Sunday, April 13, 2008

MENITI PELANGI

Cerpen: Meniti Pelangi





EMBUN bergantungan di hujung rumput. Dingin pagi mendakap bumi. Kabus menebal di langit Tanah Tinggi Kelabit seperti selimut menutupi matahari. Sunyi. Bario didakap sepi. Tiada deruan enjin kenderaan. Tiada hiruk pikuk manusia. Sesekali terdengar jeritan mergastua di belantara. Nyanyian burung dalam bahasa yang asing, sukar dimengerti tapi cukup menghiburkan. Bario yang terhimpit di tengah belantara, asing dan terpencil, menghimpun segala unggas, begitu tenang ketika pagi.

Jam tanganku sudah menunjukkan pukul lapan pagi. Suasana masih gelap dan dingin. Aku terus berbaring di atas katil di bilik penginapanku. Sebuah potret di dinding bilik itu menarik perhatian mataku. Potret Lutfi, berbingkai kayu warna keemasan dengan ukiran peribumi, tersenyum lebar, dengan baju kot, bertali leher warna gelap dan kemeja putih melepah. Kutatap wajahnya yang tampan, keseluruhan rambutnya telah bertukar putih walaupun usianya tak setua yang dijangka. Mungkin petanda wibawanya semakin terserlah. Namun di sebalik ketampanan dan senyum lebar wajah yang terukir di potretnya, hati kecilku dapat membaca apa yang tersemat di hati Lutfi. Manusia seperti Lutfi, bicara hatinya sungguh aneh, seaneh strategi politiknya. Wajahnya mengingatkan aku kembali kepada zaman perjuanganku dalam arena politik negara. Betapa keperitan telah menusuk kehidupanku.

Aku dihina dan dimalukan sepuas hati. Aku tidak dapat dan tidak boleh melupakannya. Wajah Lutfi mengembalikan ingatan masa laluku. Masa yang telah membunuh karier politikku. Tiada siapa menduga aku boleh tersungkur di gelanggang pertarungan yang terletak di belakang rumahku sendiri.

Apa lagi yang mereka mahu? Aku sendiri tidak tahu. Kalau perubahan yang mereka harapkan, bukan begitu caranya. Apakah perubahan akan berlaku dengan memalukan aku. Tak pernah sedikit pun terfikir di benak hatiku akan menerima penghinaan sebegini rupa. Aku kesal pada sikap mereka. Hodoh dan hina. Mereka kehilangan rasa tanggungjawab terhadap masyarakat dan perjuangan. Mereka lupa erti perjuangan. Mereka betul-betul sesat. Sesat di dalam rimba pertarungan yang menggerunkan.

Tidak pernah kuduga masih ada manusia yang boleh terpedaya dengan janji-janji kosong dan kepingan ringgit sehingga sanggup menggadaikan masa depan bangsa. Mereka menolak kesejahteraan dan keharmonian dan memilih masa depan yang tidak menjanjikan apa-apa, selain pertelingkahan dan pertentangan. Wang telah benar-benar membuat mereka hilang pertimbangan. Mereka sanggup memperjudikan nasib bangsa. Tidak terfikirkah oleh mereka betapa susahnya untuk berada di kedudukan sekarang?

Tolol! Itulah perkataan yang boleh kugunakan untuk menggambarkan mereka. Kebodohan telah benar-benar merasuk ke dalam diri mereka. Ke mana arah yang hendak mereka tuju. Kejayaankah atau kehancuran?

Telah kuserahkan seluruh upaya dan kehidupanku untuk memperjuangkan nasib dan kesejahteraan mereka. Perjuanganku adalah untuk masa depan mereka. Aku pernah ditahan selama dua tahun tanpa dibicara demi membela mereka. Kutempuhi segala keperitan ini untuk mereka, supaya mereka boleh bahagia dan menjadi manusia yang dihormati. Kuberi segala kemewahan. Kubuka segala ruang dan peluang untuk mereka. Apa yang aku dapat sebagai balasan? Keaiban! Kecelaan! Kehinaan! Malu yang membuat aku tidak sanggup mengangkat mukaku. Aku tak dapat menatap wajah teman-teman seperjuanganku yang begitu yakin terhadap kepimpinanku.

Tidak! Mereka tidak memikirkan semua ini. Apa yang mereka mahu hanyalah wang! Wang! Wang membutakan hati mereka, menulikan telinga mereka. Wang telah memperbodohkan mereka. Mereka bertukar menjadi manusia penyembah wang. Mereka tidak boleh berfikir seperti manusia lagi. Mereka bertukar menjadi lembaga yang hidup bertuhankan wang.

Siapa menjangka nasibku begini malang. Madu yang kuhulurkan kepada mereka, dibalas dengan racun dari patukan seribu ular berbisa.Tidak terfikirkah oleh mereka betapa beruntungnya mereka selama ini? Mereka seperti belayar di dalam sebuah bahtera mewah, menikmati segala keseronokan dan kesenangan. Dan aku, akulah nakhodanya. Kulayari bahtera ini menerjah lautan garang. Kubawa mereka ke pulau impian. Pulau yang diimpikan oleh leluhur mereka. Kubebaskan mereka dari terongko akal yang kolot. Kuhindari kematian dari menjejaki mereka dengan berjuang di landasan undang-undang. Aku telah mengorbankan seluruh tenaga dan upayaku. Kulakukan semua ini untuki mereka, bangsaku. Dan, akhirnya mereka campak aku ke kandang khindzir, dilumuri kekotoran dan kebusukan.

Kubawa mereka mengecapi kehidupan yang harmoni dan kuajar mereka hidup berkompromi, bukan konfrantasi, seperti yang diajar oleh leluhur mereka. Kubawa mereka lari dari sikap keras kepala yang selama ini telah mengheret mereka ke lembah permusuhan yang berpanjangan. Selama ini mereka telah memusuhi semua orang. Mereka bermusuhan sesama sendiri. Mereka bermusuhan dengan dunia. Mereka seperti kucing dengan anjing. Bercakaran. Tidak pernahkah keinsafan mengetuk pintu hati mereka? Tidak pandai bersyukurkah mereka? Apakah yang menghuni kotak fikiran mereka? wang? Apakah wang itu segala-galanya?

Mereka lari dari keperitan untuk mencari kesenangan. Tetapi setelah mereka menikmati kehidupan senang, mereka bertindak bodoh. Istana yang dibina untuk bangsa hendak mereka robohkan. Bukankah itu kebodohan yang nyata! Kalau bukan kebodohan , apakah gelaran yang selayak mereka terima?

Mereka menconteng arang di mukaku yang tua dan berkedut ini. Tidak mungkin dapat dipadamkan lagi. Sekarang mereka tentu gembira. Mereka tentu berpesta. Tentu mereka akan bernyanyi sepanjang malam. Mereka telah dapat wang yang banyak hasil perbuatan terkutuk dan bodoh mereka itu. Mereka pertaruhkan masa depan bangsa. Mereka perjudikan nasib bangsa. Demi wang mereka sanggup meletakkan bangsa sebagai pertaruhan. Mungkin mereka sudah lupa pada bangsa. Mungkin mereka tidak memahami nilai bangsa. Mungkin mereka dari bangsa yang tidak punya budaya dan harga diri. Kalau tidak, bagaimana mereka boleh pertaruhkan bangsa untuk mendapatkan wang yang tak sebanyak mana. Wang yang pastinya tidak dapat memebeli maruah dan martabat bangsa yang telah mereka nodai.

Aku sudah puas menempuh pelbagai keperitan. Aku ditahan tanpa bicara. Aku dianggap petualang negara. Aku dilabelkan sebagai musuh negara. Semua ini kerana apa? Kerana mempertahankan mereka. Kulakukan semua untuk mempastikan kehidupan bangsaku terjamin. Kuterima semua derita dengan hati terbuka kerana aku yakin suatu hari nanti mereka akan memandang padaku sebagai pembela mereka. Aku tidak merasa malu menerima semua itu. Bagiku segala keperitan dan kehinaan yang kuterima ini ada nilainya. Tapi aku silap, mereka tidak pernah berterima kasih. Mereka tidak pandai menilai pengorbananku. Apa yang ada di dalam kepala mereka hanyalah permainan politik kotor. Mungkin mereka memang dari benih yang kotor. Kehidupan mereka dipenuhi kekotoran. Siapa tidak kenal dengan perangai mereka yang sanggup bersekedudukan dengan betina-betina dari negara luar untuk memuaskan nafsu binatang mereka dan membiarkan isteri-isteri mereka menderita dan sakit jiwa oleh perangai buruk mereka. Sekarang mereka sudah kaya dan ternama. Mereka banyak wang. Mereka bijak. Mereka sudah tidak memerlukan aku lagi. Mungkin kerana itulah mereka menghukum aku. Aku sudah tua. Aku tidak tertanggung segala yang mereka lontarkan padaku.

