Hujan terjadi apabila titik air yang terpisah jatuh ke bumi dari awan. Hujan hadir memainkan peranan yang telah menjadi sunatullah. Kedatangan hujan menyuburkan tumbuhan. Hujan yang turun dari awan dan jatuh ke bumi akan mengalir ke sungai terus ke laut dan proses kitaran semula berlaku.
Apabila hujan turun manusia akan mengelakkan diri dari dibasahi hujan. Lalu diciptakan alat seperti payung dan baju hujan untuk melindungi manusia dari ditimpa hujan. Apabila hujan turun manusia akan terkurung di rumah berlindung di bawah bumbung rumahnya. Banyak sekali aktiviti manusia terhenti. Produktiviti menurun.
Ada manusia yang menanti hujan. Ketibaan hujan membantu mengairi padi di sawah. Ada penulis yang mula menulis apabila hujan turun. Ada pemancing akan mula bergerak mencari parit dan tali air atau turun ke sungai kerana hendak memancing. Ikan haruan dan keli banyak yang keluar dari tempat persembunyian ketika hujan turun. Rezeki buat manusia.
Sesekali kita berhujan boleh mengembalikan ingatan masa lalu buat diri kita. Semalam saya pergi ke bandar raya Kuching untuk menjelaskan hutang motosikal di kedai. Kemudian saya terus ke kedai fotostat untuk membuat salinan beberapa dokumen yang diperlukan. Dalam perjalanan pulang hujan turun dengan lebatnya. Kebanyakan penunggang motosikal berhenti di perhentian bas untuk berlindung dari hujan, tapi saya teruskan jua perjalanan. Sesekali berhujan seronok juga rasanya. Yang pasti, apabila sampai ke rumah, saya terus mandi untuk membersihkan badan yang kuyup oleh timpaan dik hujan, bagi mengelakkan diri dari terkena demam, begitu pesan orang tua.
Apabila hujan turun, penduduk-penduduk kampung Tunku, Kuching akan merasa cemas. Mana tidaknya, hujan yang turun berterusan melebihi dua jam boleh menenggelamkan kawasan kampung kami ini. Ia pernah terjadi dalam tahun 2004. Rumah saya dimasuki air sedalam dua kaki. Dua buah kereta saya terpaksa dihantar ke garaj kerana dimasuki air. Hujan yang turun secara mendadak ditambah dengan suasana air pasang di sungai Sarawak. Pintu baraj pula tidak dibuka, maka tenggelamlah kampung Tunku.
Apabila hujan turun, saya menemui ketenangan dan sedikit kesepian. Hujan sesungguhnya satu rahmat Ilahi dan kita amat mensyukuri kehadirannya. Teringat saya pada senikata lagu kanak-kanak yang pernah saya dan teman-teman nyanyikan dahulu...
Hujan oh hujan,
mengapa engkau turun.
bagaimana ku tak turun,
katak panggil aku...
2 comments:
Salam bang Pharo,
Bila hujan, hati kamek turut risau. Lebih2 lagik bila air sungai pasang besar. Suatu hari, rumah kamek tinggal su-it nya saja lagi air sungai nak mencecah lantai. Alhamdulillah setakat ini, tidaklah pernah sampai kebanjiran.
...dan saya tidak pasti entah berapa tahun lagi saya bertahan tinggal di kampung dalam kedudukan sungai Semariang.
...Buat sementara waktu, saya akan terus tinggal di kampung...
hmmmmm, nak beli perumahan belum tentu tidak banjir seperti yang diceritakan bang Pharo.
Walau apa pun, dugaan dan ujian Allah di mana2...
...Dan ajaibnya, rumah orang kampung lain yang di hadapan jalanraya boleh banjir dibanding rumah saya yang terletak di dalam Reserve Sungai...
Kuasa Allah! Subhanallah...
Sdr Armiza,
Lebih baik banjir di kawasan perumahan daripada banjir di hati.
Salam sastera dan semoga ceria selalu.
Terima kasih kerana terus terusan melawat kamek. Kamek amat menyenangi mkehadiran kitak di teratak maya kamek tuk.
Post a Comment