SECEBIS TENTANG MASA LALU
Masa berlalu musim
berganti. Perubahan berlaku setiap detik dan waktu. Perubahan ke arah yang
lebih baik atau sebaliknya. Perubahan membawa kepada kesejahteraan hidup atau
kemusnahannya. Semua bergantung pada hati kecil diri sendiri. Benar suasana
sekeliling mempengaruhi hati namun yang lebih penting kemahuan diri. Apakah
perlu berubah mengikut peredaran masa tanpa mengira impak dan kesannya?
Terserah.
Tahun enam puluhan di seberang hilir
banyak jua amalan yang bertentangan dengan ajaran agama termasuk amalan syirik
berlaku secara terang-terang dan besar kemungkinan tanpa disedari kerana
tipisnya ilmu agama masa itu. Penduduk masih tidak dapat berpisah dengan amalan
lalu. Tidak semua begitu tapi yang jelas amalan yang dimaksudkan masih berlaku
sekitar tahun enam puluhan.
Suatu amalan yang masih tidak boleh
saya lupakan ialah amalan melepaskan "Ancak" di sungai Sarawak. Jika
ingatan tidak menipu saya, ada seorang wanita yang akan melakukan upacara
menghanyutkan ancak ke sungai. Saya kurang ingat apakah dia seorang bomoh atau
bukan. Yang saya pasti pada hari ancak hendak dihanyutkan wanita ini berjalan
mengiringi ancaknya bersama penduduk-penduduk kampung. Saya ingat wanita itu
berpakaian yang agak berwarna-warni dan dia sedang dalam keadaan tidak sedarkan
diri. Seolah-olah yang berjalan itu orang lain, bukan dia.
Saya kurang pasti apa yang berlaku
selepas itu. Saya kira perempuan ini akan melepaskan ancak, yang berbentuk
sebuah perahu atau rakit yang memuatkan beberapa benda seperti lilin , makanan
dan mungkin juga ada benda-benda lain, saya benar-benar tidak ingat. Saya
difahamkan ia merupakan acara tahunan bagi wanita itu. Apa tujuannya , saya
kurang pasti. Saya kira usia saya ketika itu mungkin antara 8-10 tahu begitu.
Di kampung kebanyakan penduduk yang
sakit akan berubat dengan bomoh dan dukun. Yang saya maksudkan dengan bomoh
apabila pengamal perubatan ini mengubati pesakitnya dengan menjelma menjadi
"hantu" yang akan merasuk badan pengaalaman perubatan. Banyak jenis
hantu yang akan meresap ke dalam badan bomoh ini. Saya kira dia memelihara
banyak jenis hantu, lengkap dengan namanya.
Apabila jasadnya telah dimasuki hantu
ini, suaranya berubah. Antara hantu itu termasuklah si bisu, hantu Iban, dana
beberapa nama lain yang saya tidak ingat. Jika si bisu, bomoh itu akan beraksi
seperti orang bisu berdialog dengan pengantaranya yang memahami kehendaknya.
Berlakulah proses mengubati dengan menggunakan antaranya mayang pinang
(kelapa?) . Untuk membelah mayang ini, bomoh ini akan menunjukkan kekuatannya
dengan membelah menggunakan tangannya. Mayang akan disapu ke seluruh badan
pesakit. Selepas mengubati pesakitnya, bomoh akan menggunakan kain untuk
menutup dirinya.
Biasanya dia akan pengsan setelah
menguabti pesakit dan kemudian kembali menjadi dirinya seperti biasa. Hari ini memang tidak
pernah lagi saya bertemu perubatan seperti ini. Saya yakin ia mula hilang dari
amalan masyarakat sesudah masyarakat sedar setelah mendapat didikan-didikan
agama dari para uustaz dan ilmuan yang mula menyebarkan apa yang benar dan apa
yang syirik. Namun saya tidak dapat menafikan mungkin masih lagi diamalkan
sebahagian masyarakat. hanya saya yang belum menemuinya.
Dukun pula merupakan seorang pengamal
perubatan yang akan mengubati dengan membaca mentera/doa tertentu sambil
menculit kapur pada badan pesakit. Ada kalanya ia akan membaca doa/ menteranya
pada air untuk diminum oleh pesakit. Saya pernah juga membaca doa/mentera yang
digunakan oleh dukun.Namun saya tidak pula ada menyimpan ayat--ayat tersebut.
saya perhatikan setiap doa/mentera itu akan diakhiri dengan ayata, "Berkat
lailahaillalah..begitulah kurang lebih yang saya ingati. Cara dukun mengubat
tidak menampakkan bantuan dari makhluk lain selain doa dirinya sahaja.
Saya mula ke klinik ketika usia
menjangkau sembilan atau sepuluh tahun. Ketika itu banyak dari kalangan kami murid-murid
sekolah rendah kampung Pulo yang kena pergi ke Klinik ATAS untuk pemeriksaan
dan ada sebahagian kami mengambil ubat berterusan. Saya tidak menjangka ketika
itu kami diubati kerana penyakit batuk kering yang menjalar dalam kalangan
kami.
Musim menuba ( saya tak ingat
tahunnya, mungkin sekitar 1965) di sungai Sarawak merupakan satu pesta menangkap
ikan yang mabuk akibat tuba. Setiap orang akan menggunakan semacam lembing
bermata dia atau tiga untuk digunakan menikam ikan yang timbul oleh mabuk tuba.
Saya dan teman-teman berlari di tebing
sungai untuk ikut sama melembing ikan yang kelihatan timbul di gigi air. Kami
meredah selut. Saya terpijak sesuatu dan mula terasa sakit. Tapak kaki saya
telah terpijak sesuatu dan ia mula menyakitkan dengan bisa yang teramat. Saya
berlari ke rumah dan menangis sehingga hampir pengsan.
Ramai penduduk kampung datang dengan
sebahagiannya membawa pelbagai jenis ubat dan minyak. Apa bila diperiksa kaki
saya, jelas saya terpijak ikan Kitang.Saya menanggung kesakitan untuk waktu
yang lama. Percaya tak percaya, saya hanya sembuh sepenuhnya selepas seminggu.
Bayangkan kesakitan yang menghantui saya setiap detik dan ketika. Dukun-dukun
banyak yang datang mengubati namun tiada kesan. Anehnya tiada siapa berfikir
untuk membawa saya ke klinik ketika itu.
Begitulah secebis catatan masa lalu
yang ingin saya kongsikan kali ini. Catatan tentang perubatan tradisional yang
diamalkan suatu ketika dulu. Masa alalu itu sejarah kita. Ada pelajaran
padanya. Terserah pada kita bagaimana menggunakan sejarah untuk kebaikan masa
depan kita.
No comments:
Post a Comment