Friday, October 26, 2012

Basikalku, "Pak Lurah"

SAYA namakan basikal ini, PAK LURAH kerana warna merahnya.Ia saya beli di kedai menjual alat ganti kereta yang diimport dari Jepun dengan harga RM780.00 . Jika tak silap saya belikan basikal ini awal 2011.

Telah menjadi satu keseronokan bagi saya mengumpul basikal terpakai yang berjenama dalam pelbagai bentuk. Setakat ini saya dah kumpul lima buah basikal. Sekarang saya sedang mengintai-intai sebuah basikal Raleigh Road bike buatan England yang terpakai berwarna merah juga. Saya masih menanti keadaan yang tepat sebelum berunding dengan kedai itu mengenai harganya. Dalam masa yg sama saya juga masih mahu bertanya dengan teman tentang cara-cara membaiki basikal untuk menambah pengalaman diri.

Saya senang sekali berbasikal namun terasa sedikit kekhuatiran kerana tiada lorong khas untuk basikal di bandaraya Kuching. Saya berharap pihak perancang bandar akan mengambil kira secara serius dalam menyediakan lorong basikal untuk Kuching. Jika ia dilakukan tentu lebih banyak lagi warga kota akan berbasikal dan pasti akan mendatangkan impak positif ke atas bandaraya Kuching dari segi pencemaran dan juga kesihatan warganya. Ini pasti akan mempercepatkan bandaraya Kuching mencapai cita-citanya untuk menjadi bandar taman.


Saya harap dapat menulis sesuatu tentang basikal dalam blog ini dalam Bahasa Malaysia untuk tatapan bersama teman-teman yang menggunakan Bahasa Malaysia sebagai lingua franca mereka. Untuk tulisan dalam Bahasa Inggeris saya sudah sediakan sebuah blog yang saya beri tajuk " Once Upon A Time in Sarawak.


Tuesday, September 11, 2012






Mentari jingga ketika senja di awal september 2012 sekitar Taman Sumber Alam Sanctuary.

Saturday, July 14, 2012

Burung Murai Gila


Burung Murai Gila @ Pied Fantail (ibu)
Burung murai gila (anak/Juvenile)

 Saya ikuti perkembangan keluarga burung murai gila ini sejak 5 Julai 2012 hingga 12 Julai 2012. Menarik bila kita perhatikan ibu bapa burung ini yang bertungkus lumus mencari makanan buat anak-anaknya(dua ekor). Selain itu ia juga cekap menjaga kawasan itu dari gangguan.Saya kira kehadiran saya juga tidak disenangi ibu. Lihat saja cara ia memandang saya..
Nama yang unik ini rasanya tentu ada alasan. Saya terjumpa tulisan di blog seseorang yg menceritakan mengapa namanya murai gila dan saya rasa penjelasannya cukup lojik.:http://piecesoflin.blogspot.com/2012/05/burung-murai-gila.html

Tuesday, May 22, 2012

Lelayang Dada Putih dalam Kedinginan


Awal pagi yang dingin di Taman Pustaka Negeri Sarawak pagi semalam telatah tiga ekor burung Lelayang dada putih ini menarik perhatian saya. Mereka juga seperti kedinginan. Saya kira satu famili yg terdiri daripada bapa, ibu dan anak. Itu jangkaan saya. Burung lelayang dada putih memang banyak terdapat di kawasan Pustaka Negeri Sarawak ini. Selain lelayang dada putih saya juga selalu ketemu burung kunyit kecil , punai gading dan juga ruak-ruak atau nama tempatannya, keruak.

Thursday, March 22, 2012

SEWAH UNGU @ VIOLET CUCKOO (Chrysococcyx xanthorhynchus


Burung Sewah Ungu atau dalam bahasa Inggerisnya, Violet Cuckoo saya rakam pada 20 Mac 2012 semasa berjalan di Taman Pustaka Negeri Sarawak. Spesis Cuckoo ini dari keluarga Cuculidae. Ia tinggal di kawasan hutan tanah rendah dan juga hutan bakau.

Saturday, March 03, 2012

MENJALA UDANG DI SUNGAI SARAWAK


Paling suka hati saya jika diajak teman/jiran pergi menjala udang tapi saya sendiri tidak berapa pandai menbar jala. Tebaran saya selalunya menguncup atau menyenget. Paling mendebarkan pabila jala ditarik ke atas. terbayang janggut dan sepit biru yang membuat hati jadi haru.  Saya ingin kembali ke sungai Sarawak hanya belum ada kesempatan untuk ikut teman menebar jala.

Sunday, February 26, 2012

BURUNG TIUNG BATU @ DOLLARBIRD

Burung Tiung Batu @ Dollarbird yang saya rakam sekitar jalan baru Semariang/ Santubong (Berhampiran Sungai Ribo). Burung yang buat pertama kali saya temui.