Nampak jelas mereka tidak mahu melihat aku mati dengan tenang. Mereka tidak mahu melihat aku senyum, walaupun sudah menjadi tabiatku sentiasa murah dengan senyuman. Dalam kesedihan dan derita ini aku masih boleh tersenyum.

Mereka ugut aku. Mereka bercita-cita besar. Semangat juangku hendak mereka lunturkan. Tentu mereka gembira sekarang dengan kejayaan yang mereka diperolehi. Mereka telah merosakkan hidupku. Segala budi yang kutaburkan kepada mereka telah bertukar menjadi kapar yang hanyut di sungai. Terbuang dan menunggu masa untuk sampai ke laut luas menjadi objek yang akan terkapi-kapi tanpa haluan dan tujuan. Segala pengorbananku tidak bernilai di sisi mereka. Besar sangatkah kesalahanku sehingga mereka sanggup memusnahkan terus masa depan perjuanganku?

Aku tidak dapat menatap wajah Lutfi kerana terasa amat malu. Keputusan yang diterima tidak masuk akal. Apa yang terjadi? Aku masih ingat ketika Lutfi menatapku dengan satu pandangan yang penuh tanda tanya. Terpampang kehairanan di wajah Lutfi. Dia tidak percaya. Atau, mungkinkah pura-pura tidak percaya? Dia seperti menyatakan padaku kekesalannya terhadap keputusan hari itu. Aku tahu Lutfi kecewa. Atau pura-pura kecewa? Dia menggapai bahuku, meluahkan rasa simpatinya. Simpati padaku kerana melihat nasibku ini. Kesedihan meruntun jiwaku. Namun air mata tidak juga mahu keluar dari kelopak mataku.

Mary, isteriku, menggenggam erat tanganku. Mary memahami kesukaran yang kualami. Mary telah hidup bersamaku lebih empat puluh tahun. Dia sangat faham tentang sikapku. Dia tahu betapa aku berusaha keras untuk mempastikan kejayaan bangsaku. Dia tahu betapa aku tidak tidur malam memikirkan langkah-langkah dan strategi yang harus diambil untuk mempastikan kelangsungan kuasa. Kuasa yang telah diperoleh tidak patut dipersia-siakan. Kuasa yang ada sekarang membolehkan bangsa menjadi unggul dan dihormati. Untuk dihormati kita perlu menghormati dan jujur pada teman. Toleransi dan persefahaman adalah inti kejayaan dan kemajuan. Tapi, tidak begitu bagi mereka. Mereka lebih gemar mempermainkan kuasa yang ada. Mereka lebih suka kuasa yang ada luntur. Mereka memperkotak-katikkan suasana harmoni dan tenang.

Apa yang ada pada Timala? Apa yang Timala boleh sumbangkan untuk bangsanya? Timala hanya boleh bercakap, bercakap dan terus bercakap. Tetapi cakapnya kosong. Apakah percakapan kosong boleh membangun bangsa? Mengapa mereka tidak memikirkan ini? Mengapa mereka mempersia-siakan segala kemudahan yang ada? Mereka fikir dengan meletakkan Timala semeja dengan Lutfi, mereka dapat memperoleh lebih banyak keuntungan? Jangan mimpi. Lutfi bukan bodoh. Lutfi dari bangsa yang bertamadun. Keturunannya telah memerintah tanah bertuah ini sejak seratus tahun yang lalu. Bangsa mereka memerintah dengan dasar harmoni dan berbaik-baik. Mereka faham makna kompromi. Mereka menganuti erti setia kawan dan persepakatan. Tapi, tidak begitu bagi kaumku. Mereka mengejar perubahan. Mereka inginkan revolusi, reformasi, meritokrasi. Apa yang mereka dapat dari perubahan ini? Apa yang boleh Timala berikan untuk mereka? Hanya air liur basi.

Panggilan Joseph mengejutkanku dari khayalan. Peristiwa sepuluh tahun lalu masih segar dalam ingatan. Luka dan duka lampau masih terlekat di celah-celah ingatanku. Kesakitannya masih terasa. Menatap potret Lutfi mengingatkanku pada mereka yang telah menjahanamkan karier politikku tapi, mereka sebenarnya gagal membunuh jiwaku. Selagi jiwaku masih hidup, mereka pasti akan menerima pembalasan. Bukan dari aku. Aku bukan pendendam. Mereka lupa, dalam parti politik yang kupimpin itu, masih banyak daripada pemimpin akar umbi yang menyokongku. Mereka penyokong setiaku. Mereka tidak akan berdiam diri. Petualang pasti akan didedahkan. Mereka yang terlibat memusnahkan kepimpinanku tidak akan senang. Mereka akan terus dihantui oleh perbuatan mereka sendiri yang keji dan curang itu.

Hari ini jauh di atas tanah tinggi ini kuterima berita. Pengikut-pengikutku telah dapat mengesani mereka yang terlibat merencana kejatuhanku sepuluh tahun lalu. Kepimpinan parti yang mengambil alih kuasa dariku dahulu telah terpaksa mengaku bertanggungjawab dalam merancang kemusnahanku. Mereka telah meletak jawatan di dalam parti dan diminta berundur atau menerima tindakan yang lebih drastik. Mereka merancang satu rencana jahat tetapi segalanya telah kebongkar. Sekarang mereka harus menerima kenyataan.

Belacan, selaku ketua parti, mengaku terlibat dalam rancangan kotor itu. Tindakan Belacan benar-benar memusnahkan terus masa depan politiknya. Dia tidak lebih dari sampah masyarakat yang telah membina kekuatan politiknya melalui tiga cara yang paling hina. Pengkhianatan, penjualan maruah diri dan penglibatan di dalam budaya ganas. Pemimpin sepatutnya mendukung undang-undang dan peraturan negara. Tapi tidak bagi Belacan. Dia bertindak sebaliknya. Rasanya dia perlu berhadapan dengan undang-undang negara. Terlalu banyak kesalahan jenayah yang dibuatnya. Kalau memilik teman seperti Belacan, tak perlu lagi ada musuh. Aku lebih senang bersemuka dan berlawan dengan Timala yang jelas seorang musuh politikku. Aku lebih hormat pada Timala kerana sekurang-kurangnya Timala masih ada maruah dan harga diri dalam menyatakan pendiriannya. Dia berkata apa yang dibuat dan melakukan apa yang terucap dibibir.

Lutfi juga sudah serik dengan tingkah laku dan tindakan Belacan yang cukup mencemarkan parti. Punya isteri tetapi di lontar ke luar negeri. Belacan menjalani kehidupan seperti di z aman bahari berkepit dengan gundik dan dayang. Hidup dipenuhi dengan foya-foya bersamadengan wanita-wanita muda dari utara.

Hari ini Belacan perlu menerima hakikat bahawa masa depan politiknya sudah berakhir. Tidak mungkin dia dapat bangkit kembali. Tidak mungkin rakyat dapat menerima manusia seperti Belacan sebagai pemimpin negeri. Belacan terlalu kotor dan busuk untuk diletakkan di persada mulia. Belacan hanya sesuai tinggal di terongko yang dihunikan oleh manusia dari kerabat haiwan rimba.

Terdetik di hatiku melihat enigma yang menjelma. Perjalanan waktu yang aneh dan membingungkan. Seketika manusia berada di puncak mulia. Dalam sekelip mata segalanya sudah tiada. Dia menjadi sampah menghuni di daerah yang paling hina. Kehidupan ini rupanya seperti meniti pelangi selepas hujan yang membasahi bumi. Pelangi yang indah, dikejar dan dijejaki. Sayang itu hanyalah impian. Khayalan. Pelangi akan pergi. Manusia sepi ditinggal mimpi.

(Utusan Borneo/10 Mac 2008)

4 comments:

roslan jomel said...

Salam.

Welldone! Keep on writing!

Rasanya, inilah kali pertama saya membaca cerpen dari abang Pharo. Jikalau abang Pharo tak menyiarkan cerpen ini semula di laman blog ini, sampai bila-bila pun saya tak akan pernah berpeluang membacanya.

Mengapa tak mencuba di majalah Dewan Sastera pulak?

One more time! Welldone!

Pena_bahari said...

Salam buat Roslan,
Terima kasih atas rangsangan dan dorongan. Semakin senja semakin kita perlu pada dorongan.
Ini cerpen yg kedua kalau tak silap. Yang pertama dalam awal tahun 90an. Abang jarang menulis cerpen. Entah mengapa?
Ke DS..mungkin suatu hari nanti..doakanlah.
Thanks.

dahirisaini said...

hari ini saya 20 julai 2008 akan 'melihat' dan 'meerasa' cerpen ni utk dikaji dari sudut pengkaryaan sastera. myby dlm seminggu saya hantar kat YYIB,
salam.

Pena_bahari said...

Sdr Dahiri, jika makan biar tertib, janagn nasi jatuh ke pipi, nampak hodoh...hehehe
Terima kasih sdr Dahiri kerana sudi melihat karya saya itu.