“BINGKAI WAKTU” – KESAYUAN DAN KEPILUAN APABILA KEMANUSIAAN DIINJAK-INJAK
oleh
Poul Nanggang,
Ketua II,
Persatuan Penulis Utara Sarawak.
“This aesthetic experience produces a new wave of emotion in
us which is actually, in this case a certain form(mode) of pleasure,
of joy in this quality, in this sight of it or in its
selfpresence It intoxicates us and delight us, for a moment,
the way the scent of beautiful flower intoxicates us.”
(Roman Ingarden, 1973).
PRAWACANA
“ ……. Berhubungan antara satu sama lain berdasarkan jalinan perkaitan
atau “network of association/relation.”
Jalinan itu mungkin dicetuskan oleh hubungan pengertian
atau kaitan tatabahasa atau kedua-dua sekali”
(Hashim Musa, 1994)
Kalau kita mahu membuat tafisran biasa, resepsi itu berasal daripada perkataan latin recipere yang bermaksud penerimaan (pembaca). Ini membawa pengertian bahawa pembacalah yang memberi makna yang sesungguhnya kepada karya seni, bukan pengarang. Sememangnya suatu ketika pengarang adalah naratif besar dalam teori kritikan sastera. Pada waktu itu, karya sastera adalah milik pengarang. Kita bukan sekadar mengenali tetapi memahami karya sastera, samalah dengan memahami fikiran dan perasaan karyawan. Seseorang karyawan adalah fokus teori dan sumber informasi dengan cara menelusuri biografi pengarang, tetapi setelah lahirnya teori estetika resepsi, peranan pengarang makin dipersempit dan malah disembunyikan. Melalui dimensi kata lain, secara metodogi nilai estetika sesebuah karya sastera akhirnya telah ditentukan melalui penilaian dan kearifan pembaca. Alasannya, pembacalah yang pada umumnya membaca dan menanggapi karya itu dan berhak menilainya baik secara sinkronik dan diakronik. Kita sebagai pembacalah yang berinteraksi dengan teks dan bagi pembaca yang peka, segala sesuatu akan berkata-kata, sehingga kehidupan pun penuh makna. Oleh itu teori itu harus memenuhi 3 perkara asas iaitu:
First, that notionally at least, the theory should consist of set principles which have a wide field of application, and which are consistently applied across that field. Second, that these principles constitute a relatively comprehensive, systematically connected structure. Third, these principles would need to have been subjected to through objectives testing.
(Richard Freadmen & Seumas Miller, 1992.)
Apapun persepsi pun karya sastera adalah rekaan atau fiksi yang bermaksud kepura-puraan, atau suatu pembohongan menurut Umberto Eco (1979:7) dengan penulis dan watak yang dicipta sebagai bersifat berpura-pura dan penuh pembohongan, tetapi justeru kepura- puraan dan pembohongan itulah menjadikan sesebuah karya sastera itu menarik. Lewat teori resepsi, bukan bermakna pembaca mengangkat pembohongan sebagai sesuatu yang bermaruah dalam kehidupan, tetapi melalui medium bahasa, karya fiksi, sebagai wacana memiliki kemampuan untuk berkembang secara tak terbatas bergantung kemampuan imaginasi pembaca dan ruang pengalaman semaksima akan digunakan. Tidak ada ciptaan Tuhan yang tidak berfungsi. Tidak ada kata-kata yang sia-sia melainkan memberi makna. Mungkin timbul juga persoalan tentang ukuran piawaian atau penilaian pembaca terhadap sesebuah karya itu. Katakanlah sebuah novel, apakah yang akan dilihat pembaca untuk menunjukkan kepada orang lain, institusi masyarakat dan khalayak yang lebih luas bahawa karya yang ditekuninya sebagai bernilai. Jika tidak ada ukurtara tertentu, sudah pasti karya pop, picisan, porno, seks, karya yang tunduk kepada kehendak pasaran, hiburan, karya yang menganggungkan kejahatan, propaganda politik dan ideologi yang berlebihan akhirnya dianggap sebagai karya yang baik dan berkualiti. Justeru itu mesti ada, semacam garis panduan yang membimbing rasa estetis pembaca dalam melakukan penilaian seperti yang disebutkan Plato dan Aristoteles beribu-ribu tahun dahulu. Maka kita setuju dengan kata-kata Muhammad Haji Salleh:
………..pengalaman duka dan sengsara itu lebih mendalam sifatnya, ia lebih pelbagai dan lebih mengundang renungan ; oleh itu ia lebih filosofis. Melalui pengalaman duka kita diajak meneroka wilayah jiwa, di bawa ke dalam akal fikiran, berwacana dengan kehidupan, nasib dan seterusnya menilai hidup itu sendiri.
(Muhammad Hj. Salleh, 1987.)
Dalam kerangka penilaian seseorang terhadap sesebuah karya, banyak faktor yang mempengaruhi penilaiannya, tetapi ia mestilah tidak lari daripada tiga asas penilaian utama ini iaitu estetika, etika dan hukum. Estetika berkaitan dengan keindahan garapan bahasanya. Etika berkaitan nilai-nilai moral yang bersesuaian dengan kompetensi masyarakat menghasilkannya, seperti situasi dan kondisi, hakikat dan manfaat, ruang dan waktu, objek yang dinilai dengan subjek yang menilai, dan ketiga; hukum, iaitu yang berkaitan dengan segala peraturan tentang kebaikan dan keburukan, undang-undang yang dicipta Allah kepada seluruh makhluknya dan juga undang-undang yang dicipta manusia untuk kesejahteraan manusia seluruhnya. Sistem norma dan hokum yang diterima dan disepakati manusia ini mestilah diambilkira dalam kerangka penilaian pembaca terhadap sesebuah karya. Inilah antara elemen yang perlu diperhalusi pembaca dalam melakukan kerja penilian, yang akhirnya digariskan para ilmuan dan ahli teori dalam kerangka ilmu sebagai teori pendekatan estetika resepsi.
MENGENAL TEORI RESEPSI SASTERA
Dalam konteks sejarah kritikan sastera, teori atau pendekatan estetika resepsi mula diperkanalkan pada tahun 1960-an, tetapi hanya mula diperkukuhkan konsepnya pada tahun 1970-an. Pengasasnya ialah Mukarovsky, tetapi gagasan awal teori estetika resepsi seperti yang dinyatakan Prof. Dr. Nyoman Kutha Ratna S.U (2007) dikemukakan oleh Hans Robert Jauss dan Wolfgang Iser. Jauss menumpukan perhatian terhadap pembaca dalam konteks rangkaian sejarah, sementara Iser pula memberi tumpuan kepada karya sastera sebagai alat komunikasi dan pengaruh yang ditimbulkannya, bukan hanya semata-mata pada erti karya tersebut.
Di Malaysia pendekatan ini mula diperkatakan pada alaf baharu dan banyak
tulisan, khususnya dalam bentuk makalah dan tesis yang ditulis menggunakan teori
resepsi. Mana Sikana, (2005:303) adalah antara tokoh pengkritik sastera di Malaysia
yang mempopularkan teori kritikan ini dengan mengatakan bahawa teori estetika resepsi merujuk kepada peranan dan mekanisme khalayak berdepan dengan sesebuah teks sastera, membaca, mengapresiasi, memahami, menanggapi dan mencari maknanya.
Dalam erti kata lain, teori ini memberi penilaian terhadap peranan pembaca dalam pemberian makna sesebuah teks sastera. Pembacalah yang menentukan nilai dan
kedudukan teks sastera. Pembacalah yang mempunyai kuasa secara bersama dalam
menentukan nilai teks itu.
Tetapi sepanjang diketahui oleh penulis, di Sabah & Sarawak hanya empat orang pengkritik yang berbeza latar belakang pernah menggunakan teori ini dalam kerja kritikan mereka iaitu Raymond Majumah dan Mohd Amran Daud. Raymond Majumah menulis kertas kerja berjudul “Pendekatan Teori Resepsi dalam drama Lazri Meon Daerah Zeni” yang ditulis sempena Seminar Pemikiran Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said yang diadakan di DBP Kuala Lumpur pada 13-15 Mei 2008 lalu. Sementara Mohd. Amran Daud menulis kertas kerja menggunakan teori ini ketika membentangkan kertas kerja berjudul “Puisi Pilihan Mohd Yusoff Pandak daripada aspek penerimaan Pembaca” yang dibentangkan ketika Majlis Bicara Karya anjuran RUSTA dan DBP bertempat di Institut Perguruan Tawau pada 3 Ogos 2008.
