Thursday, December 06, 2007

GERAKAN KOPERASI : PENYELESAI MASALAH KEMISKINAN?


Penabahari bersama Tuan Haji Mohd Effendi Hj Tready, mantan Pengarah Pembangunan Koperasi Sarawak semasa bertugas di JPK sekitar tahun 1991
Hari ini, seperti hari-hari sebelumnya, saya mulakan kehidupan harian di waktu pagi dengan membaca akhbar tempatan dan nasional untuk mengetahui peristiwa-peristiwa yang berlaku di sekeliling, selain mengunyah rencana-rencana yang dihidangkan oleh para penulis dengan topik yang pelbagai. Menarik dan mencabar minda kadang-kadang. Seperti biasa, tidak terlepas dari pandangan , iklan-iklan pelbagai perkara. Saya tertarik dengan beberapa buah iklan bersaiz sederhana besar yang pasti memancing perhatian pembaca. Antara yang diiklankan yang boleh saya petik tajuknya ialah " SKIM PINJAMAN KOPERASI" dan "PINJAMAN KOPERASI- Khas untuk kakitangan Kerajaan". Intipati iklan ini hanyalah tentang skim pinjaman wang yang dikendalikan oleh pihak-pihak tertentu yang bekerjasama dengan "Koperasi" yang akan menguruskan pembayaran balik melalui potongan gaji. Umum mengetahui Kerajaan Persekutuan dan Negeri ada menyediakan kod potongan untuk kegunaan ANGKASA (sebuah koperasi kategori atasan/Apex cooperative). Kakitangan Kerajaan yang membuat pinjaman melalui skim pinjaman koperasi akan membuat pembayaran balik melalui potongan gaji bulanan.

Apa pun, tulisan saya ini bukan membicarakan tentang iklan koperasi itu, tetapi sekadar untuk memberi sedikit pandangan tentang gerakan koperasi di Sarawak, khususnya, yang mana saya pernah terlibat suatu ketika dahulu, sebagai seorang juruaudit di Jabatan Pembangunan Koperasi Sarawak sekitar tahun 1986 - 1991 dan selaku Setiausaha Koperasi (2001- 2006) semasa berkhidmat di Jabatan Perbendaharaan Negeri Sarawak.

Apakah sebenarnya gerakan koperasi ini? Terlalu banyak tafsiran dan definisi tentang koperasi yang yang diberikan oleh pelbagai pihak yang berhubungan dengannya. Akta Koperasi 1993 mentafsirkan koperasi sebagai " sesuatu pertubuhan yang terdiri daripada orang-orang individu sahaja dan yang matlamatnya ialah untuk meningkatkan kepentingan ekonomi anggota- anggotanya mengikut prinsip-prinsip koperasi."

Ikatan Koperasi Antarabangsa (International Cooperative Alliance - ICA) pula mentakrifkan koperasi sebagai " pertubuhan autonomi manusia yang bersatu secara sukarela untuk memenuhi aspirasi dan keperluan asas ekonomi masyarakat dan budaya, melalui pemilikan bersama sebuah perusahaan yang dikawal secara demokratik. Koperasi boleh juga didefinisikan sebagai sebuah perniagaan yang dimiliki dan dikawal oleh orang-orang yang menggunakan khidmatnya." Begitu sebahagian tafsiran yang boleh dipetik.

Berbicara tentang sejarah penubuhan koperasi, saya lebih senang mengingati diri tentang perjuangan penduduk-penduduk pekan Rochdale, England yang berjuang membela nasib mereka sendiri dengan menubuhkan sebuah koperasi. "Semangat Rochdale" ini cukup dirasai oleh mereka yang terlibat dengan koperasi.

Pada awal tahun 1840an, Rochdale merupakan sebuah pekan kecil di England yang mempunyai penduduk seramai 25,000 orang. Ekonomi Rochdale ketika itu bergantung kepada aktiviti perusahaan tekstil. lombong arang batu dan aktiviti pertanian. Semakin maju perusahaan industri tekstil, semakin sukar pula kehidupan penduduknya yang rata-rata bekerja sebagai penenun khususnya aktiviti penenunan flanel (kain panas yang berbulu).

