Wednesday, November 25, 2015

KEHIDUPAN DI KAMPUNG PULO HILIR, KUCHING (14)

PENIAGA-PENIAGA MASA SILAM

Awal tahun enam puluhan laluaN merentas  kampung Pulo Hilir merupakan jalan tanah sahaja. Sebahagian jalan yang becak akan diletakkan batang kelapa sebagai titian bagi mengelak dari terpijak tanah becak. Boleh bayangkan ketika musim landas antara bulan November hingga Mac, jalan di kampung memang sangat sukar untuk digunakan. Namun dalam suasana dan persekitaran yang agak teruk begini tidak menghalang para peniaga untuk datang ke kampung-kampung seberang hilir menjalankan perniagaan mereka. Peniaga-peniaga ini datang ke kampung menggunakan basikal atau berjalan kaki.

          Seorang Cina tua yang kami panggil Ah Song akan datang ke kampung kami setiap hari menggunakan basikalnya. Di kedua-dua belah hendal basikal tergantung raga yang dimuatkan dengan tong untuk menyimpan aiskrim. Ah Song biasanya datang pada sebelah pagi menjual aiskrim dan juga kacang kuda rebus.  

          Peniaga yang kami panggil Ah Bon pula menjual rojak buah. Namun dia tidak datang setiap hari. Kita mungkin dapat bertemunya seminggu sekali atau dua kali. Saya kurang ingat apakah Ah Bon berjual mengguna basikal atau memikul kandar . Saya benar-benar lupa. Selain rojak buah, dia juga menjual sengkuang, mentimun dan tauhi kering yang dibubuh sambal rojak. Harganya lebih murah daripada rojak buah.

          Sesekali di awal pagi ada seorang India yang berjual putu mayong. Dia akan berjalan melintasi rumah-rumah di kampung sambil dengan suara nyaringnya meneriak , "putu mayung!, Putu mayung!" Putu mayungnya memang sedap. Ia dibungkus dengan daun simpur. Dia jarang datang ke kampung, hanya sekali sekala sahaja.

          Pada sebelah petang kira-kira selepas asar hingga maghrib seorang berbangsa Sikh akan berjalan keliling kampung menjual kacang putih (disebut kacang putet). Ia sejenis kacang seperti kacang kuda tapi kecil sedikit saiznya dan dikeringkan. Warnanya kekuningan dan sangat sedap dimakan.

          Ada juga peniaga yang berjual menggunakan perahu/bot berenjin. Ia seperti kedai runcit bergerak. Dalam botnya penuh dengan barangan yang biasa kita dapat di kedai runcit di kampung. Sesekali ia akan berhenti di satu-satu pangkalan di kampung kami. Orang kampung terutama suri rumah akan menuju ke bot untuk membeli barangan dapur yang mereka perlukan.
          Sesekali akan datang perahu besar berlayar yang saya kira datang dari sebelah pekan Pusa atau kawasan-kawasan berhampiran. Ia singgah di kampung membawa bersama tepung lemantak/rumbia untuk dijual. Saya paling gemar lemantak/rumbia ini yang dimasak dan dibuat seperti penkek. Ia sebenarnya makanan suku kaum Melanau tapi sangat popular dalam kalangan masyarakat Melayu.

          Orang dari kawasan Samarahan pun ada juga berdagang menggunakan perahu di kampung kami. Mereka datang membawa buah-buahan ketika musim buah, antaranya Tembikai, langsat, rambai dan rambutan. Harga buah ketika itu sangat murah. Buah-buah yang tidak habis dijual akan dibawa ke pasar cekor d bandar Kuching untuk dijual oleh para peruncit.

          Di kampung kami ada juga yang bekerja sebagai nelayan sungai. Mereka keluar mengkap ikan pada sebelah petang dan keesokan hari akan kembali membawa hasil tangkapan. Ikan-ikan yang ditangkap pelbagai jenis, akan dijual di kampung. Salah seorang yang saya ingat bekerja sebagai nelayan ialah jiran kami, Abang Mat.

          Seorang nyonya yang kami panggil Simoi merupakan peniaga yang menjual ikan terubok di kampung. Ikan-ikan ini ditangkap oleh perahu kotak milik kaum Heng Hua. Kaum Heng Hua tinggal di penempatan mereka yang terletak di seberang sungai Sarawak berhadapan dengan kampung-kampung seberang hilir.Mereka merupakan jiran orang Melayu. Banyak juga orang kampung yang bekerja dengan orang Heng Hua menagkap ikan di laut dengan menggunakan bot kotak ini.

Kehidupan di kampung sangat mudah dan harmonis. Tiada terdengar kata-kata menghina satu kaum dengan yang lain. Bukan tidak pernah berkelahi namun ia adalah kerana perkara biasa bukan yang berbentuk perkauman dan penghinaan terhadap satu-satu bangsa.
Sesungguhnya saya merindui saat-sat indah ketika tinggal di kampung masa silam. Saya sentiasa mengingati detik itu. Ya kita mungkin boleh tinggal jauh dari kampung namun kampung sentiasa di jiwa kita.