Showing posts with label REVIEW. Show all posts
Showing posts with label REVIEW. Show all posts

Friday, October 24, 2008

PANJAMON

PANJAMON

oleh JEAN-YVES DOMALAIN

Diterjemah DARI Bahasa Perancis ke Bahasa Inggeris oleh Len Ortzen

Kisah kembara seorang pemuda Perancis..sesat di rimba Borneo akhirnya diangkat oleh suku kaum Iban dan berkahwin dengan anak Tuai Rumah…

Dua minggu lepas saya ke Perpustakaan Sarawak untuk menghatar balik beberapa buah buku yang telah saya pinjam. Ketika mencari buku-buku di rak untuk dipinjam saya terjmpa senaskhah buku dengan tajuk PANJAMON. Tajuknya menarik perhatian saya walaupun tidak tahu apa makna perkataan itu.

Panjamon ditulis oleh seorang pengkaji haiwan berbangsa Perancis. Buku ini merupakan catatan perjalanan dan pengalaman penulis ketika meredah hutan Borneo awal 60an, sewaktu konfrantasi Malaysia dan Indonesia memuncak.

Kisah berkisar tentang pengembaraan penulis yang menyusur sungai Baleh ke hulu, akhirnya ditinggal di tebing sungai oleh pemandu perahu yang tidk igin meneruskan perjalanan. Dari tebing dia ditinggalkan bermula kisah dan kehidupan penulis dalam meredah hutan Borneo yang akhirnya membawa beliau ke sebuah rumah panjang yakni Rumah Selidapi dan mengikut peta yang disertakan ia terletak di dalam daerah Kalimantan Indonesia.

Kerana tidak faham tentang budaya tempatan banyak juga perbalahan berlaku antara penulis dengan penduduk tempatan. Yang paling melucukan, penulis telah memuji kecantikan wajah anak Tuai Rumah dan pujian diulang selama tiga kali di hadapan ayah gadis itu (TR). Bagi masyarakat Iban di sini, pujian itu membawa maksud peminangan anak beliau dan akhirnya anak gadis itu dikahwinkan dengan penulis walaupun ketika berlaku peristiwa ini, anak gadis itu sedang bertunang dengan seorang pemuda.

Pertembungan penulis dengan seorang dukun menyebabkan penulis tidak dapat terus tinggal di rumah panjang itu. Suatu malam yang telah dirancangkan, penulis melarikan diri dari rumah panjang itu bagi mengelak dirinya dari ancaman musuhnya ( walaupun saya tidak yakin itu sebagai sebab penulis lari dari rumah panjang itu).

Sebuah buku yang menarik, padat dengan maklumat tentang budaya Iban dari perspektif orang Eropah. Sudah dapat kita jangka, penulis sentiasa menunjukkan kebijaksanaan dan ketinggian tamadun barat dan dalam masa yang sama memperlekeh masyarakat peribumi. Cara penceritaan menunjukkan keegoan orang barat dan betapa mereka memandang rendah terhadap masyarakat timur. Panjamon membawa makna headhunter atau penyamun tapi istilah penyamun di sini tidak sama dengan makna sebenar penyamun seperti yang kita maklumi yakni seorang pencuri atau perompak yang menyamun orang. Sebaliknya penyamun di sini membawa makna pemotong kepala. Akktiviti pemotong kepala pernah berlaku di pulau Borneo suatu ketika dahulu. Perkara ini dapat kita lihat jika berkunjung di rumah panjang, di mana tengkorak manusia akan kelihatan digantung di ruang tertentu di rumah panjang.

Catatan penulis yang diakhiri dengan peristiwa penulis lari dari rumah panjang sedikit sebanyak dapat memberi gambaran sebenar tentang sikap dan peribadi penulis. Tapi yang menarik hati saya tentang buku ini ialah catatan penulis tentang budaya dan kehidupan orang Iaban yang dilalui penulis. Ia merupakan suatu rakaman yang amat menarik sekali.

Monday, March 24, 2008

NO REASON FOR MURDER

Setelah lebih sebulan saya membaca baru semalam saya habis membaca novel "No Reason For Murder" karya seorang penulis Jepun, Ayako Sono dan diterjemah ke Bahasa Inggeris oleh Edward Putzar. Mengapa saya mengambil begitu lama masa untuk menghabiskan sebuah novel setebal empat ratus dua puluh halaman? Yang sebenarnya saya tidak membaca berterusan sesebuah buku itu. Dalam masa yang sama saya membaca novel-novel lain yang telah dibeli mahu pun yang saya pinjam dari Perpustakaan. Seingat saya, dalam tempoh waktu yang sama saya juga telah menghabiskan pembacaan sebuah antologi cerpen bertajuk The Bamboo Sword and Other Samurai Tales oleh Shuhei Fujisawa dan diterjemah ke Bahasa Inggeris oleh Gavin Frew.
No Reason for murder merupakan sebuah novel yang sangat menarik hati saya. Ia menceritakan kisah dua orang insan biasa yang terjerat di dalam suasana yang cukup luar biasa. Novel menceritakan kisah seorang wanita Yukiko Hata, gadis yang jujur , naif dan baik bertemu dengan seorang lelaki, Fujio Uno yang punya perangai yang cukup menjengkelkan.
Cerita berlatarkan sebuah kawasan luar bandar, Semenanjung Miura di barat daya Tokyo. Fujio Uno seorang yang gila perempuan, pembunuh dan perogol bertemu Yukiko Hata, seorang wanita penganut agama Kristian yang berpegang teguh pada prinsip hidup dan pegangan agama.
Yang menarik di dalam cerita ini, penulis telah melukiskan perlakuan jahat Fujio Uno dalam menggoda setiap wanita yang ditemuinya sebelum membunuh dan membuang mayat wanita yang dibunuhnya. Saya juga amat tertarik dengan cara penulis menggambarkan apa yang berlaku di dalam Balai Polis ketika siasatan dijalankan.
Yukiko merupakan seorang wanita yang tidak dapat digoda oleh Fujio. Yukiko berusaha membantu Fujio dalam meleraikan kesukaran dan kecelaruan fikirannya.Dan dalam masa yang sama Fujio terus hanyut di dalam tindakan perogolan dan pembunuhan.
Sebuah novel yang cukup menghiburkan dengan cara perlukisan peristiwa yang jelas dan cantik sekali.

Thursday, January 17, 2008

BOTCHAN - Sebuah novel Jepun

Kisah Pemberontakan Seorang Anak Muda Terhadap "Sistem" Sebuah Sekolah Luar Bandar

Selesai membaca novel Floating Clouds minggu lepas saya membaca sebuah lagi novel hasil buah tangan penulis negara Matahari Terbit, Natsume Soseki, bertajuk BOTCHAN. Novel setebal 172 muka surat itu pertama kali terbit dalam Bahasa Jepun pada tahun 1906. Mengikut penjelasan oleh J. Cohn, penterjemah novel itu ke dalam Bahasa Inggeris, perkataan Botchan yang diangkat menjadi tajuk novel ini merupakan nama timangan/gelaran yang diberi kepada anak-anak atau remaja dari kalangan keluarga yang dihormati. Kadang-kadang gelaran ini akan melekat kepada lelaki yang telah dewasa tetapi gagal menyerlahkan kedewasaannya.

Sebuah novel yang menarik hati saya walaupun cerita ini sebenarnya merupakan sebuah kisah remaja. Watak utama, Botchan yang juga pencerita novel ini, tinggal di Tokyo bersama ibu bapa, saudara lelakinya dan seorang wanita tua, Kiyo, yang bertugas sebagai pengasuh di rumah keluarganya. Botchan tidak begitu disayangi oleh ibu bapanya berbanding abangnya. Tetapi Botchan mendapat perhatian dan kasih sayang daripada pengasuhnya, Kiyo. Kiyo sentiasa membantu Botchan, memberi pujian setiap sesuatu yang dilakukan olehnya. Kiyo menyakini Botchan bahawa dia akan menjadi seorang yang berjaya suatu hari kelak. Namun Botchan tidak pernah mempercayai kata-kata perempuan tua itu.

Setelah tamat persekolahannya Botchan dilantik menjadi guru matematik dan ditempatkan mengajar di sebuah sekolah menengah yang terletak di sebuah pekan kecil di pulau Shikoku. Di daerah pedalaman inilah bermula pengalaman hidup pelbagai rasa yang dilalui Botchan. Di sini Botchan ditemukan dengan manusia dengan pelbagai jenis perangai dan ragam. Manusia hipokrit, pengampu, panas baran, jujur dan apa -apa jua. Dari awal hingga akhir novel ini, nama sebenar Botchan tidak pernah dinyatakan. Suatu faktor yang menarik dalam novel ini ialah bagaimana nama timangan/gelaran memainkan peranan penting .

Ketika di bertugas di sekolah ini Botchan bertembung dengan pelbagai watak manusia yang menghidupkan jalan cerita dengan suasana dan peristiwa yang amat menarik sekali. Dan menjadi satu kebiasaan Botchan memberi gelaran kepada watak-watak yang ditemuinya. Guru Besar sekolah diberi gelaran Badger, sejenis binatang yang tinggal di dalam lubang di tanah dan keluar waktu malam. Antara gelaran yang diberi kepada guru-guru di sekolah itu termasuklah Redshirt untuk penolong guru besar, porcupine untuk ketua guru matematik dan The Hanger untuk teman dan juga pengampu Redshirt.

Di sekolah ini Botchan berjumpa dengan manusia bersikap pura-pura, pengampu dan jujur. Dia melihat bagaimana manusia memperalatkan kedudukan mereka dan melakukan tindakan-tindakan kejam terhadap sesama teman. Cerita berakhir dengan Porcupine dipecat dan Botchan meletak jawatan. Tetapi sebelum mereka berdua kembali ke Tokyo mereka sempat mengambil tindakan pembalasan ke atas Redshirt dan The Hanger kerana kekejaman dan kelicikan mereka. Botchan kembali ke Tokyo menemui pengasuh yang dirinduinya.

Saya selesai membaca novel ini dalam masa tiga hari. Ini satu rekod peribadi saya selaku seorang yang lambat membaca. Saya membaca novel ini hingga larut malam. Sesuatu yang luar biasa bagi saya. Saya benar-benar terhibur membaca Botchan.

Sedikit maklumat tentang Penulis, Natsume Soseki, yang tercatat dikulit novel

Natsume Soseki merupakan salah seorang penulis terkemuka Jepun. Beliau dilahirkan di Tokyo dalam tahun 1867. Setelah mendapat ijazah dalam Kesusasteraan Inggeris dari Universiti Imperial Tokyo beliau bertugas menjadi guru dan berkhidmat beberapa tahun di pulau Shikoku dan Kyushu.

Beliau dilantik sebagai pensyarah Kesusasteraan Inggeris di Universiti Imperial Tokyo dalam tahun 1903 sekembali dari England setelah menamatkan pengajian lanjut dalam pengajian kesusasteraan. Beliau merupakan anak jati Jepun pertama dilantik ke jawatan tersebut. Empat tahun berikutnya beliau menghasilkan novel-novel Iam a Cat, Botchan dan The Three-Cornered World.

Dalam tahun 1907 beliau meletakkan jawatannya di Universiti untuk menumpukan sepenuh masa dalam bidang kesusasteraan. Hasilnya lahirlah novel-novel yang menelusur tema-tema berkenaan dengan kesepian dan lain-lain kesan kehidupan moden sama ada sosial mahu pun psikologi. Anatara Novel yang dihasil termasuklah Sanshiro, And Then, The Gate, The Wayfarer dan Kokoro. Beliau meninggal dunia dalam tahun 1916.