Sunday, May 24, 2009

KEHIDUPAN DI KAMPUNG PULO HILIR (7)



POLITIK KAMPUNG



Kampung Pulo Hilir pada awal tahun kemerdekaan, dari segi fahaman politik penduduknya, merupakan penyokong kuat Parti Negara Sarawak (PANAS), sebuah parti politik pimpinan Allahyarham Datu Bandar Abang Haji Mustapha, ayahanda kepada Dato’ Abang Haji Abu bakar, mantan menteri Kerajaan Persekutuan Malaysia. Lencana PANAS bercitrakan kepala rusa.

Suatu malam pihak parti lawan, Parti Berjasa mengadakan kempen di rumah salah seorang penduduk kampong Pulo Hilir, Kuching. Banyak sekali orang ternama Sarawak yang hadir untuk berkempen. Yang paling saya ingati, ikut sama berucap malam itu ialah Mantan Mufti negeri Sarawak Allahyarham Datuk Haji Abdul Kadir Hasan.

Penduduk kampong ramai sekali datang hadir untuk mendengar kempen politik Parti Berjasa itu. Suasana malam terasa panas. Panas kerana mereka yang hadir mula berteriak dan mengganggu ucapan. Saya dan teman-teman(ketika itu usia saya sekitar sepuluh atau sebelas tahun) ikut serta bersama orang ramai berlari ke sana ke mari sambil mendengar orang kampung berteriak dengan bahasa yang agak kesat.

Yang paling saya ingat ketika itu, seorang pemidato berkata-kata begini,

“Tuan-tuan dan puan, saya harap saudara-saudara boleh bertenang…”

Selepas ucapan itu saya terdengar teriakan orang ramai, begini kata-kata mereka, yang boleh saya ingati,

“ Air tenang jangan disangka tiada berbuaya”

Begitulah keadaannya seluruh malam. Setiap ucapan akan mendapat kutukan dan teriakan…ah cukup bersemangat sekali. Saya ingat waktu itu diadakan pilihanraya tempatan, kalau tak silap…Dan saya masih lagi mengingati peristiwa itu.

Tak lama kemudian, tak ingat mungkin beberapa bulan selepas itu, pihak jabatan Penerangan datang ke kampung kami untuk membuat tayangan filem. (Memang satu kebiasaan Jabatan Penerangan datang ke kampung-kampung seberang hilir mengadakan tayangan filem.) Salah seorang jiran kami bertugas sebagai projectionist iaitu allahyarham ayahanda Ayu bin Suut. Malam itu mereka menggunakan rumah keluarga saya tempat meletakkan projektor dan layar putih diletak di kawasan rumah kami.

Tahun enam puluhan tidak banyak hiburan di kampng. Jika ada tayangan gambar seperti ini, orang kampung akan keluar beramai-ramai untuk menonton bersama ahli keluarga. Antara filem yang ditayang biasanya cerita-cerita kartun untuk hiburan anak-anak dan juga filem Inggeris atau Melayu.

Sebelum tayangan filem biasanya akan ada tayangan-tayangan selingan. Tayangan selingan inilah objektif sebenar jabatan Penerangan. Antara yang ditayangkan termasuklah lawatan pembesar Negara, pembangunan di negeri-negeri semenanjung Malaysia (atau Malaya ketika itu). Ikut ditayangkan wajah Tunku Abdul Rahman, Perdana Menteri Malaysia melambai-lambai kea rah orang ramai dari pentas yang dihiasi dengan poster perahu layar. Perahu Layar? Bukankah perahu layar itu parti lawan kampung kami. Mengapa pula Tunku berada di pentas parti Perahu layar. Begitulah pemikiran yang bermain di kepala saya. Ini membuat saya berfikir panjang, mengapa kami tidak sehaluan dengan Kerajaan Malaysia. Apakah Parti Negara Sarawak sebuah parti pembangkang seperti juga parti SUPP.

Ya, benar, kanak-kanak ketika itu sudah ada pemikiran tentang politik di minda mereka. Anak-anak Melayu di kampong saya ketika itu cekap sekali berbicara tentang politik kepartian. Kesian jiran-jiran yang menyokong parti Berjasa ketika itu, dipinggirkan sedikit sebanyak.

Begitulah sedikit sebanyak cebisan masa lalu untuk ingatan diri pada masa akan datang. Cukup sukar sekali kehidupan di kampung ketika itu. Akahir tulisan biar saya tinggalkan kata-kata yang pernah diucapkan oleh Martin Luther King,Jr., katanya

Cowardice asks the question, ‘Is it safe?’ Expediency asks question, Is it politic?’ But conscience asks the question, ‘Is it right?’ And there comes the time when one must take a position that is neither safe, nor politic, nor popular but because conscience tells one it is right.’