Friday, January 25, 2008

Simunjan Yang Kukenal(2)


Majlis makan Malam di Sekolah
Semasa pertama kali di Simunjan aku memang rasa sunyi juga kerana tidak punya teman. Sahabat-sahabat berada jauh di Kuching. Dalam masa yang singkat aku mula berkenalan dengan banyak teman baru. Dan melalui teman-teman ini, aku dibawa bergerak ke pelbagai kampung dan tempat yang baru.
Setiap malam minggu ada beberapa aktiviti yang boleh menghilangkan rasa boring. Maklumlah ketika itu, Simunjan sebuah tempat yang agak jauh dari bandar. Untuk ke Kuching perlu naik motor bot laju yang mengambil masa3 hingga 4 jam untuk sampai dengan merentas laut China Selatan. Antara hiburan yang ada, menonton wayang dan pergi menghadiri majlis bergendang di rumah penduduk yang mengadakan majlis kenduri kahwin.
Tak jauh dari sekolah menengah Kerajaan Simunjan, terdapat sebuah kampung Iban yang bernama Kpg Sekendu. Ada jalan menuju ke kampung itu. Tapi aku memang tak pernah ke sana. Malam itu, malam minggu. Aku dan dua orang teman, cikgu Sharbini dan Mokhtar sedang berborak di rumahku. Kami mendengar paluan gendang mendayu tapi bunyinya agak tak kedengaran sangat. Mungkin terlalu jauh agaknya.
Mokhtar percaya kampung Sekendu sedang mengadakan majlis bergendang. Kami berpakat untuk merentas jalan di belakang sekolah untuk ke kampung Sekendu. Masalahnya tiada siapa antara kami yang tahu jalan ke sana. Kami mengambil keputusan untuk mencuba pergi dengan mengikuti arah gendang.
Kami pun mengambil keputusan untuk ke kampung Sekendu merentas hutan yang terdapat di belakang sekolah kerana kata Mokhtar, di belakang sekolah ada jalan pintas ke kampung tersebut. Ada kelihatan laluan kecil. Kami ikuti laluan itu selama beberapa minit. Selang tak lama kemudian bunyi gendang semakin jauh tapi jelas. Malangnya jalan yang kami lalui tidak membawa ke mana-mana. Kami masih di takuk sama kerana jalan yang kami ikuti seperti satu bulatan. Kami kembali ke tempat bermula. Kami cuba lagi dan terus berjalan. Dan akhirnya kami dah tak tahu ke mana arah nak dituju. Ringkasnya kami tersesat di dalam hutan pada jam 12.00 tengah malam. Yang kami ada hanyalah pancaran sinar purnama yang menerangi kegelapan.
Jantungku berdegup pantas kerana terlalu penat berjalan dan kerana ketakutan telah menguasai diri. Kami berhenti, berfikir dan berbincang. Mokhtar yang lebih arif tentang keadaan hutan di sana dan faham sedikit tentang cara merentas hutan menerangkan kepada kami cara mencari jalan pulang.
Kami ikuti petunjuk sdr Mokhtar. Lima belas minit berjalan kami sampai ke tempat kami bermula setelah membuang masa empat puluh lima minit di dalam hutan. Akhirnya kami mengambil keputusan tak jadi pergi ke kampung Sekendu. Aku terus balik dan tidur dengan jantungku terus berdebar-debar ketika mengingati perasaan semasa sesat di hutan di tengah malam ketika bulan mengambang tadi. Bukan senang nak lelapkan mata...
Esok kami tanya cikgu Simon, seorang guru dari Kampung Sekendu tentang majlis bergendang yang kami nak hadiri tetapi tersesat. Cikgu Simon beritahu kami tak ada pun majlis bergendang di kampungnya. Kami jadi keliru.. Dari mana datangnya paluan gendang itu, ya?

Wednesday, January 23, 2008

Word Painting


Perjalanan pulang kami setelah bermalam di betong amat menyeronokkan walaupun sebagai pemandu aku yang merasa penatnya. Telah menjadi tabiatku yang tak boleh kuubah, aku lebih senang dan tenteram jika pemanduan kulakukan sendiri. kadang-kadang anak-anak pandai juga mendesakku supaya menyerahkan tugas memandu kepda mereka tetapi aku tetap degil. Aku masih tidak percaya kepada anak-anak. Aku sedar aku sebenarnya ditinggal masa. Aku lupa anak-anak sudah dewasa, sudah punya isteri, punya tunangan dan punya kehidupan sendiri. Mereka tidak memerlukan aku. Mereka sudah boleh menjalankan kehidupan sendiri. Mereka seperti anak burung yang sudah tumbuh sayap dan boleh terbang. Aku yang benar-benar terlupa.
Esok sekolah akan bermula. Aku akan kembali dengan tugas biasaku, menghantar Nurul ke sekolah. Malam ini Nurul perlu tidur awal untuk memudahkannya bangun esok pagi tanpa terasa ngantuk…Oh ya, Nurul telahpun terlelap, jam baru 9.30 malam. Masih ada tiga jam sebelum aku masuk tidur. Aku rasa aku perlu menghabiskan pembacaan buku Word Painting tulisan Rebecca McClanahan. Banyak ilmu yang terdapat di dalam buku itu yang boleh kugunakan.

2 Januari 2008

Tuesday, January 22, 2008

Bermula Tahun Baru..

Rumah semakin sunyi setelah hari persekolahan hampir tiba. Laila, anak sulungku bersama anak-anaknya telah kembali ke Sungai Petani pada 30 Disember 2007 lalu setelah berada bersama kami sekeluarga selama lebih sebulan. Hanya enam orang masih tinggal di rumahku. Mereka terdiri daripada isteriku, anak-anakku - Zakaria, Siti dan Nurul dan tunangan Zakariya, Erda.

Jam sembilan pagi aku bersama isteri dan anak-anak, Zakariyya dan Nurul berangkat ke Betong menghantar Erda kembali ke SMK St Augustine, Betong. Sebagai seorang pendidik, masa untuk Erda kembali bertugas hampir tiba.

Di Betong, kami menginap di Hotel Betong Plaza, sebuah hotel yang baru dibaikpulih. Nampak cantik sekali dengan perhiasan dalaman yang masih baru semuanya. Kami tinggal sebilik dan menghabiskan masa berbual, tengok TV, makan dan tidur. Kemudahan internet terdapat di sana. Oleh itu aku sempat melayari internet dan membuat satu dua update ke atas blog-blogku.

Jam 1.00 pagi, aku baru dapat melelapkan mata. Begitu juga dengan Nurul. Nurul leka dengan permainan online sehingga jam satu pagi, bayangkan..Zakariya, Erda dan isteriku telah lama dibuai mimpi..Zakariyya betul-betul mengganggu kami dengan dengkurannya.

Hidupku sebagai seorang pesara masih di peringkat bulan madu. Aku perlu memulakan kehidupan baru dengan segera...kehidupanku? Meluahkan suara dan rasa seorang pesara, cerita tentang masa lalu yang boleh kukongsi bersama. Semoga memberi kebaikan kepada diri dan manusia keseluruhannya.

1 Januari 2008


Suarasa


Lima bulan telah berlalu, aku masih lagi dibuai lamunan bermesra dan berbulan madu bersama masa yang ada. Setiap detik kupenuhi dengan melayan kehendak dan keinginan untuk membaca sebanyak boleh buku pelbagai jenis...
Hari ini kumulakan sebuah blog baru untuk kucatat segala lamunan, ngomelan dan khayalan. Suara rasa seorang pesara.

Saturday, January 19, 2008

Simunjan Yang Kukenal (1)


Romisal Agus bersanding

Simunjan 1973/1974

Setelah tamat persekolahan saya telah diterima bekerja di Jabatan Pelajaran mulai 4 Julai 1972. Lapan bulan kemudian, Mac 1973, saya dipindahkan bertugas di Simunjan dan ditempatkan di sekolah menengah kerajaan.
Keadaan Simunjan awal 1970an agak terkebelakang dari segi pembangunan infrastruktur. Tidak banyak pembangunan yang dapat dilihat. Setahu saya waktu itu Skim Saliran dan pengairan di Lubok Punggor rancak dijalankan. Jalan dari pekan Simunjan ke sekolah menengah diperbuat daripada slab simen yang disusun. Kebanyakan slab-slab ini telah pecah menyebabkan jalan agak berlubang di sana sini dan slab simen pula terjungkang-jungkit kerana keadaan muka bumi.
Di sebelah kanan jalan dari pekan ke Sekolah terdapat rel seperti bentuk rel keretapi untuk perjalanan kereta pengangkut yang dipasang roda seerupa roda keretapi tetapi lebih kecil saiznya. Saya pernah melihat sistem pengangutan seperti ini dibina di kawasan kilang papn bagi memudahkan pengangkutan papan dari satu kawasan ke kawasan lain di dalam kompleks kilang itu.
Pengangkutan ini digerakkan oleh seseorang yang berada di atas kereta itu yang akan menggunakan sebatang galah sebagai alat penolak. Ia serupa keadaannya seperti seseorang yang berakit di air deras dan mengemudikan rakitnya menggunakan sebatang galah.
Beberapa bulan bertugas di Simunjan saya berulang alik ke pekan semasa menjalankan tugas rasmi hanya menggunakan basikal. Selepas setahun di sana saya membeli sebuah mootosikal jenama Honda Sport 90cc. Saya membeli sebuah motosikal terpakai. Cukuplah sekadar untuk ke pekan yang jauhnya dari sekolah sekitar 4 ke 5 km.
Banyak juga pengalaman dikutip di Simunjan. Teman dan taulan pun banyak ditemui. Yang seronoknya beberapa orang teman masih tetap mengingati saya seperti mana saya mengingati mereka. Sekali sekala kita berjumpa dan mula bercerita tentang kisah lama yang semuanya menarik hati dan sukar sekali dilupakan.
Di Simunjan saya memperoleh seorang anak angkat pemberian seorang ibu yang punya banyak anak. Seorang budak lelaki, lahir dengan berat sekitar 9 paun. Hari ini anak angkat saya itu telah berusia 33 tahun dan baru sahaja melangsungkan perkahwinannya minggu lepas di rumah keluarga saya di kampung.Namanya..? oh ya, saya namakan dia ROMISAL AGUS..

Thursday, January 17, 2008

BOTCHAN - Sebuah novel Jepun

Kisah Pemberontakan Seorang Anak Muda Terhadap "Sistem" Sebuah Sekolah Luar Bandar

Selesai membaca novel Floating Clouds minggu lepas saya membaca sebuah lagi novel hasil buah tangan penulis negara Matahari Terbit, Natsume Soseki, bertajuk BOTCHAN. Novel setebal 172 muka surat itu pertama kali terbit dalam Bahasa Jepun pada tahun 1906. Mengikut penjelasan oleh J. Cohn, penterjemah novel itu ke dalam Bahasa Inggeris, perkataan Botchan yang diangkat menjadi tajuk novel ini merupakan nama timangan/gelaran yang diberi kepada anak-anak atau remaja dari kalangan keluarga yang dihormati. Kadang-kadang gelaran ini akan melekat kepada lelaki yang telah dewasa tetapi gagal menyerlahkan kedewasaannya.

Sebuah novel yang menarik hati saya walaupun cerita ini sebenarnya merupakan sebuah kisah remaja. Watak utama, Botchan yang juga pencerita novel ini, tinggal di Tokyo bersama ibu bapa, saudara lelakinya dan seorang wanita tua, Kiyo, yang bertugas sebagai pengasuh di rumah keluarganya. Botchan tidak begitu disayangi oleh ibu bapanya berbanding abangnya. Tetapi Botchan mendapat perhatian dan kasih sayang daripada pengasuhnya, Kiyo. Kiyo sentiasa membantu Botchan, memberi pujian setiap sesuatu yang dilakukan olehnya. Kiyo menyakini Botchan bahawa dia akan menjadi seorang yang berjaya suatu hari kelak. Namun Botchan tidak pernah mempercayai kata-kata perempuan tua itu.

Setelah tamat persekolahannya Botchan dilantik menjadi guru matematik dan ditempatkan mengajar di sebuah sekolah menengah yang terletak di sebuah pekan kecil di pulau Shikoku. Di daerah pedalaman inilah bermula pengalaman hidup pelbagai rasa yang dilalui Botchan. Di sini Botchan ditemukan dengan manusia dengan pelbagai jenis perangai dan ragam. Manusia hipokrit, pengampu, panas baran, jujur dan apa -apa jua. Dari awal hingga akhir novel ini, nama sebenar Botchan tidak pernah dinyatakan. Suatu faktor yang menarik dalam novel ini ialah bagaimana nama timangan/gelaran memainkan peranan penting .

Ketika di bertugas di sekolah ini Botchan bertembung dengan pelbagai watak manusia yang menghidupkan jalan cerita dengan suasana dan peristiwa yang amat menarik sekali. Dan menjadi satu kebiasaan Botchan memberi gelaran kepada watak-watak yang ditemuinya. Guru Besar sekolah diberi gelaran Badger, sejenis binatang yang tinggal di dalam lubang di tanah dan keluar waktu malam. Antara gelaran yang diberi kepada guru-guru di sekolah itu termasuklah Redshirt untuk penolong guru besar, porcupine untuk ketua guru matematik dan The Hanger untuk teman dan juga pengampu Redshirt.

Di sekolah ini Botchan berjumpa dengan manusia bersikap pura-pura, pengampu dan jujur. Dia melihat bagaimana manusia memperalatkan kedudukan mereka dan melakukan tindakan-tindakan kejam terhadap sesama teman. Cerita berakhir dengan Porcupine dipecat dan Botchan meletak jawatan. Tetapi sebelum mereka berdua kembali ke Tokyo mereka sempat mengambil tindakan pembalasan ke atas Redshirt dan The Hanger kerana kekejaman dan kelicikan mereka. Botchan kembali ke Tokyo menemui pengasuh yang dirinduinya.

Saya selesai membaca novel ini dalam masa tiga hari. Ini satu rekod peribadi saya selaku seorang yang lambat membaca. Saya membaca novel ini hingga larut malam. Sesuatu yang luar biasa bagi saya. Saya benar-benar terhibur membaca Botchan.

Sedikit maklumat tentang Penulis, Natsume Soseki, yang tercatat dikulit novel

Natsume Soseki merupakan salah seorang penulis terkemuka Jepun. Beliau dilahirkan di Tokyo dalam tahun 1867. Setelah mendapat ijazah dalam Kesusasteraan Inggeris dari Universiti Imperial Tokyo beliau bertugas menjadi guru dan berkhidmat beberapa tahun di pulau Shikoku dan Kyushu.

Beliau dilantik sebagai pensyarah Kesusasteraan Inggeris di Universiti Imperial Tokyo dalam tahun 1903 sekembali dari England setelah menamatkan pengajian lanjut dalam pengajian kesusasteraan. Beliau merupakan anak jati Jepun pertama dilantik ke jawatan tersebut. Empat tahun berikutnya beliau menghasilkan novel-novel Iam a Cat, Botchan dan The Three-Cornered World.

Dalam tahun 1907 beliau meletakkan jawatannya di Universiti untuk menumpukan sepenuh masa dalam bidang kesusasteraan. Hasilnya lahirlah novel-novel yang menelusur tema-tema berkenaan dengan kesepian dan lain-lain kesan kehidupan moden sama ada sosial mahu pun psikologi. Anatara Novel yang dihasil termasuklah Sanshiro, And Then, The Gate, The Wayfarer dan Kokoro. Beliau meninggal dunia dalam tahun 1916.

Wednesday, January 16, 2008

TARZAN


Main Bazaar Kuching

Saya melanjutkan pelajaran di Sekolah Menengah St. Thomas Kuching dalam tahun 1967 setelah selesai belajar di Sekolah Rendah Kpg Pulo setakat darjah enam. Di SM St.Thomas saya ditempatkan di dalam tingkatan 1C.

Perjalanan ke sekolah dari rumah saya agak jauh. Saya kira tidak kurang 6 kilometer jaraknya. Ada tiga laluan untuk sampai ke sekolah. Laluan pertama dari rumah saya berjalan sehingga ke pangkalan tambang kpg Panglima Semana Lama. Di sana saya akan menyeberangi sungai ke pangkalan Besi dan menaiki bas sehingga ke stesen bas. Dari stesen bas ke sekolah saya perlu berjalan sejauh kira-kira setengah kilometer.

Laluan kedua, saya berjalan dari rumah ke pangkalan tambang kpg Panglima Seman Ulu. Kemudian menyeberangi sungai ke pangkalan yang terletak berhampiran dengan sebuah kilang membuat mancis, Sarawak Match Factory. Dari sini saya berjalan dari Jalan Abell ke jalan padungan kemudian melalui jalan di bukit mata Kuching sebelum sampai ke sekolah.

Dan laluan ketiga, saya berjalan dari rumah sehingga ke kampung Boyan. Di kampung Boyan saya menaiki tambang menyeberangi sungai. Di seberang sungai berhadapan kpg Boyan ialah bandar Kuching yang lama dikenali dengan nama Main Bazaar. Untuk ke sekolah dari main bazaar tidak jauh, mungkin ambil masa tujuh minit untuk sampai.

Pada masa itu terdapat seorang pesakit mental yang selalu berkeliaran di sekitar bandar Kuching. Kami gelar orang ini Tarzan tapi tak pasti mengapa ia diberi gelaran sedemikian. Mungkin juga kerana pakaian yang dikenakannya. Dia menggunakan guni beras untuk membalut badannya. Di kepala terdapat topi daripada kain yang sudah lusuh. SebEnarnya bukan baju dan seluar yang formal yang digunakannya. Sebaliknya ia sekadar kain yang dibalut pada badannya. Dia juga memakai stoking panjang sehingga ke lutut yang berlainan warna. Ketika berjalan dia akan membawa beberapa bungkusan, beg lusuh dan dapur yang masih berasap. Dapurnya diperbuat daripada baldi yang telah diubahsuai.

Setiap kali melintasi sekolah kami, pelajar-pelajar akan mengusik Tarzan dengan memanggil namanya berkali-kali. Dia akan berhenti d an menunjukkan jarinya ke arah kami. Untuk maklumat, pakaian seragam sekolah kami ketika itu ialah seluar pendek warna biru tua berbaju putih.

Suatu hari saya mengalami demam dan telah diberi kebenaran oleh cikgu untuk pulang. Jam baru pukul sembilan pagi. Saya berjalan balik membawa beg sekolah yang berat juga disamping satu lagi bungkusan mengandungi makanan tengah hari saya. Saya berjalan melintasi panggung Rex (sekarang Medan Pelita) menuju ke jalan menaiki bukit Mata Kuching . Separuh jalan menaiki bukit itu,saya lihat Tarzan datang dari arah bertentangan. Saya berjalan di s ebelah kiri menuju ke atas dan dia di sbelah kanan saya menuruni bukit. Apabila melihat saya di pun terus meluru ke arah saya. Saya panik dan terus berlari balik menuruni bukit . Dalam keadaan sedang demam saya terpaksa berlari sekuat hati. Saya bernasib baik, Tarzan membawa barang yang banyak di tangannya jadi tak boleh berlari laju.

Lama juga saya berfikir dan hairan mengapa dia mengejar saya kerana sebelum ini tak pernah pun saya mendengar Tarzan membuat kacau atau mengejar sesiapa. Dia hanya berjalan keliling bandar tanpa arah dan tujuan membawa barangannya.

Beberapa hari kemudian setelah sembuh dari demam saya kembali ke sekolah tetapi mata saya tetap terus memerhati di hadapan dan belakang saya, takut-takut bertembung dengan Tarzan. Kalau dapat ditangkap, tak tahu pula apa yang akan dibuatnya. Saya ceritakan pada teman-teman di sekolah peristiwa itu dan bertnya kepada mereka mengapa Tarzan cuba mengejar saya. Mereka ketawa. Seorang teman memberitahu, Tarzan berdendam dengan budak St Thomas. Dia menegenali pelajar St. Thomas melalui pakaian seragam kami. Oh..begitu..barulaha saya faham mengapa saya dikejar oleh Tarzan.

Sekarang sudah tak ada lagi Tarzan. Saya tak pasti bila dia menghilangkan diri. Seingat saya memang ada gerakan menangkap orang yang merayau di jalan-jalan di Kuching beberpa ketika dahulu untuk tujuan pemulihan atau menempat di rumah-rumah kelolaan Jabatan Kebajikan atau NGOs. Saya rasa mungkin Tarzan salah seorang yang dibawa bersama.

Sudah empat puluh tahun berlalu. Banyak perkara mungkin telah berlaku. Tarzan mungkin sudah tiada lagi di dunia. Saya percaya Tarzan banyak menerima ujian dalam kehidupannya. Walaupun dia hidup penuh kesengsaraan dan keperitan, dia teruskan juga kehidupannya dengan berjalan menikmati kebebasan yang ada padanya sambil menghirup udara segar bandar Kuching.

Saya pun bertanya pada diri..masih wujudkah kenikmatan yang pernah dinikamati Tarzan itu di bandar raya Kuching yang cantik seindah taman ini?

Thursday, January 10, 2008

MAMAL HIJRAH

...dan kita akan terus melangkah dalam sebuah hijrah yang pasti. Hijrah itu kehidupan. Kehidupan itu mengajar kita makna kemanusiaan. Semoga kita berbahagia dengan hadirnya 1429 ini...

Salam hormat buat semua teman dan taulan yang sudi berkunjung ke teratak saya...Teruskan kunjungan anda sambil meninggalkan tapak kaki. Biar kujadikan sebuah lukisan untuk kupamerkan di galeri hati.