PENIAGA-PENIAGA MASA SILAM
Awal tahun enam puluhan laluaN merentas kampung Pulo Hilir merupakan jalan tanah
sahaja. Sebahagian jalan yang becak akan diletakkan batang kelapa sebagai titian bagi mengelak dari terpijak tanah becak. Boleh bayangkan ketika musim landas
antara bulan November hingga Mac, jalan di kampung memang sangat sukar untuk
digunakan. Namun dalam suasana dan persekitaran yang agak teruk begini tidak
menghalang para peniaga untuk datang ke kampung-kampung seberang hilir
menjalankan perniagaan mereka. Peniaga-peniaga ini datang ke kampung
menggunakan basikal atau berjalan kaki.
Seorang
Cina tua yang kami panggil Ah Song akan datang ke kampung kami setiap hari
menggunakan basikalnya. Di kedua-dua belah hendal basikal tergantung raga yang
dimuatkan dengan tong untuk menyimpan aiskrim. Ah Song biasanya datang pada
sebelah pagi menjual aiskrim dan juga kacang kuda rebus.
Peniaga
yang kami panggil Ah Bon pula menjual rojak buah. Namun dia tidak datang setiap
hari. Kita mungkin dapat bertemunya seminggu sekali atau dua kali. Saya kurang
ingat apakah Ah Bon berjual mengguna basikal atau memikul kandar . Saya
benar-benar lupa. Selain rojak buah, dia juga menjual sengkuang, mentimun dan
tauhi kering yang dibubuh sambal rojak. Harganya lebih murah daripada rojak
buah.
Sesekali
di awal pagi ada seorang India yang berjual putu mayong. Dia akan berjalan melintasi
rumah-rumah di kampung sambil dengan suara nyaringnya meneriak , "putu
mayung!, Putu mayung!" Putu mayungnya memang sedap. Ia dibungkus dengan
daun simpur. Dia jarang datang ke kampung, hanya sekali sekala sahaja.
Pada
sebelah petang kira-kira selepas asar hingga maghrib seorang berbangsa Sikh
akan berjalan keliling kampung menjual kacang putih (disebut kacang putet). Ia
sejenis kacang seperti kacang kuda tapi kecil sedikit saiznya dan dikeringkan.
Warnanya kekuningan dan sangat sedap dimakan.
Ada
juga peniaga yang berjual menggunakan perahu/bot berenjin. Ia seperti kedai
runcit bergerak. Dalam botnya penuh dengan barangan yang biasa kita dapat di
kedai runcit di kampung. Sesekali ia akan berhenti di satu-satu pangkalan di
kampung kami. Orang kampung terutama suri rumah akan menuju ke bot untuk
membeli barangan dapur yang mereka perlukan.
Sesekali
akan datang perahu besar berlayar yang saya kira datang dari sebelah pekan Pusa
atau kawasan-kawasan berhampiran. Ia singgah di kampung membawa bersama tepung
lemantak/rumbia untuk dijual. Saya paling gemar lemantak/rumbia ini yang
dimasak dan dibuat seperti penkek. Ia sebenarnya makanan suku kaum Melanau tapi
sangat popular dalam kalangan masyarakat Melayu.
Orang
dari kawasan Samarahan pun ada juga berdagang menggunakan perahu di kampung
kami. Mereka datang membawa buah-buahan ketika musim buah, antaranya Tembikai,
langsat, rambai dan rambutan. Harga buah ketika itu sangat murah. Buah-buah
yang tidak habis dijual akan dibawa ke pasar cekor d bandar Kuching untuk
dijual oleh para peruncit.
Di
kampung kami ada juga yang bekerja sebagai nelayan sungai. Mereka keluar mengkap
ikan pada sebelah petang dan keesokan hari akan kembali membawa hasil
tangkapan. Ikan-ikan yang ditangkap pelbagai jenis, akan dijual di kampung.
Salah seorang yang saya ingat bekerja sebagai nelayan ialah jiran kami, Abang
Mat.
Seorang
nyonya yang kami panggil Simoi merupakan peniaga yang menjual ikan terubok di
kampung. Ikan-ikan ini ditangkap oleh perahu kotak milik kaum Heng Hua. Kaum
Heng Hua tinggal di penempatan mereka yang terletak di seberang sungai Sarawak
berhadapan dengan kampung-kampung seberang hilir.Mereka merupakan jiran orang
Melayu. Banyak juga orang kampung yang bekerja dengan orang Heng Hua menagkap
ikan di laut dengan menggunakan bot kotak ini.
Kehidupan di kampung sangat mudah dan harmonis.
Tiada terdengar kata-kata menghina satu kaum dengan yang lain. Bukan tidak
pernah berkelahi namun ia adalah kerana perkara biasa bukan yang berbentuk perkauman
dan penghinaan terhadap satu-satu bangsa.
Sesungguhnya saya merindui saat-sat indah ketika
tinggal di kampung masa silam. Saya sentiasa mengingati detik itu. Ya kita
mungkin boleh tinggal jauh dari kampung namun kampung sentiasa di jiwa kita.