Every day of your life is a page of your history..mutiara kata Arab
Thursday, May 22, 2008
KEHIDUPAN DI KAMPUNG PULO HILIR KUCHING - PENGENALAN
Sunday, May 11, 2008
RISAU JAIS TENTANG LENTERA KEMANUSIAAN YANG SEMAKIN BALAM
[Tulisan ini dibentangkan pada majlis Bicara Karya kerjasama antara Dewan Bahasa Dan Pustaka Cawangan Sarawak dan Persatuan Karyawan Sastera Sarawak (PEKASA) pada 22 Mei 2008 di Balai Budaya Dewan Bahasa Dan Pustaka Kuching Sarawak.]
BERTANDANGLAH KE DALAM HATI : JAIS SAHOK
RISAU JAIS TERHADAP LENTERA KEMANUSIAAN YANG KIAN BALAM
Oleh: PHARO BIN ABDUL HAKIM @ PENABAHARI
KATA Robert Frost, puisi bermula dengan keseronokan berakhir dengan kebijaksanaan. Benar sekali kata-kata itu, kerana kalau puisi tidak menghiburkan, tentu ia akan tinggal terperosok di sudut almari mengutip debu–debu yang berterbangan, lantas akan memberi ruang kepada lelabah menganyam sesawangnya. Dan benar juga katanya, kalau puisi tidak membijaksanakan pembacanya, ia akan tinggal sebagai satu hiburan semata-mata, seperti hiburan di kaca television yang kita tontoni setiap detik dan ketika.
Puisi ditulis atas desakan hati.
Atas desakan, tolakan dan kerisauan yang mengganggu fikiran, penyair saudara Jais Sahok (JS) bertungkus lumus menghasilkan sebuah antologi puisi kemanusiaannya, Bertandanglah Ke Dalam Hati (BkDH) dan dengan dokongan teman-temannya, telah menerbit sendiri antologi ini untuk disampaikan kepada masyarakat betapa gelodak minda dan jiwanya melihat kemanusiaan tidak diberi pembelaan sewajarnya oleh golongan yang bernama manusia yang sepatutnya punya perasaan kemanusiaan.
JS melihat setiap detik kehidupan, manusia hari ini terus-terusan menghakis nilai kemanusiaan dari setiap sudut dan ruang. Manusia lebih menyayangi makhluk lain, selain makhluk manusia itu sendiri. Duka yang menyelubungi kehidupan segelintir manusia
Dalam menempuh kerumitan dan kesukaran, golongan manusia yang miskin dan terpinggir terus menjadi lambang kegagalan ekonomi ciptaan manusia. Golongan manusia yang kaya terus kaya dan yang miskin bertambah teruk miskinnya. Itu hakikat hidup masyarakat kapitalis dan kita sebagai sebahagian daripada masyarakat itu perlu akur terhadap peraturan yang kita bina bersama. Kita perlu terima suasana dan panorama tragis ini kerana inilah hasil sistem ekonomi ciptaan manusia.
Tidak dinafikan, ada golongan manusia terus berusaha untuk merobah keadaan masyarakat miskin namun golongan yang taksub akan kekayaan tanpa memikirkan nilai-nilai kemanusiaan, tetap mengatasi bilangan manusia yang punya kesedaran. Maka lahirlah masyarakat kapitalis menjadi kebanggaaan barat.
Lalu apakah langkah dan tindakan yang harus diambil untuk membantu masyarakat mengatasi kemiskinan? Siapakah yang harus memikul tanggungjawab ini? Siapakah yang mahu tampil ke hadapan membantu manusia miskin menentang kemiskinan? Kerajaan dan agensi-agensinya yang masih tersesat di dalam rimba birokrasi ? NGO? Golongan Korporat? Kapitalis perut buncit? Bukankah usaha ini tanggungjawab bersama? Apakah peranan dan golongan penulis, sasterawan dan seniman? Bolehkah atau lebih tepat lagi, mahukah mereka melakukan sesuatu dengan bakat dan kebolehan yang ada dalam mengatasi kemelut kemanusiaan ini? Apapun jawapan yang ada pada anda, usaha perlu digembleng segera. Tidak patut wujud manusia miskin di bumi yang telah dilimpahi dengan kekayaan ini.
Baru-baru ini saya berpeluang menatap antologi puisi BkDH tulisan (JS). Antologi ini diterbitkan dengan tujuan untuk membantu pelajar daif yang amat memerlukan bantuan. Hasil jualan antologi BkDH ini akan digunakan untuk membantu pelajar-pelajar yang amat memerlukan bantuan untuk meneruskan proses pembelajaran mereka.
Pada mukadimah antologi ini JS menjelaskan bahawa usaha menerbitkan antologi puisi ini dilakukan setelah beliau gagal dalam usaha mendapatkan bantuan daripada sebuah badan kerajaan untuk seorang pelajar tunakerna. Saya petik kata-kata JS:
“Paling redup emosi saya serta beku sistem kognisi dan getar seluruh saraf saya adalah apabila seorang ibu kepada seorang pelajar di sekolah saya (Tingkatan 4) membawa pulang sepucuk
Saya mengerti perasaan manusia seperti JS. Penulis, lebih lebih lagi penyair, jiwanya mudah terluka, emosinya mudah tersentuh apabila melihat kesedihan yang datang melanda masyarakat.
Hasil jualan antologi puisi BkDH ini digunakan bagi membantu seorang pelajar pekak membeli alat pendengaran yang dianggar bernilai RM1,600.00 sebelah. Sesungguhnya penerbitan antologi puisi BkDH ini merupakan satu langkah kemanusiaan yang harus dicontohi bukan sahaja oleh golongan penulis tetapi oleh mereka yang berupaya, termasuk ahli korporat, teknokrat dan bangsawan. Paling kurang, berilah bantuan dengan membeli senaskhah antologi ini sebagai tanda sokongan kepada projek yang murni ini. Tetapi jika mampu, apa salahnya membeli sepuluh atau seratus naskhah untuk dibaca oleh teman-teman, sahabat handai atau dijadikan cenderadurja untuk rakan niaga yang datang menjenguk.
Seperti kata JS:
Apabila JS memulakan usaha ini dengan menulis tentang kemanusiaan, kemudiannya hasil yang diperoleh daripada jualan antologi ini untuk tujuan kemanusiaan, beliau menghantar satu mesej jelas bahawa masih ada duka menyelubungi segelintir insan yang terperosok di sudut
Di
Melalui antologi BkDH ini JS mengupas tema manusia dan kemanusiaan dalam cerita yang pelbagai. Bagi JS puisi adalah suara hati budi dianyam menjadi nyanyi untuk dimengerti isi dan lontaran emosinya. Puisi merupakan saluran bagi JS meluahkan kepekaannya terhadap masalah masyarakat sekelilingnya, masalah sosio-politik dan ekonomi bangsanya. Dia prihatin terhadap keadaan masyarakat sekelilingnya.
Bagi JS puisi itu bicara ..dari di hujung rasa, menagih simpati..(Bicara di Hujung Rasa, m.s. 21). Saya amat mengerti rasa hati manusia bernama Jais Sahok, cukup prihatin dan cukup tersentuh hatinya melihat duka yang berada di depan mata. Saya percaya inilah suara hatinya. Dan saya yakin JS benar-benar ikhlas dalam membela manusia dan kemanusiaan yang menghadapi pelbagai dugaan dan rintangan ini.
Sebagai seorang pendidik, JS banyak terdedah kepada keadaan masyarakat sekelilingnya, yang memberi beliau gambaran kepincangan sebahagian masyarakat
Melalui puisi Gadis Batu Kawa , JS menulis tentang kemiskinan dan kelaparan yang menghantui seorang gadis yang bercita-cita menjadi seorang pendidik.
Kata JS: di tengah belantara kota/ hidupmu sandiwara/ kegelapan mengusikmu di bawah kegelapan kilauan neon/ …../ kau merintih pedih/ perutmu sejak kelmarin/ disentap kelaparan.
Siapakah gadis Batu Kawa yang keliru di lembah kehidupan bersama ayah yang payah ini. Dia memerlukan pembelaan untuk menggapai hajat dan cita-cita. Dia pasti memerlukan bantuan. JS tidak ingin melihat Gadis Batu Kawa disentap kelaparan. JS melontarkan suasana masyarakat untuk masyarakat menilai dan berfikir, dan ini satu cabaran kepada masyarakat untuk melakukan pembelaan sepatutnya.
Di dalam puisi Gadis di Jendela, JS melakarkan perjuangan dan duka seorang gadis tujuh belas tahun menghadapi kehidupan yang serba kekurangan. Saya percaya tulisan JS ini bukan sekadar sebuah puisi syok sendiri tetapi sebuah cerita manusia yang benar berlaku, dipapar menjadi puisi, untuk kita tatapi dan insafi:
Gadis di jendela/ masih mentafsir kehadiran diri/ dari semalam bapa masih tidak pulang/ untuk membawa sesuap nasi/ dan dia perlu mengemis untuk/ kekenyangan diri/ sedang ibu masih berlagu rindu/ kelak…akan terus ke sekolah/ gadis di jendela/ menitiskan air mata.
Jika suasana kelaparan wujud sekitar tahun enam puluhan, mungkin juga boleh diterima, tetapi tidak sekarang. Kelaparan tidak perlu dan tidak harus wujud di negeri yang dilimpahi nikmat kesenangan dan kekayan yang meruah. Jika wujud juga kelaparan tentu sekali ada yang tidak kena. Gadis Di Jendela melakarkan kewujudan masyarakat yang masih pincang ini.
Kedua-dua puisi ini merupakan pengalaman yang dilalui JS semasa berada di sekolah. Bukan cerita kreatif untuk menghiburkan manusia tapi suatu kebenaran,suatu realiti di kota taman, betapa duka dan luka masih menghimpit sesetengah insan di tengah-tengah masyarakat yang hidup dilimpahi kemewahan dan keseronokan. Dan bukankah puisi itu ditulis untuk menceritakan kebenaran. Itu yang JS lakukan. BkDH ini merupakan luahan hati seorang penyair untuk membijaksanakan masyarakatnya. Benar seperti kata Robert Frost awal tadi, puisi bermula dengan keseronokan berakhir dengan kebijaksanaan.
Betapa sendu menguasai diri JS apabila melihat kemanusiaan yang semakin merana seperti dilafaznya melalui puisi Ada Ketikanya:
Ada ketikanya/ aku sudah sedia/ untuk mengucapkan sayonara/ kepada alam maya/kerana diruntun seribu kecewa/ kemanusiaan yang makin merana
Walau bagaimana perit dan sedih yang dirasai, tindakan pembetulan perlu diambil untuk mempastikan nilai kemanusiaan terus segar dan dipupuk kerana manusia yang dicipta Tuhan punya keistimewaan yang tidak dimiliki oleh makhluk lain. Begitu harapan JS seperti dinyatakannya melalui puisi Dari Runtuhan Perasaan :
dari runtuhan perasaan/ kita dirikan tugu kesedaran/ dari nurasa pendidikan/
dan kegagahan pendirian/ kita ajak semua keturunan/ menanam azam ketuanan/ di sini wajah anak watan/ kita lakar bersama keinsafantuhan mencipta kita penuh keistimewaan.
Sebagai makhluk Tuhan yang dicipta dengan penuh keistimewaan, punya pendidikan dan memiliki pendirian kukuh, JS berharap dapat memainkan peranan
membina sebuah nusa untuk semua kaum yang mempamerkan masyarakat hidup dengan penuh keinsafan. Sayangnya manusia lebih senang bersengketa dari mempertahankan kemanusiaan. Sengketa terus-terusan menyelubungi bumi demi kuasa, demi nama dan demi apa sahaja kecuali kemanusiaan. Perhati rintihan JS dalam puisinya Keluhan: Sudah berapa kali kunyataka/ dari hujung resah ini/ kasihan melihat persengketaan/ antara mereka yang belum selesai…
Apakah kita hanya boleh kasihan melihat persengketaan yang menyebabkan krisis kemanusiaan? Kata JS:
Sudah berapa kali kuucapkan/ ke telinga mereka yang bersengketa/ bahawa Tuhan murka kerana angkara
Penyair hanya boleh meluahkan rasa kesal dan sayu hatinya melalui puisi. Tetapi untuk didengari adalah sesuatu yang sangat sukar. Mungkin pihak yang berkuasa lupa bahawa Tuhan itu wujud. Apa yang berlaku membuat JS amat kecewa sekali terhadap sengketa yang enggan reda. Kekecewaan dan kehampaan diucapkan melalui luahannya:
…nafas kemanusiaan akan kecewa/ bersama sengketa sesama manusia.
Di mana-mana kita ketemu krisis kemanusiaan yang kian menjadi–jadi. Duka dan luka yang menyelubungi manusia dan kemanusiaan seperti yang berlaku di bumi Lubnan, menyentap emosi JS. Kekesalan dan kesedihan yang dialaminya terpancar melalui puisi, Lihatlah Mereka. Kata JS:
Dinding-dinding kemanusiaan/ ..…/ ranap sekelip mata/ meninggalkan serpihan tak bermakna.
Setiap krisis dan tragedi kemanusiaan yang berlaku ada jiwa yang akan sengsara, ada hati yang merana. Dalam puisi ini JS melihat:
Seorang gadis kecil/ …/sudah kekeringan air mata/ …./ ..…/ diajar menjadi dusta/ oleh manusia berjiwa sengsara
Dan semestinya penzalim tidak akan membiarkan manusia dan kemanusiaan tenteram. Kelaparan dan kesengsaraan mula menghampiri masyarakat yang didera oleh mereka yang berkuasa. Kata JS:
Antara duka dan tawa/ Perut kosong berkeroncong/ Belum dijamah sesuap nasi/ sebutir gandum terlalu mahal
Melihat kesengsaraan dan penderitaan yang berlaku di bumi Lubnan ini, JS menginsafi kita betapa kenikmatan dan kebahagian dapat kita rasai di tanah air tercinta ini seperti penutup puisi ini:
Betapa nikmatnya kedaulatan/ sebuah negara merdeka/ hidup bahagia/ seperti di Malaysia.
Seperti juga penyair lain, JS cepat tersentuh oleh apa yang ditatapinya melalui mata zahir dan hatinya. JS amat kecewa terhadap manusia yang tidak menghargai alam ciptaan Tuhan. Manusia juga tidak menghargai keistimewaan dan kekuasaan yang telah diberikan Tuhan kepada mereka. Manusia tidak melakukan pembelaan terhadap manusia dan kemanusiaan dan ini ditulis dengan bermetoforakan sungai Sarawak yang begitu historis dan indah. Kata JS dalam puisinya, Sungai Sarawak: Kepadamu Kutulis Surat Cinta (Sungai II):
Surat ini neng,/ untukmu sebatang sungai / bagai madah pujangga/ seorang warga yang kecewa/dan terperosok lara/ di hujung belantara/ merintih dan kekadang sedih/ tangisan di hujung suara anak merdeka.
Apakah manusia masih tidak sedar tentang kemelaratan yang berlaku ‘di hujung belantara’? Mengapa masih dibiarkan mereka yang berada di hujung belantara ini merintih sedih. Bukankah suara tangisan itu suara anak yang sudah merdeka? Apakah nilai merdeka itu? Manusia memang tidak pandai menghargai erti kemanusiaan. Khazanah bangsa yang sedia ada dimusnahkan demi untuk melengkapi “kehodohan” mereka. Lihat bait kedua puisi di atas:
Kalaulah kita, neng,/Maksudku…, kau dan aku/ Menjaga khazanah kita/ Tidak akan perit perut dan dasarmu.
Sayang sekali manusia tidak memandang kepada kesejahteraan alam dan manusia. Tindakan manusia telah membuat sungai Sarawak:
bermandi najis/ dan daki pembangunan/ …
JS benar-benar berharap”tangisan” akan merobah segala payah dan resah . JS berharap semoga apa yang diluahkan melalui puisi ini dapat dimengerti oleh manusia yang berkuasa. Dengan memahami luahan hatinya, diharap manusia mengerti dan kemanusiaan boleh kembali segar di dalam kehidupan seharian kita:
Menangislah neng, sayang/ Agar titis air matamu/ Akan bersalut madah simpati/ Warga yang mudah mengerti.
Dalam Warkah Cinta Untuk Sungai Sarawak (Sungai III) kita dapat menyelami jiwa JS yang dipenuhi dengan cinta kepada alam, yang saya percaya merupakan perlukisan cintanya terhadap manusia dan kemanusiaan. Di dalam puisi ini JS menulis tentang cintanya pada Sungai Sarawak tapi sayang sekali cintanya telah diganggu gugat oleh manusia dari seberang / berlumba-lumba hendak menjadi kaya. Akibatnya Ada duka lara yang menghiris dada / hingga menangis hati kita.
JS amat kecewa sekali ketika melihat kemanusiaan yang semakin merana. Dalam puisinya Ada Ketikanya, JS meluahkan kekecewaannya itu seperti katanya:
Ada ketikanya/ aku sudah sedia/ untuk mengucapkan sayonara / kepada alam maya / kerana diruntun seribu kecewa/ kemanusiaan yang makin merana
Namun kekuatan kembali di hatinya apabila mengingati bahawa kita masih punya Allah Azzawajalla, yang tentunya akan mengembalikan keyakinan dan kesungguhan bagi manusia yang beriman.
Masalah kemanusiaan berlaku di mana-mana merentasi sempadan geografi. Dalam kertas kerjanya bertajuk Siapakah Penyair di Tengah-tengah Pergelutan Kebudayaan yang dibentangkan semasa Hari Puisi Nasional ke- XVI, Dato’ Haji Baharuddin Zainal menyatakan: “Dunia penyair itu luas semesta alam. Kemanusiaan tidak terhenti di sempadan negaranya. Namun sentimen kesetiaannyatumbuh berakar di bumi kebudayaan dan masyarakat yang memupuk kalbunya”. Lantas penyair menatap kemanusiaan yang diusik manusia akan merasai pedihnya.
Atas pengalaman yang pedih ini penulis akan meluahkan perasaan dan emosinya melalui puisi. Dalam puisinya bertajuk Bisikan Untuk Pak Harto, Penyair JS merasai penderitaan yang dialami oleh Pak Harto. Yang dilihatnya, penagih wang menadah tangan / untuk setitis susu manis / dan sesuap nasi basi. Ini berlaku kerana kesilapan manusia sendiri seperti jelas JS, menderitai kesilapan pentadbiranmu.
Pengalaman kehidupan di muka bumi ini banyak memberi idea kepada JS melahirkan puisi yang perlukisan duka manusia di segenap pelosok daerah yang dijejaki. Dalam puisinya, Rintihan Beringin, JS menceritakan derita yang ditanggung oleh anak-anak Madura, korban sengketa antara etnik satu ketika dahulu. Dalam keadaan rezeki dan makanan yang melimpah ada anak-anak kelaparan. Kata JS, Limpahan rezeki mengisi meja/…./di luar sana ada anak madura sisa sengketa/…/ lapar dan dahaga.
Ia satu perlukisan panorama yang amat menyedihkan. Panorama kehidupan yang pernah ditatapi dan sering mengganggu jiwanya. Begitulah jiwa penyair dan seperti kata Dato Baharuddin Zainal, “setiap penyair pada hakikatnya adalah individu, peribadi, atau orang perseorangan yang mempunyai diri (self) dengan perasaan, emosi dan fikiran. Lebih daripada itu dia memiliki sejarah masa lalu, dan dalam fikirannya ada impian untuk jadi apa pada masa depan. Pengalaman-pengalaman masa lalu banyak bersemadi dalam ingatannya lalu membentuk watak dirinya.”
Kemanusiaan sudah semacam begitu serasi dengan JS. Tema kemanusiaan sentiasa digarap untuk hayati dan difahami setiap kata yang dibentuk, tersurat dan
tersirat. Kepada penyair-penyair, JS percaya mereka akan bersama-sama membela nilai kemanusiaan melalui tulisan mata pena masing-masing untuk memberi kesedaran dan peringatan kepada masyarakat tentang kemanusiaan. Seperti kata Datu Dr. Adi Badiozaman Tuah di dalam kertas kerjanya yang dibentangkan sewaktu Perkampungan Penulis Sarawak 2002, “Satu daripada tugas utama para seniman adalah untuk memakrifatkan (enlighten) dan menyeri dan menerangi (illuminate) kehidupan manusia di bumi yang fana ini. Penyair harus lebih berupaya, meskipun ketika berdepan dengan kebobrokan dan keruwatan masyarakat dan persekitarannya, untuk melihat dan menebarkan cahaya keinsanan dan harapan kepada pembacanya.” (Mencari Kemanusiaan dan Warna Alam Dalam Cerita Sebuah Rumah Kaca (Hipani Alwi): Satu Pembicaraan Awal.
Dalam puisinya, Sebatang Pena Untuk Penulis, JS melakar kata-kata berikut: terimalah sebatang pena / untukmu melakar erti / kemanusiaan di ruang rasa /. Tambahnya lagi, tulis juga tentang hati dan budi/ agar teranyam nilai kemanusiaan.
Benar apa yang dilakarkan JS dalam puisi ini. Kata Dato’Baharuddin Zainal terhadap seorang penyair, “ sebagai individu dia hidup dalam konteks sosialnya yang juga mempengaruhi dirinya melalui nilai-nilai dan norma-norma masyarakat tersebut. Terhadap masyarakatnya dia mempunyai tanggungjawab untuk menyumbang kepada suatu kebudayaan yang baik, yang indah dan manusiawi, dan yang merumahakan persediaan-persediaan rohaniah di mana akhirnya manusia itu akan bersemadi di akhirat nanti.”
Pengalaman JS bersama golongan OKU juga memberi kesan kepada dirinya dalam menghasilkan puisi yang mendendangkan tentang manusia dan kemanusiaan. JS biasa sekali berinteraksi dengan pelajar-pelajarnya dari golongan istimewa ini. Hasilnya JS mencurahkan isi hati dan emosinya melalui puisi, Dari Dalam Tangisnya.
Tulis JS: Dari gerak hatinya/ terpancar rayuan, gu../ bawalah daku ke alam ilmu/ Gu,..peganglah jari jemariku/ kuingin menulis sepertimu/ peganglah tanganku/ tarik roh dan sanubariku/ aku ingin pandai sepertimu.
Antologi Puisi BkDH nukilan JS ini dihasilkan dengan penuh keinsafan tentang nasib segelintir masyarakat yang tidak begitu baik. Golongan yang dhaif tetapi mempunyai keinginan kental perlu mendapat pembelaan sewajarnya oleh semua pihak yang mendukung nilai-nilai kemanusiaan. Jejak langkah JS memberi pembelaan terhadap golongan miskin dan kurang keupayaan ini harus menjadi contoh untuk diikuti dalam perjuangan para penyair.
Untuk puisi menjadi sebuah puisi ia harus melampaui kata-kata, dan untuk menjadi penyair dia harus melampaui dirinya - menjangkau dan menjelajah jauh di sebalik kenyataan-kenyataan sosial, ekonomi dan politik di depan matanya, begitu tulis Dato’ Dr. Baharuddin Zainal dan saya amat bersetuju dengan kenyataan itu. Antologi puisi BkDH tulisan JS bukan sekadar puisi mengungkap masalah kemanusiaan, penerbitannya adalah suatu langkah kemanusiaan yang patut diberi penghormatan dan dokongan sewajarnya oleh setiap insani.
