Thursday, December 04, 2008

ULASAN BUKU - BINGKAI WAKTU(1)

Ulasan buku yang disiarkan di dalam Majalah Dewan Sastera bulan Disember 2008 ini (muka surat 9)

Huraian Persoalan Secara Kritis dan Analitis

Judul: Bingkai Waktu
Penulis: Pharo Abdul Hakim
Penerbit: Dewan Bahasa dan Pustaka
Harga: RM15.00
Pengulas: Hassan Alias

Penyair mencatatkan banyak perkara sepanjang perjalanannya menelusuri waktu yang tiada kesudahannya. Catatan itu terhasil daripada kembara, pemerhatian dan penghayatan. Hati penyair mudah terdetik apabila menyaksikan kepelbagaian degap-degup kehidupan yang berlangsung di hadapan mata.
Bingkai Waktu mungkin rakaman pengalaman penyair yang boleh direnung oleh khalayak sebagai pedoman melayari kehidupan yang pelbagai rencah dan resam ini. Dalam "bingkai waktu"nya penyair mempamerkan teriak dan gelisah manusia dan alam yang terabai. Di sana sini kedapatan insan yang terpaksa melalui kehidupan ini umpama meniti bara.
Sesuai dengan latar penyair yang berasal dari Sarawak, wajarlah beliau lebih banyak menitipkan suara-suara dari daerah kelahirannya. Penyair turut merakamkan suara alam dan penghuninya yang tertindas, terabai dan disalagunakan. Umpamanya puisi "Monolog Bario" yang merakamkan kesempitan rakyat yang tinggal jauh di pedalaman. Mungkin masyarakat Brio pernah dijanjikan sesuatu oleh pemerintah, tetapi hanya pada kata-kata. Ungkapan penyair dalam rangkap terakhir sangat menyentuh jiwa:
...
sepi menjalar di Ulunbg Palang
ketika janji tinggal di tepi
malam-malam yang berlalu ditemani pilu
cahaya yang tiba dengan bergaya
namun sinar sedetik cuma.

Penyair merakamkan keperitan segelintir manusia mengharungi kehiidupan dengan seribu kepayahan. Antaranya siri puisi "Perempuan Tua" yang mungkin sahaja kedapatan di mana-mana -di kota, di desa, di negara bergolak dan sebagainya. Puisi "Perempuan Tua dan Kota" menggambarkan seorang wanita yang terpaksa hidup bergelut di tanah air sendiri walaupun dia leluhur bangsa yang mempertahankan pertiwi daripada petualang. Malangnya, dia hanya mencari rezeki dengan mengutip sampah:
...
Perempuan tua itu
adalah teman setia
pusat pelupusan sampah kota
membina kehidupan masa depan
di dalam kota cinta
dengan kesungguhan dan ketekunan

Pharo seorang pemerhati sosial dan politik yang teliti. Banyak keserabutan sosial yang disaksikannya terakam dalam kumpulan puisi ini. Beliau menggambarkan kehidupan desa yang serba serbi kurang dan kehidupan kota raya yang serba sofistikated, tetapi kekurangan kemanusiaan. Penyair juga mencatatkan tingkah laku ahli politik yang pandai berjanji hanya untuk menagih sokongan, tetapi menghilang setelah impian menggapai kuasa tercapai.
Bingkai Waktu yang menghimpunkan lebih 100 buah puisi bukan setakat rakaman biasa kehidupan, malah penyair menghuraikan persoalan dengan mata pena yang kritis dan analitis. hati akan terkocak menghayati kumpulan puisi yang indah ini.

No comments: