Monday, February 18, 2008

MASJID BESAR SARAWAK

Masjid Besar Sarawak diroboh sekitar tahun 60an

Thursday, February 14, 2008

HILANGNYA SEBUAH MERCU TANDA

Menara Pelita
(Jabatan Perbendaharaan Negeri Sarawak terletak di Tkt. 7 - 11)



Banjir melanda Kuching sekitar awal 1960an


Telah dirobohkan....




Bangunan dua tingkat ini asalnya merupakan Pejabat Setiausaha Kerajaan Sarawak. Setelah bangunan baru Sekretariat siap dibina, bangunan ini diduduki pula oleh jabatan Perbendaharaan Negeri Sarawak dan Jabatan Audit. Saya sempat bertugas di sini sekitar tahun 1991 sebelum berpindah ke Miri.

Jabatan Perbendaharaan Negeri Sarawak telah mengosongkan bangunan ini dalam tahun 1995 kerana berpindah ke Menara Pelita yang terletak di Petra Jaya. Saya sempat bertugas di Menara Pelita selama lapan tahun sebelum bersara.

Hari ini bangunan lama Jabatan Perbendaharaan Negeri Sarawak itu sudah tiada lagi . Ia telah diroboh awal tahun ini kalau tak silap, mungkin untuk membolehkan bangunan baru tumbuh...satu lagi mercu tanda bandar Kuching sirna...

Monday, February 11, 2008

Generasi Hari Ini

Sesekali kita ingin melihat dunia hari ini kembali ke zaman silam ketika suasana mamsih segar dan mulus. Kehidupan dipenuhi dengan kebijaksanaan moden, keyakinan diri yang tinggi disulami kekayaan budaya bangsa. Negara dibanjiri rakyat yang berilmu pengetahuan, sedia merobah bumi ini menjadi sebuah negara yang berwibawa dan dihormati dunia.

Kehidupan silam dipenuhi dengan keindahan dan kebajikan dalam pelbagai segi. Budaya cantik, budi bahasa elok. Budaya saling menghormati dipertahan. Orang tua berbicara dengan anak muda bahasanya elok, memberi pendidikan secara langsung kepada pertumbuhan minda anak-anak, menjadikan mereka generasi yang baik dan berbudi tinggi, tanpa kompromi dalam mencapai kebijaksanaan.
Apa yang telah berlaku pada masyarakat hari ini. Dalam banyak segi kehidupan tunggang langgang. Anak muda tidak menghormati orang tua. Di satu peringkat, guru-guru di sekolah takut pada murid-muridnya. Kegiatan samseng semacam telah menjadi satu budaya anak muda. Setiap hari kita disajikan dengan berita keganasan dan kepincangan masyarakat. Kes rogol, peras ugut, bunuh dan apa jua yang negatif mendapat tempat di dada akhbar.
Masyarakat hari ini berdepan dengan generasi bijak pandai tapi sifar budi bahasa. Fesyen pakaian tidak langsung melambangkan budaya timur. Maruah dan kehormatan dicampakkan ke lembah yang paling dalam dan jijik. Kehidupan berkeluarga telah tidak dihargai. Isteri di rumah ditinggal kesepian sedang si suami berpesta bersama betina dari negara luar. Hasil pergaulan yang tidak mengikut norma kehidupan ini, lahirlah bayi-bayi tanpa bapa yang sah. Anak-anak ini membesar menjadi manusia yang tidak terpimpin, menambah lagi kerosakan alam. Anak-anak ini hidup tanpa kasih sayang. Kehidupan yang dijalani seperti melalui labirin yang gelap dan berliku.
Lalu di mana silapnya. Apa yang telah berlaku terhadap masyarakat kita. Mengapa tiba-tiba dalam jangka waktu puluhan tahun sahaja suasana berubah dengan pusingan tiga ratus enam puluh darjah. Tentu sekali ada kesilapan yang telah dilakukan. Ingat kata pepaatah, "Guru kencing berdiri, anak murid kencing berlari" dan "ketam mengajar anaknya berjalan lurus." Kita tentu sekali arif akan maksudnya.
Sebagai pemimpin di semua peringkat kita perlu menunjukkan kepada anak-anak model yang patut menjadi ikutan. Bagaimana hendak mendidik anak-anak supaya bersopan santun sedang kita sendiri mempelopori segala jenis kemungkaran dan kehidupan negatif. Setiap hari apa yang kita lihat? Kata-kata kesat, sumpah seranah, fitnah , aniaya dan segala jenis keburukan kita pamerkan kepada anak-anak melalui melbagai media yang ada.
Mmasih belum terlambat bagi kita untuk memperbetulkan keadaan. masih ada peluang untuk kita kembali ke zaman silam yang penuh kehalusan budi dan kesenian kata-kata tetapi dengan kebijaksanaan dan kepandaian yang memuncak. Kita sendiri harus memimpin mamsyarakat kita, orang di sekeliling kita, rakyat kita, pekerja kita, anak murid kita, menuju ke destinasi yang betul. Yang paling utama kita harus tahu ke mana arah kita. Kalau kita masih kabur tentang arah d an haluan masa muka, bagaimana hendak memimpin. Kalau kita sendiri yang berperangai seperti anak-anak yang menangis jika tidak diberi gula-gula, jangan harap akan ada perubahan.
Fikir-fikirkanlah nasib masa depan dan arah haluan bangsa. Janagan nanti tercatatmenjadi sejarah bahawa kita adalah generasi yang telah menghancur leburkan masyarakat, yang telah merosak punahkan budaya bangsa. Jangan biarkan kita dirakam sejarah bangsa sebagai generasi yang meranapkan harapan dan cita-cita bangsa.

