Showing posts with label memori. Show all posts
Showing posts with label memori. Show all posts

Saturday, March 06, 2010

6 MAC : PERKAMPUNGAN PENULIS DI MUKAH 2008


Antara foto yang menarik perhatian saya pada malam persembahan kebudayaan sewaktu Perkampungan Penulis Sarawak 2008 diadakan di Mukah, Sarawak. Kelihatan anatar penopeng/petandak; Faizal dengan pasangannya Awang Kelana dan Mantan Pengarah DBPCS, sdr Zaini Oje.

Friday, March 05, 2010

5 MAC : POTRET SILAM (3)

1970, SMB St Thomas, Kuching.

Saya antara pelajar SMB St Thomas yang ikut serta dalam Pasukan Police Cadet Corp yang diperkenalkan dalam tahun 1970.

Sunday, February 21, 2010

21 FEBRUARI : POTRET SILAM (2)

1974: SMK Simunjan, Sarawak: Berpindah tempat bertugas dan berjauhan dari keluarga buat pertama kali ketika usia baru 21 tahun. Sedih ketika itu nasib baik bertemu teman-teman yang baik dan pandai menghiburkan hati sehingga terlupa untuk pulang ke kpg halaman. Terima kasih Simunjan kerana menjadi sebahagian daripada memori manis kehidupan.

Wednesday, February 17, 2010

17 FEBRUARI : POTRET SILAM(1)

Terima cenderamata daripada Pengarah Pembangunan Koperasi Sarawak, Tuan Haji Effendy Tready di majlis perpisahan pada bulan Ogos 1986. Saya meninggalkan jabatan Pembangunan Koperasi sarawak pada 11 Ogos 1986 untuk bertugas di Jabatan Perbendaharaan negeri Sarawak. Sebahagian dari lembaran kehidupan lalu yang menjadi memori manis untuk diingati sepanjang zaman.

Sunday, January 31, 2010

31 JANUARI : DERMAGA TANAH PUTEH

Semalam, sebelum senja tiba saya menunggang jaguh yang telama terperosok di hadapan rumah. Destinasi saya - Jambatan Tun Salahuddin. Dari atas jambatan saya rakam bandaraya Kuching yang menghampiri senja. Sebelum itu saya sempat menjengah kawasan berhampiran jambatan itu yakni Dermaga Tanah Puteh. Suatu ketika dahulu di dermaga inilah tempat persinggahan kapal-kapal dari seluruh pelosok dunia. Dan yang paling saya ingati, saya selalu memncing di bawah dermaga ini. Sesekali kalau terlihat oleh sekuriti dermaga kami akan disuruh keluar dari sana. Ah...itu cerita masa kecil. Dermaga masih kekal di s ana hanya tak digunakan lagi. Kaki pancing banyak sekali memancing di sana.

Sunday, January 24, 2010

24 JANUARI : TERINGAT NYENG

AHAD, 24 JANUARI 2010

Semasa melihat album foto lama yang kusimpan di dalam cakera padat, aku terpandang foto kuchingku ini yang kuberi nama NYENG. Nyeng pemberian keluargaku di kampung untuk membantu kami mengatasi serangan "Jerry" yang ketika itu (2005) amat serius. Nyeng sangat manja dan cukup cekap dalam menjalankan tugasnya. Sejak kehadiran Nyeng Jerry tak berani lagi menyerang kami.

Januari 2006 Nyeng mati setelah menderita sakit untuk beberapa hari. Cerita tentang kematian Nyeng pernah kutulis sebelum ini. Sila lihat di sini. Hari ini aku teringat kembali saat-saat bersama Nyeng. Saat yang sangat bernilai dalam hubunganku dengan kucing peliharaan kami.

Sekarang kami ada seekor kucing hitam yang kami pelihara, tapi jarang sekali balik ke rumah sejak sebulan dua ini. Ia asyik bersama "isteri-isterinya". Ia hanya datang dua tiga hari sekali bila lapar. Pabila ia datang, akan terdengarlah dialog isteriku dengan si hitam itu. Tentu aku hanya memahami apa yang isteriku katakan pada Hitam. Hitam hanya berkata..miawwwww...Maksudnya? Hitam kata, " lama tak balik kerana kena jaga "isteri" yang dah sarat mengandung.Cadang nak bawa balik kat rumah tuan dan puan supaya isteri boleh melahirkan anak kami di sini. Bolehkan?"


Tuesday, November 17, 2009

BILIK DARJAHKU

Saya belajar di bilik darjah ini (bilik hujung) di SK Pulo, Kuching sekitar tahun 1966 (Darjah 6 ketika itu). Tahun1966 sekolah ini baru disiapkan pembinaannya. Ia terletak di kampung Semarang. Sebelum ini saya belajar di bangunan lama sekolah ini di kampung Pulo Hilir. Nak tahu bagaimana rupa bangunan lama sekolah ini, senang aja, lihat sekolah dewasa dalam filem Pendekar Bujang Lapok..Aahhh..begitulah

Sunday, May 24, 2009

KEHIDUPAN DI KAMPUNG PULO HILIR (7)



POLITIK KAMPUNG



Kampung Pulo Hilir pada awal tahun kemerdekaan, dari segi fahaman politik penduduknya, merupakan penyokong kuat Parti Negara Sarawak (PANAS), sebuah parti politik pimpinan Allahyarham Datu Bandar Abang Haji Mustapha, ayahanda kepada Dato’ Abang Haji Abu bakar, mantan menteri Kerajaan Persekutuan Malaysia. Lencana PANAS bercitrakan kepala rusa.