Sebagai mengakhiri tulisan ini, saya petik apa yang ditulis oleh JS di dalam puisi terakhirnya di dalam antologi BKDH untuk kita renungi bersama:
Neng,
Bertandanglah ke dalam hati
Dengki tidak pernah mengajar kita erti baik hati.
Rujukan :
1. John Drury. 1991. Creating Poetry. Ohio. Writer’s Digest Books
2. Jeff Mock. 1998. You Can Write Poetry. Ohio: Writer’s Digest Books
3. Dato’ Dr. Ahmad Kamal Abdullah. 2002. Memebentuk Elok Di Teluk Esok (ABIZAI) dan Subuh Yang Lain (DAHIRI SAINI) : Satru Jalinan Tasawwur,Diri, Tamadun & Kemanusiaan.
Kertas Kerja “Perkampungan Penulis Sarawak 2002. 5 – 8 Jun 2002.
4. Adi Badiozaman Tuah. 2002. Mencari Kemanusiaan Dan Warna Alam Dalam Cerita Sebuah Rumah Kaca (HIPANI ALWI): Satu Pembicaraan Awal.
Kertas Kerja “Perkampungan Penulis
Thursday, May 01, 2008
cerpen: MENANTI JUMAAT
JAM sudah pukul dua empat puluh lima petang. Suasana di dalam pejabat tenang sahaja. Hanya sesekali terdengar deringan telefon. Kakitangan pejabat kelihatan begitu tekun membuat kerja masing-masing. Dari ar muka mereka terpancar harapan yang tinggi. Semua menanti jam empat petang. Hanya tinggal satu jam suku lagi.
Apakah yang akan beliau lakukan? Masalah sekarang agak rumit. Kalau tersilap langkah buruk padahnya. Ini bukan masalah yang boleh dipandang ringan. Ini bukan lagi masalah kecil tapi masalah besar yang mesti ditangani dengan bijaksana. Ini masalah survival. Jika tersilap langkah, ia boleh menjahanamkan segala yang telah dibina begitu lama termasuk masa depan beliau sendiri.
Kewibawaan beliau berada di persimpangan. Tapi aku yakin, beliau tidak akan melakukan kesilapan. Beliau tidak akan mengecewakan semua orang. Beliau belum pernah mengecewakan sesiapa lebih-lebih lagi golongan manusia yang sedang bekerja dengan tekun di pejabatku ini.
Rintangan pasti akan dapat diatasi. Jerung-jerung yang sedang berkeliaran menanti mangsa itu tentunya akan dihapuskan. Cukuplah apa yang telah berlaku setakat ini.
Petang jumaat ini cukup istimewa dan bersejarah. Seluruh negara ingin melihat reaksi dan tindakan bijak manusia ini. Terlalu tinggi harapan seluruh rakyat. Kejahatan golongan borjuis mesti ditentang habis-habisan. Semua orang mesti bangun dan bersatu.
Kejahatan mereka mesti dihentikan. Mereka golongan manusia yang hina dan terkutuk.
Mereka manusia yang tidak bermoral. Mereka ialah golongan manusia yang bertopengkan syaitan. Mereka tidak pernah memikirkan penderitaan yang ditempuhi oleh golongan marhaen akibat perbuatan tidak bermoral mereka.
"Encik Haris, penyata penyesuaian bank untuk akaun No 2 telah siap. Ia telah diseimbangkan dengan buku tunai. Akaun No. 1 pula memerlukan sedikit masa. Saya melihat ada kesilapan yang dilakukan oleh pihak bank. Kemungkinan ada dua tiga transaksi yang kurang tepat. Saya telah mengesan dua transakksi yang mana serahan cek yang kita buat telah terkurang kredit. Mungkin dalam sehari dua lagi akaun itu boleh diimbangkan."
James menyerahkan draf penyata penyesuaian bank yang telah disiapkan. Tangan kirinya sibuk mengusap dahinyayang luas. Sudah terlalu banyak rambut d bahagian hadapan kepalanya yang telah gugur. Wajahnya mirip wajah bekas Perdana menteri Malaysia yang kedua, Tun Abdul razak.
Entah mengapa, terlalu kerap kulihat kakitangan yang mamsih muda begitu cepat keguguran rambut.
Mungkinkah mereka terlalu banyak berfikir? Atau mungkin juga terlalu banyak melihat angka. Entahlah, terlalu banyak kemungkinan.
" James, I nak you concentrate habiskan urusan writeback cek-cek yang telah luput tarikh laku itu dan keluarkan baucar kredit secepat mungkin kepada jabatan-jabatan yang terlibat. Kau perlu juga beritahu mereka supaya jangan menghantar baucar bayaran kepada kita jika mereka belum pasti alamat tetap penerima bayaran. I tak mahu terlalu banyak cek yang kita keluarkan tidak ditunai. Kalau dibiarkan begitu banyak masa kerja dihabiskan untuk urusan writeback. Kau lihat sendiri, berapa hari telah dihabiskan bulan lepas untuk proses penyediaan baucar kredit. Masa tersebut sepatutnya boleh kau gunakan untuk menghabiskan penyediaan penyata penyesuaian bank."
"Dah saya bagi tahu kepada mereka tentang masalah cek yang tak ditunai tu, Encik Haris. Saya rasa pada bulan akan datangmasalah ini tentunya akan berkurangan." James memandang ke arahku. Pembantu Tadbir yang telah berkhidmat lenih sepuluh tahun ini mempunyai raut wajah yang tenang. James sentiasa berpakaian kemas dan sesiapa sahaja yang melihatnya akan rasa senang.
Dalam usianya yang menjangkau 34 tahu, James masih belum lagi berumahtangga. James belum dibebani tanggungjajwab dan masalah rumah tangga.
Tahun 1997 ini terlalu banyak meninggalkan kenangan. yang sedihnya kebanayakn yang berlaku ialah perkara yang memilukan hati dan mendukacitakan. Malah ada yang mencemaskan. Mungkin ini merupakan ujian Tuhan yang maha esa kepada hambaNya.
Tuhan ingin memberi ingatan dan amaran kepada hambanya supaya jangan lupa pada diri dan Tuhan yang mencipata semua makhluk di permukaan bumi ini. Janagan ada yang terlalu bongkak dan sombong di dunia ini. Jangan terlalu mengagung-agungkan manusia. Jangan terlalu mengagung-agungkan pangkat dan kebesaran yang ada. Tidak ada apa-apa yang hendak diagung-agungkan.
Dalam badan manusia itu terdapat najis dan segala jenis kotoran yang akan dikeluarkan ketika tiba waktunya. Alangkah hinanya manusia namun tidak banyak yang sedar hakikat ini. Apa yang dibanggakan manusia tiada nilai di sisiNya.
Hanya amalan yang baik yang akan membawa manusia ke arah kesejahteraan.
Tidak kurang daripada 30 orang bayi yang menjadi korban serangan Coxsackie B. Entah dari mana datangnya Coxsackie B itu. Ibu bapa menangis kesedihan. Mereka kehilangan anak yang dikasihi.Mereka tidak dapat berbuat apa-apa. Hanya doa yang dapat dipohon.
Begitulah manusia. Ketika kesukaran dan penderitaan menjenguk diri, barulah ingat akan Yang Esa. Ketika kesenangan bertandang di dalam kehidupan, mereka lupa menyatakan syukur.
Coxsackie B telah meninggalkan kesan di dalam hati dan sanubari manusia yang mahu berfikir.
Tapi bagi mereka yang sombong dan bongkak dan tidak menerima kekuasaan Tuhan, segala yang berlaku tidak memeberi apa-apa makna kepada mereka. Mereka akan terus lalai. Terlalu sukar bagi mereka untuk menerima petunjuk Tuhan.
Entah di mana silapnya? Belum lama Coxsackie B berlalu satu lagi bahaya datang menjenguk. Bahaya yang dihasilkan oleh manusia sendiri. Seluruh negeri diselubungi a sap tebal yang dihasilkan oleh pembakaran (atau kebakaran?) hutan. Asap tebal yang bergelar jerebu ini datang dan menutupi langit dan juga pemandangan manusia. Lapangan terbang ditutup. Darurat jerebu diistiharkan selama lebih seminggu. Anak-anak tidak dibenarkan ke sekolah. Pergerakan dan aktiviti penduduk negeri agak terjejas.
Apakah yang akan berlaku jika ia berterusan? Entah apa pula penyakit yang dibawa bersama? Seluruh penduduk betul-betul cemas. Tiada tempat bersembunyi. Betapa kerdil dan lemahnya manusia.
Aku betul-betul takut dan cemas. Apakah yang akan berlaku kepada keluargaku? Di hati kecilku tersirat keinginan hendak meninggalkan sahaja tempat ini buat sementara waktu kerana terlalu bimbangkan keselamatan diri dan keluarga.
Tapi ke mana hendak kutuju di saat genting begini? Ke Eropah? Ke Amerika? Tentu sekali aku tidak dapat berbuat begitu.
Aku bukan kaya. Aku juga bukan pengecut yang akan melarikan diri. Kalu aku ditakdirkan mati kerana jerebu, biarkanlah kematian itu datang padaku. Itulah kematian yang bermaruah.
