Monday, January 08, 2018

KEHIDUPAN DI KAMPUNG PULO HILIR KUCHING (19)


DARI KAMPUNG PULO HILIR KE SMK ST THOMAS (1)


Tahun 1967 saya menyambungkan pelajaran ke peringkat sekolah menengah. Saya diberi peluang belajar di SMK St Thomas, Kuching, sebuah sekolah mubaligh Kristian, atas bantuan dan dorongan guru besar SK Pulo 1967 – Cikgu Haji Kiflie Hj Ahmad.
Dari kampong Pulo Hilir ke SMK St Thomas saya berjalan kaki merentasi kampong Pulo Ulu, Kampung Semarang, Kampung Panglima Seman Lama dan Kampung Panglima Seman Ulu. Di Kampung Panglima Seman Ulu saya menyeberangi sungai dengan menaiki perahu tambang.

Di seberang kampong Panglima Seman Ulu ketika itu terdapat kilang papan dan terdapat juga sebuah kilang membuat mancis untuk jenama mancis  SARAWAK Match factory. Saya kira kilang itu sudah lama gulung tikar.

Dari pangkalan saya berjalan merentasi Jalan padungan. Dalam perjalanan akan melintasi kedai-kedai dan juga pawagam Odeon yang popular dengan tayangan  “Morning show”nya dimana tiket untuk menonton hanya berharga 30 sen untuk depan dan 50 sen untuk baris belakang. Dari Padungan saya akan melalui Jalan menuju bukit mata Kuching kemudian menuruninya hingga bertemu pawagam Rex. Saya kira jauh perjalanan sekita 5 km. Ia dilalui pagi dan petang.

Tahun 1969 saya tidak lagi menggunakan penambang di Kampung Panglima Seman Ulu. Saya teruskan perjalanan melalui kampong Sourabaya hilir, Sourabaya Ulu, Gersik dan Boyan sebelum menaiki perahu tambang di pangkalan Kampung Boyan. Saya kira jalan ini lebih pendek sedikit dan saya banyak teman berjalan bersama , antaranya Allahyarham Wan Mortadza bin Wan Moss, Wan Shardini bin Wan Salleh dan beberapa orang teman lain yang juga bersekolah di SMK St Thomas.

Lima tahun belajar di SMK St Thomas. Tahun pertama saya berjalan kaki. Tahun kedua saya mula memakai bas jika wang cukup. Jika tak cukup mulalah membetis. Wang saku yang ayah beri sebanyak RM1.00 untuk lima hari. 10 sehari untuk tambang perahu dan 10 sen lagi untuk belanja di kantin. Di kantin saya punya pilihan sama ada nak minum kacang cendol atau makan roti berinti mentega. Saya kena pilih satu sahaja kerana harganya 10 sen.

Ada ketika jika mak ada duit dia tambah wang saku saya dapatlah makan dan minum sekali. Jika tak ada alamatnya makan roti dengan air paip sahajalah. Saya ingat ketika itu rotinya sangat sedap sekali. Yalah, kita taka da duit semua abarang Nampak sedap.
Ada seorang teman sekelas saya membawa mi goreng untuk dijual dengan harga 10 sen. Dengan teman ini saya sempat juga makan mi yang beliau jual dan beliau tak keberatan menjual kepada saya dengan kredit..hehe.

Pengetua SMK St Thomas ketika saya mula belajar di sana ialah Father Wellington. Waktu hujung minggu kami ikut sebuah kelab sekolah yang akan pergi ke rumah orang tua dan membantu membersihkan kawasan sekitar rumah tersbut. Terlupa pula saya nama kelab itu.

Anakanda Nurul Hakimah meneruskan legasi mlanjutkan pelajaran di SMK St Thomas tapi untuk sebulan sahaja sebelum menyambung pengajiannya di UiTM Dengkil.



Saya kira cukup dulu untuk kali ini. Terlalu banayak cerita ketika berada di SMK St Thomas. Nanti saya sambungkan lagi pengalaman di sana.

Sunday, August 20, 2017

KALA MENTARI MENARI

KALA PAGI MENARI

Kelopak bunga didakap embun
kala pagi menari
tiung menyanyi
dahina telah kembali

mengapakah masih ada yang bermimpi?


31.7.13

Saturday, August 13, 2016

KEHIDUPAN DI KAMPUNG PULO HILIR KUCHING (18) BERTEMU CIKGU HAJAH SARAH


Bertemu Cikgu Hajah Sarah  

Malam tadi saya hadir majlis tahlil malam yang ketujuh kembali kerahmatullah anakanda Nuramirah Ikmal binti Kamil, puteri bongsu Dr Kamil Salem, seorang sahabat dan saudara terdekat saya.

          Saya datang awal sebelum maghrib dan berpeluang berkenalan dengan Tuan Haji Ahmad Mansor, mantan Setiausaha sulit kepada Dato Sri Abang Zohari dan sempat berbual-bual dengannya sementara menunggu waktu solat.

Mulanya kami bercakap tentang hujan yang turun lebat petang hari jumaat. Hujan dan panas mengingatkan kami cuaca musim lalu, sekitar 1960an dan 70an yang man putarannya tepat. Jika sampai bulan November hingga Mac, hujan akan kerap turun di negeri kami, maknanya itu musim landas atau dengan terma yang lebih dikenali ramai, musim tengkujuh.

          Percakapan kami berlanjutan menyentuh suasana hidup yang serba kekurangan ketika itu, tiada paip air di rumah, jalan becak masa hujan dan berdebu masa panas. Di kampung saya, kampung Pulo Hilir, kami berjalan di atas batang nyiur yang dijadikan titian untuk mengelak becak. Di kampung hanya terdapat "stand pipe" yang diletakkan di tempat strategik untuk digunakan oleh penduduk kampung secara bersama dan berkongsi.
          
Kami sentuh juga peranan guru ketika itu, bagaimana kami dirotan guru dan tidak berani pula menceritakan kepada ibu bapa kerana jika kami ceritakan, maka ibu atau bapa akan tambahkan lagi hukuman dengan merotan kami.Bagi ibu bapa zaman kecil kami, cikgu yang merotan itu mengajar anak supaya menjadi manusia berguna. Cikgu adalah seperti keluarga bagi ibu bapa. Cikgu adalah insan yang sangat-sangat dihormati di kampung-kampung ketika itu. Kami melihat suasana hari ini dan kadang-kadang bertanya kepada diri kami, "Di mana silap kita?"

          Ketika bercerita tentang sekolah rendah saya beritahu Tuan haji Ahmad yang saya belajar di SK Pulo ketika di sekolah rendah tahun enam puluhan dulu. Tuan Haji Ahmad maklumkan saya isterinya pernah mengajar di SK Pulo ketika itu. Rupanya isteri Tuan Haji Ahmad Mansor adalah cikgu Sarah, guru saya sekitar tahun 1962-63. Seorang guru yang sangat saya senangi dan sayangi.

          Sementara menanti solat Isyak dan sesudah bertahlil Tuan Haji membawa saya berjumpa, isterinya, cikgu Hajah Sarah. Saya terkedu, setelah lebih lima puluh tiga tahun akhirnya saya dipertemukan kembali dengan guru yang pernah mendidik saya masa kecil saya. Allah, tidak terkeluar kata-kata dari diri ini. Amat terharu dan sangat-sangat gembira bertemu dengan cikgu.Saya kira detik waktu terhenti seketika.

          Kami berbicara sebagai insan-insan yang telah dewasa atau lebih tepat kami insan-insan yang telah berada di ambang senja. Allah pertemukan kami dalam suasana yang sangat megharukan jiwa saya. Tiada apa yang boleh saya ucapkan kepada cikgu Hajah
Sarah melainkan terima kasih yang teramat sangat atas didikan dan pelajaran yang telah diberikan kepada saya.

          Semoga Allah panjangkan usia cikgu Hajah Sarah dan suaminya Tuan Haji Ahmad Mansor dan dapat terus berbakti untuk kemaslahatan masyarakat hidup bahagia yang berkekalan dengan penuh keberkatan jua. aamiin.


Friday, August 05, 2016

1001 CATATAN KEHIDUPAN: Catatan dua

Catatan 2: Hampir lemas di dalam telaga

Ayah saya bekerja sebagai penjaga sebuah kilang papan (atau mungkin juga kilang getah, saya kurang pasti) yang terletak di tebing Sungai Sarawak bertentangan dengan kampung Bintawa di seberangnya. Tempat itu sekarang merupakan bekas tapak SESCO Western Region. Berhampiran kawasan itu juga dulu terdapat kilang-kilang seperti Si Hup Distillery dan juga kilang membuat minyak makan.

          Di hadapan rumah pekerja yang disediakan oleh majikan ayah terdapat sebuah telaga yang airnya kami gunakan untuk mandi. Begitulah kehidupan sekitar lim tahun-tahun puluhan dan enam puluhan, telaga memainkan penting dalam kehidupan seharian masyarakat kampung seperti peranan air paip hari ini.

          Tidak semua keluarga mempunyai telaga. Kami beruntung kerana telaga terdapat berhampiran rumah kami dan tiada rumah lain kecuali satu dua buah rumah pekerja dan sebuah rumah milik penjaga kerbau di situ. Kami berkongsi menggunakan telaga ini untuk mandi dan mencuci pakaian. Air minuman kami dapati dari air hujan yang ditapis dengan sebuah penapis batu yang besar selain mendapat air paip yang saya kurang ingat di mana letaknya.


          Suatu pagi saya mandi bersama ayah dan kakak saya di tepi telaga. Tanpa pengetahuan ayah saya menuruni sebuah tangga besi di tepi telaga itu namun genggaman tangan saya terlepas dan saya terjatuh ke dalam telaga. Masih dapat saya rasakan betapa saya cuba mencari tempat untuk berpaut sedang air mula memasukihidung dan mulut. 

Seketika saya merasai rambut saya digenggam erat dan saya ditarik keluar dari telaga. Entah apa yang saya rasai ketika itu, tidak dapat saya lukiskan. Hanya beberapa ketika selepas itu saya mula menangis. Usia saya ketika itu mungkin lima atau enam tahun. Allah panjangkan usia saya dan saya berpeluang menceritakan peristiwa ini kepada anak cucu. 

Kehidupan masa lalu amat sukar dan perit dengan prasarana dan kemudahan awam yang sangat terbatas. Awal tahun 50an saya tidak menemui air paip di rumah. Mungkin ada air paip untuk awam kerana masa lalu di setiap tempat strategik akan disediakan paip awam untuk kegunaan masyarakat setempat.
Foto sekadar hiasan: 
Kakak saya, Hajah Sayara bersama Ibu Saudara Almarhumah Habibah Takip dan seorang jiran dan teman keluarga kami, Ustazah Hjh Kalimah berpotret selepas majlis khatamal Qur'an di kpg Pulo Hilir sekitar lewat tahun 60han

Tuesday, July 19, 2016

KEHIDUPAN DI KAMPUNG PULO HILIR KUCHING (17) - CIKGU LILIAN TAY



1963

Wajah semasa di sekolah menengah (1967-1971)


 Pulo District Council School tahun 60an

 
SELASA, 19 JULAI 2016

Seingat saya ketika itu saya berada di dalam darjah 3 Sekolah Rendah Pulo (dulu dikenali sebagai Pulo District Concil School), dalam tahun 1963. Seorang guru melapor diri di sekolah kami, cikgu Lilian namanya, dari kaum Bidayuh jika saya tak silap dan suaminya seorang berbangsa Cina.

          Cikgu Lilian ditugaskan sebagai guru kelas kami, mengajar kami bahasa Inggeris. Itu yang saya ingat. Mungkin juga ada mengajar mata pelajaran lain. Dia berbadan kecil, kurus dan berkaca mata. Suara agak tajam dan apabila dia meninggikan suara boleh membuat kita kecut dan hendak berlari keluar dari kelas. Ya, saya cuba menggambarkan betapa cikgu Lilaian ditakuti oleh semua murid di kelas kami.
          Di tangannya ada rotan yang sentiasa digunakan untuk merotan siap jua yang tidak menjawab soalannya atau silap dalam menjawab soalan. Bukan saya kata saya bijak tapi ketika itu, saya banyak kali terlepas dari rotan kerana memberi jawapan yang betul.
          Suatu hari kami belajar bahasa Inggeris dan dikehendaki mengikuti siaran untuk sekolah yang disiarkan oleh Radio Sarawak masa itu. Setelah mendengar dengan teliti siaran kami akan ditanaya dengan soalan berdasarkan siaran radio tadi.Bayangkan kita mendengar radio yang suaranya agak kacau dan tidak baik siarannya lantaran radio yang digunakan bukanlah sebaik yang ada sekarang. ia hanya jenis radio transistor berkuasa bateri.
          Cikgu bertanya soalan dan seorang demi seorang murid murid menjawab tetapi salah. Ada yang memang tak boleh menjawab pun.Setiap murid yang gagal menjawab akan dirotan dengan sebatang kayu pembaris. Hayunannya agak keras. Ada murid yang benjol di kepala. Tiba giliran saya, saya tak tahu jawapan yang tepat kerana tidak dapat mendengar dengan jelas siaran radio. Satu hayunan terkena di lengan saya. saya kira itu pertama kali saya dipukul.
          Saya menahan tangisan. Tanpa dilihat cikgu saya keluar dari kelas dan pergi ke pejabat guru besar. Guru Besar ketika itu Allahyarham cikgu Othman Ali. Jika saya tak silap rumah cikgu terletak di tebing sungai Bintangor. Cikgu Othman sangat baik pada saya. Dia tiada di pejabatnya tapi sedang mengajar di kelas lain. Saya masuk ke kelas itu sambil menangis saya beritahu cikgu Othman saya ingin berpindah ke sekolah lain kerana tidak tahan belajar dalam suasana begitu.
          Cikgu Othman tenang mendengar aduan saya . Dia benarkan saya balik ke rumah hari itu. Saya tak pasti apa terjadi selepas itu kerana saya terus kembali ke rumah dengan harapan saya dapat dipindahkan ke sekolah lain.
          Keesokan harinya saya hadir kembali ke kelas saya. Cikgu Lilian memandang arah saya dan berkata, " Ooo semalam awak buat aduan ya?" Saya senyap. Anehnya dia tidak berkata apa-apa atau tidak juga memarahi saya. Saya kembali tenang dan mendengar setiap apa yang diajar dengan tekun.
          Hari berlalu dan saya terus juga bersekolah di situ. Saya tidak berpindah kelas. Saya cuba menahan keperitan bersemuka dengan cikgu Lilian dan mengelak dari dimarahi atau dipukul dengan belajar bersungguh-sungguh agar dapat memberi jawapan yang betul untuk mengelak diri dari terkena pukulan cikgu.
          Tahun bertukar saya masuk darjah empat. Kami dapat guru kelas baru. Cikgu Lilian tidak mengajar kami lagi. Dia mungkin ada mengajar kami tapi untuk satu subjek sahaja. Dunia saya kembali tenang dan ceria.
          Tahun 1967 saya ke sekolah menengah, belajar di SMK St Thomas (ketika itu sebuah aided school). Setiap hari akan ke sekolah menggunakan perahu tambang untuk menyeberangi sungai Sarawak. Suatu hari saya bertemu cikgu Lilian dan kami berada di dalam perahu yang sama. Cikgu pulang dari mengajar. Saya menegurnya dengan bahasa yang elok seorang murid terhadap gurunya dengan berbahasa Inggeris, penuh yakin kerana sudah berada di sekolah menengah. Dia memuji saya kerana dapat menyambung persekolahan ke sekolah menengah sambil berkata bahawa setiap apa yang dia lakukan dulu bukan apa tapi untuk melihat muridnya berjaya.
          Dan saya sebenarnya bersetuju dengan cikgu Lilian. Tanpa didikan kerasnya saya mungkin akan menjadai murid yang lembik dan malas. Tidak saya gambarkan apa akan berlaku jika apa yang saya dan teman-teman alami itu berlaku hari ini. Saya kira akan pasti wujud isu keagamaan, perkauman dan isu guru yang akan dihukum kerana memukul murid. Tidak di zaman saya. ibu bapa kuat menyokong guru. Anak yang cuba melapor kepada ibu bapa kekasaran guru akan menerima padah bukan pembelaan bapa. Mungkin rotan yang akan dihayun kepada anaknya. Begitu ibu bapa meyakini dan mempercayai guru.
          Cikgu Lilian berbangsa Bidayuh mengajar di kampung orang Melayu di seberang sungai Sarawak tidak pernah khuatir disakiti atau dianiaya oleh orang Melayu. Dia yakin dia seorang guru yang berdedikasi dan ingin melihat hasil atas setiap pengajaran dan pembelajaran itu. Orang kampung juga tidak mendendami guru yang berlaku kasar kerana tahu mereka mendidik anak - anak supaya menjadi generasi yang berguna.
          Hampir lima puluh tahun berlalu. Saya terkenangkan jasa cikgu Lilian Tay(gelaran selepas berkahwin dengan pemuda Cina). Saya tidak pernah menemuinya selepas itu. Saya doakan dia dipanjangkan usia dan hidup dengan bahagia bersama keluarganya. Ada sesiapa yang mengenali cikgu Lilian Tay dan di mana dia berada sekarang?
         

Thursday, June 02, 2016

1001 CATATAN KEHIDUPAN: Catatan Satu

CATATAN 1 : KELAHIRAN



Tidak banyak fakta dan cerita yang dapat saya peroleh dari orang tua mahupun saudara tua saya tentang kelahiran saya. Sampai hari ini saya masih meragui tahun, bulan, apa lagi tarikh sebenar kelahiran saya. Sijil kelahiran saya berwarna merah menandakan kelahiran saya dilapor lewat. Namun menurut Allahyarham ibu, saya lahir di bulan Muharram pertengahan bulan , waktu dhuha, ketika air sungai Sarawak mula surut. 

Saya dikatakan kuat menyusu hingga sangat menyukarkan ibu. Tugas-tugas sebagai isteri pastinya terganggu sedikit kerana kegelojohan saya menyusu. Apa lagi tidak ada orang lain yang boleh diharapkan ibu ketika itu kecuali ayah saudara kepada ayah saya yang tinggal bersama kami, Nenek Ghafoor.

Saya dilahirkan tahun 1953 ketika itu usia ibu baru mencecah 23 tahun. Ada tiga orang saudara saya yang lahir sebelum saya. Anak sulung ibu, perempuan di beri nama "Segera", lahir sekitar tahun 1944, musim Jepun menduduki Sarawak. Anak kedua ibu, lelaki, diberi nama Mahrof dan lahir tahun 1947, dua tahun selepas Jepun menyerah kalah. Saudara ketiga saya,  Sayara, perempuan, lahir dalam tahun 1949. Ertinya ibu melahirkan anak pertama ketika usianya baru mencecah 15 tahun.

Jika ditanya pada saya apa yang boleh saya ingat atau apa maklumat yang boleh saya kutip tentang diri saya semasa kecil, saya rasa amat sedikit sekali. Yang sangat saya ingati ialah kuda mainan untuk saya tunggangi  dan saya kira ia dibeli oleh datuk saya yang ibu panggil dengan gelaran Mamu Ghafoor.

Datuk Ghafoor berasal dari India dan sangat meminati burung.Datuk Ghafoor berasal dari India dan sangat meminati burung. Di hadapan rumah kami, sebuah rumah pekerja yang disediakan oleh majikan ayah, terdapat sangkar burung yang dinaikkan di atas sebuah turus yang dihunjam kukuh. Saya masih ingat setiap pagi Datuk akan menaikkan sangkar burung menggunakan tali seperti kita menaikkan bendera. Saya tidak ingat berapa usia saya ketika itu tetapi itulah peristiwa dan detik-detik yang masih kekal dalam ingatan saya.

wajah Almarhumah ibu

Saturday, February 06, 2016

KEHIDUPAN DI KAMPUNG PULO HILIR KUCHING (16)-Kemesraan masa Lalu

KEMESRAAN MASA LALU

KHAMIS, 4 FEBRUARI 2016

Pagi ini saya berkesempatan menziarahi seorang saudara sebelah ibu saya, Sdr Julaihi bin Anis atau lebih mesra dengan panggilan bang Lihi, di Kampung Semarang Kuching, sebuah kampung bersebelahan dengan Kampung Pulo Ulu di Seberang Hilir. Lama juga saya tidak menjenguknya. Kali terakhir rasanya sebelum hari raya puasa tahun 2015.

          Abang Lihi tinggal di Kampung Semarang, di tebing sungai Sarawak di rumah tinggalan ayah dan ibunya. Ayahnya yang saya panggil Wa Anis, seorang tukang kayu, telah lama meninggal dnuia, begitu juga ibunya, Wa Diah, seorang wanita cekal berasal dari Sebangan, Sarawak. Usia abang Lihi sekarang tujuh puluh tiga tahun, sepuluh tahun lebih tua dari saya. Rumah asal telah dirobohkan beberapa tahun yang lalu. Sebuah rumah yang sangat usang dan tidak memerlukan masa lama untuk menyembah bumi.

          Hasil usaha Ketua Kaum Kpg Semarang sebelum ini, sdr Oton, sebuah rumah telah dibina buat abang Lihi di bawah projek PPRT Kerajaan. Sebuah rumah yang selesa, sesuai dan dan sederhana untuk dia menghabiskan sisa-sisa usianya. Isteri Bang Lihi telah meninggal dunia beberapa tahun lalu. Anaknya telah berumah sendiri mengikut suaminya. Sesekali ada juga anaknya menjenguk bang Lihi.

          Bang Lihi tidak punya kerja tetap. Dalam usia melebihi tujuh dekad itu,bang Lihi sesekali akan memasang jaring di sungai Sarawak . Sungai Sarawak sumber rezeki baginya. Dengan tangkapan ikan Lundu, baung dan beberapa jenis ikan sungai yang lain, hasilnya cukup untuk menyara hidupnya yang kini tinggal sendiri dan sepi namun di wajahnya terpancar ketenangan dan rasa syukur atas apa yang Allah kurniakan kepadanya.

          Semasa muda Bang Lihi bekerja sendiri di kebun getah. Selain menoreh getah di kebunnya pabila harganya baik, bang Lihi juga bekerja mengambil kayu bakau untuk dijual kepada Tauke yang akan menjualkannya kepada kontraktor untuk dijadikan kayu cerucuk. Untuk mengambil kayu bakau, bang Lihi akan mendayung perahu bako milik keluarganaya (sejenis perahu besar yang boleh memuatkan kayu bakau) menghilir ke sungai Sarawak dan destinasinya agak jauh. Antara tempat yang pernah saya ingat yang menjadi destinasi mengambil kayu bakau ialah di Sibu Laut dan sekitarnya. Berpergian mengambil kayu bakau ini mengambil masa yang agak lama melebihi seminggu. Kerja sangat berat namun hasilnya cukup untuk menyara kehidupan keluarga.

          Satu lagi keistimewaan bang Lihi ialah kepandaiannya menghasilkan kraftangan. Saya masih ingat di waktu kecil dulu, saya melihat model perahu layar yang cantik sekali hasil tangan bang Lihi. Jika kemahiran begitu diteruskannya saya jangka hasilnya boleh mendatangkan pendapatan yang baik buatnya namun saya kira mungkin dia sudah hilang minat membuatnya sekarang.

          Apa yang paling saya ingati tentang kehidupan di kampung masa lalu ialah aktiviti waktu malam para penduduk. Tidak banyak hiburan masa itu, kecuali mendengar siaran radio dan melihat wayang di panggungidak melakukan kedua-dua aktiviti itu, maka jiran akan datang berziarah di rumah untuk bersembang dan berunding tentang kerja sambil minum kopi. Rumah sentiasa terbuka buat jiran dan saudara berkunjung. Saya dan Pak saudara saya, Allahyarham Pk Su Bujang Matakip memang kerap keluar malam berkunjung di rumah saudara kami termasuk rumah bang Lihi.


          Kunjungan saya  ke rumah Bang Lihi di kampung semarang pagi ini mengingatkan saya pada masa lalu. Sekarang kunjung-mengunjung jarang berlaku seperti masa lalu. Sikap dan makna kejiranan sekarang berbeza dengan masa lalu. Hari ini individualistik lebih menonjol. Saya kira mengingati masa lalu sedikit sebanyak mengembalikan ingatan kita pada masa yang indah dan sangat kita hargai nilai budinya dengan penuh harapan kita dapat kembalikan semangat kejiranan seperti masa lalu.
Bang Lihi ketika berusia 14 tahun (1957)

Bang Lihi bersama sepupunya dari Sebangan Sarawak
Bang Lihi di sebelah kiri saya dan cucunya di sebelah kanan saya

Wednesday, December 09, 2015

KEHIDUPAN DI KAMPUNG PULO HILIR KUCHING (15)-SECEBIS TENTANG MASA LALU

SECEBIS TENTANG MASA LALU

Masa berlalu musim berganti. Perubahan berlaku setiap detik dan waktu. Perubahan ke arah yang lebih baik atau sebaliknya. Perubahan membawa kepada kesejahteraan hidup atau kemusnahannya. Semua bergantung pada hati kecil diri sendiri. Benar suasana sekeliling mempengaruhi hati namun yang lebih penting kemahuan diri. Apakah perlu berubah mengikut peredaran masa tanpa mengira impak dan kesannya? Terserah.
          
        Tahun enam puluhan di seberang hilir banyak jua amalan yang bertentangan dengan ajaran agama termasuk amalan syirik berlaku secara terang-terang dan besar kemungkinan tanpa disedari kerana tipisnya ilmu agama masa itu. Penduduk masih tidak dapat berpisah dengan amalan lalu. Tidak semua begitu tapi yang jelas amalan yang dimaksudkan masih berlaku sekitar tahun enam puluhan.

        Suatu amalan yang masih tidak boleh saya lupakan ialah amalan melepaskan "Ancak" di sungai Sarawak. Jika ingatan tidak menipu saya, ada seorang wanita yang akan melakukan upacara menghanyutkan ancak ke sungai. Saya kurang ingat apakah dia seorang bomoh atau bukan. Yang saya pasti pada hari ancak hendak dihanyutkan wanita ini berjalan mengiringi ancaknya bersama penduduk-penduduk kampung. Saya ingat wanita itu berpakaian yang agak berwarna-warni dan dia sedang dalam keadaan tidak sedarkan diri. Seolah-olah yang berjalan itu orang lain, bukan dia.

     Saya kurang pasti apa yang berlaku selepas itu. Saya kira perempuan ini akan melepaskan ancak, yang berbentuk sebuah perahu atau rakit yang memuatkan beberapa benda seperti lilin , makanan dan mungkin juga ada benda-benda lain, saya benar-benar tidak ingat. Saya difahamkan ia merupakan acara tahunan bagi wanita itu. Apa tujuannya , saya kurang pasti. Saya kira usia saya ketika itu mungkin antara 8-10 tahu begitu.
          Di kampung kebanyakan penduduk yang sakit akan berubat dengan bomoh dan dukun. Yang saya maksudkan dengan bomoh apabila pengamal perubatan ini mengubati pesakitnya dengan menjelma menjadi "hantu" yang akan merasuk badan pengaalaman perubatan. Banyak jenis hantu yang akan meresap ke dalam badan bomoh ini. Saya kira dia memelihara banyak jenis hantu, lengkap dengan namanya.

          Apabila jasadnya telah dimasuki hantu ini, suaranya berubah. Antara hantu itu termasuklah si bisu, hantu Iban, dana beberapa nama lain yang saya tidak ingat. Jika si bisu, bomoh itu akan beraksi seperti orang bisu berdialog dengan pengantaranya yang memahami kehendaknya. Berlakulah proses mengubati dengan menggunakan antaranya mayang pinang (kelapa?) . Untuk membelah mayang ini, bomoh ini akan menunjukkan kekuatannya dengan membelah menggunakan tangannya. Mayang akan disapu ke seluruh badan pesakit. Selepas mengubati pesakitnya, bomoh akan menggunakan kain untuk menutup dirinya.

          Biasanya dia akan pengsan setelah menguabti pesakit dan kemudian kembali menjadi  dirinya seperti biasa. Hari ini memang tidak pernah lagi saya bertemu perubatan seperti ini. Saya yakin ia mula hilang dari amalan masyarakat sesudah masyarakat sedar setelah mendapat didikan-didikan agama dari para uustaz dan ilmuan yang mula menyebarkan apa yang benar dan apa yang syirik. Namun saya tidak dapat menafikan mungkin masih lagi diamalkan sebahagian masyarakat. hanya saya yang belum menemuinya.

          Dukun pula merupakan seorang pengamal perubatan yang akan mengubati dengan membaca mentera/doa tertentu sambil menculit kapur pada badan pesakit. Ada kalanya ia akan membaca doa/ menteranya pada air untuk diminum oleh pesakit. Saya pernah juga membaca doa/mentera yang digunakan oleh dukun.Namun saya tidak pula ada menyimpan ayat--ayat tersebut. saya perhatikan setiap doa/mentera itu akan diakhiri dengan ayata, "Berkat lailahaillalah..begitulah kurang lebih yang saya ingati. Cara dukun mengubat tidak menampakkan bantuan dari makhluk lain selain doa dirinya sahaja.

          Saya mula ke klinik ketika usia menjangkau sembilan atau sepuluh tahun. Ketika itu banyak dari kalangan kami murid-murid sekolah rendah kampung Pulo yang kena pergi ke Klinik ATAS untuk pemeriksaan dan ada sebahagian kami mengambil ubat berterusan. Saya tidak menjangka ketika itu kami diubati kerana penyakit batuk kering yang menjalar dalam kalangan kami.

          Musim menuba ( saya tak ingat tahunnya, mungkin sekitar 1965) di sungai Sarawak merupakan satu pesta menangkap ikan yang mabuk akibat tuba. Setiap orang akan menggunakan semacam lembing bermata dia atau tiga untuk digunakan menikam ikan yang timbul oleh mabuk tuba.

          Saya dan teman-teman berlari di tebing sungai untuk ikut sama melembing ikan yang kelihatan timbul di gigi air. Kami meredah selut. Saya terpijak sesuatu dan mula terasa sakit. Tapak kaki saya telah terpijak sesuatu dan ia mula menyakitkan dengan bisa yang teramat. Saya berlari ke rumah dan menangis sehingga hampir pengsan.

          Ramai penduduk kampung datang dengan sebahagiannya membawa pelbagai jenis ubat dan minyak. Apa bila diperiksa kaki saya, jelas saya terpijak ikan Kitang.Saya menanggung kesakitan untuk waktu yang lama. Percaya tak percaya, saya hanya sembuh sepenuhnya selepas seminggu. Bayangkan kesakitan yang menghantui saya setiap detik dan ketika. Dukun-dukun banyak yang datang mengubati namun tiada kesan. Anehnya tiada siapa berfikir untuk membawa saya ke klinik ketika itu.



          Begitulah secebis catatan masa lalu yang ingin saya kongsikan kali ini. Catatan tentang perubatan tradisional yang diamalkan suatu ketika dulu. Masa alalu itu sejarah kita. Ada pelajaran padanya. Terserah pada kita bagaimana menggunakan sejarah untuk kebaikan masa depan kita.

Wednesday, November 25, 2015

KEHIDUPAN DI KAMPUNG PULO HILIR, KUCHING (14)-PENIAGA-PENIAGA MASA SILAM

PENIAGA-PENIAGA MASA SILAM

Awal tahun enam puluhan laluaN merentas  kampung Pulo Hilir merupakan jalan tanah sahaja. Sebahagian jalan yang becak akan diletakkan batang kelapa sebagai titian bagi mengelak dari terpijak tanah becak. Boleh bayangkan ketika musim landas antara bulan November hingga Mac, jalan di kampung memang sangat sukar untuk digunakan. Namun dalam suasana dan persekitaran yang agak teruk begini tidak menghalang para peniaga untuk datang ke kampung-kampung seberang hilir menjalankan perniagaan mereka. Peniaga-peniaga ini datang ke kampung menggunakan basikal atau berjalan kaki.

          Seorang Cina tua yang kami panggil Ah Song akan datang ke kampung kami setiap hari menggunakan basikalnya. Di kedua-dua belah hendal basikal tergantung raga yang dimuatkan dengan tong untuk menyimpan aiskrim. Ah Song biasanya datang pada sebelah pagi menjual aiskrim dan juga kacang kuda rebus.  

          Peniaga yang kami panggil Ah Bon pula menjual rojak buah. Namun dia tidak datang setiap hari. Kita mungkin dapat bertemunya seminggu sekali atau dua kali. Saya kurang ingat apakah Ah Bon berjual mengguna basikal atau memikul kandar . Saya benar-benar lupa. Selain rojak buah, dia juga menjual sengkuang, mentimun dan tauhi kering yang dibubuh sambal rojak. Harganya lebih murah daripada rojak buah.

          Sesekali di awal pagi ada seorang India yang berjual putu mayong. Dia akan berjalan melintasi rumah-rumah di kampung sambil dengan suara nyaringnya meneriak , "putu mayung!, Putu mayung!" Putu mayungnya memang sedap. Ia dibungkus dengan daun simpur. Dia jarang datang ke kampung, hanya sekali sekala sahaja.

          Pada sebelah petang kira-kira selepas asar hingga maghrib seorang berbangsa Sikh akan berjalan keliling kampung menjual kacang putih (disebut kacang putet). Ia sejenis kacang seperti kacang kuda tapi kecil sedikit saiznya dan dikeringkan. Warnanya kekuningan dan sangat sedap dimakan.

          Ada juga peniaga yang berjual menggunakan perahu/bot berenjin. Ia seperti kedai runcit bergerak. Dalam botnya penuh dengan barangan yang biasa kita dapat di kedai runcit di kampung. Sesekali ia akan berhenti di satu-satu pangkalan di kampung kami. Orang kampung terutama suri rumah akan menuju ke bot untuk membeli barangan dapur yang mereka perlukan.
          Sesekali akan datang perahu besar berlayar yang saya kira datang dari sebelah pekan Pusa atau kawasan-kawasan berhampiran. Ia singgah di kampung membawa bersama tepung lemantak/rumbia untuk dijual. Saya paling gemar lemantak/rumbia ini yang dimasak dan dibuat seperti penkek. Ia sebenarnya makanan suku kaum Melanau tapi sangat popular dalam kalangan masyarakat Melayu.

          Orang dari kawasan Samarahan pun ada juga berdagang menggunakan perahu di kampung kami. Mereka datang membawa buah-buahan ketika musim buah, antaranya Tembikai, langsat, rambai dan rambutan. Harga buah ketika itu sangat murah. Buah-buah yang tidak habis dijual akan dibawa ke pasar cekor d bandar Kuching untuk dijual oleh para peruncit.

          Di kampung kami ada juga yang bekerja sebagai nelayan sungai. Mereka keluar mengkap ikan pada sebelah petang dan keesokan hari akan kembali membawa hasil tangkapan. Ikan-ikan yang ditangkap pelbagai jenis, akan dijual di kampung. Salah seorang yang saya ingat bekerja sebagai nelayan ialah jiran kami, Abang Mat.

          Seorang nyonya yang kami panggil Simoi merupakan peniaga yang menjual ikan terubok di kampung. Ikan-ikan ini ditangkap oleh perahu kotak milik kaum Heng Hua. Kaum Heng Hua tinggal di penempatan mereka yang terletak di seberang sungai Sarawak berhadapan dengan kampung-kampung seberang hilir.Mereka merupakan jiran orang Melayu. Banyak juga orang kampung yang bekerja dengan orang Heng Hua menagkap ikan di laut dengan menggunakan bot kotak ini.

Kehidupan di kampung sangat mudah dan harmonis. Tiada terdengar kata-kata menghina satu kaum dengan yang lain. Bukan tidak pernah berkelahi namun ia adalah kerana perkara biasa bukan yang berbentuk perkauman dan penghinaan terhadap satu-satu bangsa.
Sesungguhnya saya merindui saat-sat indah ketika tinggal di kampung masa silam. Saya sentiasa mengingati detik itu. Ya kita mungkin boleh tinggal jauh dari kampung namun kampung sentiasa di jiwa kita.