Suatu malam pihak parti lawan, Parti Berjasa mengadakan kempen di rumah salah seorang penduduk kampong Pulo Hilir, Kuching. Banyak sekali orang ternama Sarawak yang hadir untuk berkempen. Yang paling saya ingati, ikut sama berucap malam itu ialah Mantan Mufti negeri Sarawak Allahyarham Datuk Haji Abdul Kadir Hasan.

Penduduk kampong ramai sekali datang hadir untuk mendengar kempen politik Parti Berjasa itu. Suasana malam terasa panas. Panas kerana mereka yang hadir mula berteriak dan mengganggu ucapan. Saya dan teman-teman(ketika itu usia saya sekitar sepuluh atau sebelas tahun) ikut serta bersama orang ramai berlari ke sana ke mari sambil mendengar orang kampung berteriak dengan bahasa yang agak kesat.

Yang paling saya ingat ketika itu, seorang pemidato berkata-kata begini,

“Tuan-tuan dan puan, saya harap saudara-saudara boleh bertenang…”

Selepas ucapan itu saya terdengar teriakan orang ramai, begini kata-kata mereka, yang boleh saya ingati,

“ Air tenang jangan disangka tiada berbuaya”

Begitulah keadaannya seluruh malam. Setiap ucapan akan mendapat kutukan dan teriakan…ah cukup bersemangat sekali. Saya ingat waktu itu diadakan pilihanraya tempatan, kalau tak silap…Dan saya masih lagi mengingati peristiwa itu.

Tak lama kemudian, tak ingat mungkin beberapa bulan selepas itu, pihak jabatan Penerangan datang ke kampung kami untuk membuat tayangan filem. (Memang satu kebiasaan Jabatan Penerangan datang ke kampung-kampung seberang hilir mengadakan tayangan filem.) Salah seorang jiran kami bertugas sebagai projectionist iaitu allahyarham ayahanda Ayu bin Suut. Malam itu mereka menggunakan rumah keluarga saya tempat meletakkan projektor dan layar putih diletak di kawasan rumah kami.

Tahun enam puluhan tidak banyak hiburan di kampng. Jika ada tayangan gambar seperti ini, orang kampung akan keluar beramai-ramai untuk menonton bersama ahli keluarga. Antara filem yang ditayang biasanya cerita-cerita kartun untuk hiburan anak-anak dan juga filem Inggeris atau Melayu.

Sebelum tayangan filem biasanya akan ada tayangan-tayangan selingan. Tayangan selingan inilah objektif sebenar jabatan Penerangan. Antara yang ditayangkan termasuklah lawatan pembesar Negara, pembangunan di negeri-negeri semenanjung Malaysia (atau Malaya ketika itu). Ikut ditayangkan wajah Tunku Abdul Rahman, Perdana Menteri Malaysia melambai-lambai kea rah orang ramai dari pentas yang dihiasi dengan poster perahu layar. Perahu Layar? Bukankah perahu layar itu parti lawan kampung kami. Mengapa pula Tunku berada di pentas parti Perahu layar. Begitulah pemikiran yang bermain di kepala saya. Ini membuat saya berfikir panjang, mengapa kami tidak sehaluan dengan Kerajaan Malaysia. Apakah Parti Negara Sarawak sebuah parti pembangkang seperti juga parti SUPP.

Ya, benar, kanak-kanak ketika itu sudah ada pemikiran tentang politik di minda mereka. Anak-anak Melayu di kampong saya ketika itu cekap sekali berbicara tentang politik kepartian. Kesian jiran-jiran yang menyokong parti Berjasa ketika itu, dipinggirkan sedikit sebanyak.

Begitulah sedikit sebanyak cebisan masa lalu untuk ingatan diri pada masa akan datang. Cukup sukar sekali kehidupan di kampung ketika itu. Akahir tulisan biar saya tinggalkan kata-kata yang pernah diucapkan oleh Martin Luther King,Jr., katanya

Cowardice asks the question, ‘Is it safe?’ Expediency asks question, Is it politic?’ But conscience asks the question, ‘Is it right?’ And there comes the time when one must take a position that is neither safe, nor politic, nor popular but because conscience tells one it is right.’