Thursday, February 07, 2008

MERCUN




Beberapa hari yang lalu saya memulakan pembacaan sebuah buku My Life in Sarawak yang ditulis oleh Margaret Brooke, isteri Charles Brooke, seorang Inggeris yang diberi gelaran Rajah Putih yang kedua Sarawak. Membaca buku itu membawa kita kembali kepada zaman bahari negeri Sarawak yang dipenuhi dengan warna warni adat resam budi pekerti tinggi rakyat Sarawak. Tapi tulisan ini bukan hendak mengulas tentang buku di atas. Ada sesuatu yang menarik perhatian saya yang ingin saya kongsi bersama.

Ketika melawat Santubong, Margaret Brooke telah diberi layanan yang cukup istimewa oleh pemimpin Santubong ketika itu, Haji Ahmad. Dan semasa pergi ke suatu tempat untuk berehat, kedatangan mereka disambut dengan meriah oleh penduduk kampung. Mengikut catatan Margaret, mercun telah diletupkan semasa ketibaan mereka bagi menandakan penghormatan dan kegembiraan penduduk atas kehadiran beliau dan rombongan.

Bercerita tentang mercun yang dibakar ketika menyambut kehadiran tetamu atau ketika mereka balik dari sesuatu majlis, ia mengingatkan saya amalan penduduk Kuching yang pernah saya alami sekitar awal tahun enam puluhan. Saya tak pasti sama ada amalan membakar mercun ketika kehadiran tetamu atau ketika tetamu balik itu meluas di seluruh Kuching atau tidak. Yang saya ingat, ia diamalkan di kampung seberang hilir.

Saya ingat, ketika menyambut hari raya aidil fitri di kampung sekitar tahun 1962 atau 1963 suasana amat memriah sekali. Penduduk kampung akan memasang pelita disekeliling kawasan rumah dan juga di sepanjang jalan kampung. Dan telah menjadi tradisi bagi guru-guru yang mengajar di Pulo District Council School (sekarang ini SK Pulo) untuk pergi menziarah rumah para-pelajar mereka sambil bertemu ibu-bapa dan sanak saudara pelajar. Pertemuan cukup mesra. Ibu-bapa akan memberi sambutan yang cukup hangat pada guru-guru yang datang berkunjung. Guru-guru pula sempat bersua dengan ibu bapa pelajar sambil bercerita tentang perkara-perkara yang menyenangkan . Dengan pergaulan seperti ini, hubungan ibu bapa dan guru kukuh dan mesra. Pelajar pula memang sangat menghormati guru.

Oh ya, ketika guru-guru itu sampai ke tangga rumah, sebelum naik ke rumah, mercun akan dibakar oleh bapa atau pelajar bagi menyambut kehadiran guru-guru. Begitu juga apabila guru-guru berangkat balik sekali lagi mercun akan dibakar mengeluarkan bunyi dentuman yang bederetan.

Ayah tak benar saya bermain mercun jenis besar yang kami gelar mercun papan.Saya hanya diberi mercun padi yang mengeluarkan bunyi agak halus dan dentumannya tak sehebat mana. Apabila guru-guru balik dari rumah saya, Pak Usu saya melepaskan sepapan mercun padi, lantas ia mengeluarkan bunyi yang tidak nyaring dan ini membuat anak-anak sekolah yang mengiringi guru-guru tadi ketawa berdekah-dekah. Kebanyakan rumah yang dilawati akan membakar mercun papan atau yang lebih hebat akan membakar mercun long(jenis besar dan teramat nyaring).

Beberapa orang guru yang saya masih ingat datang melawat kami ketika itu ialah Allahyarham Cikgu Gobil Ismawi dan juga cikgu Betty. Yang lain saya tak dapat nak ingat. Kehadiran mereka ke rumah membuat saya betul-betul gembira, cemas pun ada dan yang paling seronok , saya bangga kerana guru sudi datang ke rumah saya, bertemu orang tua.

Saya tak pasti apa yang sedang anda fikirkan tentang adat atau amalan tersebut di atas. Bagi saya amalan guru-guru melawat murid-muridnya ketika hari raya puasa ini, sesuatu yang amat positif dalam membentuk jiwa anak-anak, membina hubungan kukuh guru dan ibu bapa dan yang paling penting mewujudkan suasana harmoni. Kalaulah amalan seperti ini boleh kita hidupkan kembali di peringkat sekolah menengah, tentu ia akan memberi kesan yang amat baik sekali. Sesekali kita meninjau masa lepas ada baiknya. Kadang-kadang ada pengajaran yang boleh kita temui di sana.


Monday, February 04, 2008

MajlisTahlil


Malam Jumaat lepas, 31 Januari 2008, PEKASA telah mengadakan Majlis Tahlil bagi dua orang anggotanya yang telah kembali ke Rahmatullah, Allahyarham Haji Median bin Hj Dahlan dan Allahyarham Sarimah Alit. Majlis yang diadakan di rumah setiausaha PEKASA, Puan Hajah Bibi Sabariah telah dipimpin oleh seorang teman lama dari Seberang Hilir.
Setiausaha telah membuat persediaan rapi untuk majlis itu. Suami Hajah Bibi, Haji Johari, juga seorang teman lama, telah memberi sepenuh bantuan yang diperlukan bagi mempastikan majlis berjalan dengan lancar.
Alhamdulillah..niat yang murni telah terlaksana. Hanya timbul sedikit kekesalan kerana kehadiran ahli PEKASA terlalu menyedihkan. Tentu para ahli yang tidak hadir punya alasan yang kukuh dan sangat mendesak atas ketidakhadiran mereka.
Semoga roh Allahyarham berdua mendapat rahmat ILahi.