padang badminton tempat kami bermain di hadapan rumah Fatimah Hj Salleh
Pelajar-pelajar SK Pulo. Foto ini dipinjamkan kepada saya oleh sdr Usup Amit.Saya masih tak pasti siapa pemiliknya dana tahunberapa foto ini dirakam . Yang pasti ia selepas 1966 dilatari SK Pulo yang baru yang terdapat di Kpg Semarang.
MASA UNTUK BERMAIN
Bagi kanak-kanak yang
tinggal di kampung era enam puluhan sebahagian besar masa dihabiskan dengan
bermain. Pelbagai jenis permainan dimainkan mengikut musimnya, antaranya, main
senapok, jengkek, seremban, tembak gelang getah, guli, Wau/gudi/layang-layang,
lumba rim basikal, lumba prauk bemban dan tidak ketinggalan berenang di sungai
Sarawak.
Setelah kembali dari bersekolah dan
selesai makan tengah hari, masa akan diisi dengan bermain. Kanak-kanak hanya
akan kembali tatkala senja hampir tiba. Pabila suara ibu berteriak memanggil
pulang. masing-masing akan berlari ke rumah. Sebahagian akan terus ke tebing
sungai dan mandi di sungai Sarawak.
(i)
Main Senapok
Dalam bahasa Inggerisnya kita sebut permainan "hide and seek". Sebuah
tin kosong diisi beberapa butir batu kemudian ditutup mulut. Apabila dikocak ia
akan mengeluarkan bunyi. Seseorang akan bertugas mencari di mana teman-teman bersembunyi.
Apabila ditemui dia akan mengocak tin tersebut. Tugas yang bersembunyi ialah
cuba mengocak tin tersebut tanpa namanya disebut oleh si pencari. Jika ia
berjaya, si pencari akan kekal mencari.
(ii)
Lumba Rim Basikal
Ia perlumbaan biasa antara peserta yang akan
mengelilingi padang sekolah di kampung Pulo. Peserta akan berlari sambil
menggunakan sebatang kayu untuk menggerakkan rim basikal agar berputar. Yang
seronoknya ada ketika kita dapat hadiah jika dapat no satu, dua atau tiga.
Hadiah dibeli dengan menggunakan wang kutipan antara peserta yang ikut serta.
(iii)
Lumba Prauk/Lumba Perahu
Apa yang dimaksudkan dengan lumba perahu di sini
bukan berlumba dengan perahu di sungai. Sebaliknya ia merupakan lumba lari
dengan setiap peserta akan membawa di tangannya sebatang pohon bemban yang
dibentuk menyerupai perahu lumba lengkap dengan nama perahu. Biasanya permainan
lumba perahu ini bermusim. Ia akan bermula selepas diadakan pesta lumba perahu
di sungai Sarawak.
(iv)
Main
Bermain dengan guli sangat popular masa lalu. ada
beberapa jenis permainan dimainkan dengan guli. Yang biasa saya main ialah main
guli "put" yang memerlukan sebuah lubang uuntuk memasukkan guli dan
juga untuk memangkah guli kita dengan guli musuh. Rasanya saya banyak dah lupa
cara bermain guli.
(v)
Lain-lain permainan:
Main seremban biasanya merupakan permainan
kanak-kanak perempuan, namun ada juga lelaki yang bermain. Jengkek pula
permainan melompat di atas petak yang dilukis pada tanah. Saya kira permainan
jengkek ini terdapat di kebanyakan negara di dunia. Mungkin bermain berbeza
sedikit sebanyak.
Masuk hutan untuk melastik burung sangat
menyeronokkan waktu itu. Bukan sahaja burung yang menjadi mangsa, buah mempelam
di kebun orang yang dilalui ikut dilastik sama. memikirkan kembali apa yang
dilakukan masa kecil dulu timbul juga kekesalan di hati.
Zaman kanak-kanak merupakan zaman yang sangat
menggembirakan. Zaman yang tidak mungkin kembali namun mengingatinya sudah
cukup untuk mengembalikan kegembiraan di hati kita.
No comments:
Post a Comment