Walaupun kedua-dua kritikan ini tidak menyentuh mengenai penulis jati Sabah, tetapi kedua-duanya masih relevan, kerana Raymond Majumah adalah pengkritik yang berasal dari Sabah walaupun pengkritik ini memperkatakan karya yang dihasilkan oleh Sasterawan Negara A. Samad Said yang berasal dari Semenanjung. Begitu juga Mohd. Amran Daud, walaupun berasal dari Kelantan dan bermustautin di Kuala Lumpur, tetapi tulisan beliau memperkatakan karya seorang penulis Negeri Sabah. Namun secara umum, sebelum kedua-dua tulisan ini lahir, dunia kritikan sastera Sabah sebenarnya belum lagi mengenali seakrabnya teori estetika resepsi ini. Saudara Jasni Matlani, Ketua I BAHASA juga pernah menggunakan teori ini dalam pembentangan kertas kerja beliau sewaktu Pertemuan Persuratan Melayu di Kota Kinabalu pada awal Mac 2009 ini dan penulis sendiri iaitu Saudara Poul Nanggang pernah, menggunakan teori ini memperkata kumpulan puisi Abang Daud Abang Taha( ADAT) yang berjudul “ Berisi Beribu Budi”(3B) dalam acara diskusi buku oleh DBP Kuala Lumpur pada 2006 yang lalu.
MENGANALISA KUMPULAN PUISI “BINGKAI WAKTU”.
Puisi “Erti Teman” dari halaman 40-41, adalah sebuah ingatan yang amat dalam, tebal dan kental terhadap teman yang cukup akrab. Mereka melalui saat suka bersama dan amat serasi serta memahami diri antara satu dengan lain. Kalau tidak, waktu persahabatan itu berlangsung sekian lama, ada yang cukup istimewa. Sehinggalah sahabat ini kembali ke alam abadinya, barulah digambarkans terasa tersentuh dan diperlihatkan gambaran-gambaran nostalgia lama yang menggigit kenangan. Kita kongsikan kalimat indah ini;
“relationship is like
standing on wet cement
the longer you stay,
harder it is to leave
you can never go without
leaving your footprint behind……..”
Memang persahabatan ini amat mengesankan dalam kehidupan kita, apa lagi sahabat karib kita telah mendahului kita meninggalkan dunia pinjaman ini. Kita akan lupa segala kekurangannya sebagai manusia biasa. Kita akan teringat akan segala kemurnian hatinya, kesucian jiwanya sebagai manusia. Begitulah kita manusia, menerima berita kematian seorang sahabat, lebih malang kita tidak mampu menziarahi atau menjenguknya waktu sakitnya atau memang tidak tahu sahabat diulit kesakitan perit sebelum menemui azalnya. Bukanlah bermakna kita seumpama “kacang lupakan kulit” tetapi suasana telah menjauhkan kita, tetapi tidak merenggangkan dan menghilang rasa hormat, kasih, sayang dan kerinduan kepada seseorang yang begitu bermakna dalam hidup kita. Janji kita sebagai kawan, kita terima seadanya sikap dan tabiatnya. Kita memahami itu semua, lantas kita terus berkawan sehingga memaksa kita berpisah selama-lamanya. Namun kenangan itu tetap mahal dan berharga nilainya di jiwa. Cuba saya perturunkan kalimat tentang pentingnya hadir seorang sahabat itu kepada kita sebagai manusia,
“24 sweet hours make 1 sweet day,
7 sweet days make 1 sweet week,
4 sweet week make 1 sweet month,
but
1 sweet friend like you makes
my whole life so sweet”.
Manusia juga jarang panjang hubungannya mengingatkan orang lain, saya teringat akan kata-kata arwah ayah saya yang klise tetapi cukup bermakna, “kawan ketawa senang didapat, kawan susah payah dicari”. Frasa ini semacam azimat bagi saya dan cuba menggingatikan sahabat-sahabat saya yang pernah singgah di permata hati. Semuanya ada kelebihan dan kekurangannya, maka itulah terjadi kepada sesiapa pun penulis lewat sajak ini. Saya amat bersimpati dengan isi puisi, menggingatkan sahabatnya yang pergi tidak akan kembali lagi, banyak menghadapi susah dan senang bersama seperti mana bait-bait yang saya perturunkan daripada karya ini. Cuba saya kaitkan apa yang pernah ditulis oleh Mana Sikana:
“Kawan saya seorang yang sangat pendiam. Suaranya mahal. Senyumnya tak pernah di bibir. Kalau saya berjumpa dengannya, sayalah yang lebih banyak bercakap. Biasanya dia mengiakan. Dan dia tidak pernah senyum. Dia hanya tersenyum kalau saya terbahak-bahak. Senyumannya merupakan ketawanya.”
(Mana Sikana, 2007)
Kita jarang menghargai seseorang, kalau bukan kerana kebaikkannya, lalu kita rakamkan segala pengalaman itu dalam tulisan kita. Cukup mendebarkan jiwa, kita seolah-olah terlupa bahawa kita berada di penjuru dunia yang lain, hanya ingatan itu sahaja terpahat dalam jiwa. Inilah sebuah kerinduan panjang yang indah kita lalui, mengenang segala budi, jasa, bakti dan kebaikan seorang teman yang menghadap Sang Pencipta Abadi. Antara kata-kata yang terdapat dalam perenggan ke-2 yang meresap perasaan ialah berikut:-
“Aku belajar erti teman
ketika duka menjenguk kita
ketika payah bertemankan goyah
mencabar resah
kuhargai makna setia
bertman biar sejiwa
begitu katamu ketika bertemu.”
(Bingkai Waktu: ms .40)
Manakala puisi “Melayu Yang Kutahu” yang terdapat di halaman 77 & 78, adalah sebuah analisa panjang dinyatakan sebagai warga Melayu melihat bangsanya yang kini mulai goyah, lemah dan kurang bermaya biarpun menggengam kuasa politik yang kukuh tetapi nampak rapuh. Ideanya menyatakan bahawa suatu ketika Melayu itu disanjung iaitu Melayu lama, Melayu yang dikenali seluruh jagat Nusantara. Cukup dijunjung tinggi dan semangat rohnya amat luar biasa. Cuba kita kongsikan apa yang tercatat dalam kitab sejarah bangsa:
“Kebanyakan suku-suku Melayu tiada(juga) menerima syukur (kecuali sesetengahnya) hingga menaruh dendam(khusmat) juga di dalam hatinya akan raja Bugis, dengan beberapa jenis perbuatan dan kelakuan(nya) hendak mencarikan juga nama Yang Dipertuan Muda serta Bugis biar mendapat nama(yang) buruk. Sehinggalah keluarlah Raja Indera Bongsu itu anak beranak adik-beradik(ipar-beripar, dengan Tun Kechik dan Tengku Lahad mengikut Tengku Fatimah( ke Terengganu, sebab kecil hati akan Bugis konon.”
(Tuhfat al-Nafis, 1991)
Agak malang Melayu masa kini, dilihat oleh pengkarya dilumpuhi kepiluan yang panjang, menjadi bangsa penuh kesusahan biarpun merdeka sekian lama. Malah negara Melayu semakin susah ditempur pelbagai aneka bencana dan kekusutan. Antaranya musibah alam seperti Tsunami yang melanggar Asia khasnya Indonesia dan Malaysia sebagai negara Melayu, tanah runtuh, gempa bumi, kemarau, jerebu, dan lain-lain fenomena alam. Wabak penyakit atau epedermik yang melanda di dunia Melayu seperti “Coaksasckie A”, demam Nipah, HINI Selsema Babi, penyakit denggi dan lain-lain musibah turut meresahkan kita. Di samping pelbagai masalah sosial yang sukar dibendung seperti penyalahgunaan dadah, ajaran sesat agama, buang bayi, sumbang mahram, budaya Punk, seks luar tabii, jenayah kolar putih, rasuah, dan macam-macam penyakit kronik masyarakat dalam masyarakat Melayu. Tetapi harus diingat bukan setakat masyarakat Melayu, manusia lain pun demikian terkaman pelbagai konflik melanda umatnya. Lalu saya cuba perhatikan apa yang dinyatakan oleh Mana Sikana dalam bukunya, “Di Benua Buta” tentang Melayu:
“Melayu sungainya deras dan laju. Melayu bangsa yang keras lagi maju”.
(Mana Sikana, 2007)
Lebih afdal rasanya kalau Melayu yang kini disanjung dalam media, akhbar dan televisyen adalah Melayu yang menjadi harapan dan pendinding kebal bangsa dapat mempertahankan Melayu dari terpesong dan menjadi pelindung payung kepada bangsanya, khusunya para pemimpin, penegak keadilan rakyat, pejuang Melayu dalam segenap bidang masyarakat, termasuk juga Raja-Raja Melayu yang masih menjadi tunjang Melayu. Walau pun kini mulai terdengar oleh kita Melayu mulai mempersoalkan rajanya demi kuasa, nama, pangkat dan harta. Ini haruslah kita kembali ke akar budaya Melayu itu sendiri. Sejarah waadat antara Sang Sapurba(rakyat biasa) dengan Demang Lebar Daun(golongan bangsawan) yang cukup bermakna dan ada terkandung rahsia yang tersembunyi dalam sejarah itu harus diingat semula. Ia bukan sekadar sebuah cerita tetapi sebuah kisah sacral kepada umat Melayu.
Jangan juga ada cara pemikiran Melayu yang sanggup jadi pembelot pentualang bangsa demi mendapat habuan harta. Amalan serong harus ditentang oleh Melayu supaya martabat bangsa tetap mulia dipandang, darjatnya kukuh di persada. Lewat kata-kata dalam puisi ini juga mengharapkan Melayu yang ada sekarang sebagai pembela bangsanya dengan visi dan janji yang bukan kosong percuma sahaja. Tetapi lahir dari hati dan nurani ingin sebuah kehidupan bangsa Melayu yang teguh, kukuh menghadapi segala cabaran dan rintangan. Itulah harapan dan impicita puisi melalui bait-bait kata perkasa dalam puisinya. Kita kongsikan pendapat Keris Mas dalam cerpennya “Mereka Tidak Mengerti” yang mewarnai wajah Melayu itu melalui watak Bill sebagai orang asing di bumi kita:
“Orang Melayu ini bodoh, mahu lekas-lekas memegang semua kerja. Mereka fikir mereka sudah layak. Belum, belum. Dan aku, kita, semua pegawai-pegawai expatriate mesti bertanggungjawab. Melihat bahawa kemerdekaan negeri ini tidak akan menjadi dia terasing dari kita, dari gurunya, dari bekas pelindungnya. Biar lama lagi mereka memerlukan kita, terjamin perhubungan kita dengan mereka. Niat kita baik untuk kita dan untuk mereka. Tetapi mereka tidak faham. Mereka terlalu over confident…..”
(Keris Mas, 1991)
Mari kita lihat ketangkasan Melayu yang dinyatakan dengan jelas dan tuntas dalam perenggan pertama puisinya ini. Puisi ini cukup patriotik gerak getar jiwa juangnya jelas membara untuk memartabat Melayu yang sekian lama dijulang perkasa memperjuangkan alamnya. Mari kita nikmati antara frasa-frasa halus yang menghantar mesej jelas kepada kita:-
“Melayu bangsaku pahlawan perkasa,
mencantas ombak merdah desa
berbekalkan keris dan tombak
bangsaku merentas lautan dalam
membawa bersama silat dan gurindam
membina mandala dan membangun empayar
membela pertiwi mempertaruhkan diri
buat generasi yang bakal mengganti”.
(Bingkai Waktu: ms. 77)
Dalam puisi bertajuk “Mutiara” di halaman 99-100 pula, kita berasa simpati akan perasaan seorang perempuan lalu menafsirkan akan baris kata-kata pengucapan puisi wanita itu dengan meletakkan pemegang watak lelaki yang menggambarkan situasin ini semacam malaikat penyelamat dalam meredakan kegundahgulanaan seorang wanita bernama isteri. Mutiara itu adalah bukan sahaja nilai kata-kata dan makna begitu bernilai tetapi jauh lebih dalam pengertiannya bagi seorang manusia yang mampu menilai sebuah kehidupan. Tiada nilai yang boleh dilabelkan di pasaran yang mampu membelinya, tiada nilai taranya di maya ini. Kita seolah-olah dapat mendengar segala “raungan” kata yang terdapat dalam puisi ini, yang menurut saya penderitaan yang dilaluinya cukup sedih, pilu, hiba, rawan, gundah dan dalam kesan luka menghiris jiwa. Lalu luka itu parah kerana kecurangan seorang teman pilihan utama yang terpilih untuk dihijabkabulkan melalui doa-doa sakral dan harapan murni hari mendatang di hadapan wali bernama suami. Kemudian sang wanita mahu membalas segala kerenah suami dengan segala macam perangai atau tingkah yang tentunya tidak menyenangkan lelaki. Cuba kita kongsikan perasaan batin yang dirakam oleh puisi ini akan kesengsaraan yang dialami seorang perempuan dari perenggan 2 dan 3 puisi ini,
Telah kudengar raungan hatimu
Tangisan ister bercitra sepi
Mencari teman bernama setia
Memperkukuh istana yang dibina
Tersesat di lembah sengketa
Lukamu terlalu parah
Ditikam belati curang
Lantas kau hukum setiap suami
Yang terlupa membina mimpi
Hanyut bersama arus ilusi
Terdampar di muara fantasi.
(Bingkai Waktu: ms. 99)
Objektif puisi ini masih menghalakan dengan meletakkan darjat mulia dan tinggi bagi wanita,iaitu seumpama mutiara setelah memahami luka parah seorang wanita yang bernama isteri terdera oleh sikap curang suami. Namun ini adalah cerita romantik sekian lama sejak zaman Adam dan Hawa, Laila dan Majnum, Romeo dan Juliet, Uda dan Dara, Keling dan Kumang dan banyak lagi yang menjadi kisah menghiris hati dan sukma. Apa yang cuba diusahakan dalam intipati puisi ini ialah memberi keyakinan dan peluang kepada suami dan isteri agar saling melengkapi kehidupan lelaki dan perempuan. Saling menerima apa yang ada, tanpa membesar-besarkan dosa satu sama lain. Kalimat dalam puisi ini tidak menyalahkan sebulatnya dosa itu kepada suami atas segala msibah yang melanda rumahtangga, tetapi harapan teta ada, meletakkan isteri haruslah tabah dan berani menghadapi lelaki pilihannya di mana semua milikinya telah diserahkan kepada suami. Tips-tips diucapkan kepada isteri sangat jelas sekali supaya tidak terpedaya dan harus menjadi pendukung kehidupan rumah tangga serta penegak budaya berkeluarga. Kita teliti akan teks ini yang ditulis oleh Mark Twain, penulis besar Amerika Syarikat yang menghasilkan karya hebat “The Adventure Of Tom Sawyer” dalam bab novelnya Adam & Hawa - “Petikan Autobiografi Hawa” akan perasaannya;
“ ……. Cinta, kedamaian, kesenangan, kebahagiaan tak terukur – itulah hidup di taman. Sangatlah menyenangkan bisa hidup. Tak ada derita, tidak juga kelemahan, dan tak ada tanda-tanda fizik penanda berlalunya waktu. Sakit, kesusahan, duka – seseorang mungkin merasakan ini di luar batas sana, tetapi tidak di Eden. Di sana mereka tak ada tempat, di sana mereka tak pernah datang. Semua hari serupa, dan seluruhnyasuatu impian kesenangan.”
(Mark Twain, 2004)
Di penghujung bait puisinya, masih meletakkan wanita itu mulia dan tinggi nilai maruahnya sehingga sukarnya mendapatkannya di dasar laut dalam, maka wanita bagaikan mutiara dan dicari, diselam dengan nafas yang seadanya demi mutiara yang berharga. Mendapatkan sesuatu benda yang bernilai dengan susah payah adalah nostalgia yang tetap abadi. Ia semacam kemegahan dalam diri dan memberikan kepuasan kita akhirnya dapat jua benda yang dikatakan “mahal” dan sukar didapati itu. Demikianlah nilai seorang wanita dan isteri itu dihati, jiwa dan mata lelaki sebagai suami. Kemungkinan dalam hidup, kita tersalah haluan, kerana kita lupa bahawa kita telah dimiliki dan memilki dalam hidup ini. Kadang-kadang kita tidak berasa puas dengan apa yang kita ada, lalu mencari yang lain. Tapi sia-sia sahaja, sebenarnya apa yang kita milki adalah yang terbaik dalam dakapan kita. Hanya kita dikaburi mata dan hati oleh perasaan yang seumpama itu. Demikianlah mungkin yang dapat saya huraikan tentang puisi ini. Yang diucapkan secara sederhana, tetapi membawa kesan yang cukup dalam pada setiap yang membaca, apalagi manusia yang pernah melalui liku-liku suka duka pengalaman hidup yang seperti itu.
Lalu kita menilai puisi seterusnya di halaman 97 dengan tajuknya, “Merubah Penjara Budi”. Ia menggambar perjalanan kehidupan yang telah kita lalui. Kita kutip pengalaman ini agar kita matang, mantap dan kental menjalani kehidupan ini. Tidak semuanya indah, tetapi penuh warna-warni. Kadang-kadang kita terperangkap dengan segala kebaikan manusia itu. Sehingga pijak semut pun tidak mati. Manusia seperti ini susah kita depani. Adalah lebih baik mendepani manusia yang secara terang-terangan menjahanamkan kita, memburukkan kita dengan hitam yang segelap-gelapnya daripada manusia yang manis, halus, tertib di hadapan kita mengalahkan malaikat Tuhan yang hebat itu. Pramoedya Ananta Toer(PAT) dalam novelnya, “Mereka Yang Dilumpuhkan” antara lain menyatakan akan keperitan kehidupan di penjara itu:
“Apa yang mengejutkan hatiku untuk pertama kali ialah ini: Letnan Nefis itu menulis di surat pengantar: Bukit Duri. Artinya, aku harus dimasukkan ke dalam penjara Bukit Duri yang selama ini ada dalam bayangan otakku. Untuk berapa lama, di surat pengantar itu tidak disebutkan. Aku akan kehilangan kebebasanku. Itu sudah pasti. Untuk berapa lama? Inilah yang sekarang menjahanami fikiranku.”
“Kalau engkau binatang dan dikurung demikian untuk pertama kalim dan engkau selama itu bebas berkeliaran di alam merdeka, engkau akan menumbuki pagar kurunganmu hingga badanmu luka-luka dan engkau kecapaian hingga akhirnya terdiam oleh putus asa. Tapi kalau engkau manusia, bila untuk pertama kalinya dirampas kebebasanmu dan dimasukkan ke dalam kurungan, engkau akan kehilangan dirimu sendiri. Dan engkau akan berdiam diri tak tahu apa harus kau perbuat. Demikianlah.
Perlahan-lahan aku bangun dari lantai dan merangkak bertiduran di atas ambin beton. Banyak sekali yang kufikirkan. Banyak sekali, hingga aku tak tahu lagi apa yang kufikirkan pada waktu itu.”
(Pramoedya Ananta Toer, 2002)
Kita terpingga-pingga antara kesetiaan yang ditunjukkan dan kebenaran yang sentiasa menjadi pegangannya, kini menjadi pembelot yang cukup melukakan kita dan semua orang yang melihatnya. Rasanya kita kesal seumur hidup menemui manusia seperti ini dalam lipatan sejarah kita. Pada saya, inilah antara kalimat-kalimat penulis yang ditulis pada perenggan ke-2 cukup segar, kuat penelitiannya tenatng kejahatan itu dan menggugah perasaan pembaca;-
Tembok kezaliman semakin kukuh
Membentengi penjara budi
Membiarkan malam dihamili kecurangan
Menelanjangi siang dengan pendustaan
Lantas kita yang terperangkap
Di persimpangan kesetiaan dan kebenaran
Tersesat di tengah rimba kejujuran
(Bingkai Waktu: ms 97)
Namun penulis mempunyai kekuatan tersendiri menghadapi manusia yang seperti ini. Kawan yang makan kawan. Bukan lawan. Dengan kematangan kita dalam istilah “teramat tua” maknanya matang, mantap dan cukup wibawa mengajak kita untuk melepaskan diri dari cengkaman kepura-puraan yang dilakonkan oleh watak mulia yang pernah kita kenal dalam hidup kita. Biar pun sulit mana pun jalan untuk meroboh segala macam halangan, rintangan, cabaran, hadangan, liku-liku kehidupan itu maka harus diteruskan juga perjuangan biarpun maut harus kita hadapi, yang lebih penting harga diri kita sendiri. Agar anak cucu kita tidak melaknati kita sebagai manusia yang tidak bermaruah di bumi ini. Sekotor-kotor pun dosa yang kita lakukan, masih boleh dipertanggungjawabkan tetapi jangan melakukan kekotoran dengan pendustaan dan kecurangan.
Biarpun kita terkongkong pada budi yang banyak kita makan, maka kita harus membayar mahal dengan dosa-dosa yang tidak mungkin tertebus. Terimalah hakikat bahawa kehidupan ini masih belum terlambat bagi kita mengubah haluan kehidupan daripada gelap kepada terang. Apa lagi dalam era globalisasi ini, jangan kita menjadi hamb abdi kepada seseorang secara terhormat, tetapi terpalit noda, dosa, kecurangan, penindasan, pendustaan dan hilang kehormatan maruah diri sebenarnya. Puisi ini membawa tema falsafah kehidupan kita, agar tidak diragut oleh manusia-manusia yang pandai bermuka-muka. Sehingga kita berasa terhutang budi dan sanggup menggadai maruah diri demi budi yang diterima, maka kita telah terpenjara dalam jiwa kerana rasa berdosa dan bersalah yang amat sangat, mengikut fahaman ajaran agama dan norma-norma sosial yang bergentanyangan dalam diri kita.
Lalu kita kupas puisi yang bertajuk “Balada Anak Rimba” di halaman 8 dan 9 dalam kumpulan puisi ini. Kesan jiwa yang dipaparkan agak penuh lontaran marah dalam puisi ini apabila hutan rimba nenek moyang kita berkurun di sini diperkosa, dinodai dan dihancurkan oleh orang asing yang sebenarnya menjadi topeng kepada manusia-manusia yang mendapat menerima warkah pemusnahan dari syurga. Kita warga tempatan merempat di bumi sendiri dengan cemuhan yang pelbagai, dikatakan kita malas, tiada otak pemikiran, tiada anjakan saujana, tiada motivasi, tidak ingin kemajuan dan macam-macam label yang dijenamakan kepada penduduk tempatan. Orang-orang suci yang mendapat manfaat dan kelunakan hasil perkosaan ini, senyum lebar sahaja dimana-mana. Sarapan pagi di Singapura, kudapan Hong Kong, merarau di Tokyo, minum petang di Hawai dan bermalam di California. Bayangkan saja kemewahan yang mereka dapati. Esoknya teruslagi mengembara dunia ke pelbagai penjuru alam tanpa melepaskan Paris dan London. Kita manusia biasa di daerah asal ini, hanya sekadar menyebut dan menbayangkan kenikamatan dan kemewahan itu. Tetapi tidak pernah menikmatinya apa lagi merasainya hawa sejuk di kota London atau makan mewah di Kota Tokyo. Kita kongsikan pendapat Jaya Ramba, pengarang muda Sarawak ini dalam novelnya, “Sempadan Dendam” yang mewakili suara batin masyarakat peribumi yang antara lain:
“Apabila mahu berbincang dan memberikan penjelasan, meletus pula pertelingkahan. Wujud pembunuhan. Kami dipergunakan dan dicap sebagai penjenayah serta pengacau ketenteraman. Apakah kami perlu hidup menumpang ? Apakah tanah ini waris mereka yang menceroboh? Apakah keperluan kami tidak sama dengan keperluan orang lain? Apakah kami tidak berhak menikmati keharmonian hidup?
Tidak!
Kamilah waris tanah kami!
Tanah kami hak kami!
Kami akan menghalang penceroboh. Kami akan menghalang penindasan, penghinaan dan kutukan terhadap kami.
( Jaya Ramba, 2002)
Puisi ini penuh sindiran kepada manusia atau kaum yang telah memanipulasi kekayaan rimba kita untuk mengubah kehidupan mereka bagaikan raja-raja syurgawi yang hebat. Malah lebih hebat daripada cerita-cerita indah pari-pari dan dewa-dewa yang mempunyai istana agung, indah, cantik dan menawan. Ini cerita dunia yang reality dimana kita di sini menjadi anak rimba yang dikatakan petualang tanpa diberikan ruang, peluang dan kesempatan untuk memanfaatkan rimba ini bagi ekonomi kita. Semuanya disemacam diizinkan oleh surat kuasa dari syurga supaya rimba ini dimusnhakan dan dikautkan segala hasilnya tanpa sisa pun.
Bijak pandai anak rimba asalnya dari belantara lupa diri apabila menjadi mewah, ada sarjana dan peluang niaga dan dikelilingi, bir, wisky, brandi atau air anggur terbaik pilihan dunia juga gadis Eropah atau wanita cantik dunia. Mereka lupa bahawa mereka adalah zuriat rimba yang dimusnahkan dan dengan kepnadaian yang ada mereka diangkat menjadi peneraju kuasa negara sehingga lupa memakmurkan warga rimba manusia yang pada asalnya seakar, sedarah dan sepohon dengan mereka. Yang melawan mahu mempertahankan warisan khazanah purba dihentak tukul makhamah lalu terkejut begitu sahaja anak-anak muda yang perkasa serta puteri-puteri rimba yang masih jelita dan akhirnya dihukum mengikut lunas negara merdeka kerana menghura-harakan ketenteraman negara, juga keharmonian bernegara. Semuanya mudah sahaja, yang penting kuasa yang ada. Putih boleh hitam, hitam boleh putih dan macam-macam lagi warna kalau kita mampu meretoriknya. Kita menajdi muak dan jemu melihat semua manuskrip lakonan mudah ini. Semuanya dipenuhi kata-kata indah yang muluk dan manis, mengikis perjuangan mendaulatkan diri dan rimba ini. Kemewahan itu telah melupakan mereka akan kesengsaraan yang pernah mereka harungi, geluti dan hadapi Semuanya dilupakan begitu sahaja. Biarpun mereka melihat dengan mata dan hatinya akan kemusnahan belantara ini, tetapi mereka gagah dan megah dengan bercakap kehebatan New York, London dan Paris serta kota-kota indah didunia kononnya. Semua yang mereka perolehi adalah dari perkosaan sebuah rimba yang diizinkan dengan surat kuasa dari syurga yang indah buat anak-anak untuk menghalalkan dosa di sini.