Desakan dan kesukaran hidup yang semakin perit memberi ruang kepada mereka untuk berfikir dan mencari ide bagaimana hendak membebaskan diri dari kemelut kemiskinan yang semakin meruncing yang terus menerus menghantui mereka. Walaupun mereka terdiri daripada penenun flanel ironinya wanita Rochdale hanya dapat menggunakan kain buruk untuk menutupi tubuh mereka tanpa selimut untuk tidur. Kemiskinan adalah ditahap yang menyedihkan. Begitulah keadaan penduduk Rochdale ketika itu. Lantas timbul cadangan untuk menubuhkan sebuah koperasi. Beberapa percubaan dibuat dan telah menemui kegagalan sebelum mereka mencapai kejayaan pada akhirnya.

Apakah rahsia kejayaan koperasi Rochdale? Mengikut maklumat yang saya kutip di laman Wikipedia, Rochdale berjaya menarik minat umum melalui amalan barangan berkualiti, timbangan yang betul, sukatan yang jujur dan amalan pembelian tanpa unsur penipuan dan rasuah. Dengan lain perkataan penggerak koperasi Rochdale menjadikan integriti sebagai prinsip perjuanagan. Sesungguhnya penipuan, jualan yang tidak jujur dan rasuah sudah menjadi amalan golongan peniaga ketika itu. Kelahiran Koperasi Rochdale(Rochdale Society of Equitable Pioneers) memberi sinar baru kepada kehidupan masyarakat. Malah, amalan jual beli yang beretika inilah yang menjadi asas kejayaan dan kemajuannya.

Di Sarawak, gerakan koperasi bermula sekitar tahun 1949 dengan berkuatkuasanya Undang- undang Koperasi, Ordinan Koperasi 1949 (Cap. 66 of The Lawas of Sarawak) dan kaedah- kaedah yang dibuat di bawahnya, sehingga berkuatkuasa Akta Koperasi 1993 (Act 502).

Berikut adalah sebahagian statistik tentang gerakan koperasi di Sarawak, yang saya petik dari sesawang Jabatan Pembangunan Koperasi Malaysia, untuk tempoh sehingga 30 Jun 2007:

Bilangan Koperasi : 456 buah
Jumlah Anggota: 309,377
Modal Yuran/Syer Terkumpul : RM125,134,707.00
Jumlah Aset: RM255,957,351.00

Penduduk Sarawak ketika ini dianggarkan seramai 2.5 juta orang dan daripada jumlah tersebut hanya 309,377 atau dua belas peratus sahaja yang menjadi anggota Koperasi. Statistik ini tidak termasuk anggota koperasi yang menjadi ahli lebih dari sebuah koperasi. Untuk melihat koperasi menjadi penjana ekonomi negara dan penduduknya pada masa hadapan, usaha lebih giat dan tindakan proaktif perlu diambil oleh pihak berwewenang bagi memperkenalkan koperasi kepada masyarakat Sarawak.

Sewaktu bertugas di Jabatan Pembangunan Koperasi, Sarawak sekitar tahun 1986 - 1991, saya melihat koperasi-koperasi boleh hidup subur dan didukungi penduduk luar bandar dengan bimbingan dan penerangan yang sempurna. Saya mengambil contoh gerakan koperasi di daerah Serian ketika itu sebagai gerakan koperasi yang maju dan bersatu. Koperasi-koperasi berdaftar di sekitar daerah Serian seperti Koperasi Bunan Gega, Koperasi Tebakang Bidayuh dan Koperasi Mujat adalah anatara contoh koperasi yang cukup cemerlang prestasi ketika itu dan mendapat dukungan dan sokongan padu penduduk-penduduk kampung. Koperasi-koperasi ini sangat progresif dan berjaya. Kejayaan dapat dicapai kerana para anggotanya yang terdiri daripada penduduk kampung memahami konsep berkoperasi dan faedah-faedah yang mereka perolehi sebagai ahli.

