Monday, February 11, 2008

Generasi Hari Ini

Sesekali kita ingin melihat dunia hari ini kembali ke zaman silam ketika suasana mamsih segar dan mulus. Kehidupan dipenuhi dengan kebijaksanaan moden, keyakinan diri yang tinggi disulami kekayaan budaya bangsa. Negara dibanjiri rakyat yang berilmu pengetahuan, sedia merobah bumi ini menjadi sebuah negara yang berwibawa dan dihormati dunia.

Kehidupan silam dipenuhi dengan keindahan dan kebajikan dalam pelbagai segi. Budaya cantik, budi bahasa elok. Budaya saling menghormati dipertahan. Orang tua berbicara dengan anak muda bahasanya elok, memberi pendidikan secara langsung kepada pertumbuhan minda anak-anak, menjadikan mereka generasi yang baik dan berbudi tinggi, tanpa kompromi dalam mencapai kebijaksanaan.
Apa yang telah berlaku pada masyarakat hari ini. Dalam banyak segi kehidupan tunggang langgang. Anak muda tidak menghormati orang tua. Di satu peringkat, guru-guru di sekolah takut pada murid-muridnya. Kegiatan samseng semacam telah menjadi satu budaya anak muda. Setiap hari kita disajikan dengan berita keganasan dan kepincangan masyarakat. Kes rogol, peras ugut, bunuh dan apa jua yang negatif mendapat tempat di dada akhbar.
Masyarakat hari ini berdepan dengan generasi bijak pandai tapi sifar budi bahasa. Fesyen pakaian tidak langsung melambangkan budaya timur. Maruah dan kehormatan dicampakkan ke lembah yang paling dalam dan jijik. Kehidupan berkeluarga telah tidak dihargai. Isteri di rumah ditinggal kesepian sedang si suami berpesta bersama betina dari negara luar. Hasil pergaulan yang tidak mengikut norma kehidupan ini, lahirlah bayi-bayi tanpa bapa yang sah. Anak-anak ini membesar menjadi manusia yang tidak terpimpin, menambah lagi kerosakan alam. Anak-anak ini hidup tanpa kasih sayang. Kehidupan yang dijalani seperti melalui labirin yang gelap dan berliku.
Lalu di mana silapnya. Apa yang telah berlaku terhadap masyarakat kita. Mengapa tiba-tiba dalam jangka waktu puluhan tahun sahaja suasana berubah dengan pusingan tiga ratus enam puluh darjah. Tentu sekali ada kesilapan yang telah dilakukan. Ingat kata pepaatah, "Guru kencing berdiri, anak murid kencing berlari" dan "ketam mengajar anaknya berjalan lurus." Kita tentu sekali arif akan maksudnya.
Sebagai pemimpin di semua peringkat kita perlu menunjukkan kepada anak-anak model yang patut menjadi ikutan. Bagaimana hendak mendidik anak-anak supaya bersopan santun sedang kita sendiri mempelopori segala jenis kemungkaran dan kehidupan negatif. Setiap hari apa yang kita lihat? Kata-kata kesat, sumpah seranah, fitnah , aniaya dan segala jenis keburukan kita pamerkan kepada anak-anak melalui melbagai media yang ada.
Mmasih belum terlambat bagi kita untuk memperbetulkan keadaan. masih ada peluang untuk kita kembali ke zaman silam yang penuh kehalusan budi dan kesenian kata-kata tetapi dengan kebijaksanaan dan kepandaian yang memuncak. Kita sendiri harus memimpin mamsyarakat kita, orang di sekeliling kita, rakyat kita, pekerja kita, anak murid kita, menuju ke destinasi yang betul. Yang paling utama kita harus tahu ke mana arah kita. Kalau kita masih kabur tentang arah d an haluan masa muka, bagaimana hendak memimpin. Kalau kita sendiri yang berperangai seperti anak-anak yang menangis jika tidak diberi gula-gula, jangan harap akan ada perubahan.
Fikir-fikirkanlah nasib masa depan dan arah haluan bangsa. Janagan nanti tercatatmenjadi sejarah bahawa kita adalah generasi yang telah menghancur leburkan masyarakat, yang telah merosak punahkan budaya bangsa. Jangan biarkan kita dirakam sejarah bangsa sebagai generasi yang meranapkan harapan dan cita-cita bangsa.

2 comments:

CT said...

Semuga Allah memberikan hidayah kepada pemimpin-pemimpin kita dan anak bangsa kita yang telah tersasar untuk kembali kepangkal jalan.
Semuga Allah melindungi kita dan keluarga kita...Amien!

Pena_bahari said...

Saya mengaminkan doa CT. Pimpinan bermula dari peringkat yg paling rendah. Elok pimpinan di bawah insyaallah akan eloklah yang di atas. Semoga kita diberi perlindungan dari segala kemungkaran.