Bagi saya sebagai penganalisa, puisi ini antara puisi yang terbaik dalam buku kumpulan puisi ini kerana keberaniannya menyuarakan kemelut dan fenomena ini. Mungkin pujian saya agak keterlaluan, tetapi itulah hakikat yang terpantul lewat dari pembacaan saya dari kumpulan puisi ini. Semua ini banyak diputarbelitkan, tetapi suara mata hati suci kemanusiaan itu, saya anggap sebuah kejujuran yang tidak mampu dibeli biar tinggi mana harganya…… dia masih memegang kejujuran dalam dirinya dan karyanya. Kalau pun itu sandiwara…… saya tidak mungkin dapat mencari dari mana ia melihat semua ini. Jadi sebagai pengulas, saya juga terbakar keberaniannya untuk menggambarkan apa yang tercatat dalam isinya puisi ini yang membuka daerah pemikiran saya timbul ilham dalam dirinya dan tulisan saya sekali yang menjadi hidup, lincah, perkasa dan bermaya. Cukup teruja sekali. Mari kita kongsikan gelora jiwa lewat kalimat penulis di sini dalam perenggan ke-2:-
Tiada lagi kematian
Atau menderita kerana kebuluran
Padi menguning minta dihuma
Siakap dan semah menanti dijala
Demikianlah bicaranya
Selaku pemimpin anak rimba
Tetapi lupa dinyatakannya
Balak dan minyak bolehkah kita mendapatkannya
Atau sekadar pemerhati di tebingan
(Bingkai Waktu: ms 8 &9)
Sementara pada halaman 5 kumpulan puisi “Bingkai Waktu” ini kita akan bersua dengan puisi bertajuk, “Api”. 3 huruf yang mewakili satu perkataaan itu, walaupun cukup pendek, tetapi membawa makna dan pengertian yang luas apabila kita meneliti puisi ini. Sepintas lalu kita tersedar bahawa api itu adalah cahaya, mendatang kesan haba panas kepada yang sejuk atau kedinginan. Dalam dimensi yang lain pula mungkin api itu adalah bara kepanasan atau juga simbol kepada kemarahan yang cukup besar terhadap sesuatu hal yang gagal dirungkaikan. Dalam perenggan pertama penulis menyatakan bahawa kepanasan itu adalah berada di pusat diri atau dalam diri manusia itu sendiri. Kalau kita mengembara ke dalam hutan atau rimba maka api adalah teman yang mengawal kedinginan kita dan menjauhi kita daripada macam ancaman bencana haiwan liar waktu di hutan. Selain menyediakan kita cahaya dan sinar walaupun dikatakan suram oleh penyair, tetapi sekurang-kurangnya mampu menghadirkan sinar untuk kita memerhati alam keliling yang dibalut malam gelap.
Dalam suasana apa yang menyala di rimba jiwa, bagi saya suatu kemarahan atau sakit hati yang sangat meninggalkan kesan sehingga terbakar emosi dan hangus pohon jati diri serta kemanusiaan kita. Ada orang kata kalau kita marah, kita tidak lagi sedar diri kita siapa. Kita hilang dan hanyut di istana kemarahan kita. Kita bebas lontarkan apa sahaja, kawalan diri telah hilang ketika itu. Ini mungkin diawali dengan bibit-bibit ketidakserasian atau kesesuaian dalam beberapa hal sehingga menumbuhkan taman kebencian yang menyuburkan lagi benih dendam di taman semaian. Lalu menghasilkan sengketa yang berpanjangan yang tiada sudahnya, beku dan berbaks di dalam jiwa. Kita juga jarang mengalah kalau kita selalu diinjak-injak dalam kehidupan baik oleh kerana mereka ada kuasa lantaran kita tunduk demi untuk survival kehidupan bukan setakat kita tetapi anak bini, keluarga dan seluruh manusia yang kita tanggungi dalam maya ini. Kita tidak dapat melupakan ini semua sepanjang hidup kita atau sehingga saat-saat akhir kita berada di dunia pinjaman sementara ini. Memang wajar kesan tekana psikologi yang kita hadapi itu menrentap semua lakaran ingatan kita. Ia bukan catatan kecil, tetapi sejarah hitam dalam hidup kita yang telah melukakan kita. Dalam keadaan ini, kita saat itu tidak mahu melawan atau jelas berkonfrantasi demi apa yang saya jelaskan di atas mungkin. Tetapi kalau soal-soal kecil, kita mudah damaikan jiwa kita. Kita mudah pasrah kalau sekian lama peristiwa itu berlalu.
Lebih hebat lagi keganasan dan ledakan api itu kalau ia membakar seluruh pasar. Bayangkan ia pasti melumpuhkan kehidupan kalau ia membakar sumber kehidupan manusia. Lantaran pasar itu tempat kita mendapat pelbagai keperluan kehidupan. Sibuk suasananya bukan semata-mat untuk sibuk tetapi demi meneruskan kehidupan mendapat bahan-bahan makanan dan minuman perlu. Tapi kemarahan besar itu juga tidak mampu mengubah budaya kehidupan yang sedia ada. Apa lagi sebah ketamadunan, tidak akan boleh diroboh oleh api kemarahan atau kebakaran yang benar-benar sekalipun dari api. Semua ada hubungkaitnya dengan soal hati dan jiwa manusia. Betapa hebatpun kemarahan itu, dapat kita bending dengan ciri-ciri kemannusiaanm yang kita ada, selain ilmu yang menjadi pendinding kepada kita. Ilmu agama atau ilmu moral, adat budaya, ilmu sosial, ilmu psikologi semuanya kalau kita rangkumkan dalam satu acuan, mampu meredakan “api” yang membakar kita walaupun kita tidak hangus atau menjadi debu-debu yang berterbangan. Kitalah yang menentukan ‘api” itu dalam hidup ini. Kita kongsikan tulisan Albert Camus, seorang berbangsa Perancis dalam cerpen, “Sang pembelot” yang menjelaskan kemarahan api itu:
“Betapa campur aduknya, kemarahan yang dahsyat, gra, gra mabuk kerana kepanasan dan marah, tiarap di atas senjata. Siapa yang terengah-engah? Aku tak bisa menahan hawa panas tak berhujung ini, penantian ini, aku mesti membunuhnya. Bukan seekor burung, bukan pisay memotong rumput, batu atau semacam ghairah, jeritan mereka, lidah dalam dirku berbicara dan kerana mereka memotong bahagian tubuhku, penderitaan yang panjang, datar dan sia-sia menekanku biarpun dalam malam yang dingin, malam-malam di saat aku bermimpi, ketika terkunci bersama Tuhan, dalam kurungan garamku. Sendirian, malam sunyi bersama bintang-bintang yang indah dan air terjun yang gelap.” ………
( Albert Camus,2002)
Perhatikan perenggan ke-3 dalam puisi ini untuk kita teliti daripada apa yang bincangkan bersama kalian semua, kepekaan dalam puisi melabuhkan kata-katanya cukup menyentap jiwa kita menikmati puisi tersebut;-
Api yang menyala
ditengah rimba jiwa
membakar hangus pohonan emosi
menjadi tapak semaian yang subsur
benih dendam dan geram
mewujud lading sengketa.
(Bingkai Waktu: ms. 5 )
Sebuah lagi puisi yang agak menarik dari puisi ini yang cukup meninggalkan kesan bagi saya ialah bertajuk, “Madam Insinyur” di halaman 70 & 71. Puisi ini jelas sekali sebuah kritikan kepada wanita yang berpangkat, khasnya dalam puisi ini seorang jurutera. Tajuknya agak menyimpang dari tatabahasa Melayu tetapi mempunyai pengertian lebih kurang, seorang wanita yang bersuami dengan jawatan yang disandangnya jurutera. Ini bukan main-main wanita, seorang jurutera. Tapi dengan izin “lesen peotica” yang diberikan kepada penyair, maka hal ini tidak mencacatkan malah suatu kesenian dalam jalur variasi penciptaan sebagai kreativiti penulis. Begitu juga dengan perkataan “dinner, madam, insinyur, handsome” adalah antara yang hadir dalam puisi ini. Terpulang kepada kita memberikan penilaian masing-masing, bagi saya ia tetap menyegarkan. Tentulah ilmu tinggi di samping ilmu-ilmu moden yang lain. Suatu ketika dahulu, tidak ramai wanita daripada masyarakat kita yang boleh menjawat jawatan ini. Tetapi lantaran perkembangan dunia pendidikan di Malaysia pesat, maka tidak hairan hari ini ramai wanita menjawat posisi jurutera di pelbagai agensi kerajaan mahu syarikat swasta seperti SHELL, PETRONAS, TNB, MISC, TELEKOM, ASTRO, MAS, KTM, bank perdagangan dan berbagai lagi syarikat jenama hebat di dunia. Inilah secebis pengalaman hidup yang diamati oleh penyair, lalu dipuisikan dengan nada yang cukup sinis. Perasaan ini mungkin dapat kita kongsikan oleh watak Mathieu dalam cerpen Jean Paul Satre, penulis Perancis terkenal itu bertajuk; ”Kamar Merah Biru” antara lain menceritakan:
“Mathieu berlalu dengan sedikit rasa kesal. Suatu ketika dalam hidupnya pernah terlunta-lunta di kota itu dan menjelajahi berbagai bar untuk mencari teman, tanpa seorangpun peduli untuk sekadar bertanya padanya. Kini semua itu telah berlalu. Dan permainan itu tak pernah terbayar.”
