KEMESRAAN
MASA LALU
KHAMIS, 4 FEBRUARI 2016
Pagi ini saya
berkesempatan menziarahi seorang saudara sebelah ibu saya, Sdr Julaihi bin Anis
atau lebih mesra dengan panggilan bang Lihi, di Kampung Semarang Kuching,
sebuah kampung bersebelahan dengan Kampung Pulo Ulu di Seberang Hilir. Lama
juga saya tidak menjenguknya. Kali terakhir rasanya sebelum hari raya puasa
tahun 2015.
Abang Lihi tinggal di Kampung
Semarang, di tebing sungai Sarawak di rumah tinggalan ayah dan ibunya. Ayahnya
yang saya panggil Wa Anis, seorang tukang kayu, telah lama meninggal dnuia,
begitu juga ibunya, Wa Diah, seorang wanita cekal berasal dari Sebangan,
Sarawak. Usia abang Lihi sekarang tujuh puluh tiga tahun, sepuluh tahun lebih
tua dari saya. Rumah asal telah dirobohkan beberapa tahun yang lalu. Sebuah
rumah yang sangat usang dan tidak memerlukan masa lama untuk menyembah bumi.
Hasil usaha Ketua Kaum Kpg Semarang
sebelum ini, sdr Oton, sebuah rumah telah dibina buat abang Lihi di bawah
projek PPRT Kerajaan. Sebuah rumah yang selesa, sesuai dan dan sederhana untuk
dia menghabiskan sisa-sisa usianya. Isteri Bang Lihi telah meninggal dunia beberapa
tahun lalu. Anaknya telah berumah sendiri mengikut suaminya. Sesekali ada juga
anaknya menjenguk bang Lihi.
Bang Lihi tidak punya kerja tetap.
Dalam usia melebihi tujuh dekad itu,bang Lihi sesekali akan memasang jaring di
sungai Sarawak . Sungai Sarawak sumber rezeki baginya. Dengan tangkapan ikan
Lundu, baung dan beberapa jenis ikan sungai yang lain, hasilnya cukup untuk
menyara hidupnya yang kini tinggal sendiri dan sepi namun di wajahnya terpancar
ketenangan dan rasa syukur atas apa yang Allah kurniakan kepadanya.
Semasa muda Bang Lihi bekerja sendiri
di kebun getah. Selain menoreh getah di kebunnya pabila harganya baik, bang
Lihi juga bekerja mengambil kayu bakau untuk dijual kepada Tauke yang akan
menjualkannya kepada kontraktor untuk dijadikan kayu cerucuk. Untuk mengambil
kayu bakau, bang Lihi akan mendayung perahu bako milik keluarganaya (sejenis
perahu besar yang boleh memuatkan kayu bakau) menghilir ke sungai Sarawak dan
destinasinya agak jauh. Antara tempat yang pernah saya ingat yang menjadi
destinasi mengambil kayu bakau ialah di Sibu Laut dan sekitarnya. Berpergian
mengambil kayu bakau ini mengambil masa yang agak lama melebihi seminggu. Kerja
sangat berat namun hasilnya cukup untuk menyara kehidupan keluarga.
Satu lagi keistimewaan bang Lihi ialah
kepandaiannya menghasilkan kraftangan. Saya masih ingat di waktu kecil dulu,
saya melihat model perahu layar yang cantik sekali hasil tangan bang Lihi. Jika
kemahiran begitu diteruskannya saya jangka hasilnya boleh mendatangkan
pendapatan yang baik buatnya namun saya kira mungkin dia sudah hilang minat
membuatnya sekarang.
Apa yang paling saya ingati tentang
kehidupan di kampung masa lalu ialah aktiviti waktu malam para penduduk. Tidak
banyak hiburan masa itu, kecuali mendengar siaran radio dan melihat wayang di
panggungidak melakukan kedua-dua aktiviti itu, maka jiran akan datang berziarah
di rumah untuk bersembang dan berunding tentang kerja sambil minum kopi. Rumah
sentiasa terbuka buat jiran dan saudara berkunjung. Saya dan Pak saudara saya,
Allahyarham Pk Su Bujang Matakip memang kerap keluar malam berkunjung di rumah
saudara kami termasuk rumah bang Lihi.
Kunjungan saya ke rumah Bang
Lihi di kampung semarang pagi ini mengingatkan saya pada masa lalu. Sekarang kunjung-mengunjung jarang berlaku seperti masa lalu. Sikap dan makna kejiranan sekarang berbeza
dengan masa lalu. Hari ini individualistik lebih menonjol. Saya kira mengingati masa lalu sedikit sebanyak mengembalikan ingatan kita pada masa yang
indah dan sangat kita hargai nilai budinya dengan penuh harapan kita dapat
kembalikan semangat kejiranan seperti masa lalu.
Bang Lihi ketika berusia 14 tahun (1957)
Bang Lihi bersama sepupunya dari Sebangan Sarawak
Bang Lihi di sebelah kiri saya dan cucunya di sebelah kanan saya