MENANTI JUMAAT
JAM sudah pukul dua empat puluh lima petang. Suasana di dalam pejabat tenang sahaja. Hanya sesekali terdengar deringan telefon. Kakitangan pejabat kelihatan begitu tekun membuat kerja masing-masing. Dari ar muka mereka terpancar harapan yang tinggi. Semua menanti jam empat petang. Hanya tinggal satu jam suku lagi.
Apakah yang akan beliau lakukan? Masalah sekarang agak rumit. Kalau tersilap langkah buruk padahnya. Ini bukan masalah yang boleh dipandang ringan. Ini bukan lagi masalah kecil tapi masalah besar yang mesti ditangani dengan bijaksana. Ini masalah survival. Jika tersilap langkah, ia boleh menjahanamkan segala yang telah dibina begitu lama termasuk masa depan beliau sendiri.
Kewibawaan beliau berada di persimpangan. Tapi aku yakin, beliau tidak akan melakukan kesilapan. Beliau tidak akan mengecewakan semua orang. Beliau belum pernah mengecewakan sesiapa lebih-lebih lagi golongan manusia yang sedang bekerja dengan tekun di pejabatku ini.
Rintangan pasti akan dapat diatasi. Jerung-jerung yang sedang berkeliaran menanti mangsa itu tentunya akan dihapuskan. Cukuplah apa yang telah berlaku setakat ini.
Petang jumaat ini cukup istimewa dan bersejarah. Seluruh negara ingin melihat reaksi dan tindakan bijak manusia ini. Terlalu tinggi harapan seluruh rakyat. Kejahatan golongan borjuis mesti ditentang habis-habisan. Semua orang mesti bangun dan bersatu.
Kejahatan mereka mesti dihentikan. Mereka golongan manusia yang hina dan terkutuk.
Mereka manusia yang tidak bermoral. Mereka ialah golongan manusia yang bertopengkan syaitan. Mereka tidak pernah memikirkan penderitaan yang ditempuhi oleh golongan marhaen akibat perbuatan tidak bermoral mereka.
"Encik Haris, penyata penyesuaian bank untuk akaun No 2 telah siap. Ia telah diseimbangkan dengan buku tunai. Akaun No. 1 pula memerlukan sedikit masa. Saya melihat ada kesilapan yang dilakukan oleh pihak bank. Kemungkinan ada dua tiga transaksi yang kurang tepat. Saya telah mengesan dua transakksi yang mana serahan cek yang kita buat telah terkurang kredit. Mungkin dalam sehari dua lagi akaun itu boleh diimbangkan."
James menyerahkan draf penyata penyesuaian bank yang telah disiapkan. Tangan kirinya sibuk mengusap dahinyayang luas. Sudah terlalu banyak rambut d bahagian hadapan kepalanya yang telah gugur. Wajahnya mirip wajah bekas Perdana menteri Malaysia yang kedua, Tun Abdul razak.
Entah mengapa, terlalu kerap kulihat kakitangan yang mamsih muda begitu cepat keguguran rambut.
Mungkinkah mereka terlalu banyak berfikir? Atau mungkin juga terlalu banyak melihat angka. Entahlah, terlalu banyak kemungkinan.
" James, I nak you concentrate habiskan urusan writeback cek-cek yang telah luput tarikh laku itu dan keluarkan baucar kredit secepat mungkin kepada jabatan-jabatan yang terlibat. Kau perlu juga beritahu mereka supaya jangan menghantar baucar bayaran kepada kita jika mereka belum pasti alamat tetap penerima bayaran. I tak mahu terlalu banyak cek yang kita keluarkan tidak ditunai. Kalau dibiarkan begitu banyak masa kerja dihabiskan untuk urusan writeback. Kau lihat sendiri, berapa hari telah dihabiskan bulan lepas untuk proses penyediaan baucar kredit. Masa tersebut sepatutnya boleh kau gunakan untuk menghabiskan penyediaan penyata penyesuaian bank."
"Dah saya bagi tahu kepada mereka tentang masalah cek yang tak ditunai tu, Encik Haris. Saya rasa pada bulan akan datangmasalah ini tentunya akan berkurangan." James memandang ke arahku. Pembantu Tadbir yang telah berkhidmat lenih sepuluh tahun ini mempunyai raut wajah yang tenang. James sentiasa berpakaian kemas dan sesiapa sahaja yang melihatnya akan rasa senang.
Dalam usianya yang menjangkau 34 tahu, James masih belum lagi berumahtangga. James belum dibebani tanggungjajwab dan masalah rumah tangga.
Tahun 1997 ini terlalu banyak meninggalkan kenangan. yang sedihnya kebanayakn yang berlaku ialah perkara yang memilukan hati dan mendukacitakan. Malah ada yang mencemaskan. Mungkin ini merupakan ujian Tuhan yang maha esa kepada hambaNya.
Tuhan ingin memberi ingatan dan amaran kepada hambanya supaya jangan lupa pada diri dan Tuhan yang mencipata semua makhluk di permukaan bumi ini. Janagan ada yang terlalu bongkak dan sombong di dunia ini. Jangan terlalu mengagung-agungkan manusia. Jangan terlalu mengagung-agungkan pangkat dan kebesaran yang ada. Tidak ada apa-apa yang hendak diagung-agungkan.
Dalam badan manusia itu terdapat najis dan segala jenis kotoran yang akan dikeluarkan ketika tiba waktunya. Alangkah hinanya manusia namun tidak banyak yang sedar hakikat ini. Apa yang dibanggakan manusia tiada nilai di sisiNya.
Hanya amalan yang baik yang akan membawa manusia ke arah kesejahteraan.
Tidak kurang daripada 30 orang bayi yang menjadi korban serangan Coxsackie B. Entah dari mana datangnya Coxsackie B itu. Ibu bapa menangis kesedihan. Mereka kehilangan anak yang dikasihi.Mereka tidak dapat berbuat apa-apa. Hanya doa yang dapat dipohon.
Begitulah manusia. Ketika kesukaran dan penderitaan menjenguk diri, barulah ingat akan Yang Esa. Ketika kesenangan bertandang di dalam kehidupan, mereka lupa menyatakan syukur.
Coxsackie B telah meninggalkan kesan di dalam hati dan sanubari manusia yang mahu berfikir.
Tapi bagi mereka yang sombong dan bongkak dan tidak menerima kekuasaan Tuhan, segala yang berlaku tidak memeberi apa-apa makna kepada mereka. Mereka akan terus lalai. Terlalu sukar bagi mereka untuk menerima petunjuk Tuhan.
Entah di mana silapnya? Belum lama Coxsackie B berlalu satu lagi bahaya datang menjenguk. Bahaya yang dihasilkan oleh manusia sendiri. Seluruh negeri diselubungi a sap tebal yang dihasilkan oleh pembakaran (atau kebakaran?) hutan. Asap tebal yang bergelar jerebu ini datang dan menutupi langit dan juga pemandangan manusia. Lapangan terbang ditutup. Darurat jerebu diistiharkan selama lebih seminggu. Anak-anak tidak dibenarkan ke sekolah. Pergerakan dan aktiviti penduduk negeri agak terjejas.
Apakah yang akan berlaku jika ia berterusan? Entah apa pula penyakit yang dibawa bersama? Seluruh penduduk betul-betul cemas. Tiada tempat bersembunyi. Betapa kerdil dan lemahnya manusia.
Aku betul-betul takut dan cemas. Apakah yang akan berlaku kepada keluargaku? Di hati kecilku tersirat keinginan hendak meninggalkan sahaja tempat ini buat sementara waktu kerana terlalu bimbangkan keselamatan diri dan keluarga.
Tapi ke mana hendak kutuju di saat genting begini? Ke Eropah? Ke Amerika? Tentu sekali aku tidak dapat berbuat begitu.
Aku bukan kaya. Aku juga bukan pengecut yang akan melarikan diri. Kalu aku ditakdirkan mati kerana jerebu, biarkanlah kematian itu datang padaku. Itulah kematian yang bermaruah.
Apalah erti kehidupan yang dihiasi dengan kekosongan budi dan maruah. Tentu manusia akan memandangku dengan pandangan sinis dan jijik. Seluruh hidupku akan diisi oleh kematian sebelum tiba kematian sebenar. Aku mati berkali-kali dalam hidupku. Ah! tak mungkin aku dapat menanggung kehidupan yang mati itu.
"Encik haris, komputer kita buat pasal lagi. Tak tahu mengapa tiba-tiba aja, ia blackout. Saya tengah masukkan data untuk cek yang akan dicetak apabila ia buat pasal.Tak tahu lagi adakah data yang telah saya masukkan tadi masih berada di dalam atau pun hilang begitu sahaja."
" You dah offkan komputer tu?" Ini adalah kali yang keempat komputer pejabat buat masalah. Aku s endiri tak tahu apa sebenarnya yang berlaku. Nak kata Siew Leng yang buat silap, tak mungkin. Siew Leng operator yang berpengalaman tetapi s elalu panik apabila komputer buat hal. Telah kulaporkan kepada pihak penyelenggara tentang masmalah ini namun mereka belum lagi menemui penawarnya.
" Saya sudah offkan komputer tadi seperti yang Bernard nasihati. Kata Bernard tak ada masalah dengan programnya. Mungkin ini hanya masalah hard disk atau hardware. Saya ada buat call kepada Bernard sebelum ini." Siew Leng memandang tepat ke mukaku, menanti reaksiku agaknya.
" OK. Kalau dah off, cuba you onkan kembali. Saya setuju dengan pendapat Bernard tu. Memang tak ada masalah program, ni. Hanya masalah hardware. Tak apalah, nanti saya akan hubungi Bernard lagi dan minta dia tukarkan sahaja hardware yang memberi masalah tu. Tak boleh dibiarkan begini." Siew Leng beralu dari bilikku.
Ketenangan kembali ke wajahnya setelah memberitahuku masalah komputer pejabat. Aku perlu hubungi Bernard lagi. Itu tanggungjawab Bernard. Syarikatnya yang mebekalkan semua peralatan komputer di pejabatku.
Hanya tinggal lima minit lagi pukul empat petang. Kakitangan pejabtku sudah mula bercakap sesama mereka. masing-masing membuat pelbagai ramalan.
Masing-masing mengharapkan berita baik. Aku yakin beliau tidak akan menghampakan semua orang. Keadaan sekarang agak kritikal. Jika tiada penawar yang diberi tentu masalah akan berterusan. Kebijaksanaan amat diperlukan. Beliau mesti mengemukakan penyelesaiannya.
Tepat jam empat petang, hari jumaat, 17 Oktober 1997, doa dibacakan.. Selesai berdoa, majlis bermula. Datuk Seri Anwar Ibrahim, Timbalan Perdana Meneteri Malaysia merangkap Menteri Kewangan berdiri dan membentangkan Belanjawan Negara di Persidangan Dewan Rakyat untuk tahun 1998. Segala strategi dan formula untuk mengatasi kegawatan ekonomi dihuraikan.
Beliau bertindak bijak. Cukai Korporat diturunkan sebanayak dua peratus menjadi dua puluh lapan peratus. Cukai kenderaan mewah dinaikkan. Begitu juga dengan lesen memandu dan yuran pasport. Import jentera berat memerlukan kelulusan Kementerian Perdagangan dan hanya jentera berat yang tidak terdapat di pasaran tempatan sahaja yang boleh diimport.
Peraturan tentang pemilikan rumah oleh orang luar diberi kelonggaran. Semua yang dilakukan ini adalah untuk memberi keyakinan kepada pelabur serta memulihkan kestabilan pasaran saham yang menghadapi waktu-waktu yang tidak menentu.
Ringgit yang jatuh teruk perlu ditangani dengan sebaiki mungkin. Yang pasti import mesti dikurangkan dan eksport mesti dipertingkatkan.
Kulihat wajah-wajah di sekelilingku menunjukkan senyum masing-masing. Terlukis kepasan di hati mereka. James, Siew Leng, Raafar dan Musa tersenyum girang mendengar belanjawan yang telah dibentangkan.
Dalam kegawatan dan kemelut yang melanda negara, aku dan teman-teman masih tetap dihargai dan diingati. Tidak sia-sia penantian pada petang jumaat ini. Menteri Kewangan tidak melupai kami. Kakitangan kerajaan akan menerima bonus sebulan gaji dengan bayaran minimum RM700.00.
Telah lima tahun berturut-turut bonus diberi kepada kakitangan kerajaan termasuk Polis dan Angkatan Tentera. Kami tersenyum gembira. Terima kasih Datuk Seri Anwar!
Utusan Sarawak: 11 Januari 1998
No comments:
Post a Comment