(Jean Paul Satre, 2003)
Dalam masyarakat kita walaupun bukan mahu menetapkan peraturan, tanggungjawab wanita itu tetap sama, biar tinggi mana pun pangkatnya. Ia harus menghormati suami pilihannya meskipun, punca pendapatan keluarga dari titik keringatnya sendiri. Ini kita maklum. Di pejabat seorang wanita tetap dengan jawatannya di rumah, kalau ia sudah menjadi isteri perlu menunaikan tanggungjawab itu tanpa banyak alasan atau hujaran lantaran ia seorang berilmu tinggi, apa lagi seorang jurutera. Pandangan masyarakat juga lain, apa lagi orang bawahan itu di kalangan lelaki, seolah-olah ada krisis identiti, semacam berasa kalah sahaja, dan mengiyakan segala arahan dan kata-kata dari mulut wanita yang menjadi ketua tadi. Walaupun ini semua tidak terjadi pada semua wanita yang ternama dan berpangkat besar, namun ia semacam suatu fenomena biasa apabila wanita ada jawatan tinggi. Saya tidak mengatakan bahawa wanita lupa diri atau ego dengan jawatannya, tetapi ini yang kita perolehi daripada intipati puisi ini. Wanita berstatus jurutera ini hanya pakai arahannya sahaja, dia sahaja yang betul dalam pejabat, lebih lagi dialah bos, tanpa mahu disanggah atau diperbetulkan. Inilah sifat manusia yang sukar diterima iaitu mengganggap orang lain bodoh dan dirinya sendiri terlalu hebat, tidak kira ia wanita atau lelaki. Kita sama-sama hayati kata-kata pilihan lewat perenggan ke-5 puisinya ini dengan nada sinis beliau menulis:-
Ini puisi untuk Madam insunyur saya
tak boleh marah kalau puan jurutera jua
saya tulis puisi ini untuk ingatkan anda
jangan jadi macam Madam insinyur kita
belajarlah menjadi wanita jelita
berbudi bahasa sopan dan ceria
(Bingkai waktu: ms 70-71)
Wanita ini juga dalam puisi ini mempunyai suami yang kacak dan tampan, malangnya tiada pekerjaan. Hanya sebagai tukang pandu kepada isteri. Di sini jelas sekali mempersenda lelaki, yang dapat memikat hati wanita berstatus tetapi diri sendiri umpama, “berdiri tidak sama tinggi, duduk tidak sama rendah”. Perbetulkan saya, kalau salah membuat perincian tentang hal ini. Apa yang ingin diharapkan kita walau tinggi mana darjat wanita itu, kesopanan, budi bahasa yang molek dan indah menawan, sentiasa ingat akan Tuhan selain memiliki wajah jelita bak Puteri Gunung Ledang yang tersohor itu. Tidak guna ada wajah cantik dan ada darjat, tetapi perlakuan tidak melambangkan ciri-ciri wanita sejati. Cukup mengecewakan kalau kita memilikinya.Lebih mendukacitakan, sebagai bos isteri yang berpangkat jurutera ini makan malam tentunya dengan menu istimewa apa sahaja yang ada di bawah kolong langit ini dengan tokoh bisnes yang wang berjuta ringgit sebagai “buah tangan pendahuluan” bagi mendapat kelulusan projek atau wang cepat dimasukkan ke dalam akuan. Sedangkan suami hanya jadi penunggu sahaja, makan nasi bungkus sahaja. Di sini, jelas sekali “terpukulnya perasaan suami” sebagai lelaki yang memiliki wanita berpangkat jurutera. Biar pun ia dapat memgatakan bahawa antara pekerjaan dengan kehidupan rumahtangga ada harus persefahaman dan batas-batas tertentu , tetapi sebagai manusia yang biasa gundah-gulana, keresahan dan kecelaruaan dalam memikirkan situasi ini jelas terpancar.Di pejabat mungkin kita bos, tetapi di rumah kita adalah tetap suri rumahtangga atau ibu kepada anak-anak. Kita tidak membawa watak bos di pejabat hingga ke rumah baik dalam komunikasi, suara nada bercakap dengan ahli keluarga, atau memberikan arahan kepada suami semacam tidak relevan. Salah siapa? Salahkah wanita kalau berpangkat besar? Tidak, tetapi harus bijaksana mengawal keadaan. Biar apa pun kedudukan wanita, rumahtangga dan suami itu harus jadi keutamaan. Kalau kita susah sakit, tiada pekerjaan yang memperdulikan kita, selain orang yang terdekat dengan kita, demikian kata-kata orang bijak pandai yang saya kongsikan.
Dalam meneliti puisi “Mendepani Resah” pula yang terdapat dalam halaman 88& 89, penulis membicarakan soal konflik yang dihadapi oleh unggas, petani dan nelayan. Ini melambangkan warga yang terpinggir di negara kita, tanpa pembelaan wajar biarpun puluhan tahun merdeka – ada namun masih belum memuaskan dengan usia bangsa merdeka kita. Soal yang menjadi besar isunya di negara kita, kerana kita ramai yang berasal dari latar yang berkenaan, walaupun kini berhijrah ke kota. Mengandungi 5 buah perenggan yang panjang yang menjadi inti kepada puisi ini. Penulis melihat dari sudut duka yang melatari bangsa kita. Banyak sengketa yang merugikan bangsa, sesama pejuang mengangkat martabat bangsa tercinta sehingga menjadi dendam kesumat peribadi yang menghalang memperkaasa bangsa. Kita lebih suka kita menjadi hero sepanjang zaman tanpa dosa tanpa cacat cela. Hakikatnya bertimbun dosa kita cicirkan kepada bangsa tetapi kita gagah memperkosa dengan kata setia, jujur, kebenaran, kesejahtera namun dibalik kata-kata itu kita menjadi penipu, penyangak, dan perosak bangsa yang tidak henti-henti hauskan kuasa. Kita sanggup menipu bangsa dan menggadai negara demicita-cita peribadi. Kini rakyat bukan boneka bodoh, biarpun mulutnya senyap tetapi hatinya tetap membara. Karim Raslan seorang penulis bebas Malaysia, menulis tentang keresahan seorang “pejuang Melayu” di zaman awal prakemerdekaan Tanah Melayu dalam cerpennya “Para Pahlawan” yang juga menjadi judul kumpulan cerpennya:
“Kami bertiga di dalam mobil. Pada jenderal di Pusat Operasi menggelari kami “The Three Mustketteers. Seorang Letnan Kononel bertubuh besar-tegap dengan agak sinis mengatakan bahawa kami mungkin lebih cocok disebut “The Three Mus-Tikus”, tetapi aku memilih untuk mengabaikan komentar itu. Kami para pegawai negeri senior umumnya merasa tidak nyaman berada di tengah-tengah para jenderal, dan kami mengamati mereka dengan perasaan resah. Meski demikian, mereka bermurah hati kepadaku mengingat tugas itu. Limousin Mercedes besar disiapkan untukku. Aku duduk di kerusi belakang dengan koper maha penting itu, sedangkan Omar, sopir saya dan Nazrin, ajudanku, duduk di kerusi depan”.
(Karim Raslan, 2006)
Kita mengharapkan segala peristiwa-peristiwa lalu itu mengajar kita supaya bangsa kita dipelihara, ditatang bagai minyak yang penuh oleh penguasa. Bukan setakat digula-gulakan sahaja dengan kemewahan. Perumpamaan Cina ada menyebut, “kalau mahu memberi ikan kepada seseorang itu, berilah kepadanya sebatang kail agar ia dapat makan ikan sepanjang hidupnya”. Perumpamaan ini jelas dan amat bermakna, penguasa kita mestilah bijaksana menangani masalah kaummarhean di merata pelosok negara ini. Puisi ini cukup sinis mengkritik bangsa kita, biarpun puluhan tahun merdeka, “ masih ada nakhoda tersesat hala di lautan merdeka”. Kalimat ini seolah-olah mendera kita, kerana gagal memanipulasikan makna kemerdekaan ini sehingga masih sesat di lautan tempat kita bermain, kalau seorang nakhoda itu. Ini tikaman langsung yang menyentak perasaan. Mungkin ini terjadi kerana fenomena alam, seperti tsunami dan gempa bumi menukar struktur permukaan bumi ini, atau ilmu yang ada tidak relevan dengan waktu kini, makanya nakhoda tersesat di lautan. Mari kita sama-sama lihat teks yang ditulis oleh penyair dalam rangkap ke-4 puisi ini:-
Menatap helaian peristiwa
aku mula terdidik erti setia
terangsang menjunjung tepak saksama
terpanggil menegakkan panji-panji hakiki
kerana setelah setengah abad
belayar di lautan merdeka
masaih ada nakhoda tersesat hala
masih ada kelasi terpinggir di terali
masih ada juragan mempersenda
peraturan dan janji
(Bingkai Waktu:ms. 88 & 89)
Kita dapat kesan bahawa puisi ini mahu menghantar mesej agar resah bangsanya ini perlu ditangai oleh bijakpandai bangsa dengan kejujuran, kebijaksanaan bukan sekadar lantang bercakap memburukkan suasana dan menghalakan bedil kata-kata nesta kepada sesoarang sambil telunjuk menunjuk kepada yang lain akan kegagalan bangsa kita dalam menghadapi merdeka khasnya golobngan petani dan nelayan yang masih jauh daripada kemakmuran hidup yang patut diraih sebenarnya. Kita harus jujur mengatakan bahawa bukan pemerintah tidak membantu atau gagal melihat fenomena ini, tetapi formula atau cara terbaik masih lagi buntu untuk kita mengangkat martabat warga bangsa yang tertinggal. Pemimpin boleh bercakap apa sahaja bagi menyatakan usaha dan pencapaian mereka, tetapi lebih penting apakah kesan dan keuntungannya kepada rakyat jelata yang benar-benar memerlukan. Ini patut kita lihat dan amati. Kata-kata kita harus kita kotakan bukan sekadar retorik mainan bahasa.
