia
anak bangsa terus dibendung duka
mengolah mimpi dan ilusi
mentafsir misteri seorang teman
menanti kasih putera tunggal

Marudi
salamku buat puteramu
kasihku buat puterimu
puisiku buat tetamu
yang menjenguk di tirai senja
hatiku buat jiwamu
esok kita lukis potret luka
sebuah bangsa yang hilang arahnya.

1994

Usaha saya untuk menggali percikan minda dan gagasan sastera saudara Pharo Abdul Hakim timbul ketika setelah lama terpisah daripada beliau - terpisah secara profesional (kerana kami pernah bertugas di bawah satu bumbung di SMK Stampin) dan terpisah secara sastera (kerana saya pernah mendengar beliau mengaku satu ketika dahulu (1970an) pernah suka menulis - menulis puisi).
Sempat saya temukan dan tonjolkan beberapa buah puisi beliau yang sudah lama itu yang pada beliau, usaha saya itu memeranjatkan beliau. Tahniah saudara Pharo kerana terperanjat dek usaha saya. Itu satu petanda bahawa usaha sastera saudara berjaya dan saya yakin akan terus berjaya. Kejayaanmu dalam peraduan yang sama-sama kita sertai itu juga satu kejayaan dan Salam Buat Marudi ini, pada hemat saya besar sekali maknanya -tinggi dan mendalam maksudnya.
Saya cuba membacanya ( membaca dengan nama Tuhanku) - membuat tafsiran sastera seadanya.
Sering saya mengesani sebuah penyesalan dalam diri saudara Pharo Abdul Hakim setiap kali membaca karyanya. Beliau menyesal terhadap fenomena sosial yang tidak lengkap, tidak sempurna atau kerana renungan saya terhadap pendirian beliau, perkara yang disesalinya ini ialah perkara yang tidak Islamic - dalam pengertian yang luas dan mendalam.
Secara lateral saudara Pharo Abdul Hakim mentafsirkan Marudi sebagai sebuah tempat yang sepi dan kesepian ini tentulah akibat pembangunan (yang tidaklah negatif, cuma sekadar sebuah perubahan untuk pencapaian fenomena perubahan yang lebih baik, lebih menguntungkan).
Secara lembut beliau melukiskan (dengan kata-kata) keadaan sepi itu sebagai diratapi embun yang resah. Embun selalunya melambangkan suasana yang sejuk nyaman, damai dan menyenangkan tetapi di Marudi yang sepi itu resah pula.
Mengapa embun itu resah?
Nostalgia nelayan tidak berkesudahan - mengenang tangkapan semalam untuk melanjutkan usia seolah-olah tidak ada pembaharuan. Kesepian Marudi tentulah menjanjikan perubahan, pembangunan dan penghijrahan golongan muda tetapi mengapa nelayan masih sibuk dengan tangkapan semalam? Bukan merancang tangkapan yang lebih besar dari esok?
Pada hemat saya inilah yang dikesalkan oleh saudara Pharo Abdul Hakim - pembangunan yang menyepikan Marudi tidak berjaya menggugah perasaan dan paradigma kolot dan lama para nelayan. Para nelayan yang sepatutnya turut sama membangun tetapi masih alpa dengan nostalgia tangkapan semalam. Sebuah kesalan kegagalan dalam kejayaan kerana Marudi nyata membangun lantaran menjadi sepi kerana banyak anak buahnya yang sudah meninggalkan desa pedalaman.
Marudi bagi saudara Pharo Abdul Hakim masih menanti seorang putera yang lebih prihatin- mungkin seorang ahli politik, seorang pekerja sosial, seorang pemimpin, seorang penggerak minda seseorang yang dapat mengasaskan paradigm shift dalam sistem sosial yang masih diibaratkannya nelayan yang sibuk bersama tangkapan semalam.
Secara lateral juga bahawa tangkapan semalam itu bermaksud ikan salai - apa nilainya dari segi ekonomi,ikan s alai? Pada bandingan dengan hasil kegiatan ekonomi yang lain, ikan salai terlalu kerdil ( bukan bermaksuud tidak bernilai).
Kerana rasa kesal itu saudara Pharo Abdul Hakim sempat juga menitipkan harapannya dengan salamku buat puteramu; kasihkuku buat puterimu; puisiku buat tetamu -. Beliau mengharapkan puisinya(gagasan besarnya dalam puisi yang dihasilkan dalam dua bait ini) menjadi tetamu - penggerak fikiran baru, menyesali kekesalannya juga , melihat penglihatannya juga, memikirkan pemikirannya juga dan kembali menangani kesepian subuh yang meresahkan embun dinihari itu.
Begitu tinggi harapan saudara Pharo Abdul Hakim.
Semakin jelas rasa kesal saudara Pharo Abdul Hakim apabila beliau menulis esok kita lukis potret luka; sebuah bangsa yang hilang arahnya. Potret luka itu mungkin sahaja sebuah catatan kenangan, fikiran yang mendalam atau usikan perasaan manusia yang prihatin dan pemikir yang rajin.
Saudara Pharo Abdul Hakim - mahu kaupamerkan di mana potret lukamu itu? Di Marudi? Di Bumi Kenyalang sebagai permaidani maha besar meliputi seluruh minda anak negeri? Terlalu besar harapanmu! Siapakah yang akan mengerti?
Aku baharu mula melihat dan mendengar Senandung Irama Minda Pharo Abdul Hakim dalam puisi pendekmu itu!




Wednesday, August 27, 2008

Ayah dan Ibu


Potret dirakam selepas majlis konvokesyen Muhammad Fadli di UMP,Kuantan

Maksud hadis:
Buatlah baik kepada ibu dan bapamu, mudah-mudahan anakmu kelak berbuat baik kepadamu

Tuesday, August 26, 2008

Kuantan


Pandangan dari City View Hotel, Kuantan

Jangan cepat-cepat jadi kawan orang, tetapi sekali menjadi kawan, peliharalah hubungan itu baik-baik dan jangan sampai putus - Socrates

FAIZAL , USIAMU DAH 29 TAHUN SEKARANG


Mama's boy


bersama mama lagi...


Seperti tahun-tahun sebelumnya, sejak 29 tahun yang lalu, hari ini, tanggal 29 Ogos adalah antara momen-momen yang indah buat saya dan isteri kerana pada hari inilah lahirnya anak kami yang ketiga yang kami beri nama Faizal Amin. Ya, Faizal lahir pada hari ini dalam tahun 1979, hari raya yang ketiga ketika itu.

Masih jelas dalam ingatan detik-detik bersejarah itu. Malam itu saya masih lagi melayan tetamu-tetamu yang datang berkunjung ke rumah. Selesai tetamu terakhir berkunjung, kira-kira jam 10.30 malam, isteri mengadu sakit perut. Saya bergegas meminta pertolongan seorang teman sekerja, seorang ustaz dari Kelantan, untuk menghantar isteri ke rumah sakit umum Sarawak. Saya menjangka saat kelahiran bayi kami yang ketiga sudah hampir benar.

Sampai di rumah sakit umum isetri saya terus dimasukkan ke wad bersalin. Jam 11. 30 malam isteri saya selamat melahirkan anak kami. Saya hanya menerima berita kelahiran Faizal awal pagi setelah dimaklumi oleh seorang jururawat melalui telefon. Isteri saya dibenarkan keluar tengah hari berikut.

Faizal beruntung kerana lahir ketika datuknya (ayah saya) masih berada di Kuching. Faizal sempat mendapat pelukan kasih saying datuk untuk tempoh enam bulan. Selepas beliau berusia enam bulan ayah berangkat ke India dan kemudiannya terus ke Tanah Suci.

Banyak sekali kenangan yang boleh saya catatkan tentang Faizal, sama ada manis atau sebaliknya. Ketika berusia empat tahun Faizal terkena diarrhea dan terpaksa ditahan di hospital selama beberapa hari. Saya dan isteri begitu sayu sekali kerana terpaksa berpisah dengan Faizal. Faizal pula menangis terus-terusan. Nasib baik allahyarham ayah mertua saya seorang kakitangan hospital maka dapatlah beliau sedikit sebanyak menghampiri cucunya. Sedangkan kami hanya dapat memerhati dari luar bilik.

Bulan Januari 1985 Faizal kami hanatar ke Tadika Bina di Kampung Malaysia Jaya. Hari pertama sekolah saya terlewat sedikit menjemput Faizal pulang. Apabila samapi di Tadika saya tidak ketemu Faizal. Saya bertanaya kepada guru-guru, mereka juga hairan bagaimana Faizal boleh tidaka berada di tadika. Lantas saya bergegas mencari menggunakan Vespa saya. Rupa-rupanya Faizal berjalan sendirian ke arah kampung Malaysia Jaya. Bila ditanya dia hendak ke mana, Faizal dengan tersenyum menjawab beliau nak balik ke rumah tapi jalan yang diambil menuju ke arah yang bertentangan. Selepas itu saya tidak lagi datang lewat dan beliau juga tidak lagi pulang sendirian. Guru-guru Tadika itu pun mula bertindak dengan lebih berhati-hati, takut ada lagi anak-anak yang terlepas dari pandangan. Teringat peristiwa itu saya dapat merasai jiwa Faizal, jiwa untuk bebas dan bersendirian….

Hari ini usia Faizal telah menjangkau dua puluh sembilan tahun dan belum ada tanda-tanda untuk berumah tangga. Risau juga hati ayahnya. Faizal merupakan graduan UITM dengan memiliki ijazah Pentadbiran Korporat, anehnya beliau bekerja sebagai seorang kadet di sebuah syarikat perladangan kelapa sawit. Kini Faizal ditugaskan di sebuah ladang di Sungai Krang, Gedong. Setiap hari antara jam tujuh pagi hingga sembilan pagi , Faizal pasti akan menelefon mamanya. Setiap hujung minggu Faizal akan balik ke rumah dan tinggal bersama kami semalam. Petang ahad akan kembali ke ladang dengan menggunakan kembaranya .

Pagi tadi ibunya sempat menelefon Faizal untuk mengucapkan selamat hari lahir diikuti sms papa yang mendoakan kebahagiaan Faizal.

Selamat Hari lahir Faizal, semoga hidupmu tetap bahagia dan ceria dan teru berada di bawah lindungan Ilahi jua.

Monday, August 25, 2008

TEMAN LAMA

bertemu teman lama ketika merayap di Imperial Mall...aha betapa kami merindui sdr Bong dan keluarga setelah sepuluh tahun tidak ketemu...persahabatan yang dibina dan berputik dari persahabatan anak-anak, Fadli dan Khairul...

Sunday, August 24, 2008

Kembali untuk satu rehat yang panjang..

biar kupijak pantai yang telah lama kurindui ini, abah...kata Nurul padaku. Lantas dia terus berlari mengejar mentari yang semakin jauh di ufuk barat kembali untuk satu rehat yang panjang...

Saturday, August 23, 2008

Friday, August 22, 2008

PEMERHATI SENJA

Nurul senang sekali di pantai Tanjung Lobang Miri semasa kami menjenguk Miri pada hujung minggu lepas. Miri membawa banyak kenangan manis untuk kami sekeluarga.

Thursday, August 21, 2008

MENATAP SENJA

ada insan kagum pada keindahan senja......

Wednesday, August 20, 2008

LUTONG, MIRI


Di sebuah kawasan di Lutong Miri.

AKU INGIN TERBANG

aku ingin terbang mengejar mentari ketika senja berada di jendela.

Tuesday, August 19, 2008

SENDIRI LAGI

LUAHAN RASA PERAGAWATI TINGGAL SENDIRI DI TANAH ASING ATAU LEBIH TEPAT KOLAM ASING...pemandangan dirakam semasa melawat Pulau Pinang

Monday, August 18, 2008

JIRAN DI PUSTAKA

APA KHABAR? ADA BAWA ROTI UNTUK SAYA?BEGITU AGAKNYA BICARA SI DIA

Sunday, August 17, 2008

KEMBALI KE SERAPI


Rakaman suasana senja ketika mentari dalam perjalanan kembali berselindung disebalik gunung Serapi. Foto diambil dari kawasan Baitul Makmur

Saturday, August 16, 2008

MENERJAH ANGKASA


Seorang penerjun dari Australia membuat terjunan dar Menara Pelita dalam siri Terjunan Menara KL 2008 yang baru sahaja berlalu

Wednesday, August 13, 2008

HASIL PERTEMUAN ORANG LAMA



PERTEMUAN PERTAMA ORANG LAMA DI BILIK WACANA DEWAN BAHASA DAN PUSTAKA CAWANGAN SARAWAK

13 OGOS 2008

Nota Mesyuarat

1. Seperti yang dirancang, pertemuan pertama golongan orang lama/veteran telah dapat dilangsungkan di Bilik Wacana Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak. Kehadiran adalah seperti berikut:

Sdr Saiee Driss – bertindak sebagai pengerusi majlis pertemuan

Dr. Jeniri Amir – diberi penghormatan menjadi penasihat

Sdr Muhammad Driss/ Mat Segalang

Pharo Abdul Hakim selaku pencatat / setiausaha

Penghulu Haji Awang Bujang bin Awang Hamdan (A.B.Nor)

Hajah Bibi Sabariah bt Hj Abang Awet

Sabin Talip

2. Sebagai pengenalan, sdr Saiee Driss memaklumkan majlis tujuan pertemuan. Jawatankuasa ini dibentuk bertujuan untuk menggerakkan usaha para penulis veteran dalam menghasilkan karya dalam apa jua bentuk. Adalah diharapkkan dengan berkumpul dalam sebuah jawatankuasa yang berpaksikan “program-oriented” para veteran tidak merasa terpinggir dan tersisih tapi dapat terus bergerak seperti biasa bagi mempastikan mereka boleh terus memberi sumbangan kepada masyarakat dalam bidang yang mereka berkebolehan.

Selanjutnya sdr Saiee Driss menjelaskan setakat ini usaha telah dibuat bagi menghasilkan sebuah antologi puisi Pesara yang diharapkan dapat diterbitkan dalam bulan Disember 2008 ini.

3. Dr. Jeniri Amir menyarankan agar jawatankuasa ini berkomunikasi dengan Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak bagi mengatur penganjuran sebuah kursus singkat (2 hari) dalam bidang penulisan memoir/biografi/autobiografi. Disarankan juga agar jawatankuasa bertemu dengan Pengarah DBPCS bagi melahirkan hasrat ini kepada beliau untuk dipertimbangkan.

