Antara foto yang menarik perhatian saya pada malam persembahan kebudayaan sewaktu Perkampungan Penulis Sarawak 2008 diadakan di Mukah, Sarawak. Kelihatan anatar penopeng/petandak; Faizal dengan pasangannya Awang Kelana dan Mantan Pengarah DBPCS, sdr Zaini Oje.
Every day of your life is a page of your history..mutiara kata Arab
Saturday, March 06, 2010
6 MAC : PERKAMPUNGAN PENULIS DI MUKAH 2008
Antara foto yang menarik perhatian saya pada malam persembahan kebudayaan sewaktu Perkampungan Penulis Sarawak 2008 diadakan di Mukah, Sarawak. Kelihatan anatar penopeng/petandak; Faizal dengan pasangannya Awang Kelana dan Mantan Pengarah DBPCS, sdr Zaini Oje.
Sunday, February 21, 2010
21 FEBRUARI : POTRET SILAM (2)
Wednesday, January 27, 2010
27 JANUARI: MUKAH
Tahun 2006 saya menjejak kaki ke Mukah buat kali pertama. Saya ke sana kektika Faizal bekerja di Balingian. Bangunan yang menjadi latar foto ini ialah Menara Pehin Setia Raja. Pejabat-pejabat Kerajaan Negeri banyak yang ditempatkan di sana, antaranya jabatan tempat saya bekerja sebelum ini, Jabatan Perbendaharaan Negeri.
Teman-teman di Mukah, apa khabar teman semua?
Sunday, January 24, 2010
24 JANUARI : TERINGAT NYENG
Semasa melihat album foto lama yang kusimpan di dalam cakera padat, aku terpandang foto kuchingku ini yang kuberi nama NYENG. Nyeng pemberian keluargaku di kampung untuk membantu kami mengatasi serangan "Jerry" yang ketika itu (2005) amat serius. Nyeng sangat manja dan cukup cekap dalam menjalankan tugasnya. Sejak kehadiran Nyeng Jerry tak berani lagi menyerang kami.
Januari 2006 Nyeng mati setelah menderita sakit untuk beberapa hari. Cerita tentang kematian Nyeng pernah kutulis sebelum ini. Sila lihat di sini. Hari ini aku teringat kembali saat-saat bersama Nyeng. Saat yang sangat bernilai dalam hubunganku dengan kucing peliharaan kami.
Sekarang kami ada seekor kucing hitam yang kami pelihara, tapi jarang sekali balik ke rumah sejak sebulan dua ini. Ia asyik bersama "isteri-isterinya". Ia hanya datang dua tiga hari sekali bila lapar. Pabila ia datang, akan terdengarlah dialog isteriku dengan si hitam itu. Tentu aku hanya memahami apa yang isteriku katakan pada Hitam. Hitam hanya berkata..miawwwww...Maksudnya? Hitam kata, " lama tak balik kerana kena jaga "isteri" yang dah sarat mengandung.Cadang nak bawa balik kat rumah tuan dan puan supaya isteri boleh melahirkan anak kami di sini. Bolehkan?"
Monday, January 11, 2010
11 JANUARI : SEMALAM DI SHAH ALAM
Malam tadi saya bertemu kembali foto yang saya pernah rakam ini lalu dimasukkan ke dalam pc untuk diedit dan diubahsuai bagi entri ini.
Wednesday, December 16, 2009
IMPERIAL MALL, MIRI
Tuesday, December 15, 2009
SINGGAH DI TATAU
Sunday, November 22, 2009
KPG LIDAH TANAH
Foto ini saya rakam ketika berkayuh menyusur sungai untuk ke dusun buah-buahan famili di tebing sungai sekitar 2007 yang lalu.
NIAH
Thursday, November 19, 2009
DI SMK DATUK PATINGGI HAJI ABDUL GAPOR, STAMPIN, KUCHING
Saya teringat semasa bertugas di SMK Datuk patinggi haji Abdul Gapor, kuching pabila ketemu foto klasik ini. Wajah-wajah lalu yang segak, cantik dan menawan kini tinggal renta dan layu ditelan waktu. Ada juga yang telah pergi buat selama-lamanya. Jika cikgu Zmhari Haji Mustapha terlihat foto ini tentu memori akan kembali kepadanya, ya sesuatu yang manis dan indah....
Saturday, November 14, 2009
Teringat Dusun
Tiga tahun lepas saya sempat ke dusun di kpg Lidah Tanah. Makan durian didusun seronok. Keenakannya lebih. Lebih seronok mendengar durian jatuh ke bumi dan anak-anak berlari mengutip durian yg jatuh. Bahaya juga berada di bawah pokok durian. Perlu hati-hati.
Kini pak saudara yg selalu bersama kami ke dusun kurang sihat dan tak terdaya nak ke dusun. Tanpa dia kita tak seronok nak pergi. Kira makan durian yg dikutip di tepi jalan Kuching/ Serian. Tapi buah durian di tepi jalan selalunya amat mengecewakan. Jika tak buruk, ia sejuk dan tawar, jika tak pun akan terjumpa yang mentah.
Saya amat merindui dusun, bukan buahnya tapi suasananya.
Thursday, January 01, 2009
TASIK BIRU
Menjejaki kaki kembali ke Bau mengingatkan saya tragedi yang berlaku dalam tahun 1979. Sebuah bas yang membawa penuntut dan juga guru SMK Lake, Bau terjunam jatuh ke dalam tasik ini menyebabkan kehilangan nyawa yang banyak. Walaupun tiga puluh tahun telah berlalu, masih jelas dalam ingatan saya wajah sedih kaum keluarga mangsa yang terkorban. jasad yang telah kaku dibawa keluar dari tasik. Pemandangan yang sukar dilupakan. Tidak disangka, tasik yang begitu tenang, cantik dengan warna biru yang menjadi kegemaran saya menyimpan dendam yang amat memeritkan.
Tasik Biru menyimpan banyak cerita dan sejarah tentang negeri Sarawak dan apa yang pernah berlaku suatu ketika dahulu. Sesungguhnya kita tidak mudah lupa pada sejarah.
Wednesday, April 30, 2008
SEDIKIT CATATAN TENTANG SAJAK-SAJAK PENULIS SARAWAK
"Pada hemat saya puisi di Malaysia dewasa ini sudah sampai pada suatu tingkat yang boleh dibanggakan. Ia memperlihatkan bukan sahaja kematangan dan keseriusan pengolahannya. Di dalam bidang puisi ada beberapa penyair yang meneroka pengalaman-pengalaman baru kepada definisi-definisi baru yang tidak ditempuhi oleh datuk nenek mereka. Mereka juga menurunkan sudut pandangan diasaskan oleh peribadi yang kuat dan berprinsip. Pintu fikiran mereka sudah terbuka luas dan dapat menghadapi semua yang berlaku di sebelah dalam atau luar pintu itu."
Begitulah tanggapan SN Prof.Dr.Muhammad Haji Salleh dalam tulisan yang bertajuk " Arah Perkembangan Puisi Melayu Dewasa Ini" pada 1976 (Gejala: Esei Perkembangan Puisi Melayu Dewasa Ini" pada 1986): Pandangan atau tanggapan tegas itu diutarakan hampir dua puluh tahun yang lalu. Melihat akan jarak waktu,sudah pasti puisi penyair Malaysia sudah lebih maju dan hebat daripada itu dewasa ini? Apakah kenyataan ini benar?
Dalam konteks Sarawak,ternyata ada perubahan baik dari segi penglibatan penulis mahupun kemantapan sajak-sajak yang dihasilkan. Tetapi yang jelas penyertaan penulis dekad 1970-an dan 1980-an kian sampai ke bait-bait terakhir pengkaryaan. Dalam masa yang sama pula muncul rombongan penulis baru yang mencuba-cuba menulis sajak. Mereka muncul di akhbar, majalah tempatan dan nansional. Tidak kurang pula yang lahir melalui benih-benih peraduan. Suasana ini banyak menimbulkan keyakinan bahawa sajak di Sarawak tetap ada penghasilnya yang rajin dan berani menyelusuri tema, gaya dan sikap yang lebih s ejagat.
Dua bulan kebelakangan ini saya berkesempatan meneliti beberapa sajak penulis Sarawak yang tersiar dalam Utusan Borneo. Melalui pemerhatian singkat ini, saya akan cuba membincangkan tentang persoalan d alam sajak-sajak tersebut. Sekali gus saya cuba menghubungkan pemilihanpersoalan dengan sikap penyair terhadap dunia yang lebih luas merentasi sempadan negara mahupun benua. Dan memanglah tugas sipenyair untuk memperkatakan tentang hal-hal yang menyinggung akal waras sebagai manusia biasa dan minda kreatif sebagai seorang insan penyair.
Ada tujuh sajak yang akan diperkatakan dalam pembicaraan ini. Sajak-sajak tersebut pula menyentuh tiga persoalan berikut:
1.Kemanusiaan/Peperangan
2.Keagamaan/Keinsafan
3.Nasionalisme/Patriotisme
Persoalan peperangan yang meragut ribuan nyawa digarap oleh Pharo Abdul Hakim melalui sajaknya, "Belasungkawa Kemanusiaan". Sajak ini mengambil iktibar daripada peperangan yang berlaku di Bosnia Herzegovina yang kini melebihi seribu hari. Peperangan pada penyajak adalah pembunuh kepada kedamaian dan kemanusiaan itu sendiri. Pharo semacam kecewa dengan apa yang berlaku di negara bekas Yugoslavia itu. Dia menyatakan
kuburu protagonis
yang mendaulatkan kemanusiaan
di tengah kekalutan kerana
di sisiku adalah pepatung
kaku dan sepi.
Kekecewaan dan kesedihan Pharo semakin terpancar melalui bait seterusnya.
Hari ini mesyuarat ditangguhkan
peta baru masih dilakar
lusa sebuah negara akan lahir
dari kemusnahan sebuah tamadun
hadiah buat pencabul kemanusiaan
belasungkawa buat mangsa yang
kehilangan identiti
dsn dunia yang hilang harga diri.
Kekecewaan itu lahir kerana Bosnia yang dicabul maruahnya oleh pihak Serb tidak pernah dibela sewajarnya. Bahkan pelbagai perjanjian, mesyuarat dan gencatan s enjatayang dibuat belum mampu memberikan keadilan kepada Bosnia dan rakyatnaya.Apa pun Pharo Abd.Hakim benar-benar tergugat oleh peperangan yang mencabul kemanusiaan.
Persoalan yang hampir sama dikemukakan oleh Redan Ginoh lewat sajak "Pertemuan Comel-Comel Manis". Sajak ini lebih optimistik berbanding sajak "Belasungkawa Kemanusiaan". Ini kerana Redan Ginoh berbicara tentang manusia yang lahir daripada benih-benih wawasan yang mencintai kemanusiaan. Generasi baru ini; akan sedaya upaya menghulurkan tangan/menghulurkan bantuan/akan sedayanya tunduk patuh kepada hukum seragamnya.
Selanjutnya penyajak menegaskan,
Pertemuan comel manis di padang basah
rumput basah
bukan untuk membincangkan mencari kedamaian
kerana hati sanubarinya tidak mengenal
permusnahan.
Bukan untuk mengatur strategi peperangan
pembunuhan
kerana semua umat padanya tercipta
untuk persahabatan.
Persoalan keagamaan dibawakan oleh Hisyam A.S.Dia penyajak yang mempunyai rasa kesedaran terhadap manusia yang mula melupai tuhannya. Dalam arus permodenan, masjid kian disepikan. Seolah-olah kewujudan masjid hanyalah sebagai lambang keagamaan cuma. Malah usia yang kian meningkat tidak pernah mengajar manusia untuk beribadat kepada Allah. Seperti kata Hisyam A.S.
Masjid tua terpegun melihat
manusia
lupa pada diri dimamah usia
Dalam bait berikutnya, Hisyam A.S. dengan nada penuh mengharap menyimpulkan,
Masjid tua tinggal kesepian
usang dan nuzur dihakis zaman
menanti ada hati yang mengingati
ada mata yang tidak buta
ada suara yang akan berbicara
tentang esok yang kian bergelora
Dalam sajak "Harga Sekotak Macis" pula Hazami Jahari memperkatakan tentang perbuatan maksiat yang meruntuhkan iman seorang muslim. ia lahir dari runtuhan nafsu yang gagal dibendung. Apatah lagi sang pelcur tanpa segan silu memperdagangkan maruah demi sesuap rezeki. Penyajak antara lain mencatatkan,
di sini iman sudah terlalu longgar
dosa bukan lagi peringatan
yang benar adalah nafsu
yang menang adalah engahan payah
di ranjang resah.
Penyelesaian di saat sesudah melakukan keterlanjuran pada penyajak tidak lagi memeberi makna; maka iman adalah ulangan keterlanjuran /membawa kami ke muara kehinaaan/di sungai penyesalan. Begitulah Hazami Jahari menyimpulkan berapa iman yang rapuh menyebabkan manusia mudah tergoda untuk melakukan larangan-laranagan Allah.
Zahirah Zaidani tidak ketinggalan mengungkapkan persoalan ketuhanan . Dia mengingatkan insan muslim agar berpegang dengan kalimat Allah kerana di bawah kalimah/berkuntum kemurnian iman. Pesanan ini dimuatkan oleh Zahirah Zaidani dalam sajaknya "Lailahaillallah".
Persoalan nasionalisme iaitu mencintai bangsa dan watan dituang oleh Hipani Alwi dalam bait-bait sajaknya. Dia bercerita tentang sejarah bangsa peribumi yang kini kehilangan harga diri. Kegemilangan lampau bukan lagi kebanggaan kini. Bangsa kita kini terhimpit oleh sikap negatifdiri sendiri serta kelemahan yang tidak pernah mahu diperbaiki. Hipani Alwi dengan nada yang sinis bercerita;
katanya elbih seabad lampau
atuknya adalah saudagar besar
negeri ini sungguh senang dan selesa
kita adalah peniaga yang berjaya.
Namun nasib malang menimpa bangsa kita akibat kelalaian sendiri. Dan penyajak terus menceritakan kedukaan itu;
katanya entah kenapa seabad lampau
negeri in terjual satu persatu
orang putih dengan dogma angkuh
dan kita pun terlempar jauh dan jatuh
lalu tertekan menjadi petani cukup makan.
Lanjutan daripada sikap lalai itu, bangsa kita menjadi;tunggul batu mati/akal kita telah terbelenggu dan mati/dan kita membina rumah di tepian sungai/arus tanah-tanah terbiar/dalams ebuah negara merdeka'
Akhirnya jadilah bangsa kita yang hampir terjual hidup di pinggir-pinggir kota yang pesat membangun. Semuanaya kerana kita leka dengankeistimewaan yang ada suatu ketika dahulu. Dalam hal ini Hipani Alwi berharap kesilapan lampau dijadikan sejarah untuk mengembalikan kekuatan bangsa dan negara, katanya;
sejarah adalah kekuatan kita
menuju kegemilangan nusa
sebuah wawasan akan terpeta
di pinggir-pinggir kota
dan merata desa.
Hisyam A.S. turut menyentuh persoalan mencintai tanah air sendiri.Tetapi dia menggunakan imej "Bunan Gega" bercerita tentang keharmonian dan kedamaian. Dengan bahasa penuh halus dia mengungkapkan keindahan buminya sendiri. Perhatikan bagaimana Hisyam A.S. memperkatakan tentang keindahan, ketenangan dan kedamaian Bunan Gega;
Bunan Gega
langitmu dicantas pelangi
lembahmu adalah permaidani
puteramu menjunjung harmoni
Walau bagaimanpun dalam keindahan dan kedamaian bumi tercinta, maruah dan harga diri rakyat tetap dipelihara kukuh. Kerana sejarah mempertahankan bumi ini tetap menjadi pendorong untuk terus menjaga keharmoniannya. Untuk itu Hisyam A.S meminta kita (rakyat) merakmkan perjuangan petani dan pejuang lain yang bersama-sama mempertahan harga diri bangsa d an negara. Dia mencatat;
Bunan Gega
lukiskan figura senja
bersalut pelangi dan menatri
lakarkan cerita
tentang petani danh harga diri
rakamkan s ejarah bangsa
yang kembali dari memdan
menegakkan panji-panji pelangi
di tengah rimba yang suci
Penelitian ringkas terhadap beberap sajak penulis Sarawak ini jelas mempamerkan perubahan sikap dan tanggapan mereka. Penyajak tidak lagi didodoi oleh perasaan melankolik memuja kekasih atau meratapi kematian orang yang dicintai. Sebaliknya permasalahan sejagat yang menyinggung hal-hal kemanusiaan, peperangan, penindasan dan pencabulan maruah diangkat dan dicerna untuk tatapan khalayak. Semacam ada kecenderungan pula perasaan cintakan bangsa dan negara turut melakari peta sajak mereka. Dan dalam kekalutan mencari kehidupan yang benar-benar damai, penyajak dengan penuh rasa insaf menyingkap peri agungnya Allah sebagi pelindung hambanya. Bagi penyajak hanya Allah sahaja yang mapu memberikan ketenangan, kebahagiaan dan segalanya. Ini membuktikan penulis Sarawakdekad terakhir ini mulai serius dalam berkarya. Sikap mereka juga ternyata lebih positif dan tegas.
Dalam pada itu, kemun culan Hipani Alwi dan Pharo Abdul hakim melayari lautan puisi adalah umpama nakhoda kepada penulis-penulis lama yang telah berlabuh di penghujung penglibatan. Dua penyajak ini kelihatan semakin giat bersajak ditambah pula dengan karya yang semakin mantap. Merekalah antara penulis yang wajar dicontohi.
Begitulah tanggapan saya setelah kembali merenung -renung lautan persajakan kita yang mulai sepi dengan kehadiran penulis lama. Apa pun, kepada yang masih aktif, teruskanlah usaha anda. Dan kepada yang telah berlabuh di pelabuhan "bersara", terima kasih!
Saturday, April 19, 2008
MENANGANI 7 BUAH PUISI PHARO ABDUL HAKIM
Menangani 7 buah puisi Pharo Abdul Hakim oleh : Jais Sahok
(Rencana ini disiarkan di akhbar Utusan Borneo dalam ruangan Yang indah itu bahasa pada 21.02.1990)
Tidak dapat dikesan di mana akan ditemukan semua karya penyair Pharo Abdul Hakim. Dalam antologi BUIH DI AIR, cuma ada tujuh buah - antologi bersama-sama Shamsherbie Narudin, Slleh Hj. Ahmad, Jali Kenoi dan Mat Sout Ahmad. Kebanyakan puisi (sajak) Pharo Abdul Hakim tersiar dalam PERINTIS terbitan Biro Kesusasteraan Borneo ( dan kemudian dilanjutkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak buat seketika. Kini majalah itu sudah tidak diterbitkan lagi).
Lewat puisinya yang 7 buah ini, apakah yang hendak dibicarakan oleh Pharo Abdul Hakim? Mencari jawapan kepada soalan inilah yang cuba diusahakan melalui penulisan rencana ini.
Tujuh buah puisi Pharo Abdul Hakim itu ialah:
i) Tradisi?
ii) Joker
iii) Cerita sebuah Senja
iv) Cintaku Jauh di Kuala
v) Ombak
vi) Pesanan
vii) Pencarian
Sebagai penulis puisi yang beragama Islam, Pharo menulis dua buah sajak berunsur Islam - yang jelas menampakkan harapan dan kehendaknya.
Kedua-dua buah sajak berunsur Islam yang dimaksudkan itu ialah Pencarian dan Cerita Sebuah Senja. Dalam Cerita Sebuah Senja Pharo mengajak kita bersama-sama mendatangi panggilan ke ararah kemenangan. Ia dapat dilihat dalam rangkap kedua sajaknya itu:
anakku memanggil
memujuk
merayu engkau
datanglah ke barisan kami
datanglah kepada kemenangan.
Pnggilan itu pula adalah satu panggilan yang nyaring hingga diibaratkan bergema ke angkasa luas seperti tulisnya dibait pertama:
Dengan irama nan mendayu
barisanku bernyanyi
bergema di angkasa luas.
Adakah semua orang menyahut panggilan (azan) demikian? Selalunya tidak. Perkara inilah yang diperjuangkan oleh Pharo lewat sajaknya itu. Ini kerana masih banyak manusia yang lalai dengan serba serbi kegiatan keseronokan masing-masing seperti dikesalinya:
.....
tapi engkau tertawa saja
bersama dayang-dayang keliling pinggang
dan kini cafe itu telah jajdi istimewa
kerana sudah separuh abad usiamu
masih jua menjenguk monalisa
Monalisa seperti kebanyakan orang tahu adalah lukisan wajah wanita yang paling cantik di dunia. Banayak orang memodelkan nama itu sebagai nama perempuan, malah tidak kurang pula yang memujanya.
Monalisa sebagai lambang pelayan di cafe yang digunakan oleh Pharo dalam sajaknya ini memang tepat dan sesuai. Ini kerana selain minuman keras dan alunan musik yang menghangatkan suasana , pelayan yang menggoda jiwa adalah satu lagi daya tarikan yang sentiasa mengajak orang berkunjung ke cafe atau kelab malam. Kerana kelalaian itu, biasanya manusia pengunjung dan pemuja Monalisa, melupakan amal ibadat dan kewajipanya tetapi kelalaian menang jua:
Di bukit sana masjid emas menunggu lawat
dan di kakinya istanamu bermegah
dan kini anakmu memanggil lagi
tapi
engkau membisu
memekak
membiar senja berlalu
Hari-hari seterusnya manusia yang lalai ini akan mengulangi perbuatannya walaupun rumahnya cuma terletak di luar pagar masjid.
Lewat sajak Pencarian pula Pharo benar-benar melukiskan gambaran pencarian itu sendiri. Dalam pencarian itu beberapa perkara aneh yang kadang-kadang mencabar akal manusia ditemukannya. Perhatikan bait pertama sajak itu:
Kembara aku sampai ke horizon
ke barat, ke timur, ke utara, ke selatan
mencari yang tak boleh kulihat
tapi kuhormat
tak pernah kudengar suara
tapi pernah bermadah
Sejauh kembara di muka bumi mungkin masih mudah difikirkan tetapi keupayaan manusia hingga mencecah kaki di bulan, kecuali manusia yang terpilih khas - sukar dilakukan. Namun , walau sampai di bulan pun bukannya mudah mencari kehendak kita sendiri.
kembara aku sampai ke bulan
tak kujumpa jawapan
hanya jiwa yang tertekan
Jika seseorang sentiasa bertanya dan mencari, seperti kata Pharo dalam puisinya, dituduh gila atau pelampau yang murtad. Begitu sukarnya kita menemukan jawapan soalan di mana Tuhan! Bagaimanapun seperti hakikatnya yang diterangkan dalam Islam, Pharo menulis :
Dengan hati rawan
kutanya pada semua
hanya satu yang kutemui
- Ia ada bersamamu-
Walaupun tidak kelihatan, Ia yang dimaksudkan itu tidak harus dilempari noktah kecewa atau putus asa. Pharo terus mengembara, seperti tulisnya lagi:
Aku terus kembara
mencari
yang ingin kutemui
dan berbicara sama
Melalui pengamatan, pengalaman dan pemerhatiannya tentang alam sekeliling, cara hidup dan sikap masyarakat di sekelilingnya, Pharo saya ibaratkan pengkritik sosial yang tajam - melalui puisinya.
Melalui soalannya dalam sajak Tradisi? Pharo sebenarnya membenci sikap orang Melayu (orientasi masyarakat Pharo adalah Mmelayu) yang turun -temurun tidak pernah berubah kepada kebaikan, kemenangan atau pencapaian mutu tinggi.
Bagi orang Melayu selalunya:
Bapa borek anak rintik
bapa berat di lengan
anak berat di bahu
Bagaimanapun hakikat contoh dan teladan sememangnya begitu. Anak akan menjadikan bapanya model contoh yang paling dekat. Maka itu, kalau bapanya borek,apa lagi, anaknya rintiklah. Justeru kalau bapamalas, anaknya lebih malas atau paling kurang pun sama malas.
Persoalan ini berat, walaupun sajak ini ditulis dalam tahun 1970an, tapi persoalannya masih segar, masih menular gejalanya dalam sistem sosial kita ini. Bagaimanapun tentulah semua orang menyesalinya seperti juga Pharo:
kulihat ini penuh kesalan
menggigit jari pada tradisi
Sememangnya tradisi ini harus ditinggalkan atau dihapuskan sama sekali. Inilah yang dapat saya lihat dalam sajak sebait karya Pharo ini. Alat yang paling berkesan untuk cuba mengusahakannya ialah pendidikan yang lebih baik. Cabaran ekonomi dan perebutan peluang sudah tentulah menjadi fenomena asasnya tetapi sikap negatif yang dikesali itu, dapatkah diubah?
Daripada kekesalannya terhadap tradisi yang merugikan itu fikiran Phareo bercambah kepada kritikan yang lain seperti perangai tahi judi, rantai d an belenggu hidup para nelayan lalu dia menasihatkan pembaca tentang kehidupan.
Dalam sajak Joker, iaitu kritikan terhadap perangai canggung tahui judi, gambaran porak-peranda hati judi begitu jelas iaitu:
di rumah isteri menangis
peluh sebulan kekring semalam
esok berpeluh lagi
joker tetap tersenyum ria
Kepada tahi judi, wang isteri dan anak-anak pun tidak diendahkan. Yang penting baginya ialah berjudi. Kalau kalah begitulahjadinya, tapi kalau menang pun tidak pernah akan kaya sepanjang zaman. Dapat pula diibaratkan keadaan menang jadi arang kalah jadi abu.
Itulah tentang kesan judi kepada keluarga dan keadaan secara keseluruhannya. Tentang diri tahi judi itu pun Pharo berpandangan jijik dan mengecamnya.Perhatikan dia menulis:
Ayam berkokok
menguap
bila balik tyerhoyong-hayang
puas
Rantai dan belenggu hidup para nelayan yang tidak pernah berubah diperlihatkannya dalam sajak Ombak:
nelayan ke laut mencari nafkah
untuk sesuap nasi
kembalinya melihat perubahan pantai
menyumpah ombak yang menggila
yang menarik istana dunianya.
Yang dimusykilkan di sini ialah keadaan pantai boleh berubah oleh tamparan dan hempasan ombak- selalunya menjadi lebih baik-lebih cantik, menarik. Tapi bagi nelayan-kebahagiaannya diragut dan ombak itu diibaratkan fenomena alam yang menggila.
Ada mesej dan amanat yang tersembunyi di balik kata perubahan itu- pada tanggapan saya. Kalau ombak ganas dan gila itu dapat mengubah dan mencantikkan pantai, kenapa kehidupan manusia(nelayan) itu menjadi papa kedana- sedangkan manusia adalah makhluk istimewa yang ada akal dan fikiran. mengap tidak diubah untung nasib diri sendiri dengan melakukan kerja lain? Hanya dengan menjadi nelayan sahajakah para nelayan kini dapat hidup? Di negeri-negeri yang lainpara nelayan sudah naik ke darat - bertani dan/atau berniaga. Kelak apabila keadaan sudah mengizinkan, kembalilah ke laut.
Ombak, sebagai sifat semula jadinya, kalau diharungi dengan perahu kecil tentulah menjadi pembunuh, tapi kalu dibiarkan sendirian sambil manusia mencuba nasib di tempat lain- rezeki di tangan Tuhan dan ada di mana-mana. Lagipun Tuhan tidak akan mengubah nasib satu-satu bangsa, melainkan bangsa itu sendiri yang mengusahakannya.
Dalam sebuah sajak yang yang lain, Pesanan (untuk seorang teman), Pharo berpesan:
Pergilah
moga kau temui dunia baru-pintamu
pesanku
hidup sebagai lilin
nanti kau kan temui...?
Bagi saya, Pharo memperlihatkan fikiran dan sikap keterbukaannyadalam sajak ini. Baginya, orang yang pergi terlalu cepat yang enggan mendengar nasihat orang lain, haruslah dibiarkan pergi agar tercapai cita-cita dan hajatnya.Manusia memang mahu bebas bertindak.
Begitulah tujuh buah sajak hasil tangan Pharo Abdul Hakim yang sempat diteliti. Sudah lebih lima belas tahun Pharo tidak menulis sajak- satu penantian yang terlalu lama bagi para peminat sastera (genre puisi khususnya) di Bumi Kenyalang.
Utusan Borneo: 21.02.1990
catatan: Rencana yang sdr Jais tulis ini telah menghidupkan kembali keinginan dan minat saya menulis puisi. Sejak itu, puisi terus lahir dari tinta sehingga hari ini. Terima kaksih Sdr Jais Sahok.
Tuesday, April 15, 2008
Temanku, Mejar Ramlee Tambek

Mejar(B) Ramlee berdiri di kanan sekali sedang memeluk Superintendan Polis Hj Sulaiman Razak. Gambar ketika kami kembali dari berkelah di Santubong, kalau tak silap.
Malam Jumaat, 3 April lepas, semasa berada di masjid Jamek negeri
Sebelum ini kami pernah bertemu sekali beberapa tahun sebelum, di kawasan Perpustakaan. Kami bertemu ketika jogging di
Kami menuntut bersama-sama di Sekolah Menengah St. Thomas dalam tahun 1967 hingga 1971 dan berpisah setelah menamatkan pelajaran setakat Sijil Senior Cambridge. Selesai belajar di SM St. Thomas Maj.(B) Ramlee melanjutkan pelajaran di ITM ketika itu dan saya bertugas di Simunjan sebagai s eorang kakitangan kerajaan.
Semasa di sekolah banyak sekali kenangan manis bersama Mejar(B) Hj. Ramlee. Mejar(B) Hj. Ramlee seorang teman yang sangat baik dan menghargai teman. Dia tidak melupai teman walaupun telah berada di puncak kejayaannya. Saya kagum dengan teman-teman yang berjaya dan tidak pula melupai teman-teman lama dan saya sedih dan terkilan apabila teman sedarjah yang telah berada di puncak seolah-olah tidak mengenali saya lagi. Sepatutnya keakraban hubungan dipelihara agar silaturahim berlanjutan. Bukankah kehidupan memerlukan kita berlaku baik, setia dan akrab pada teman dan berbudi bahasa tinggi . Bukankah berlaku sombong itu tidak baik?
Menatap wajah mejar(B) Hj. Ramlee mengembalikan ingatan pada zaman silam kami. Zaman ketika masih menuntut di sekolah menengah, ketika jiwa dipenuhi dengan semangat dan keinginan untuk menjadi manusia yang berguna kepada masyarakat. Masing-masing mempunyai cita-cita dan harapan. Masing-masing punya buah hati yang ingin dipuja sampai mati. Tetapi, yah..bagaimana akhirnya? Siapakah yang terus hidup bersama kekasihnya di masa remaja? Siapa pula yang putus di tengah jalan? Tak pasti..itu cerita yang ingin juga diketahui. Yang pasti Mejar(B) Hj. Ramlee hidup kekal bersama buah hatinya sejak dulu lagi dan saya doakan agar mereka kekal hingga akhir nanti…
Sesekali menjenguk masa lalu, elok juga, agar fikiran kita sentiasa diremajakan, tapi pastikan ia menjurus pada yang positif. Apa-apa yang kurang baik yang telah berlaku di masa lalu, baik benar kalau dapat dilupakan. Ingat pada satu adegan dalam iklan.." berjalan, pandang hadapan..." begitu ye?
Wednesday, April 09, 2008
MAKAN MALAM
Hari Isnin, 31 Mac lalu saya bersama keluarga (isteri, anak-anak , menantu dan dua cucu) keluar makan malam di salah sebuah gerai makan yang cukup popular di Kuching yang bertempat berhampiran dengan Jambatan Tun Abdul Rahman Yaakob.Zakariyya yang belanja kami.
Makanan yang dipesan cukup menyelerakan dan pasti sekali mengandungi kolesterol yang tinggi.Apa pun sekali sekala makan begini tak perlu fikirkan sangat tentang kolesterol.Yang pasti, anak-anak ingin melihat kami suami isteri ikut sama sekali sekala enjoy kat luar ketika malam seperti yang mereka rasai. Menatap makanan yang terhidang yang pelbagai jenis dan rasa itu mengingatkan kembali kehidupan semasa diri masih kecil sekitar tahun 60an. Ketika itu saya berumur sembilan ke sepuluh tahun.
Sekitar tahun 1964, almarhum ayah tiada di Kuching. Allahyarham kembali ke negara asal untuk menmui keluarga pertama di sana. Telah menjadi kebiasaan Allahyarham akan kembali ke negara asal setelah berada di Malaysia selama lima ke sepuluh tahun
Sepeninggalan ayah, kehidupan kami sekeluarga cukup perit kerana tiada siap yang bertanggungjawab terhadap perbelanjaan dan keperluan harian kami. Sebelum ayah pergi , ayah membuat perjanjian dengan teman-teman dan bapak saudaranya supaya membantu kami dengan membuat pendahuluan perbelanjaan kami untuk setiap bulan selama enam bulan dan teman-teman telah menyanggupi tanggungjawab ini.Ayah minta bantuan kawan-kawan membeli keprluan harian seperti kopi, beras , gula, tepung dan lain-lain.Janji ayah, segala perbelanjaan pendahuluan akan dilunaskan s ekembali beliau dari negara asal.
Begitulah manusia, tidak pernah berpegang pada janji dan tanggungjawab. Teman-teman ayah tidak melaksanakan janji mereka dan kami dalam keadaan yang amat daif sekali. Bantuan yang diharapkan setiap bulan tidak kunjung tiba, lantas ibu, ibu saudara dan abang tua terpaksa bertungkus lumus untuk meneruskan kehidupan. Bermacam kerja dilakukan termasuk mengambil upah membuat atap nipah.Saudara tua yang ketika itu berumur enam belas tahun telah berhenti dari sekolah dan bekerja di stesen minyak sebagai pencuci kereta dengan upah sebanyak kira-kira RM30.00 sebulan.
Selain abang, bapa saudara kami juga turut membantu, tapi dengan kerja sebagai penoreh getah, ketika getah jatuh harga, pendapatan memang tidak seberapa.ada ketika kami hanya makan sekali sehari. Sukar bagi ibu untuk mencari secupak beras. keperitan ketika itu masih lagi dirasai sehingga hari ini.
Sehingga sekarang sukar untuk melupai jasa dan bantuan yang dihulurkan oleh jiran tetangga kami ketika itu. Mereka terus menerus membantu kami sekeluarga dengan meminjam kami beras dan juga lain-lain keperluan. Saya tersentuh sekali menatap wajah Dayang Sofia dalam filem Bujang Lapok , ketika beliau berjumpa dengan Normadiah untuk meminjam beras.Hati berkata, begitulah perasaan ibu ketika itu.Dan tentu jiran-jiran kami sama seperti Normadiah, yang berhati mulia.
Lantas makan malam kali ini memberi sedikit kesedaran dan ingatan tentang keperitan hidup yang pernah dialami. Hari ini anak-anak ingin melihat kami merasai sedikit kesenangan dan keceriaan dalam hidup. Alhamdulillah..
Thursday, February 07, 2008
MERCUN

Beberapa hari yang lalu saya memulakan pembacaan sebuah buku My Life in Sarawak yang ditulis oleh Margaret Brooke, isteri Charles Brooke, seorang Inggeris yang diberi gelaran Rajah Putih yang kedua Sarawak. Membaca buku itu membawa kita kembali kepada zaman bahari negeri Sarawak yang dipenuhi dengan warna warni adat resam budi pekerti tinggi rakyat
Ketika melawat Santubong, Margaret Brooke telah diberi layanan yang cukup istimewa oleh pemimpin Santubong ketika itu, Haji Ahmad. Dan semasa pergi ke suatu tempat untuk berehat, kedatangan mereka disambut dengan meriah oleh penduduk kampung. Mengikut catatan Margaret, mercun telah diletupkan semasa ketibaan mereka bagi menandakan penghormatan dan kegembiraan penduduk atas kehadiran beliau dan rombongan.
Bercerita tentang mercun yang dibakar ketika menyambut kehadiran tetamu atau ketika mereka balik dari sesuatu majlis, ia mengingatkan saya amalan penduduk Kuching yang pernah saya alami sekitar awal tahun enam puluhan. Saya tak pasti sama ada amalan membakar mercun ketika kehadiran tetamu atau ketika tetamu balik itu meluas di seluruh Kuching atau tidak. Yang saya ingat, ia diamalkan di kampung seberang hilir.
Saya ingat, ketika menyambut hari raya aidil fitri di kampung sekitar tahun 1962 atau 1963 suasana amat memriah sekali. Penduduk kampung akan memasang pelita disekeliling kawasan rumah dan juga di sepanjang jalan kampung. Dan telah menjadi tradisi bagi guru-guru yang mengajar di
Oh ya, ketika guru-guru itu sampai ke tangga rumah, sebelum naik ke rumah, mercun akan dibakar oleh bapa atau pelajar bagi menyambut kehadiran guru-guru. Begitu juga apabila guru-guru berangkat balik sekali lagi mercun akan dibakar mengeluarkan bunyi dentuman yang bederetan.
Ayah tak benar saya bermain mercun jenis besar yang kami gelar mercun papan.Saya hanya diberi mercun padi yang mengeluarkan bunyi agak halus dan dentumannya tak sehebat mana. Apabila guru-guru balik dari rumah saya, Pak Usu saya melepaskan sepapan mercun padi, lantas ia mengeluarkan bunyi yang tidak nyaring dan ini membuat anak-anak sekolah yang mengiringi guru-guru tadi ketawa berdekah-dekah. Kebanyakan rumah yang dilawati akan membakar mercun papan atau yang lebih hebat akan membakar mercun long(jenis besar dan teramat nyaring).
Beberapa orang guru yang saya masih ingat datang melawat kami ketika itu ialah Allahyarham Cikgu Gobil Ismawi dan juga cikgu Betty. Yang lain saya tak dapat nak ingat. Kehadiran mereka ke rumah membuat saya betul-betul gembira, cemas pun ada dan yang paling seronok , saya bangga kerana guru sudi datang ke rumah saya, bertemu orang tua.
Saya tak pasti apa yang sedang anda fikirkan tentang adat atau amalan tersebut di atas. Bagi saya amalan guru-guru melawat murid-muridnya ketika hari raya puasa ini, sesuatu yang amat positif dalam membentuk jiwa anak-anak, membina hubungan kukuh guru dan ibu bapa dan yang paling penting mewujudkan suasana harmoni. Kalaulah amalan seperti ini boleh kita hidupkan kembali di peringkat sekolah menengah, tentu ia akan memberi kesan yang amat baik sekali. Sesekali kita meninjau masa lepas ada baiknya. Kadang-kadang ada pengajaran yang boleh kita temui di sana.
Friday, January 25, 2008
Simunjan Yang Kukenal(2)
Saturday, January 19, 2008
Simunjan Yang Kukenal (1)
Wednesday, January 16, 2008
TARZAN
Saya melanjutkan pelajaran di Sekolah Menengah St. Thomas Kuching dalam tahun 1967 setelah selesai belajar di Sekolah Rendah Kpg Pulo setakat darjah enam. Di SM St.Thomas saya ditempatkan di dalam tingkatan 1C.
Perjalanan ke sekolah dari rumah saya agak jauh. Saya kira tidak kurang 6 kilometer jaraknya.
Laluan kedua, saya berjalan dari rumah ke pangkalan tambang kpg Panglima Seman Ulu. Kemudian menyeberangi sungai ke pangkalan yang terletak berhampiran dengan sebuah kilang membuat mancis, Sarawak Match Factory. Dari sini saya berjalan dari Jalan Abell ke jalan padungan kemudian melalui jalan di bukit mata Kuching sebelum sampai ke sekolah.
Dan laluan ketiga, saya berjalan dari rumah sehingga ke kampung Boyan. Di kampung Boyan saya menaiki tambang menyeberangi sungai. Di seberang sungai berhadapan kpg Boyan ialah bandar Kuching yang lama dikenali dengan nama Main Bazaar. Untuk ke sekolah dari main bazaar tidak jauh, mungkin ambil masa tujuh minit untuk sampai.
Pada masa itu terdapat seorang pesakit mental yang selalu berkeliaran di sekitar bandar Kuching. Kami gelar orang ini Tarzan tapi tak pasti mengapa ia diberi gelaran sedemikian. Mungkin juga kerana pakaian yang dikenakannya. Dia menggunakan guni beras untuk membalut badannya. Di kepala terdapat topi daripada kain yang sudah lusuh. SebEnarnya bukan baju dan seluar yang formal yang digunakannya. Sebaliknya ia sekadar kain yang dibalut pada badannya. Dia juga memakai stoking panjang sehingga ke lutut yang berlainan warna. Ketika berjalan dia akan membawa beberapa bungkusan, beg lusuh dan dapur yang masih berasap. Dapurnya diperbuat daripada baldi yang telah diubahsuai.
Setiap kali melintasi sekolah kami, pelajar-pelajar akan mengusik Tarzan dengan memanggil namanya berkali-kali. Dia akan berhenti d an menunjukkan jarinya ke arah kami. Untuk maklumat, pakaian seragam sekolah kami ketika itu ialah seluar pendek warna biru tua berbaju putih.
Suatu hari saya mengalami demam dan telah diberi kebenaran oleh cikgu untuk pulang. Jam baru pukul sembilan pagi. Saya berjalan balik membawa beg sekolah yang berat juga disamping satu lagi bungkusan mengandungi makanan tengah hari saya. Saya berjalan melintasi panggung Rex (sekarang Medan Pelita) menuju ke jalan menaiki bukit Mata Kuching . Separuh jalan menaiki bukit itu,saya lihat Tarzan datang dari arah bertentangan. Saya berjalan di s ebelah kiri menuju ke atas dan dia di sbelah kanan saya menuruni bukit. Apabila melihat saya di pun terus meluru ke arah saya. Saya panik dan terus berlari balik menuruni bukit . Dalam keadaan sedang demam saya terpaksa berlari sekuat hati. Saya bernasib baik, Tarzan membawa barang yang banyak di tangannya jadi tak boleh berlari laju.
Lama juga saya berfikir dan hairan mengapa dia mengejar saya kerana sebelum ini tak pernah pun saya mendengar Tarzan membuat kacau atau mengejar sesiapa. Dia hanya berjalan keliling bandar tanpa arah dan tujuan membawa barangannya.
Beberapa hari kemudian setelah sembuh dari demam saya kembali ke sekolah tetapi mata saya tetap terus memerhati di hadapan dan belakang saya, takut-takut bertembung dengan Tarzan. Kalau dapat ditangkap, tak tahu pula apa yang akan dibuatnya. Saya ceritakan pada teman-teman di sekolah peristiwa itu dan bertnya kepada mereka mengapa Tarzan
Sekarang sudah tak ada lagi Tarzan. Saya tak pasti bila dia menghilangkan diri. Seingat saya memang ada gerakan menangkap orang yang merayau di jalan-jalan di Kuching beberpa ketika dahulu untuk tujuan pemulihan atau menempat di rumah-rumah kelolaan Jabatan Kebajikan atau NGOs. Saya rasa mungkin Tarzan salah seorang yang dibawa bersama.
Sudah empat puluh tahun berlalu. Banyak perkara mungkin telah berlaku. Tarzan mungkin sudah tiada lagi di dunia. Saya percaya Tarzan banyak menerima ujian dalam kehidupannya. Walaupun dia hidup penuh kesengsaraan dan keperitan, dia teruskan juga kehidupannya dengan berjalan menikmati kebebasan yang ada padanya sambil menghirup udara segar bandar Kuching.
Saya pun bertanya pada diri..masih wujudkah kenikmatan yang pernah dinikamati Tarzan itu di bandar raya Kuching yang cantik seindah taman ini?