“Gurindam Buat Mulu” di halaman 47 pula adalah puisi tentang alam yang indah permai ini tetapi banyak dirosakkan oleh spesies manusia yang tidak berhati perut. Mereka ini hanya memikirkan keuntungan mereka sahaja, tanpa peduli hak orang lain. Rimba raya yang bertahun-tahun aman tiba-tiba terkejut dengan asakan pembalakan dan perladangan. Manusia rakus membuka dimensi baru kehidupan dengan merosakkan alam dan mengembangkan akaun bank yang ada. Rasanya tidak salah kita mengolah alam untuk pembangunan janjinya terurus dan betul tatacaranya, bukan dibungkus rasa kerakusan untuk kemewahan.
Mulu adalah antara kawasan tertua atau hutan rimba di dunia yang amat menakjubkan keindahan alamnya yang tidak dijamah sekian lama. Bukan sahaja indah malah, cukup mempersonakan dengan flora fauna dan fenomena yang ada. Objektif yang jelas dalam puisi ini menyatakan suara pelbagai spesies yang ada di Mulu akan keresahan, kegelisahan mereka kerana alam mereka diterokai dan dicemari oleh petualang-petualang alam tanpa ambil kira kesejahteraan alam, kedamaian, ketertiban dan kesantunan. Harapan para pohon kayu yang disuarakan oleh penulis agar mereka dijaga, dihidupkan agar sejahtera waktu sakit dirawat, waktu tidak cukup makanan dibajai dan disirami dengan air agar terus menjadi hijau menghiasi lanskap Mulu. Itulah suara mereka, agar terjaga biarpun umpama dalam penjara, tetapi kehidupan tetap berjalan, selagi matahari berputar, angin berhembus, siang dan malam silih berganti. Hayati petikan teks ini yang saya pilih di perenggan ke-4 dalam puisi ini:-
Sejuta pohon bermohon
pada insan meminta kasihan
pada teman menjaga laman
pada sahabat di bilik pejabat
“bangunkan sebuah tembok
memagari setiap pokok
menemani setiap taman
menjaga setiap warga”.
(Bingkai Waktu: ms 47)
Hakikatnya rimba di sini bisu. Tiada kata yang diluahkan. Itu adalah tafsiran suara alam yang dipetik oleh penulis oleh mata fikir dan akal bijaknya. Penulis peka dalam melihat kemusnahan dan kerakusan melanda rimba belantara ini.Inilah imej dan suara mereka yang penulis rakam, rasakan dan terngiang-ngiang mengalun di telinganya sehingga terlontar dalam bait-bait puisi. Hubungan penulis dengan Mulu dalam bentuk apapun, meninggalkan kesan yang cukup nostalgik, baik melalui lawatan ke Mulu, bacaan, tayang filem, tayangan video atau rencana yang dibaca, penulis telah respon dengan kemelut melanda Mulu dalam gurindam lagu Melayu tradisi puisi lama yang indah bunyinya iaitu puisinya.
Dalam puisi “Sekadar Mimpi” di halaman 137 mengandungi 4 perenggan menyatakan mimpi penulis tentang kegelapan yang menyerangnya. Betulkah penulis bermimpi? Itu ada usaha menggugah pembaca untuk membuat pengertian dalam karyanya agar mengikuti tulisan ini tentang mimpinya atau sebuah impian, suatu di bawah sedar, penuh halunisasi. Mimpinya bukan sebarang mimpi, ia mengenai kegelapan. Dalam gelap kita perlu terang dan cahaya, kalau kita terus bergelap maka kita tidak menikmati dunia ini malah terasa terpenjara. Mungkin kegelapan itu adalah kesulitan dalam hidup kita juga semua orang yang menghadapinya, kemudian akhirnya cahaya tiba maknanya ada kebahagiaan dan kesejahteraan juga mengunjungi hidup kita berkat sabar menghadapi liku-liku hidup, tenang, tabah, tidak mengalah, tidak memberontak, tidak menyalah orang lain dan suratan nasib, takwa kepada Tuhan dan keberanian meneruskan kehidupan ini. Ini akan kita lalui dan temui lewat pembacaan dengan penuh nikmat novel-novel tulisan Pramoedya Ananta Toer,salah seorang penulis hebat Indonesia itu yang bercerita tentang dihambat kehidupan penuh sukar, penuh susah, penuh sulit dalam penjara, menghadapi tekanan dan kesulitan ketika mahu mendapatkan kebebasan dalam novelnya antara lain, “Mereka yang dilumpuhkan, Hikayat Siti Mariah, Gadis pantai, Keluarga gerilya dan lain-lain” dimana kita terasa getar gelapnya kehidupan itu. Atau suasana yang dilalui oleh datuk nenek kita waktu Jepun menyerang bumi kita ini. Bagaimana kita dipijak-pijak kemanusiaan bagaikan haiwan tiada maruah dan harga diri. Kita lihat bagaimana penulis terbebas dari belenggu gelap hitam dalam mimpinya pada perenggan ke-3 puisi ini:-
Rupa mentari tidak bersembunyi
hanya mendung yang mengurung
lantaran hatinya tergores
oleh panahan mentari pagi
ketika malam enggan mengundur diri
ketika bintang ingin berpesta lagi
(Bingkai Waktu: ms 137)
Bukan kerana apa kegelapan itu terjadi tidak mengikut hukum alam, adanya siang dan malam tetapi dikurung awan mendung yang tebal. Bayangkan ketebalan awan itu sehingga menutupi semua jalur-jalur cahaya daripada menembusinya. Memang kita akui kuasa cahaya matahari itu kuat, tetapi kuasa hitam gelap itu lebih ampuh dalam suasana ini. Ini ditambah dengan suasana malam tiba, maka gelap mulai meningkat kegelapannya meskipun para bintang menabur cahaya di langit, tapi mendung masih menutup mereka. Ini adalah mimpi yang cukup indah dan penafsiran kita pun pelbagai. Bagi saya walaupun, idea dalam puisi ini dibelit perasaan sukar dan susah dalam selimut gelap, tetapi akhir berjaya menemui cahaya dan keluar dari kegelapan itu. Ini yang paling penting bagi saya, bukannya terpenjara selama di kamar gelap. Semua kegelapan yang dilalui dalam puisi ini adalah gambaran kehiduapn susah sukarnya mengahadpi kehidupan yang rencam ini. Bak kata pepatah melayu, “tiada yang bulat datang bergolek dan yang pipih datang melayang” dalam kehidupan ini, tanpa melalui suasana sukar, kita tentunya terasa hambar hidup ini. Kosong belaka kehidupan itu, kalau kita tidak dihimpit rasa sukar dan masalah. Ia sebagai penguji daya tahan kehidupan kita dengan ilmu yang kita ada, budaya yang kita pegang, agama yang kita junjung dan segala amalan sebagai pendinding diri yang ada pada kita. Jadi segala resah, sudah dan sulitnya kehidupan itu harus kita tempuhi sebagai manusia yang berpengalaman agar kita siap-siaga menghadapi gelora hidup yang lebih hebat lagi tekanannya. Herman Hesse, seorang karyawan Jerman yang hidup di antara tahun 1877 – 1962, dalam cerpennya bertajuk, “Sang Penyair” antara lain menulis tentang mimpi, untuk kita tafsirkan, apa jawapan yang mungkin maknanya:
“Suatu kali pernah dia bermimpi menanam sebuah pohon muda di taman rumanhnya. Isterinya berdiri di sampingnya, kemudian anak-anaknya menyirami pohon itu dengan arah dan susu”.
(Herman Hesse, 2003)
Apapun yang pasti itu mimpi dalam puisi ini, yang akhirnya dapat membebaskan diri dari kuasa gelap. Tapi adalah baik kita bertemu kegelapan, daripada sentiasa ditaburi cahaya dan kesenangan. Maka kita tidak mengenali pahit maung kehidupan. Kita harus belajar untuk susah, bukanlah menyusahkan diri tetapi sekurang-kurangnya dapat siap untuk menghadapi pelbagai kemungkinan yang tidak dapat diramal dalam hidup. Semua ini amat bermakna untuk kita mendepani segala konflik yang bakal melanda. Puisi ini memberikan kita isyarat untuk siap menghadapi pelbagai kemungkinan khasnya bila kesulitan menerkam kita tanpa belas kasih, tanpa isyarat atau bunyi. Dalam sepi dan sunyi kita menghadapinya. Apakah yang kita harus lakukan? Sebagai suatu andainan biasa. Bukanlah mengugut minda kita, tapi persediaan mengenali kehidupan. Selamat menghadapinya, walau hanya dalam mimpi.
HARAPAN.
Kumpulan Puisi “Bingkai Waktu” adalah hasil minda Pharo Abdul Hakim yang pernah menjawat Ketua I PUTERA(Persatuan Penulis Utara Sarawak) juga Bendahari PEKASA(Persatuan Karyawan Sarawak). Dalam kumpulan sekitar 101 buah puisi telah terhasil yang ditulis sekitar 1992 hingga 2007. Akan tetapi Pharo telah lama bermukim di daerah puisi sejak 1971 lagi berkarya dan menulis puisi di Dewan Sastera. Malangnya dokumentasi itu tidak dikumpul dengan baik. Bagi saya selaku pengkiritik, apa yang boleh kita harapkan daripada kumpulan puisi, sebuah khazanah karya sastera yang patut kita bangga miliki dan menjadi sebahagian perbincangan sastera kita di Sarawak atau di Malaysia. Saya juga mengharapkan karya Saudara Pharo Hakim akan dijadikan kajian oleh para pelajar kita di pusat pengajian tinggi. Semoga para ilmuan kita dapat memanfaatkan apa yang diahsilkan oleh beliau. Dengan demikian maka, karya-karya sastera dalam apa jua bentuk seperti puisi, cerpen, esei sastera, novel atau drama dapat dimanfaatkan oleh masyarakat serta dibincangkan dalam pelbagai aspek, sudut, ruang, dimensi dan kebijaksanaan ilmu, agar apa yang dihasilkan oleh karyawan kita semacam dihargai sebagaimana majlis kita pada hari ini.
Ini bukan sahaja tugas DBP semata-mata tetapi juga melibatkan seluruh tenaga dan roh ahli masyarakat yang menyanjungi dan memesrai sastera budaya kita. Kalau bangsa Indonesia bangga dengan Pramoedya Ananta Toer sebagai novelis yang hebat dan Sutardji sebagai maha raja puisi yang hebat di Indonesia, selain nama-nama besar seperti Rendra, Taufik Ismail, Mokhtar Lubis dan lain-lain, kenapakah kita di Malaysia tidak mampu merencanakan usaha-usaha besar ke arah mengangkat karya dan karyawan kita. Kita ada ramai pengarang hebat dan ternama di Malaysia. Mungkinkah kerana kita tidak mahu mengiktiraf mereka sehingga menjadikan mereka ini bukan sahaja ada nama besar tetapi karya-karya membawa impak kepada pembangunan khazanah sastera bangsa kita Malaysia. Beberapa anugerah telah diberikan oleh pemerintah melalui agensi dan pelbagai organisasi, tetapi rasanya itu belum cukup lagi bagi menjadikan bangsa dan negara kita sebagai “pusat kecemerlangan dan perkembangan ilmu di rantau” ini yang banyak dibincangkan oleh bijakpandai kita, tetapi kini dalam suasana ekonomi merundum, hal semacam itu sudah banyak dilupakan. Banyak membincangkan hal “survival ekonomi dan politik” daripada sastera bangsa sebagai tonggak ketamadunan bangsa itu sendiri.
KESIMPULAN
Daripada sekitar 101 buah puisi yang terdapat di dalam kumpulan ini, saya hanya sempat melihat sekitar 10 buah untuk dibincangkan dalam kertas ini. Ada lagi sekitar 91 buah puisi belum diperhatikan secara rinci. Maka itu adalah tugas kita bersama-sama untuk melihat kekayaan dan kekurangan yang ada. Apa yang saya mampu usahakan sekadar sekelumit kebijaksanaan yang saya dapat daripada menilai karya-karya itu. Saya sangat berharap ada teguran-teguran yang positif dalam tulisan saya ini. Mungkin juga sanggahan dan ketidaksamaan hala tuju pemikiran kita. Akan tetapi saya mencuba untuk melihat kemungkinan-kemungkinan yang ada dalam teori resepsi itu sendiri dan karya-karya sastera itu sendiri. Saya juga berasa bahawa bahan-bahan sokongan yang saya hadirkan dalam setiap karya itu adalah dimensi lain dalam suasana lain memikirkan karya itu, tetapi mempunyai hubung kait yang tetap ada dan rapat. Tanggapan saya bahawa, setiap tokoh sastera, peminat bahasa budaya harus memiliki buku ini sebagai perkongsian dalam pelbagai isu yang disuarakan oleh Pharo Abdul Hakim. Tidak lengkap saya hanya menjelaskan dan menerangkan kepada audiens, tanpa memiliki dan membaca apa yang diluahkan oelh penulis. Kita pernah disuakan oleh kata-kata hebat Albert Eiinstein bahawa, “imagination is more important than knowlwdge”. Renungilah akan kata-kata ini, mungkin ada baiknya bagi kita mendalami akan maksudnya. Selain itu, orang seni menurut Dr. Anthony Storr dalam bukunya, “ The Dynamics of Creation”(Pelican Books, 1976) menyatakan pendapatnya bahawa bahawa manusia seni yang tulen tidak akan didorong oleh kekecewaan atau keinginan untuk melepaskan diri dari akam nyata dengan menciptkan alam fantasinya sendiri atau didesak oleh faktor yang dibuat-buat, seperti cita-cita untuk mendapat bayaran(royalti yang banyak, contohnya), untuk menunjuk-nunjuk dan sebagainya. Bagi beliau, dorongan seni timbul sebagai percubaan manusia seni untuk memahami dan menyatukan alam sekitar(luaran) dengan alam dalaman(diri) mereka.
Dalam usaha kita hendak membudayakan ilmu, masyarakat kita hendaklah berkembang sebagai masyarakat celik ilmu, adanya kegiatan penulisan(baik umum atau khusus), perusahan penerbitan yang aktif, dan perpustakaan awam yang besar, giat, meluas dan berkesan. Minat menuntut ilmu sepanjang hayat kita, untuk membaca sebanyak-banyaknya, tidak akan lahir atau bertahan sekiranya manusia menghadapi kekeringan bahan bacaan yang bermutu, atau sekiranya tidak wujud sistem pendidikan yang mampu memasyarakat ilmu itu sendiri. Karya-karya yang kita bincangkan hari ini, ada kaitannya dengan apa yang dijelaskan tadi. Walaupun bukan ilmu yang baru tetapi kita belajar daripada khazanah pusaka peninggalan leluhur kita zaman-berzaman. Walau kita kaya harta, tetapi kaya dengan adat, budaya dan nilai bangsa yang luhur.
Rasanya Pharo Hakim tidak mengecewakan kita dengan karya-karya puisinya di dalam kumpulan puisi ini. Tanpa membaca sepenuhnya, kita mampu berkongsi inti pati yang saya kongsikan bersama-sama dengan kalian. Selamat membaca dan salam sastera.
Bibbliografi
Anton Kurnia, 2003. “ Seorang Lelaki Dengan Bekas Luka di Wajahnya – Antologi Cerpen Eropa”. Yogyakarta:Jalasutra.
Albert Camus, 2002,. “Orang-Orang Terbungkam”. Terjemahan oleh Anton Kurnia Yogjarkarta: Jendela Grafika.
Freadman, Ricahard & Miller, Seumas, 1992. “Re-Thinking Theory”. Cambridge: Cambrige University Press.
Ingarden, Roman, 1973. “The Cognition of the literacy work of Art”. Evanston: Northwestern University Press.
Hajijah Jais & Mohd Ikhram Fadhly Hussin, 2005. “Teori Dan Kritikan Sastera Melayu Serantau”. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka.
Hassan Ahmad, 2002. “Imbasan- Edisi Kedua”. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka.
Hashim Musa, 1986. “Pengantar Falsafah Bahasa”. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka.
Jaya Ramba, 2002. “Sempadan Dendam”. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka
Karim Raslan, 2006. “Para Pahlawan”. Jakarta: Yayasan Obor Indonesia.
Mana Sikana, 2007. “Di Benua Buta”. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka.
Mark Twain,2004. “Catatan Harian Adam dan Hawa”. Terjemahan oleh Eka Kurniawan. Jogyakarsta: Bentang Jaya.
Muhammad Haji Salleh, 1987. “Kumpulan Kritikan Sastera: Timur Dan Barat”. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka.
Pharo Hakim, 2008. “Bingkai Waktu”. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka.
Pramoedya Ananta Toer, 2002. “Mereka yang dilumpuhkan”. Jakarta: Hasta Mitra
Virginia Matheew Hooker, 1991. “Tuhfat Al- Nafis Sejarah Melayu- Islam”. Terjemahan oleh Ahmad Fauzi Basri. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka.