Sunday, January 04, 2009

KEHIDUPAN DI KAMPUNG PULO HILIR (5)- PERGINYA SEORANG TEMAN


Allahyarham berdiri empat dari kanan



Allahyarham Amin bin Arbi

PERGINYA SEORANG TEMAN
Suasana petang itu agak suram. Aku dan isteri baru kembali dari bazar Satok membeli lauk untuk makan malam. Kami berehat di kerusi kusyen melepaskan lelah. Seketika telefon berdering dan isteriku bergegas menggapai gagang telefon sebelum deringan ketiga. Aku tersenyum, teringat budaya yang cuba dipupuk semasa masih bertugas dengan Kerajaan dulu, deringan telefon tidak boleh melebihi tiga kali.
Isteriku mula berbual, ah..kakakku rupanya. mereka terus berbual kemudian isteriku menyerahkan gagang telefon kepadaku memberi isyarat kakak ingin berbicara denganku.
" Kakak nak bagitau, dik berita yang kurang enak..Amin telah meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya sebentar tadi." begitu kakak berbicara. Aku terpaku dan tidak menjawab kata-kata kakak hanya sempat melahirkan kalimah..innalillahi wainnailaihirajiun..

Amin Arbi bersama abangnya, Sani Arbi merupakan teman sepersekolahanku semasa kami menuntut di sekolah rendah kampung Pulo sekitar 1962 hingga 1966.Waktu sekolah kami tidaklah begitu mesra tetapi setelah berada di alam remaja kami mula berkawan rapat, lebih-lebih lagi kami sama-sama bergiat dalam aktiviti kampung khususnya pergerakan Belia (SABERKAS) dan juga bangsawan. Allahyarham merupakan seorang pesilat dan pelakon yang hebat ketika itu, bersama abangnya. Itu sekitar 70an.

Persahabatan kami berterusan ke dekad 80an. Setiap kali keluar menonton wayang gambar atau bangsawan pasti Amin akan bersamaku. Dan poada tahun 1973 ketika aku berpindah tugas ke Simunjan, kami jarang berhubung. Tapi apabila bertemu kami tetap mesra.

Akhir-akhir ini dalam era 2000 ini kami bertemu sekali sekal di surau kampung dan pertemuan kami cukup mesra. Kami akan bercerita tentang poengalaman bersama dan kadang-kadang kami akan tersenyum mengingati masa lalu.

Keesokan pagi aku pergi ke kampung awal-awal pagi untuk menziarahi jenazah temanku. Di hadapan rumah Allahyarham, abang beliau, SDani sudah berdiri menyambutku. Walaupun Sani berkaca mata, jelas di sebalik kaca mata itu air matanya kelihatan berlinang. Aku mengerti perasaan Sani, Beliau akan pergi menunaikan haji tiga hari dari pagi itu. Ikut sama menungguku anak sulung Allahyarham, seorang Inspektor polis. Kami bersalaman dan kuucapkan takziah buat mereka.

Aku naik ke rumah dan melawat jenazah allahyarham sambil membaca fatihah dan yassin .
Di kepalaku terbayang kenangan yang indah-indah bersama allahyarham. Tuhan lebih menyayangi beliau. Semoga roh allahyarham dicuucuri rahmat Allah jua. Seorang lagi temanku pergi. Kita pastinya tidak tahu bila masa kita akan dijemput menemuiNya. Semoga kepergian kita nanti di bawah redhaNya jua.
Al-Fatihah.



Allahyarham seorang pelakon yang hebat dan pandai bersilat. Aku masih ingat benar apabila keluar malam, Allahyarham akan keluar bersamaku sama ada pergi menonton wayang mahu pun menonton persembahan bangsawan di kampong-kampung sekitar Kuching. Itu sekitar awal tahun 1970an

4 comments:

CT said...

Innalillahi wainna ilaihiroji'un. Takziah dari CT kerana Pharmy kehilangan seorang sahabat lagi. Semuga Allah mengampunkan segala dosa-dosanya dan mempermudahkan segala urusannya...amien!

Pena_bahari said...

Terima kasih CT atas ucapan takziah dan doa. Abg mengamienkannya.

~PakKaramu~ said...

Salam kunjung di blog ini
izin ya

Pena_bahari said...

Salam Pak Karamu,
Saya senang sekali menerima kunjungan Pak Karamu.