Monday, March 24, 2008

NO REASON FOR MURDER

Setelah lebih sebulan saya membaca baru semalam saya habis membaca novel "No Reason For Murder" karya seorang penulis Jepun, Ayako Sono dan diterjemah ke Bahasa Inggeris oleh Edward Putzar. Mengapa saya mengambil begitu lama masa untuk menghabiskan sebuah novel setebal empat ratus dua puluh halaman? Yang sebenarnya saya tidak membaca berterusan sesebuah buku itu. Dalam masa yang sama saya membaca novel-novel lain yang telah dibeli mahu pun yang saya pinjam dari Perpustakaan. Seingat saya, dalam tempoh waktu yang sama saya juga telah menghabiskan pembacaan sebuah antologi cerpen bertajuk The Bamboo Sword and Other Samurai Tales oleh Shuhei Fujisawa dan diterjemah ke Bahasa Inggeris oleh Gavin Frew.
No Reason for murder merupakan sebuah novel yang sangat menarik hati saya. Ia menceritakan kisah dua orang insan biasa yang terjerat di dalam suasana yang cukup luar biasa. Novel menceritakan kisah seorang wanita Yukiko Hata, gadis yang jujur , naif dan baik bertemu dengan seorang lelaki, Fujio Uno yang punya perangai yang cukup menjengkelkan.
Cerita berlatarkan sebuah kawasan luar bandar, Semenanjung Miura di barat daya Tokyo. Fujio Uno seorang yang gila perempuan, pembunuh dan perogol bertemu Yukiko Hata, seorang wanita penganut agama Kristian yang berpegang teguh pada prinsip hidup dan pegangan agama.
Yang menarik di dalam cerita ini, penulis telah melukiskan perlakuan jahat Fujio Uno dalam menggoda setiap wanita yang ditemuinya sebelum membunuh dan membuang mayat wanita yang dibunuhnya. Saya juga amat tertarik dengan cara penulis menggambarkan apa yang berlaku di dalam Balai Polis ketika siasatan dijalankan.
Yukiko merupakan seorang wanita yang tidak dapat digoda oleh Fujio. Yukiko berusaha membantu Fujio dalam meleraikan kesukaran dan kecelaruan fikirannya.Dan dalam masa yang sama Fujio terus hanyut di dalam tindakan perogolan dan pembunuhan.
Sebuah novel yang cukup menghiburkan dengan cara perlukisan peristiwa yang jelas dan cantik sekali.

3 comments:

roslan jomel said...

Salam abang Pharo!

Membaca buku setebal 400 muka surat atau lebih, memang menuntut masa.

Ketika saya berusia 18 tahun, saya mengambil masa hampir 6 bulan untuk menghabiskan bacaan novel The Crime and Punishment.

Sekarang, untuk menjimatkan masa, saya terpaksa membaca sesebuah buku secara selang-seli dalam seminggu. Antara buku ilmiah dan fiksyen, kedua-duanya memang harus dibaca dengan sefokus yang boleh.

Malah, untuk menghasilkan sebuah cerpen, saya terpaksa membaca lebih daripada 5 buah buku antologi cerpen untuk dijadikan sumber rujukan. Bukan untuk memplagiat, tetapi untuk meluaskan zon atau sudut pandangan yang baharu.

Salam. Selamat membaca!

roslan jomel said...

Salam.

Wah! Pembacaan semakin luas. Bolehlah pengunjung berkongsi pengalaman.

Tahniah kerana sebuah puisi abang Pharo terbit di majalah Dewan Sastera April.

Have a nice moment!

Penabahari said...

Salam buat Roslan,
Maafkan abang kerana mengambil masa lama untuk memberi respons terhadap komen adik Roslan. Internet bermasalah selama seminggu dan selama itu abang jadi tak keruan. Rasanya abang kini sukar menjalani hidup tanpa internet.
Abang percaya membaca sebenarnya amat banyak membantu kita memahami tentang dunia penulisan. Pembacaan membantu kita menambah ilmu yg ada.
Abang masih belum berupaya menuylis cerpen yg baik walaupun dalam hati terus mendesak menyatakan abang boleh melakukannya.
Terima kasih kerana terus mengunjungi laman abang yang tak seberapa ini. Semoga Roslan terus bahagia dan sentiasa dimurahkan rezeki serta terus berada di bawah lindungan Ilahi.
Salam persahabatan.