Di Bandar Raya Kuching juga terdapat koperasi-koperasi yang besar dan mempunyai aset dan modal yang banyak.Contohnya Koperasi Pekerja Kerajaan Sarawak Berhad (KO-Perkasa), Koperasi ANIB Berhad dan Koperasi Polis Di Raja Malaysia Sarawak Berhad (KOPODIMS). Koperasi-koperasi ini didukungi oleh para anggota yang kebanyakannya kakitangan kerajaan. Koperasi-koperasi ini menjalankan aktiviti pinjaman dan simpanan wanga sebagai salah satu aktiviti utama mereka. Telah menjadi lumrah jumlah simpanan adalah terlalu sedikit jika dibandingkan dengan jumlah pinjaman. Dalam keadaan sekarang bilaman pinjman-pinjaman boleh didapati daripada bank-bank swasta dengan kadar faedah pinjaman yang agak berpatutan adalah agak sukar bagi koperasi untuk menandingi dan bersaing dengan bank-bank swasta. Dalam keadaan demikian koperasi perlu melihat kembali prinsip-prinsip koperasi dan mengambil langkah-langkah sesuai bagi memulihkan keadaan. Tidak salah bagi kita untuk menjenguk kembali sejarah lama bagi mempelajari amalan-amalan yang baik daripada mereka yang pernah melalui saat-saat sukar dan dapat mencapai kejayaan seperti halnya dengan penduduk-penduduk Rochdale.

Salah satu perkara yang perlu dititikberatkan oleh koperator dan juga pembimbing- pembimbing sama ada dari pihak Jabatan Pembangunan Koperasi mahupun dari Maktab Kerjasama Malaysia ialah pengetahuan tentang koperasi. Mengapa koperasi diwujudkan? Apakah objektif koperasi ditubuhkan? Ke mana arah perjuangan koperasi? Di mana halatujunya? Tidak cukup hanya dengan memberi pinjaman kepada para anggota koperasi, koperator sebaliknya harus mengambil berat apa tujuan pinjaman diberi. Apakah pinjaman yang diberi oleh koperasi itu bertujuan untuk menjana pendapatan tambahan untuk anggotanya atau hanya untuk suka-suka. Membuat pinjaman kerana semata-mata hendak meminjam. Menjadi satu tanggungjawab koperasi dan pentadbirnya, termasuk pihak berwewenang memberi maklumat dan ilmu berfaedah kepada para anggota supaya tujuan kewujudan koperasi dapat dimengerti.Jika kepentingan berkoperasi tidak ditekankan dengan jelas, ada kemungkinan gerakan koperasi akan hanyut dan akan wujud suasana koperasi menjadi kuda tungganga kapitalis untuk faedah peribadi dan tidak lagi untuk kepentingan masyarakat dan anggotanya. Suasana seperti ini jika tidak dibendungkan menggalakkan kelahiran "Pseudo-cooperative" (Syarikat berbulu koperasi?). Kewujudan "pseudo-cooperative" pasti akan menjadi cabaran yang getir yang perlu ditangani oleh pihak berkuasa, khususnya Jabatan Pembangunan Koperasi selaku pihak yang bertanggungjawab mendaftar koperasi dan membatalkan pendaftarannya. Kehendak Undang-undang perlu dipatuhi dandikuatkuasakan, jika tidak, keyakinan masyarakat terhadap koperasi akan luntur. Ini pasti akan menjejaskan harapan dan cita-cita negara untuk melihat koperasi bergerak dengan efisien, begandingan dalam membangun negara tercinta. Jabatan Pembanunan Koperasi perlu melihat cabaran-cabaran yang ada sekarang dan menanganinya dengan bijaksana agar imej koperasi dan prestasinya boleh dipertahankan.
Koperasi boleh berperanan sebagi pemangkin kepada peningkatan taraf hidup penduduk luar bandar. Koperasi adalah alat yang paling sesuai untuk memerangi kemiskinan. Koperasi merupakan saluran yang amat sesuai bagi kerajaan menyalurkan bantuan kepada rakyat supaya rakyat boleh membantu diri mereka sendiri. Saya yakin koperasi pasti akan memberi impak yang positif dan berkesan dalam memajukan masyarakat dan negara jika diberi peluang. Yang penting di sini amalan berkoperasi perlu mematuhi dengan tegas prinsip-prinsip perjuangan koperasi yang sudah sedia termaktub.

(Utusan Sarawak, Ahad, 9 Disember 2007)









No comments: