Tentang Banjir, Pelajo, Engkabang dan Rebak
Allahyarham Habibah Matakip, emak saudara yang bertugas mengambil air di pangkalan besi buat keluarga kami. Allahyarham merupakan adik kepada Allahyarham ibu kami.
Wajah saya sekitar tahun 1963-64
Keluarga kami mula
menetap di Kampung Pulo Hilir Kuching pada tahun 1962. Kami berpindah dari
rumah sewa yang disediakan secara percuma oleh datuk Abdul Shakoor, bapa
saudara kepada bapak di Batu Lintang, Kuching. Hari ini tempat tinggal kami itu
adalah bersebelahan dengan bangunan Dirgahayu.
Kami berpindah di kampung kerana
keadaan kesihatan ibu yang sentiasa terganggu. Di Kampung ibu berubat dengan
seorang saudara ibu yang kami panggil
Nek Leh, seorang dukun yang sangat terkenal menetap di kampung Panglima
Seman Ulu. Nek Leh telah memulihkan semangat ibu melalui proses perubatan
tradisi sehingga ibu kembali sihat seperti sediakala.
Kerana perpindahan itu saya ikut
berpindah sekolah dari Sekolah Rendah Lumba Kuda ke Sekolah Rendah Pulo( waktu
itu dikenali dengan nama Pulo District Council School), yang terletak di Kpg
Pulo Hilir. Jika boleh saya gambarkan sekolah kampung Pulo masa itu, ia sama
dengan sekolah dewasa yang terdapat dalam filem Tan Sri P. Ramlee, Pendekar
Bujang lapok. Sebuah bangunan kayu beratap nipah, bertiang nibong dan dinding
separuh sahaja. Rumah kami terletak tidak jauh dari sekolah di tebing sungai
Sarawak. Hari ini lokasi rumah kami telah hilang dibawa arus deras. Tembang
rumah telah berada di dalam sungai.
Pabila mengingati rumah di tebing
sungai itu terasa benar rindu saya pada kehidupan di tebing sungai. Semacam ada
ketenangan semulajadi menyusup ke dalam sanubari. Namun pada ketika itu apa
yang dikhuatiri oleh orang tua hanyalah kedatangan banjir yang apbila ia
mencapai maksimumnya hampir mencecah hingga ke lantai rumah kami. Namun banjir
begitu tidak selalu berlaku.
Waktu banjir hadir ketika musim landas
antara bulan November hingga Mac. Kemuncaknya antara Disember dan januari.
Musim landas atau tengkujuh ini banyak juga membawa rezeki kepada kami penduduk
tebing sungai. Ketika air surut ia akan membawa sama buah engkabang dan buah
pelajo. Buah engkabang saya difahamkan boleh diproses untuk membuat minyak
engkabang dan buah pelajo pula digorung atau rebus biji/isinya. Rasanya sedap .
Hari ini pabila mengunjungi pasar minggu di Kubah Ria saya tidak lupa membeli
pelajo jika ada yang berjual.
Selain Pelajo dan engkabang, kebiasaan
kami menggunakan perahu mengutip rebak, yakni dahan-dahan kayu pelbagai rupa
yang hanyut untuk dijadikan kayu api. Ada ketika jika bernasib baik kami
bertemu kayu balak yang hanyut. Biasanya ia hanayut mungkin kerana terlepas
ikatan dari motobot yang menundanya. Sebatang kayu balak yang ditemui itu boleh
dijadikan kayu api untuk sebulan.
Untuk bekalan air paip, mak saudara
saya bersama teman-teman akan mengambilnya dari paip yang terletak di pangkalan
besi, sebrang sungai Sarawak tempat tingggal kaum Heng Hua. Air akan diletakkan
di dalam tin roti dan ada juga yang membawa tempayan. Kehidupan di tahun-tahun
enam puluhan agak sukar dan mencabar.
Hari ini penduduk kampung Pulo Hilir
padat sekali. Dengan pembangunan Darul Hana sangat diharapkan kehidupan
penduduk kampung Pulo Hilir dan jiran-jiran di seberang hilir akan dapat
merasai kehidupan yang lebih selesa dengan infrastruktur yang sempurna dan
teratur. Kita telah lima puluh tahun merdeka dan harus ada perubahan yang
drastik sesuai dengan kemerdekaan negara.
No comments:
Post a Comment