Bertemu Cikgu Hajah Sarah
Malam tadi saya hadir majlis tahlil malam yang
ketujuh kembali kerahmatullah anakanda Nuramirah Ikmal binti Kamil, puteri
bongsu Dr Kamil Salem, seorang sahabat dan saudara terdekat saya.
Saya
datang awal sebelum maghrib dan berpeluang berkenalan dengan Tuan Haji Ahmad Mansor, mantan Setiausaha sulit kepada Dato Sri Abang Zohari dan sempat berbual-bual dengannya sementara menunggu waktu solat.
Mulanya
kami bercakap tentang hujan yang turun lebat petang hari jumaat. Hujan dan
panas mengingatkan kami cuaca musim lalu, sekitar 1960an dan 70an yang man
putarannya tepat. Jika sampai bulan November hingga Mac, hujan akan kerap turun
di negeri kami, maknanya itu musim landas atau dengan terma yang lebih dikenali
ramai, musim tengkujuh.
Percakapan
kami berlanjutan menyentuh suasana hidup yang serba kekurangan ketika itu, tiada
paip air di rumah, jalan becak masa hujan dan berdebu masa panas. Di kampung saya, kampung Pulo Hilir, kami berjalan di atas batang nyiur yang dijadikan
titian untuk mengelak becak. Di kampung hanya terdapat "stand pipe"
yang diletakkan di tempat strategik untuk digunakan oleh penduduk kampung
secara bersama dan berkongsi.
Kami
sentuh juga peranan guru ketika itu, bagaimana kami dirotan guru dan tidak
berani pula menceritakan kepada ibu bapa kerana jika kami ceritakan, maka ibu
atau bapa akan tambahkan lagi hukuman dengan merotan kami.Bagi ibu bapa zaman kecil kami,
cikgu yang merotan itu mengajar anak supaya menjadi manusia berguna. Cikgu adalah seperti keluarga bagi ibu bapa. Cikgu adalah insan yang sangat-sangat dihormati di kampung-kampung ketika itu. Kami
melihat suasana hari ini dan kadang-kadang bertanya kepada diri kami, "Di mana
silap kita?"
Ketika
bercerita tentang sekolah rendah saya beritahu Tuan haji Ahmad yang saya
belajar di SK Pulo ketika di sekolah rendah tahun enam puluhan dulu. Tuan Haji Ahmad maklumkan saya isterinya pernah mengajar di SK Pulo ketika itu. Rupanya isteri
Tuan Haji Ahmad Mansor adalah cikgu Sarah, guru saya sekitar tahun 1962-63.
Seorang guru yang sangat saya senangi dan sayangi.
Sementara
menanti solat Isyak dan sesudah bertahlil Tuan Haji membawa saya berjumpa,
isterinya, cikgu Hajah Sarah. Saya terkedu, setelah lebih lima puluh tiga tahun
akhirnya saya dipertemukan kembali dengan guru yang pernah mendidik saya masa
kecil saya. Allah, tidak terkeluar kata-kata dari diri ini. Amat terharu dan
sangat-sangat gembira bertemu dengan cikgu.Saya kira detik waktu terhenti seketika.
Kami
berbicara sebagai insan-insan yang telah dewasa atau lebih tepat kami
insan-insan yang telah berada di ambang senja. Allah pertemukan kami dalam
suasana yang sangat megharukan jiwa saya. Tiada apa yang boleh saya ucapkan
kepada cikgu Hajah
Sarah melainkan terima kasih yang teramat sangat atas
didikan dan pelajaran yang telah diberikan kepada saya.
Semoga
Allah panjangkan usia cikgu Hajah Sarah dan suaminya Tuan Haji Ahmad Mansor
dan dapat terus berbakti untuk kemaslahatan masyarakat hidup bahagia yang
berkekalan dengan penuh keberkatan jua. aamiin.
No comments:
Post a Comment