Apalah erti kehidupan yang dihiasi dengan kekosongan budi dan maruah. Tentu manusia akan memandangku dengan pandangan sinis dan jijik. Seluruh hidupku akan diisi oleh kematian sebelum tiba kematian sebenar. Aku mati berkali-kali dalam hidupku. Ah! tak mungkin aku dapat menanggung kehidupan yang mati itu.
"Encik haris, komputer kita buat pasal lagi. Tak tahu mengapa tiba-tiba aja, ia blackout. Saya tengah masukkan data untuk cek yang akan dicetak apabila ia buat pasal.Tak tahu lagi adakah data yang telah saya masukkan tadi masih berada di dalam atau pun hilang begitu sahaja."
" You dah offkan komputer tu?" Ini adalah kali yang keempat komputer pejabat buat masalah. Aku s endiri tak tahu apa sebenarnya yang berlaku. Nak kata Siew Leng yang buat silap, tak mungkin. Siew Leng operator yang berpengalaman tetapi s elalu panik apabila komputer buat hal. Telah kulaporkan kepada pihak penyelenggara tentang masmalah ini namun mereka belum lagi menemui penawarnya.
" Saya sudah offkan komputer tadi seperti yang Bernard nasihati. Kata Bernard tak ada masalah dengan programnya. Mungkin ini hanya masalah hard disk atau hardware. Saya ada buat call kepada Bernard sebelum ini." Siew Leng memandang tepat ke mukaku, menanti reaksiku agaknya.
" OK. Kalau dah off, cuba you onkan kembali. Saya setuju dengan pendapat Bernard tu. Memang tak ada masalah program, ni. Hanya masalah hardware. Tak apalah, nanti saya akan hubungi Bernard lagi dan minta dia tukarkan sahaja hardware yang memberi masalah tu. Tak boleh dibiarkan begini." Siew Leng beralu dari bilikku.
Ketenangan kembali ke wajahnya setelah memberitahuku masalah komputer pejabat. Aku perlu hubungi Bernard lagi. Itu tanggungjawab Bernard. Syarikatnya yang mebekalkan semua peralatan komputer di pejabatku.
Hanya tinggal lima minit lagi pukul empat petang. Kakitangan pejabtku sudah mula bercakap sesama mereka. masing-masing membuat pelbagai ramalan.
Masing-masing mengharapkan berita baik. Aku yakin beliau tidak akan menghampakan semua orang. Keadaan sekarang agak kritikal. Jika tiada penawar yang diberi tentu masalah akan berterusan. Kebijaksanaan amat diperlukan. Beliau mesti mengemukakan penyelesaiannya.
Tepat jam empat petang, hari jumaat, 17 Oktober 1997, doa dibacakan.. Selesai berdoa, majlis bermula. Datuk Seri Anwar Ibrahim, Timbalan Perdana Meneteri Malaysia merangkap Menteri Kewangan berdiri dan membentangkan Belanjawan Negara di Persidangan Dewan Rakyat untuk tahun 1998. Segala strategi dan formula untuk mengatasi kegawatan ekonomi dihuraikan.
Beliau bertindak bijak. Cukai Korporat diturunkan sebanayak dua peratus menjadi dua puluh lapan peratus. Cukai kenderaan mewah dinaikkan. Begitu juga dengan lesen memandu dan yuran pasport. Import jentera berat memerlukan kelulusan Kementerian Perdagangan dan hanya jentera berat yang tidak terdapat di pasaran tempatan sahaja yang boleh diimport.
Peraturan tentang pemilikan rumah oleh orang luar diberi kelonggaran. Semua yang dilakukan ini adalah untuk memberi keyakinan kepada pelabur serta memulihkan kestabilan pasaran saham yang menghadapi waktu-waktu yang tidak menentu.
Ringgit yang jatuh teruk perlu ditangani dengan sebaiki mungkin. Yang pasti import mesti dikurangkan dan eksport mesti dipertingkatkan.
Kulihat wajah-wajah di sekelilingku menunjukkan senyum masing-masing. Terlukis kepasan di hati mereka. James, Siew Leng, Raafar dan Musa tersenyum girang mendengar belanjawan yang telah dibentangkan.
Dalam kegawatan dan kemelut yang melanda negara, aku dan teman-teman masih tetap dihargai dan diingati. Tidak sia-sia penantian pada petang jumaat ini. Menteri Kewangan tidak melupai kami. Kakitangan kerajaan akan menerima bonus sebulan gaji dengan bayaran minimum RM700.00.
Telah lima tahun berturut-turut bonus diberi kepada kakitangan kerajaan termasuk Polis dan Angkatan Tentera. Kami tersenyum gembira. Terima kasih Datuk Seri Anwar!
Utusan Sarawak: 11 Januari 1998