Dr. Jeniri menambah amat penting bagi kita merakam pengalaman-pengalaman hidup untuk dikongsikan bersama dengan masyarakat.


4. Sdr Muhammad Driss pula mencadangkan perlu ada usaha bagi mewujudkan rekod/direktori penulis. Difahamkan pihak DBP setakat ini ada mengumpul data-data penulis tetapi pengwujudan rekod tersebut oleh DBPCS belum lagi dilaksanakan. Setakat ini , mengikut penjelasan sdr Jaafar Hamdan, pegawai DBPCS yang turut hadir di pertemuan ini, DBPCS hanya menyimpan rekod umum sahaja seperti alamat dan nombor telefon.

Dalam hal ini, telah wujud blog-blog teman yang merekod dan menulis tentang biografi penulis Sarawak. Antara blog yang dimaksudkan ialah Laman Saiee Driss (http://saieedriss.blogspot.com) kelolaan sdr Saiee Driss dan Penulis Bumi Kenyalang (http://penulissarawak.blogspot.com/ ) kelolaaan sdr Radin Azhar Ahmad.


5. Penghulu Haji Awang Bujang Awang Hamdan memaklumkan kepada majlis beliau masih lagi menyimpan empat buah skrip bangsawan, yang merupakan bahan sejarah yang bernilai dari segi kegiatan bangsawan suatu ketika dahulu dan beliau memerlukan skrip ini diterbit supaya ia boleh menjadi tatapan umum dan kegunaan pihak yang membuat penyelidikan.

Majlis mencadangkan agar DBP dapat mengambil langkah proaktif melestarikan bahan ini. Sdr Jaafar Haji Hamdan selaku pegawai DBPCS yang hadir memberi respons positif terhadap cadangan ini dan akan berusaha membawa perkara ini kepada pihak atasan.

6. Beberapa perkara lagi yang turut disentuh dalam perbincangan ringkas pagi ini termasuklah:

6.1 Projek Pengkisahan

Harus diadakan secara berkala/berterusan bagi memberi ruang kepada personaliti yang dipilih membentangkan kertas kerja berbentuk pengkisahan. Untuk urusan ini, jawatankuasa perlu berhubung dan seterusnya bekerjasama dengan Persatuan Pesara Sarawak.

Pada masa terdekat PEKASA akan melaksanakan apresiasi karya terhadap Memoir Datuk salbiah Painah. Adalah diharapkan projek pengkisahan para veteran ini dapat memberi sedikit sebanyak maklumat untuk generasi akan datang.

6.2 Agenda Mesyuarat Akan Datang

Pharo Abdul Hakim mencadangkan agar peserta mesyuarat mula mengemukakan laporan kemajuan usaha-usaha peribadi yang sedang dijalankan. Ini bertujuan menjadi galakan dan motivasi dan dalam masa yang sama boleh mendapt pandangan daripada teman-teman.

Berkenaan dengan Antologi Puisi Pesara, Pharo memaklumkan bahawa setakat ini terdapat hanya lima belas buah puisi yang sudah dikumpul. Cadangan jumlah puisi untuk antologi ini sekitar seratus buah. Untuk itu Dr. Jeniri mencadangkan agar promosi untuk projek ini dipergiatkan. Antara usaha yang dicadangkan ialah promosi melalui Radio dan akhbar.

6.3 Sdr Jaafar Haji Hamdan mencadangkan mengusulkan agar nota-nota hasil perbincangan ini dikemukakan kepada Pengarah DBPCS agar tindakan susulan boleh diambil oleh DBP mana yang berkaitan.

Oleh kerana tiada perkara lain yang dibincangkan, majlis yang bermula jam 10.00 pagi ini diakhiri jam 11.30 pagi. Mesyuarat akan datang akan diadakan dua bulan dari sekarang dan seterusnya jadual/kekerapan mesyuarat ialah dua bulan sekali. Sdr Saiee Drisss selaku pengerusi mesyuarat mengucapkan berbanyak terima kasih kepada semua yang hadir dan kepada Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak kerana bermurah hati membenarkan mesyuarat diadakan di bilik wacana dan kerana penyediaan minum pagi.

13 Ogoos 2008

Monday, August 11, 2008

PERTEMUAN ORANG LAMA

Tajuk di atas merupakan tajuk tulisan sdr Saiee Driss (lihat di sini) yang saya cekup dan letakkan di sini. Saya nak kongsikan dengan teman-teman gelagat golongan ortu yang mahu terus bermain di laman sastera dan budaya sebagai sumbangan kami kepada masyarakat.
Saya setuju dengan pandangan sdr Saiee dan teman-teman, masa usia veteran perlu digembleng bagi menghasilkan sinergi. Perjalanan sastera berseorangan terkadang membuat jiwa jadi malas. Di sinilah sahabat-sahabat dapat memainkan peranan.
Saya yakin usaha untuk berjumpa dan berinteraksi antara golongan veteran ini boleh menghasilkan limpahan produk sastera dan budaya. Bagi teman yang ingin ikut serta, datanglah ke DBP cawangan Sarawak pada 13 Ogos 2008 ini jam 10.00 pagi. Kita bincang dan atur perancangan masa depan kita bersama. Semoga sukses.
Oh ya...lama juga saya tak sentuh tentang Antologi Puisi Pesara Sarawak. Setakat ini sudah ada empat orang penulis yang memberi sumbangan. Lebih ramai lagi yang diperlukan bagi memenuhi ruang di dalam antologi ini. Hubungi saya secepat mungkin.



Sunday, August 10, 2008

PERIGI, ANJING DAN LEMBU


Gunung Serapi dilihat dari Bukit Siol


Anjing jenis German Shepherd


Seorang budak dan lembunya

Ada masanya saya teringat kembali beberapa peristiwa yang telah berlaku di dalam kehidupan yang telah dilalui. Sesuatu peristiwa itu kembali dalam ingatan, mengusik benak hati. Ada yang manis dan ada yang pahit. Entah mengapa kita berupaya mengingati beberapa peristiwa di dalam kehidupan lalu walaupun ia telah berlaku tiga atau empat puluh tahun yang lalu.

Beberapa peristiwa yang berlaku pada diri masih saya ingati sehingga sekarang. Peristiwa itu kebanyakannya sesuatu yang menakutkan. Sesuatu yang benar-benar mencemaskan. Peristiwa pertama yang masih saya ingati sehingga sekarang ialah apabila saya terjatuh ke dalam perigi di tepi rumah tempat tinggal kami di Sinjo, sebuah kawasan gudang Henry Waugh, di tebing sungai Sarawak. Ketika itu saya berumur di bawah enam tahun.

Saya ingat benar ketika menuruni tangga besi yang terdapat di tepi perigi. Entah bagaimana saya terlepas pegangan pada anak tangga dan terus terjatuh ke dalam perigi yang pada itu walaupun tak sedalam mana tapi pastinya melebihi ketinggian saya. Nasib menyebelahi saya kerana kakak yang berada tak jauh dari sisi ketika itu dengan cepat menerkam rambut saya dan menarik saya keluar dari perigi sehingga tangan saya dapat berpegang kembali ke salah satu anak tangga. Sungguh menakutkan.

Peristiwa kedua yang masih segar dalam ingatan saya, ketika melalui jalan Batu Lintang, masa itu saya bersama kakak menarik lembu masing–masing untuk dibawa balik setelah seharian meragut rumput di padang . Senja itu, dalam perjalanan pulang kami melalui jalan Batu Lintang ini dan melintasi rumah-rumah penduduk Cina yang tinggal di sekitar itu. Salah sebuah banglo yang kami lintasi, penghuninya ada memelihara seekor anjing, rasanya anjing German Shepherd. Seperti yang diketahui anjing ini besar dan jelas nampak garang. Biasanya anjing ini akan berada di dalam kawasan berpagar rumah banglo ini.

Entah kenapa, pada hari itu, pintu pagar terbuka dan anjing itu meluru ke arah saya. Saya sendiri tidak menyedari kedatangan anjing itu sehinggalah saya merasai sesuatu menyentuh belakang saya, sedang tangan saya masih lagi memegang tali lembu yang saya tarik. Sebaik sahaja saya berpaling ke belakang, saya terkejut yang amat sangat kerana anjing itu berdiri dengan dua kaki. Kaki hadapannya menerkam belakang saya. Anjing itu sedikit pun tidak mengeluar suara mahu pun salakan. Saya berlari ke hadapan dengan sekuat hati tanpa mempedulikan lembu yang terlepas dari tangan saya. Tali lembu yang saya pegang tadi saya campak, membiarkan lembu berjalan ke arah tengah jalanraya. Kenderaan yang hendak melalui jalan terpaksa berhenti.

Ketika itu juga pemilik anjing itu meluru keluar mengawal anjing itu. Kakak meluru ke arah lembu saya yang terlepas dan menariknya kembali ke tepi jalan. Ketika itu saya sudah berada jauh di hadapan. Saya bernasib baik kerana tidak digigit anjing itu atau mungkin juga anjing itu tidak berniat untuk mengapa-apakan saya. Ketika itu saya hanya berusia enam tahun. Sejak saat itu saya jadi fobia pada anjing dan hingga hari ini ketakutan pada anjing masih lagi saya alami. Jika bersemuka dengan anjing di hadapan, saya akan cuba mencari jalan lain untuk mengelak diri. Kata orang anjing dapat mengesan jika ada perasaan takut kita padanya. Benarkah?

