Tuesday, September 02, 2008

ANTOLOGI PUISI "SIMFONI DARI UTARA" MENGGENTA IRAMA SENSITIVITI KEPENYAIRAN YANG MENDALAM - William Chan Khun Neng




Dalam diam-diam para penyair di Bumi Kenyalang ini bergiat menghasilkan puisi mereka. Dan dalam diam-diam juga ada di kalangan mereka yang cukup peka tentang peri pentingnya mendokumentasikan karya-karya tersebut dalam bentuk buku agar pemikiran para penyair tersebut dapat ditatap umum dan kekal dalam khazanah sastera.

Awal bulan lepas hal tersebut terbukti dengan terbitnya sebuah antologi puisi berjudul "Simfoni Dari Utara" yang diselenggarakan oleh Jeniri Amir dan diterbitkan oleh syarikatnya sendiri, JA Communication & Publications.

Buku setebal 96 halaman itu memuatkan 90 buah puisi karya lima orang penyair tempatan yang terdiri daripada Abizai Abi, Hipani Alwi, Nora ii, Pharo Abdul Hakim dan Wilham. Abizai (nama pena yang digunakan oleh Zainal Abidin Suhaili), Hipani Alwi,Pharo Abdul Hakim dan Wilham (Chan Khun Neng) adalah empat orang penyair yang berpangkalan di Mirimanakala Nora ii (Rafaie Ismail) berpangkalan di Bintulu.

Dalam kata pengenalannya Jeniri Amir mnganggap kelima-lima penyair itu sebagai "barisan penyair yang akan turut mencorakwarnakan jalur perkembangan puisi di negeri ini." Menurut Jeniri, tidak banyak nama yang muncul dalam perkembangan dunia puisi di Sarawak sejak awal dekad 80an yang kekal memperlihat kecemerlangan dalam berkarya " mungkin kerana bakat yang tak seberapa dan kerana kurangnya kesungguhan."

Judul antologi dipetik daripada salah sebuah daripada 20 puluh buah puisi karya Pharo Abdul Hakim. "Simfoni Dari Utara" mengungkap minda Pharo yang kritikal, analitikal dan sinis terhadap penghakisan unsur keaslian, kejernihan dan keindahan adat resam, sejarah dan tradisi dalam era pemodenan yang agak rakus. Sesuai dengan latar belakangnya sebagai akauntan, Pharo semacam berpesan lewat beberapa buah puisinya bahawa memelihara keaslian yang jernih merupakan suatu aset bangsa, bukan liabiliti. Bicara sedemikian tersirat lewat sajak-sajaknya seperti "Balada Anak Rimba", "Cerita Sebuah Kota", "Kongkalingkun" dan beberapa buah lagi.

Sajak-sajak Hipani Alwi pula sarat dengan renungan yang tajam yang dilontarkannya sebagai buah fikiran yang amat jernih. Penyair yang berprofesion sebagai jurutera itu jelas menampakkan weltanschaung yang memancing perasaan dan minda pembaca sajak-sajak karyanya itu. Isu apartheid di Afrika, perang ekonomi antara Amerika dan Jepun, Bosnia Herzegovina yang teraniaya -kesemuanya menyentuh sensitivitinya. Diksi yang digunakannya ketara ekonomis dan menepati persoalan yang diungkapkannya.

Pemanipulasian bahasa bukan saja keistimewaan Hipani seorang kerana Abizai Abi juga memiliki kebolehan yang sama. Abizai jelas menampakkan bakat yang amat menjanjikan dan memperlihatkan kebijaksanaannya memilih diksi yang tepat untuk disesuaikan dengan isu yang dibicarakannya. Misalnya, dalam sajak "Peguam" Abizai mengungkap:

antara bukti dan tuduhan
kauraut dengan fikiran pendeta
kauselak kelambu kenyataan
menelanjangi dosa sang terdakwa
agar setiap ombak kesalahan
disambut oleh pantai keadilan.

Jeniri Amir yakin Abizai berkemampuan memintas penyair mapan yang lain yang dianggap melalui era kejumudan.

Rafaiee Ismail, guru yang mengajar di Bintulu dan banyak sekali menghantar karyanya ke beberapa media tempatan, merupakan penyair baru yang menampakkan kegigihan dan bakat yang mengagumkan. Penyair yang memilih nama pena Nora ii ini amat sesitif terhadap persekitarannya sehinggakan persoalan yang diangkatnya dalam karya puisi ada yang tidak mudah diteliti oleh orang lain. Sajaknya "Masjid Baru" melontarkan pertanyaan mengapa ribuan manusia hadir ketika seorang YB merasmikannya sedangkan apabila ustaz undangan berceramah agama pada senjanya, tidak diendahkan.

Dalam antologi ini Nora ii mencoretkan persoalan kekeluargaan (sketsa Seorang Ayah), keagamaan (Surau) dan pembangunan (Tanjung Kidurong! Tanjung Kidurong). Bahasanya jernih, tidak kabur malah amat komunikatif sekali.

Wilham pula mempamerkan identiti tersendirinya lewat sajak-sajaknya yang singkat nada pengucapannya demi mengadunkan pengalaman, fikiran dan renungannya terhadap persekitaran agar timbul kesan keindahan. "Sajak Di Rumah Teres", misalnya, menyoal mengapa para penghuni rumah teres seolah-olah hanya mementingkan pembersihan longkang dan pembetulan pagar yang koyak tapi mengabaikan longkang hati yang dikotori sikap hasad dengki dan membiarkan pagar hati mewujud sikap individualistik. Dia juga hairan bagaimana keakraban dalam persahabatan selalunya kian kental di saat-saat perpisahan tidak sewaktu bersama. Sajak-sajak lainnya mengungkap peri pentingnya kita memerdekakan minda kita dari belenggu sikap negatif, disamping peri pentingnya menghargai nilai kemanusiaan sesama insan.

Buku antologi "Simfoni Dari Utara" ini boleh didapati di JA Communication and Publication di Lot 240, Section 8, Level 2, Jalan Haji Taha, 93400 Kuching. Antologi tersebut merupakan sumbangan mutakhir para penyair Sarawak dalam khazanah sastera di rantau ini dan pastinya amat berguna bagi peneliti dan pengkritik selain pelajar sekolah dan peminat puisi umumnya.

Utusan Borneo
Khamis 11 Syawal 1414.

oleh: William Chan Khun Neng


7 comments:

arsaili said...

salam ramadhan buat saudara jua, semoga kedatangannya kali ini membawa seribu rahmat. Tahniah di atas penerbitan tersebut...selamat berkarya..mungkin bulan yang mulia ini dapat membangkitkan idea untuk terus berkarya

Penabahari said...

Begitu jua buat sr Arsaili. Semoga kedatangan Ramadan memberi sdr inspirasi, keberkatan dan ketenangan yang sentiasa kita harapkan. Salam hormat .

Count Byron said...

Salam Ramadhan my lovely friend. Wow.. i had been away too long. See what i missed? Your collection of puisi.. and the selak kelambu, telanjangi dosa,... beautiful, lovely, scintillating.
May you be happy always my friend Pharo.
Salam to your family.
CB

Please do visit CB in Johor whenever you are here.

Maslina Mahbu @ Armiza Nila said...

Salam hormat,

bang Pharo, dalam diam kitak benar2 berisi - kamek nang salute ngan usaha kitak dan antara penulis puisi yg kamek segani dan gemari adalah kitak.

Jemput berkunjung ke rumah kamek raya kelak.

Tahniah atas antalogi yang terbit.

Em, kamek..entah bila?!

Banyak update blog kitak kmk sik sempat explore - so mintak izin dicetak utk dibaca di rumah.

Adinda Armiza Nila
22 Ramadhan 1428H

Penabahari said...

Salam Ramadan dan selamat menyambut Aidil Fitri yang mulia buat sahabatku CB dan famili. Baru sempat on-line hari ini kerana masalah pc. Anyway thanks for remembering me. Saya pasti akan menjenguk CB di JB in near futute. My son is working at Pasir Gudang.

Penabahari said...

Adinda Armiza,
Terima kasih atas perhatian. Tunggu Antologi persendirian abang yang terbaharu yang akan terbit dalam masa terdekat : BINGKAI WAKTU.
Selamat hari raya maaf zahir batin. Datanglah ke rumah pada hari raya pertama hingga ketiga. Hari raya keempat hingga ke sembilan abang dan isteri bersama Nurul beraya di Sungai Petani.

Count Byron said...

Yes please. Do come over. And Pasir Gudang hanya 45 mins from my house. Selamat hari raya, semoga bahgia menyambut syawal dgn family Pharo
Maaf zahir batin
CB