Monday, March 23, 2009

KEHIDUPAN DI KAMPUNG PULO(6)- ZAMAN KANAK-KANAK

ZAMAN KANAK-KANAK




-->
Apabila teringat akan zaman kanak-kanak, kita pasti akan tersenyum mengenang setiap detik yang kita lalui. Zaman kanak-kanak merupakan zaman keemasan kehidupan kita dan ia tak akan kembali lagi. Zaman untuk keseronokan dan kegembiraan itu sudah pun berlalu dan diganti dengan zaman remaja, dewasa dan tua.
Pernahkah teman-teman terfikir kembali, setiap hari yang dilalui semasa zaman kanak-kanak kita? Bagi saya, keseronokan bermain dengan teman-teman masih saya ingati sehingga hari ini. Keseronokan ketika berenang di sungai Sarawak dengan berpelampungkan batang nipah, tidak pernah pun terfikir akan bahaya yang ada di sungai. Malah tidak pernah terfikir atau takut akan geng-geng Bujang senang.
Kami akan mendaki pohon pedada atau api-api dan akan terjun dengan pelbagai cara. Setiap hari adalah pesta mandi-manda. Setelah penat bermain di darat kami ke sungai menghilangkan panas badan.
Begitulah secarik ingatan semasa masih kanak-kanak. Anak-anak sekarang tidak lagi perlu berenang di sungai kerana abah akan bawa mereka ke kolam renang. Ia lebih selesa dan selamat. Cara berenang pun diajar dengan tertib dan baik, tidak seperti dulu.
Sesekali terasa juga keinginan untuk mengembalikan pengalaman dan nostalgia, tetapi bila difikirkan kembali, hati membisik, biarkan zaman kanak-kanak kita itu tinggal sebagai memori yang akan kekal indah dalam kenangan. Saya tinggalkan teman dengan kata-kata hikmat yang saya kutip untuk tatapan semua:
Good people are good because they've come to wisdom through failure. We get very little wisdom from success, you know. …..William Saroyan




Saturday, February 21, 2009

LUMBA KUDA

Entah mengapa, tiba-tiba saya terkenangkan masa saya masih bersekolah di Lumba Kuda Council School empat puluh lapan tahun lalu, ketika saya dan isteri dalam perjalanan untuk ke pekan Kuching. Saya ceritakan pada isteri tentang masa itu. Cerita tentang satu permainan zaman kanak-kanak yakni lumba kuda.
Tahun 1961 saya berada di dalam tahun satu di Lumba Kuda Council School. Sekolah ini terletak bersebelahan dengan padang Lumba Kuda, Kuching. Hari ini, di tapak padang lumba kuda itu, berdiri indah bangunan Majlis bandaraya Kuching Selatan yang mempunyai bentuk seperti Tokong Siam/Pagoda.
Saya bersekolah waktu tengah hari. Bila sampai ke sekolah masih ada masa terluang kerana kelas pagi masih berjalan sehingga jam 12.30 tengah hari. Waktu luang begitu saya dan teman-teman sekelas akan memerhati gelagat pelajar-pelajar senior (mungkin tahun 3 agaknya).
Antara aktiviti pelajar ketika itu ialah berlari dalam satu perlumbaan antara mereka. Mereka akan berlari di padang di hadapan sekolah yang bertanah putih kekuningan berbatu kecil. Tanah agak keras dan berdebu ketika hari panas dan akan bertukar menjadi becak bila hujan.
Perlumbaan pelajar-pelajr ini bukan perlumbaan biasa. Mereka namakan perlumbaan ini Lumba Kuda. rasanya tentu pengaruh lumba kuda di sebelah sekolah kami.
Untuk perlumbaan ini setiap pasukan terdiri daripada dua orang pelajar, seorang pelajar senior (bertindak sebagai Joki) dan seorang pelajar tahun satu (sebagai kuda)
Caranya pelajar senior akan memegang baju di belakang tengkuk pelajar tahun satu dan kedua-dua mereka akan berlari dengan pelajar tahun satu di hadapan, baju dipegang kukuh oleh joki. Saya cukup seronok melihat perlumbaan ini. Ia menjadi satu kemestian saya memerhati mereka berlumba.
Di dalam hati saya terdetik perasaan ingin ikut berlumba tapi tidak pula saya diajak oleh pelajar senior. Mungkin kerana saya terlalu pendiam dan tidak banyak berkawan atau mungkin saiz badan yang agak kerdil.
Suatu hari, ketika memerhati perlumbaaan yang hendak bermula, dalam keadaan panas mentari yang menggigit kulit, seorang senior datang kepada saya dan mengajak saya menjadi kuda beliau untuk perlumbaan seterusnya. Apa lagi saya kegembiraan dan di hati saya berkata, saya pasti menang perlumbaan ini.
Apabila perlumbaan bermula saya berlari tapi tolakan oleh joki saya terlalu kuat sehingga saya tersembam ke hadapan. Tapak tangan dan lutut saya berdarah akibat bergeseran dengan batu-batu kecil. Perlumbaan baru saja bermula dan kami kalah sebelum sampai ke garisan penamat. Saya menangis terisak isak menahan kesakitan. Saya tidak ingat sama ada senior ada memujuk saya, tapi yang jelas itulah kali pertama dan terakhir saya mengikuti lumba kuda itu.
Ah, sesekali teringat peristiwa itu, saya senyum sendiri.

Thursday, February 19, 2009

SEDEKAD PENUH BERKAT

Nurul Hakimah, puteriku yang bongsu, lahir pada hari khamis 18 Februari 1999, jam empat petang, setelah masuk waktu asar, di Hospital Miri. Suasan petang itu masih jelas terbayang di dalam fikiranku. Memori yang sangat indah. Aku dikurniakan Allah SWT dengan cahaya mata ke-7 setelah usiaku hampir 46 tahun dan isteriku pula hampir empat puluh dua tahun. Kami bersyukur atas kehadiran Nurul.
Kehadiran Nurul sebagai pengobat rinduku pada cucuku yang pertama, Faiz Sanim. Faiz lahir bulan Mac 1998 di Miri ketika anakku Laila masih bersama kami. Kemudian mereka berpindah ke Sungai Petani setelah bersama kami selam
a lebih kurang enam bulan. Bayangkan betapa kerinduanku pada Faiz setelah perpisahan itu. Tapi akyu tidak pula melahirkan rasa rindu itu. Ia hanya kurasai jauh di lubukj hati.
Allah maha berkuasa dan mengerti kedukaanku lantas enam bulan selepas Faiz ke SP kami dikurniakan cahaya mata dengan kelahiran Nurul untuk menghilangkan kerinduan kami terhadap Faiz.
Hari ini hari ulang tahun kelahiran Nurul Hakimah yang kesepuluh. Nurul semakin dewasa dan dibebani oleh karenah enam orang anak saudaranya. Kadang-kadang timbul rasa kasihan pada Nurul yang terpaksa melayan tingkah laku anak saudara yang terus-terusan memanggil Mak Su. Ayah dan Ibu hanya mengharapkan kebahagian dan kesejahteraan Nurul, membesar dengan penuh keindahan dan kemanisan hidup, belajar menerima dan menempuh masa muka dengan berani dan bertanggungjawab. Rasanya ingin benar kami melihat Nurul cepat-cepat dewasa. Tak sabar kami menanti saat Nurul menjadi seorang yang sudah dewasa.
Nurul Hakimah, selamat hari jadi sayang.

Sunday, January 04, 2009

KEHIDUPAN DI KAMPUNG PULO HILIR (5)- PERGINYA SEORANG TEMAN


Allahyarham berdiri empat dari kanan



Allahyarham Amin bin Arbi

PERGINYA SEORANG TEMAN
Suasana petang itu agak suram. Aku dan isteri baru kembali dari bazar Satok membeli lauk untuk makan malam. Kami berehat di kerusi kusyen melepaskan lelah. Seketika telefon berdering dan isteriku bergegas menggapai gagang telefon sebelum deringan ketiga. Aku tersenyum, teringat budaya yang cuba dipupuk semasa masih bertugas dengan Kerajaan dulu, deringan telefon tidak boleh melebihi tiga kali.
Isteriku mula berbual, ah..kakakku rupanya. mereka terus berbual kemudian isteriku menyerahkan gagang telefon kepadaku memberi isyarat kakak ingin berbicara denganku.
" Kakak nak bagitau, dik berita yang kurang enak..Amin telah meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya sebentar tadi." begitu kakak berbicara. Aku terpaku dan tidak menjawab kata-kata kakak hanya sempat melahirkan kalimah..innalillahi wainnailaihirajiun..

Amin Arbi bersama abangnya, Sani Arbi merupakan teman sepersekolahanku semasa kami menuntut di sekolah rendah kampung Pulo sekitar 1962 hingga 1966.Waktu sekolah kami tidaklah begitu mesra tetapi setelah berada di alam remaja kami mula berkawan rapat, lebih-lebih lagi kami sama-sama bergiat dalam aktiviti kampung khususnya pergerakan Belia (SABERKAS) dan juga bangsawan. Allahyarham merupakan seorang pesilat dan pelakon yang hebat ketika itu, bersama abangnya. Itu sekitar 70an.

Persahabatan kami berterusan ke dekad 80an. Setiap kali keluar menonton wayang gambar atau bangsawan pasti Amin akan bersamaku. Dan poada tahun 1973 ketika aku berpindah tugas ke Simunjan, kami jarang berhubung. Tapi apabila bertemu kami tetap mesra.

Akhir-akhir ini dalam era 2000 ini kami bertemu sekali sekal di surau kampung dan pertemuan kami cukup mesra. Kami akan bercerita tentang poengalaman bersama dan kadang-kadang kami akan tersenyum mengingati masa lalu.

Keesokan pagi aku pergi ke kampung awal-awal pagi untuk menziarahi jenazah temanku. Di hadapan rumah Allahyarham, abang beliau, SDani sudah berdiri menyambutku. Walaupun Sani berkaca mata, jelas di sebalik kaca mata itu air matanya kelihatan berlinang. Aku mengerti perasaan Sani, Beliau akan pergi menunaikan haji tiga hari dari pagi itu. Ikut sama menungguku anak sulung Allahyarham, seorang Inspektor polis. Kami bersalaman dan kuucapkan takziah buat mereka.

Aku naik ke rumah dan melawat jenazah allahyarham sambil membaca fatihah dan yassin .
Di kepalaku terbayang kenangan yang indah-indah bersama allahyarham. Tuhan lebih menyayangi beliau. Semoga roh allahyarham dicuucuri rahmat Allah jua. Seorang lagi temanku pergi. Kita pastinya tidak tahu bila masa kita akan dijemput menemuiNya. Semoga kepergian kita nanti di bawah redhaNya jua.
Al-Fatihah.



Allahyarham seorang pelakon yang hebat dan pandai bersilat. Aku masih ingat benar apabila keluar malam, Allahyarham akan keluar bersamaku sama ada pergi menonton wayang mahu pun menonton persembahan bangsawan di kampong-kampung sekitar Kuching. Itu sekitar awal tahun 1970an

Tuesday, December 02, 2008

MAJLIS PERKAHWINAN ZAKARIYYA DAN ERDA ASFAR


Sayang ibu pada menantunya


Doa dan harapan seorang ayah


Brass band yang dimport khas dari sambas, kalimantan, Indonesia mengiringi pengantin yang diarak menuju ke rumah pengantin perempuan


Miri sesudah subuh pada 30 November 2008


CT dan kakaknya, Laila


Erda Asfar menjadi isteri sah Mohd Zakariyya setelah diijabkabulkan.



Dalam perjalanan menuju rumah pengantin perempuan di kampung Tudan Miri


29 November 2008 tarikh keramat dan bahagia buat Mouhammad Zakariyya dan Erda Asfar. Mereka diijabkabulkan pada tarikh tersebut, di Miri, rumah penagntin perempuan. Tarikh yang sama dengan tarikh pernikahanku dengan isteri 33 tahun yang lalu. Zakariyya sengaja mengambil tarikh yang sama untuk menjadi ingatan masa muka.
Zakariyya anak yang keempat melangsungkan pernikahan bersama kekasih sejak kecil lagi ketika kami masih tinggal di Miri sekitar 1991 - 1999,Erda Asfar, seorang guru dan kini mengajar di SMK St. Augustine , Betong. Entah mengapa setelah bersalaman dengan anakku dan menantu selepas pernikahan, aku terasa sedikit pilu. Tak terasa pula air mata jatuh ke pipi. Sudah dewasa rupanya anakku ini dan kini telah menjadi suami orang.
Ayah hanya dapat mendoakan kebahagian anakanda berdua. Semoga kekal hingga ke akhir hayat.



Thursday, October 30, 2008

KEHIDUPAN DI KAMPUNG PULO HILIR (4)-ALLAHYARHAM AYAHANDA DALAM KENANGAN


ALLAHYARHAM AYAHANDA HAJI ABDUL HAKIM DALAM KENANGAN
Kadang-kadang kita tidak pernah terfikir betapa bahagianya kita ketika ibu bapa berada di samping, memberi sepenuh kasih sayang dan kehidupan demi kesejahteraan kita. Kita tidak ambil berat akan kehadiran mereka di dalam kehidupan apabila kita sudah dewasa lebih-lebih lagi yang sudah berkeluarga. Malah ada juga antara kita yang sanggup mengasari ibu bapa sama ada melalui lidah atau tangannya. Kehadiran ibu bapa di dalam kehidupan anak-anak seperti satu bebanan. Tapi pernahkah kita terfikir bagaimana jika ibu bapa sudah tidak berada bersama kita. Bagaimana perasaan kita jika orang yang membesarkan kita selama ini telah pergi buat selamanya?

Bagi diri saya, sesekali timbul rasa sedih di dalam hati ketika mengingati ayah yang telah pergi. Selama hidup kami berkeluarga, ayah sentiasa berada di samping membantu dan memberi nasihat. Kasih ayah pada anak-anak begitu tinggi dan mendalam. Ayah tidak ingin anak-anak merasai keperitan. Ayah tidak mahu anak-anak gagal di dalam menempuh kehidupan yang penuh pancaroba.

Ayah meninggal dunia dalam tahun 1989 ketika berada di seberang laut. Kami terima berita kepergian ayah setelah dua puluh hari berlalu tarikh kepergiannya. Amat memilukan sekali, tapi apa yang boleh kita katakan kerana keadaan perhubungan dan tempat tinggal ayah yang agak jauh di pedalaman. Kami terima berita dengan rasa sedih dan terharu. Ayah yang selama ini memberi setiap kebahagiaan, inspirasi dan kempimpinan di d alam kehidupan kami telah tiada. Ayah meninggal kerana sakit darah tinggi yang telah begitu lama menghantui kehidupannya.

Sehingga kini saya masih teringatkan ayah. Kehilangan ayah amat dirasai. Sesungguhnya apabila ayah telah tiada, baru dirasai ketiadaannya. Ketika dia masih bersama, kita diresapi keegoan. Benar, kehilangan insan yang disayangi akan sangat-sangat dirasai seperti ingin benar kita putarkan waktu kembali ke saat yang lalu. Sayang kita tidak mungkin akan dapat melakukannya. Masa yang telah berlalu tidak dapat kembali lagi. Oleh itu, apa jua yang dilakukan hari ini, ingat, ia akan merobah masa depan. Hari ini tidak lagi akan kembali setelah esok hadir. Hari in adalah semalam yang hanya tinggal kenangan. Kenangan yang akan terakam menjadi sebuah igauan atau mimpi indah. Terserah. Kita yang akan melakrkannya.

Bagi saya, terlalu banyak ingatan dan kenangan bersama Allahyarham ayah yang tidak dapat dilupakan. Sejak mencapai usia empat belas tahun( 1967) saya akan bersama-sama ayah setiap petang sabtu, membantu ayah
mencuci lantai pejabat. Selain bertugas menjaga pejabat, ayah diberi tugas sampingan mencuci dan menyapu pejabat. Dengan pendapatan tambahan, ayah dapat menambah pendapatan bagi melayani keperluan keluarga. Kehidupan kami tidaklah begitu sukar. Keperluan sekolah sentiasa dapat kami perolehi kerana ayah berupaya menyediakannya dengan adanya pendapatan tambahan begini.

Selain bertugas menjaga pejabat, ayah juga berusaha memelihara beberapa ekor kambing dan juga lembu. Pada waktu tidak bersekolah dan juga hujung minggu, saya akan membantu ayah membawa kambing-kambing ke tempat yang berumput untuk diragut. Kami juga akan pergi ke padang rumput memootong rumput untuk makanan lembu. Tugasnya berat dan sukar juga tapi hasil daripada usaha ayah ini banyak sekali membantu keluarga dalam menjalanai kehidupan seharian dan memenuhi keperluan keluarga.

Ayah bersara dari tugasnya awal Februari 1979 setelah mencapai usia lima puluh lima tahun. Bula Ogos 1979 anak ketiga saya, Faizal dilahirkan. Tujuh bulan kemudian ayah berangkat kembali ke negeri asal untuk perjalanan ke mekah bagi menunaikan fardhu haji.

Selepas kembali dari Mekah ayah kurang sihat, begitu berita yang kami terima. 1989, kira-kira sepuluh tahun selepas kepergiannya ke negeri asal, kami terima berita ayah kembali kerahmatullah. Ayah pergi tanpa kami di sisinya tapi dalam hati kecil kami tetap yakin, ayah sentiasa mengingati kami. Ayah manusia yang terbaik yang kami ada di dalam kehidupan kami. Ayah mengajar kami erti manusia d an kemanusiaan. Ayah bercerita pada kami melalui kitab-itab yang dibacanya, cerita-cerita yang mengandungi pengajaran tentang budi pekerti dan agama. Kepergian ayah benar-benar dirasai.
Pada ayah, Al-Fatihah kami titipkan, semoga berada bersama mereka yang mendapat perlindungan-Nya dan Rahmat-Nya jua. Amien.

Saturday, October 25, 2008

USU BUJANG DALAM KENANGAN


Entah mengapa, tiba-tiba pagi ini fikiranku melayang jauh. Aku teringatkan Allahyarham Usu Bujang, bapa saudaraku yang telah kembali ke rahmatullah dalam tahun 1968. Ketika itu aku baru berusia lima belas tahun. Allahyarham meupakan adik bongsu ibuku.

Aku punya hubungan istimewa dengan Allahyarham. Aku merupakan anak saudara “favourite”. Ke mana sahaja Allahyarham pegi pasti aku bersamanya. Untuk itu aku diberi gelaran “sampan”.

Usu Bujang mulanya bekerja sebagai penoreh getah. Awal pagi Usu akan ke kebun getah untuk menorah dan kembali ke rumah kira-kira jam 11.30 pagi. Tidak banyak pendapatan dari menorah. Seingatku satu hari menorah Usu hanya dapat menjual getah yang bernilai tiga hingga empat ringgit sahaja.

Apabila harga getah semakin merudum dan semakin berkurangan, Usu berhenti menorah dan mula bekerja mengambil kayu “buta” untuk dibekalkan kepada Syarikat membuat manic di Sarawak ketika itu yakni, Sarawak Match Factory. Saya tak ketemu lagi syarikat itu sekarang.

Setiap kali kembali dari mengambil kayu dengan menggunakan sampan Usu akan singgah di rumah sebelum menghantar kayu ke kilang. Aku akan ikut bersama Usu menghantar kayu ke kilang. Selepas menghantar kayu, kami akan ke Main Bazaar di sebuah kedai yang akan membayar harga kayu itu. Bila dah dapat duit, Usu akan membeli keperluan dapur seperti gula, kopi dan juga sedikit barangan kering. Setelah semua dibeli Usu akan membawaku ke kedai buku untuk membeli komik. Kami mencari komik bersiri ketika itu yang diberi tajuk “Keris Berpuaka”. Seingatku tidak kurang enam siri telah kami beli. Usu sebenarnya tidak boleh menulis dan membaca dalam tulisan roman. Dia hanya boleh menulis d an membaca tulisan jawi. Jadi akulah yang akan menjadi pencerita. Apabila ada kelapangan masa, aku akan membaca komik itu dan Usu akan mendengar dengan penuh teliti.

Usu juga merupakan seorang dukun yang cukup dikenali di kampungku. Setiap kali ada jiran yang sakit, usu akan dijemput untuk mengobati. Cara Usu mengobati pesakitnya dengan membaca mantera dan doa dan kemudian menggunakan kapur untuk diconteng di tempat yang sakit seperti perut dan juga dahi. Bila kuingat kembali tugas Usu ketika itu, timbul keinsafan di hatiku betapa masyarakat ketika itu tidak memikirkan tentang upah perubatan begitu. Apa yang dilakukan semata-mata untuk membantu sesame tetangga dan jiran dengan penuh keikhlasan. Masihkah ada sikap sedemikian masa kini?

Banyak sekali kenangan manis bersama Usu. Usu meninggal dunia ketika berusia awal tiga puluhan kerana sakit batuk kering. Aku berada di sisi katil ketika Usu menghembus nafasnya yang terakhir. Saat yang memilukan hatiku. Saat yang sama berulang kembali dalam tahun 2002 ketika ibuku meninggal dunia. Pilu benar hati ketika melihat nyawa meninggalkan jasad. Usu memrupakan manusia yang amat kukagumi kerana sifatnya yang begitu mulia dan baik hati. Mengingatinya membuat aku merasa insaf da sedar betapa peritnya kehidupan suatu ketika dahulu. Untuk Usu kutitipkan Al-Fatihah.

Friday, August 29, 2008

Menjadi Seorang Thomian...


Kontinjen St Thomas semasa perarakan Maulidur rasul 1971


Detik-detik ketika menuntut di Sekolah Menengah St Thomas ( 1967 - 1971) Kuching merupakan lembaran sejarah peribadi yang amat terkesan di hati. Di sini bermula kehidupan yang mana pemikiran dan pandangan tentang masyarakat Malaysia sekeliling lebih terbuka atau kembali terbuka. Ketika belajar di Sekolah Rendah Pulo pergaulan hanya bersama penuntut-penuntut anak Melayu. Pergaulan dan persahabatan terbatas bersama kaum Melayu sahaja.

Ketika belajar di SMB St Thomas sedikit timbul rasa pesimis terhadap kemampuan diri. Di dalam kelas anak-anak dari pelbagai bangsa duduk bersama dengan karenah yang pelbagai. Sesungguhnya hampir semua bangsa terdapat di kelas kami ketika itu; Iban, Melayu, Cina, India Melanau malah terdapat keturunan Portugis juga..

Semasa di dalam tingkatan satu, saya bersama teman-teman dari kaum Melayu/Melanau mengambil mata pelajaran Advance Malay yang diajar oleh guru kami Allahyarham Dato Haji Hussein Hj. Paris. Manakala anak-anak dari kaum bukan Melayu pula belajar mata pelajaran Elementary Malay dan juga Commerce secara bersilang. Maknanya budak-budak Melayu tidak berpeluang belajar mata pelajaran Commerce. Jika diingat kembali terasa satu kerugian bagi anak-anak Melayu ketika itu disebabkan peraturan sebegini.

1970 Pasukan Kadet Polis dimulakan di Sarawak. Empat buah sekolah telah dipilih untuk memperkembangkan aktiviti ini. Sekolah-sekolah tersebut ialah SMB St. Thomas, SMB St. Joseph, SMK Green Road dan STAR. Saya ikut serta dalam pasukan ini sehingga mendapat pangkat koperal. Cikgu pembimbing pasukan St. Thomas waktu itu ialah cikgu Abdul Rahman Sahari. Dan beliau masih lagi mengikatkan tali pertunangan dengan isteri beliau sekarang Puan Normah Mohd Salleh (Hajah).Saya baru mendapat berita dari makluman di akhbar Cikgu Abdul Rahman Sahari telah meninggal dunia awal puasa yang lalu. Takziah buat Kak Hajh Normah dan famili. Semoga roh Allayyarham berada bersama mereka yang mendapat keredhaan Allah jua.

Seperti biasa teman-teman rapat yang ikut serta dalam pasukan ini termasuklah Allahyarham Haji Odita, Tuan Haji Ahmad Sedek, Datuk Haji Khalid Yusuf dan beberapa orang teman lain. Ketika bersama pasukan inilah saya berpeluang menjejakkan kaki di Pulau Satang Besar apabila pasukan Kadet Polis membuat perkelahan/camping sehari. Kami ke sana menggunakan sebuah bot milik Polis Marin yang namnya saya tak ingat tapi bentuknya serupa bot milik Jabatan Laut "Menaul".

Setiap tahun SMK St Thomas akan mengadakan pasaria/ Food & Fun Fair. Kami akan bertugas bergilir-gilir menjaga gerai yang ada. Memang cukup seronok sekali. Seingat saya ibu-bapa para penuntut amat memberi sokongan terhadap aktiviti ini.

Sekolah St Thomas tidak mengajar mata pelajaran Sastera untuk peperiksaan MCE namun saya dan Allahyarham Odita tetap menduduki peperiksaan ini. Setiap hari sabtu, Allahyarham cikgu Dato' Hj Hussain akan memberi sedikit petunjuk kepada kami berdua dalam menghadapi mata pelajaran Sastera.

Di sebelah SMK St Thomas ialah sekolah Menengah St. Mary . Kesmua pelajarnya terdiri daripada pelajar perempuan berbeza dengan SMK St. Thomas yang keseluruhan pelajarnya lelaki, kecuali pelajar tingkatan enam. Namun untuk mata pelajaran Bahasa Melayu, pelajar-pelajar St. Mary akan bersama kami dalam sebuah kelas yang sama. Ada beberapa nama pelajar perempuan yang masih saya ingat ketika itu, anataranya Hayati Sahari, Nohayati, Masbah, Zubaidah dan juga Khadijah. Itu belaku sekitar 1970-1971. Mereka kini merupakan wanita-wanita yang berjaya di dalam kerjaya mereka. Saya bangga kerana dapat belajar bersama mereka.


Banyak kenangan manis yang boleh saya ingati ketika berada di SMK St. Thomas. Sesekali ketika rindu, saya akan memandu melintasi sekolah ini dan merenung kembali bangunan utamanya yang berbentuk kota. Di sinilah kami bermain dan berlari empat dekad yang lalu. Ah..betapa cepat masa berlalu. Seolah-olah baru semalam saya berada di sana. Aa yang tak boleh saya lupa ialah kata-kata keramat SMK St Thomas...AIM HIGHER...ya..aim higher.






Tuesday, August 26, 2008

FAIZAL , USIAMU DAH 29 TAHUN SEKARANG


Mama's boy


bersama mama lagi...


Seperti tahun-tahun sebelumnya, sejak 29 tahun yang lalu, hari ini, tanggal 29 Ogos adalah antara momen-momen yang indah buat saya dan isteri kerana pada hari inilah lahirnya anak kami yang ketiga yang kami beri nama Faizal Amin. Ya, Faizal lahir pada hari ini dalam tahun 1979, hari raya yang ketiga ketika itu.

Masih jelas dalam ingatan detik-detik bersejarah itu. Malam itu saya masih lagi melayan tetamu-tetamu yang datang berkunjung ke rumah. Selesai tetamu terakhir berkunjung, kira-kira jam 10.30 malam, isteri mengadu sakit perut. Saya bergegas meminta pertolongan seorang teman sekerja, seorang ustaz dari Kelantan, untuk menghantar isteri ke rumah sakit umum Sarawak. Saya menjangka saat kelahiran bayi kami yang ketiga sudah hampir benar.

Sampai di rumah sakit umum isetri saya terus dimasukkan ke wad bersalin. Jam 11. 30 malam isteri saya selamat melahirkan anak kami. Saya hanya menerima berita kelahiran Faizal awal pagi setelah dimaklumi oleh seorang jururawat melalui telefon. Isteri saya dibenarkan keluar tengah hari berikut.

Faizal beruntung kerana lahir ketika datuknya (ayah saya) masih berada di Kuching. Faizal sempat mendapat pelukan kasih saying datuk untuk tempoh enam bulan. Selepas beliau berusia enam bulan ayah berangkat ke India dan kemudiannya terus ke Tanah Suci.

Banyak sekali kenangan yang boleh saya catatkan tentang Faizal, sama ada manis atau sebaliknya. Ketika berusia empat tahun Faizal terkena diarrhea dan terpaksa ditahan di hospital selama beberapa hari. Saya dan isteri begitu sayu sekali kerana terpaksa berpisah dengan Faizal. Faizal pula menangis terus-terusan. Nasib baik allahyarham ayah mertua saya seorang kakitangan hospital maka dapatlah beliau sedikit sebanyak menghampiri cucunya. Sedangkan kami hanya dapat memerhati dari luar bilik.

Bulan Januari 1985 Faizal kami hanatar ke Tadika Bina di Kampung Malaysia Jaya. Hari pertama sekolah saya terlewat sedikit menjemput Faizal pulang. Apabila samapi di Tadika saya tidak ketemu Faizal. Saya bertanaya kepada guru-guru, mereka juga hairan bagaimana Faizal boleh tidaka berada di tadika. Lantas saya bergegas mencari menggunakan Vespa saya. Rupa-rupanya Faizal berjalan sendirian ke arah kampung Malaysia Jaya. Bila ditanya dia hendak ke mana, Faizal dengan tersenyum menjawab beliau nak balik ke rumah tapi jalan yang diambil menuju ke arah yang bertentangan. Selepas itu saya tidak lagi datang lewat dan beliau juga tidak lagi pulang sendirian. Guru-guru Tadika itu pun mula bertindak dengan lebih berhati-hati, takut ada lagi anak-anak yang terlepas dari pandangan. Teringat peristiwa itu saya dapat merasai jiwa Faizal, jiwa untuk bebas dan bersendirian….

Hari ini usia Faizal telah menjangkau dua puluh sembilan tahun dan belum ada tanda-tanda untuk berumah tangga. Risau juga hati ayahnya. Faizal merupakan graduan UITM dengan memiliki ijazah Pentadbiran Korporat, anehnya beliau bekerja sebagai seorang kadet di sebuah syarikat perladangan kelapa sawit. Kini Faizal ditugaskan di sebuah ladang di Sungai Krang, Gedong. Setiap hari antara jam tujuh pagi hingga sembilan pagi , Faizal pasti akan menelefon mamanya. Setiap hujung minggu Faizal akan balik ke rumah dan tinggal bersama kami semalam. Petang ahad akan kembali ke ladang dengan menggunakan kembaranya .

Pagi tadi ibunya sempat menelefon Faizal untuk mengucapkan selamat hari lahir diikuti sms papa yang mendoakan kebahagiaan Faizal.

Selamat Hari lahir Faizal, semoga hidupmu tetap bahagia dan ceria dan teru berada di bawah lindungan Ilahi jua.