Begitulah sekelumit catatan peristiwa masa kecil yang masih dapat saya ingati sehingga hari ini. Memori yang terus kekal untuk saya simpan dalam diri sehingga akhir nanti.


Friday, August 08, 2008

SELAMAT HARI LAHIR BUAT SITI SABARIAH


Smilin' CT


CT di Pangkalan Kampung Telaga Air, Kuching


CT bersama papa dan Nurul sebelum berangkat ke Betong mengikuti latihan PLKN

Esok, 09 Ogos 2008 merupakan ulang tahun hari lahir ke 19 bagi Siti Sabariah, anak keenamku. Tahun ini CT tidak bersama kami bagi meraikan hari lahirnya di Kuching kerana dia kini berada di KL meneruskan pengajiannya. Seingatku inilah kali pertama dia menyambut hari lahirnya sendirian tanpa kami sekeluarga.

Sebentar tadi aku terima panggilan telefon daripada CT. Lucu sekali, dia bertanya padaku, apakah aku ingat tarikh esok? Ya, bapa ingat, kataku, esok hari lahirmu.
Mana mungkin bapa melupai tarikh esok. Dia ketawa kegembiraan.


Aku dan isteri berjanji dengan CT, kami tangguhkan dulu present untuk dia sehingga kami sampai ke KL pada 21 Ogos akan datang ini. Kami nak bawa dia bersama ke Kuantan untuk majlis Konvokesyen Fadli, anakku yang kelima, abang CT di UMP. Kami cadang nak beli satu unit laptop buat CT bagi memudahkan beliau membuat assignmentnya.

Kelahiran CT amat kami nantikan. CT anak perempuan kedua sebelum kelahiran Nurul sepuluh tahun kemudian. Sebelum CT, anak sulung kami juga seorang perempuan, Laila. Antarakeduanya kami ada empat orang anak lelaki. CT beruntung kerana mempunyai saudara lelaki yang sayang padanya.

Di awal persekolahan CT tidak menampakkan kesungguhan dalam pelajarannya. Berbeza sekali semasa dia sudah remaja kini. Kini CT lebih fokus dan komited. Kami kini merasa yakin pada CT bukan kerana kebolehannya tapi kerana kesungguhannya.

Any way CT, papa hanya ingin ucapkan happy birthday to you. Semoga Allah melanjutkan usiamu dan CT diberi perlindungan Allah jua.


Tuesday, August 05, 2008

MENGINGATI UMMI


Semalam saya dan isteri pergi ke kampung Bintawa di rumah adik saya, Japhar. Saya ke sana kerana pada tahun ini adik saya yang mengadakan majlis tahlil untuk almarhumah ibu kami. Ibu pergi enam tahun yang lalu namun ingatan dan kenangan terhadap ibu tetap segar dan indah.

Almarhumah ibu lahir dalam tahun 1929 dan meninggal pada lima belas haribulan Ogos 2002. Ibu meninggal di rumah keluarga di kampung Pulo Hilir Kuching tepat jam satu pagi setelah menderita sakit untuk tempoh yang agak lama jua.

Banyak sekali memori bersama ibu yang tak mungkin dapat saya lupakan. Hanya saya ingin mencatat memori kami dalam catatan ringkas ini untuk tatapan anak cucu masa akan datang. Semasa tinggal di rumah pekerja bagi gudang Henry Waugh yang terletak di sebuah kawasan bernama Sinjo, tidak banyak yang dapat saya ingatkan kerana mungkin masa itu saya terlalu kecil. Hanya yang masih segar dalam ingatan betapa ibu menangis apabila mendapat tahu saya terjatuh ke dalam telaga di belakang rumah ketika ibu tiada bersama untuk seketika kerana menghantar air ke rumah. Namun saya telah diselamatkan oleh kakak saya yang bertindak menarik rambut saya. Saya terselamat daripada menjadi mangsa lemas di dalam telaga.

Ketika tinggal di batu Lintang kesihatan ibu selalu terganggu. Ibu tidak s elesa tinggal di rumah kami di sana dan asyik hendak pergi ke rumah adik-adik ibu di kampong Pulo Hilir. Ketika hari mula senja, ibu akan gelisah dan berusaha untuk pergi ke kampung Pulo. Bayangkan perjalanan dari Batu Lintang ke Kampung Pulo Hilir kami harus pergi ke pangkalan tambang yang terletak di Jalan Blacksmith. Untuk ke sana kami perlu menggunakan teksi yang mengenakan tambang antara 50 sen hingga 80 sen. Ibu akan membawa saya dan dua orang adik untuk pergi ke kampong Pulo. Kakak dan abang akan tinggal di rumah di Batu Lintang. Biasanya kakak dan abang akan menumpang tidur di rumah jiran. Ah, jiran kami terlalu mulia hati mereka, tak kira bangsa, Melayu, Cina, Iban, Bidayah, India dan juga Melanau. Mereka semuanya baik-baik belaka dan amat bertimbang rasa.

Ketika tinggal di kampung Pulo Hilir kami cukup tenteram. Sakit ibu telah sembuh. Sesekali ibu akan membuat kuih-kuih untuk dijual di kampung. Antara kuih yang dijual termasuklah kuih penyaram, nasi manis dan tapai.

Ketika ayah bersama, kami dapat hidup dengan senang walaupun tidak mewah , makan minum tetap tersedia, begitu juga keperluan lain. Berbeza sekali pengalaman ketika ayah tiada bersama kerana pergi ke India untuk melawat keluarga di sana. Biasanya ayah pergi untuk tempoh masa yang agak lama juga yakni dari enam bulan hingga setahun. Yang paling terkesan di hati saya ketika ayah pergi sekitar tahun 1962- 1963. Kehidupan tanpa ayah bersama amat perit dan derita. Kami kehilangan punca rezeki. Orang yang diamanahkan ayah untuk menjaga kami telah tidak menepati janji. Kami tiada tempat mengadu. Sekali lagi peranan jiran amat kami hargai. Jiran kami di kampong Pulo Hilir banyak sekali membantu dengan meminjam beras, gula, kopi dan juga wang. Ah, begitu baik hati mereka.

Semasa berada di sekolah rendah dalam tahun lima dan enam , saya sudah menjadi ahli perpustakaan. Ketika itu perpustakaan terletak di bangunan bersebelahan dengan Muzium Sarawak. Saya akan ke perpustakaan setiap hari sabtu bersama beberapa orang teman. Untuk ke perpustakaan ibu menyediakan wang sebanyak RM1.00 untuk saya. Dengan wang sebanyak itu bolehlah saya ke perpustakaan menggunakan bas dan sempat juga makan rojak atau cendol di open air market. Saya sedar bukan senang untuk ibu mencari wang seringgit tapi kerana sayang ibu pada anaknya, dia memberi wang itu dengan senyum dan senang hati. Mengingati kembali pengorbanan ibu membuat air mata mengalir atas rasa sedih dan teramat merinduinya.

Selepas bekerja saya berusaha menggembirakan ibu dengan memberi wang sedikit sebanyak untuk ibu berbelanja. Saya tahu ibu bukan jenis insan yang suka membeli barang-barang yang tak berfaedah, jauh sekali pakaian dan perhiasan. Wang yang ada itu pun biasanya akan ibu belanjakan untuk membeli makanan dan juga kuih muih. Kadang-kadang wang yang sedikit itu jugalah ibu gunakan untuk diberikan kepada saudara-saudara saya yang kesuntukan.

Tahun 1991 hingga 1999 saya berpindah tugas ke Miri. Untuk tempoh selama lapan tahun itu saya jarang ketemu ibu. Saya hanya ke Kuching jika ada tugas rasmi yang berlaku sebulan hingga dua bulan sekali. Ketika di Kuching saya akan meninggalkan wang saku buat belanja ibu. Ibu sentiasa menunggu kehadiran saya di kuching. Saya sedar ibu tidak memerlukan wang ringgit tetapi kasih sayang anak-anak.

Bulan Jun 1999 saya kembali bertugas di Kuching. Ketika berada di Kuching saya tidak melepaskan peluang untuk terus menjenguk ibu yang masih tinggal di rumah pusaka di kampung Pulo Hilir. Setiap malam saya akan ke rumah ibu. Melihat wajah ibu sudah cukup mengobati kerinduan yang saya alami selama lapan tahun.

Ibu jatuh sakit sekitar tahun 2001. Ketika itu saya tidak menjangka sakit ibu boleh menjadi serius. Hari berganti bulan, kesakitan ibu semakin berat. Kami bawa ke klinik setiap peluang yang ada kerana ibu tidak mahu ke hospital. Namun penyakit ibu masih tidak berkurang. Akhirnya pada 15 Ogos 2002, sekitar jam 1.00 pagi, ketika cengkerik berzikir, ibu menghembuskan nafasnya yang akhir di hadapan kami sekeluarga. Kami lepaskan ibu dengan penuh keredaan. Semoga ibu berada bersama golongan mereka yang dirahmati Allah azza wajalla jua.



20 Julai 2008

Sunday, August 03, 2008

ANTOLOGI HAIKU 2006


Dua minggu lepas saya terima kiriman senaskhah buku, Antologi Haiku 2006, dari seorang teman. Antologi diterbitkan oleh saudara Abdullah Abdul Rahman (Tabir Alam) ini mengetengahkan 150 buah Haiku yang ditulis oleh tiga orang penulis Haiku yakni Puan Hajah Halela bt Hj. Abdul Razak (Lelahiro) seorang ahli Persatuan Haiku Ishimine, Okinawa, Jepun, sdr Rusmini bt Musa (Dipinggiran) dan sdr Abdullah bin Abdul Rahman (Tabir Alam).
Setiap Haiku akan ditemani sekeping foto yang berkaitan dengan Haiku tersebut dan ini menambahkan lagi keindahannya. Bukankah Haiku merupakan puisi yang ditulis untuk menghargai alam semula jadi dengan bersandarkan kata musim.
Haiku, puisi Jepun yang terdiri daripada tiga baris ayat dengan susunan 5/7/5 dan mengandungi 17 suku kata merupakan satu ciptaan yang cukup indah. Ia ditulis secara biasa membawa cerita biasa tetapi pemikiran yang terkandung amat luar biasa. Perhatikan Haiku yang dipetik dari antologi di atas:

Sang layang-layang
langit terbentang luas
kembali jua
(tulisan Lelahiro)

gemersik daun
tupai dahan ke dahan
buah berlubang
(tulisan Dipinggiran)

tengkujuh tiba
dermaga sunyi sepi
laba tersadai
(tulisan Tabir Alam)

Ada keistimewaan pada Haiku. Rakaman peristiwanya cukup mudah dan terus terang tetapi pentafsirannya diserahkan kepada pembaca. Tiada emosi yang ditulis, begitu juga pemikiran, ia tidak dinyatakan. Hanya fakta biasa yang tidak juga puitis. Haiku terbaik ialah bila menulis apa yang dilihat, disentuh, didengar, dirasa dan dihidu. Tulisan berkenaan pengalaman pancaindera merupakan tulisan haiku yang terbaik. Bagi Haiku, puisinya bukan pada kata-kata tapi pada pengalaman.

Tahniah buat ketiga-tiga penulis Haiku yang berjaya menghasilkan sebuah antologi yang secantik itu.

Friday, August 01, 2008

SI PENJUAL KUIH

Selepas menghantar Nurul ke sekolah saya dan isteri teruskan perjalanan pergi ke Tebingan Kampung Boyan. Ada sesuatu yang menarik minat kami berdua di sana ketika pagi begini. Di tebingan ini terdapat gerai menjual kuih muih. Aneka jenis kuih terjual di sini seperti kuih Seri muka, bingka, nasi manis kari pap dan banyak lagi yang lain.

Saya mula tertarik hati membeli kuih di sini setelah pertama kali merasainya tiga minggu yang lepas. Ketika itu saya dan isteri datang awal pagi ke sini untuk tujuan merakam foto tebingan ketika pagi. Menjadi kesukaan saya mengambil foto waktu pagi kerana suasana pagi amat sesuai untuk dipotretkan. Ketika sedang memotret pemandangan tebingan yang indah dan damai saya ketemu teman lama yang berjual kuih. Kami membeli beberapa hiris kuih yang saya gemari yakni kuih bingka, nasi manis dan kuih seri muka. Itu kali pertama saya membeli di sini dan sejak hari itu saya sudah jatuh hati pada kuih-kuih di sini kerana rasa kuih yang sedap. Selain itu, menikmati kuih ini mengembalikan ingatan masa kecil saya.

Kehidupan masyarakat di kampung Pulo Hilir sekitar tahun enam puluhan amat menyeronokkan jika diingat kembali. Ketika itu saya masih belajar di sekolah rendah. Aktiviti menjual kuih merupakan aktiviti harian setiap pagi dan petang. Kuih mula dijual seawal enam pagi. Kuih-muih ini dijual oleh kanak-kanak yang berusia antara sembilan hingga dua belas tahun. Kuih yang dijual diletakkan ke dalam talam dan talam kuih ini dijunjung di atas kepala. Awal pagi terdengarlah suara anak-anak penjual kuih ini melaungkan nama kuih yang dijual. Laungan itu pun satu seni dan ada rima tersendiri. Sayup-sayup kedengaran kuih-kuih dilaungkan..kuiiih biiingka…nasiiii manissss…cucurrrr pisaanngg…begitulah…

Saya juga ikut serta dalam aktiviti menjual kuih tetapi saya tidak menjunjungkannya di kepala seperti budak-budak lain. Saya menggunakan raga biasa. Itu lebih senang bagi saya. Saya pernah menggunakan talam dan diletakkan di kepala tapi aya terjatuh dan kuih-kuih jualan berhamburan di jalan yang becak…ah..sedihnya…

Mengingati kembali detik-detik dahulu boleh memberi sedikit ketenangan kepada kita. Tapi sebenarnya, apa yang diharapkan ialah kesediaan anak-anak sekarang untuk menilai dan menghargai kesukaran yang perlu dialami oleh anak-anak dahulu. Dengan melihat kehidupan lalu adalah diharapkan ia akan memberi sedikit keinsafan dan kesedaran buat anak-anak hari ini. Dengan demikian bolehlah mereka pula bercerita pada anak-anak hari esok bahawa kehidupan memerlukan sedikit pengorbanan.

Begitulah sedikit catatan kehidupan masa lalu. Terlalu indah dan tidak mungkin terlupakan. Teman-teman bagaimana..?