Saturday, February 21, 2009

LUMBA KUDA

Entah mengapa, tiba-tiba saya terkenangkan masa saya masih bersekolah di Lumba Kuda Council School empat puluh lapan tahun lalu, ketika saya dan isteri dalam perjalanan untuk ke pekan Kuching. Saya ceritakan pada isteri tentang masa itu. Cerita tentang satu permainan zaman kanak-kanak yakni lumba kuda.
Tahun 1961 saya berada di dalam tahun satu di Lumba Kuda Council School. Sekolah ini terletak bersebelahan dengan padang Lumba Kuda, Kuching. Hari ini, di tapak padang lumba kuda itu, berdiri indah bangunan Majlis bandaraya Kuching Selatan yang mempunyai bentuk seperti Tokong Siam/Pagoda.
Saya bersekolah waktu tengah hari. Bila sampai ke sekolah masih ada masa terluang kerana kelas pagi masih berjalan sehingga jam 12.30 tengah hari. Waktu luang begitu saya dan teman-teman sekelas akan memerhati gelagat pelajar-pelajar senior (mungkin tahun 3 agaknya).
Antara aktiviti pelajar ketika itu ialah berlari dalam satu perlumbaan antara mereka. Mereka akan berlari di padang di hadapan sekolah yang bertanah putih kekuningan berbatu kecil. Tanah agak keras dan berdebu ketika hari panas dan akan bertukar menjadi becak bila hujan.
Perlumbaan pelajar-pelajr ini bukan perlumbaan biasa. Mereka namakan perlumbaan ini Lumba Kuda. rasanya tentu pengaruh lumba kuda di sebelah sekolah kami.
Untuk perlumbaan ini setiap pasukan terdiri daripada dua orang pelajar, seorang pelajar senior (bertindak sebagai Joki) dan seorang pelajar tahun satu (sebagai kuda)
Caranya pelajar senior akan memegang baju di belakang tengkuk pelajar tahun satu dan kedua-dua mereka akan berlari dengan pelajar tahun satu di hadapan, baju dipegang kukuh oleh joki. Saya cukup seronok melihat perlumbaan ini. Ia menjadi satu kemestian saya memerhati mereka berlumba.
Di dalam hati saya terdetik perasaan ingin ikut berlumba tapi tidak pula saya diajak oleh pelajar senior. Mungkin kerana saya terlalu pendiam dan tidak banyak berkawan atau mungkin saiz badan yang agak kerdil.
Suatu hari, ketika memerhati perlumbaaan yang hendak bermula, dalam keadaan panas mentari yang menggigit kulit, seorang senior datang kepada saya dan mengajak saya menjadi kuda beliau untuk perlumbaan seterusnya. Apa lagi saya kegembiraan dan di hati saya berkata, saya pasti menang perlumbaan ini.
Apabila perlumbaan bermula saya berlari tapi tolakan oleh joki saya terlalu kuat sehingga saya tersembam ke hadapan. Tapak tangan dan lutut saya berdarah akibat bergeseran dengan batu-batu kecil. Perlumbaan baru saja bermula dan kami kalah sebelum sampai ke garisan penamat. Saya menangis terisak isak menahan kesakitan. Saya tidak ingat sama ada senior ada memujuk saya, tapi yang jelas itulah kali pertama dan terakhir saya mengikuti lumba kuda itu.
Ah, sesekali teringat peristiwa itu, saya senyum sendiri.

2 comments:

CT said...

Salam bang,

Kecian abang kita...macam mana agaknya abang nangis ya? Hehehe...
jangan marah ya bang CT menyakat...sesekali mengenang masa lalu memang seronok, ada yang akan membuat kita ingin kembali muda atau kecil semula...tapi apakan daya:((

Pena_bahari said...

Sakit, tauu....:(( hehehehe