Tuesday, July 19, 2016

KEHIDUPAN DI KAMPUNG PULO HILIR KUCHING (17) - CIKGU LILIAN TAY



1963

Wajah semasa di sekolah menengah (1967-1971)


 Pulo District Council School tahun 60an

 
SELASA, 19 JULAI 2016

Seingat saya ketika itu saya berada di dalam darjah 3 Sekolah Rendah Pulo (dulu dikenali sebagai Pulo District Concil School), dalam tahun 1963. Seorang guru melapor diri di sekolah kami, cikgu Lilian namanya, dari kaum Bidayuh jika saya tak silap dan suaminya seorang berbangsa Cina.

          Cikgu Lilian ditugaskan sebagai guru kelas kami, mengajar kami bahasa Inggeris. Itu yang saya ingat. Mungkin juga ada mengajar mata pelajaran lain. Dia berbadan kecil, kurus dan berkaca mata. Suara agak tajam dan apabila dia meninggikan suara boleh membuat kita kecut dan hendak berlari keluar dari kelas. Ya, saya cuba menggambarkan betapa cikgu Lilaian ditakuti oleh semua murid di kelas kami.
          Di tangannya ada rotan yang sentiasa digunakan untuk merotan siap jua yang tidak menjawab soalannya atau silap dalam menjawab soalan. Bukan saya kata saya bijak tapi ketika itu, saya banyak kali terlepas dari rotan kerana memberi jawapan yang betul.
          Suatu hari kami belajar bahasa Inggeris dan dikehendaki mengikuti siaran untuk sekolah yang disiarkan oleh Radio Sarawak masa itu. Setelah mendengar dengan teliti siaran kami akan ditanaya dengan soalan berdasarkan siaran radio tadi.Bayangkan kita mendengar radio yang suaranya agak kacau dan tidak baik siarannya lantaran radio yang digunakan bukanlah sebaik yang ada sekarang. ia hanya jenis radio transistor berkuasa bateri.
          Cikgu bertanya soalan dan seorang demi seorang murid murid menjawab tetapi salah. Ada yang memang tak boleh menjawab pun.Setiap murid yang gagal menjawab akan dirotan dengan sebatang kayu pembaris. Hayunannya agak keras. Ada murid yang benjol di kepala. Tiba giliran saya, saya tak tahu jawapan yang tepat kerana tidak dapat mendengar dengan jelas siaran radio. Satu hayunan terkena di lengan saya. saya kira itu pertama kali saya dipukul.
          Saya menahan tangisan. Tanpa dilihat cikgu saya keluar dari kelas dan pergi ke pejabat guru besar. Guru Besar ketika itu Allahyarham cikgu Othman Ali. Jika saya tak silap rumah cikgu terletak di tebing sungai Bintangor. Cikgu Othman sangat baik pada saya. Dia tiada di pejabatnya tapi sedang mengajar di kelas lain. Saya masuk ke kelas itu sambil menangis saya beritahu cikgu Othman saya ingin berpindah ke sekolah lain kerana tidak tahan belajar dalam suasana begitu.
          Cikgu Othman tenang mendengar aduan saya . Dia benarkan saya balik ke rumah hari itu. Saya tak pasti apa terjadi selepas itu kerana saya terus kembali ke rumah dengan harapan saya dapat dipindahkan ke sekolah lain.
          Keesokan harinya saya hadir kembali ke kelas saya. Cikgu Lilian memandang arah saya dan berkata, " Ooo semalam awak buat aduan ya?" Saya senyap. Anehnya dia tidak berkata apa-apa atau tidak juga memarahi saya. Saya kembali tenang dan mendengar setiap apa yang diajar dengan tekun.
          Hari berlalu dan saya terus juga bersekolah di situ. Saya tidak berpindah kelas. Saya cuba menahan keperitan bersemuka dengan cikgu Lilian dan mengelak dari dimarahi atau dipukul dengan belajar bersungguh-sungguh agar dapat memberi jawapan yang betul untuk mengelak diri dari terkena pukulan cikgu.
          Tahun bertukar saya masuk darjah empat. Kami dapat guru kelas baru. Cikgu Lilian tidak mengajar kami lagi. Dia mungkin ada mengajar kami tapi untuk satu subjek sahaja. Dunia saya kembali tenang dan ceria.
          Tahun 1967 saya ke sekolah menengah, belajar di SMK St Thomas (ketika itu sebuah aided school). Setiap hari akan ke sekolah menggunakan perahu tambang untuk menyeberangi sungai Sarawak. Suatu hari saya bertemu cikgu Lilian dan kami berada di dalam perahu yang sama. Cikgu pulang dari mengajar. Saya menegurnya dengan bahasa yang elok seorang murid terhadap gurunya dengan berbahasa Inggeris, penuh yakin kerana sudah berada di sekolah menengah. Dia memuji saya kerana dapat menyambung persekolahan ke sekolah menengah sambil berkata bahawa setiap apa yang dia lakukan dulu bukan apa tapi untuk melihat muridnya berjaya.
          Dan saya sebenarnya bersetuju dengan cikgu Lilian. Tanpa didikan kerasnya saya mungkin akan menjadai murid yang lembik dan malas. Tidak saya gambarkan apa akan berlaku jika apa yang saya dan teman-teman alami itu berlaku hari ini. Saya kira akan pasti wujud isu keagamaan, perkauman dan isu guru yang akan dihukum kerana memukul murid. Tidak di zaman saya. ibu bapa kuat menyokong guru. Anak yang cuba melapor kepada ibu bapa kekasaran guru akan menerima padah bukan pembelaan bapa. Mungkin rotan yang akan dihayun kepada anaknya. Begitu ibu bapa meyakini dan mempercayai guru.
          Cikgu Lilian berbangsa Bidayuh mengajar di kampung orang Melayu di seberang sungai Sarawak tidak pernah khuatir disakiti atau dianiaya oleh orang Melayu. Dia yakin dia seorang guru yang berdedikasi dan ingin melihat hasil atas setiap pengajaran dan pembelajaran itu. Orang kampung juga tidak mendendami guru yang berlaku kasar kerana tahu mereka mendidik anak - anak supaya menjadi generasi yang berguna.
          Hampir lima puluh tahun berlalu. Saya terkenangkan jasa cikgu Lilian Tay(gelaran selepas berkahwin dengan pemuda Cina). Saya tidak pernah menemuinya selepas itu. Saya doakan dia dipanjangkan usia dan hidup dengan bahagia bersama keluarganya. Ada sesiapa yang mengenali cikgu Lilian Tay dan di mana dia berada sekarang?