Wednesday, April 09, 2008

MAKAN MALAM










Hari Isnin, 31 Mac lalu saya bersama keluarga (isteri, anak-anak , menantu dan dua cucu) keluar makan malam di salah sebuah gerai makan yang cukup popular di Kuching yang bertempat berhampiran dengan Jambatan Tun Abdul Rahman Yaakob.Zakariyya yang belanja kami.

Makanan yang dipesan cukup menyelerakan dan pasti sekali mengandungi kolesterol yang tinggi.Apa pun sekali sekala makan begini tak perlu fikirkan sangat tentang kolesterol.Yang pasti, anak-anak ingin melihat kami suami isteri ikut sama sekali sekala enjoy kat luar ketika malam seperti yang mereka rasai. Menatap makanan yang terhidang yang pelbagai jenis dan rasa itu mengingatkan kembali kehidupan semasa diri masih kecil sekitar tahun 60an. Ketika itu saya berumur sembilan ke sepuluh tahun.

Sekitar tahun 1964, almarhum ayah tiada di Kuching. Allahyarham kembali ke negara asal untuk menmui keluarga pertama di sana. Telah menjadi kebiasaan Allahyarham akan kembali ke negara asal setelah berada di Malaysia selama lima ke sepuluh tahun

Sepeninggalan ayah, kehidupan kami sekeluarga cukup perit kerana tiada siap yang bertanggungjawab terhadap perbelanjaan dan keperluan harian kami. Sebelum ayah pergi , ayah membuat perjanjian dengan teman-teman dan bapak saudaranya supaya membantu kami dengan membuat pendahuluan perbelanjaan kami untuk setiap bulan selama enam bulan dan teman-teman telah menyanggupi tanggungjawab ini.Ayah minta bantuan kawan-kawan membeli keprluan harian seperti kopi, beras , gula, tepung dan lain-lain.Janji ayah, segala perbelanjaan pendahuluan akan dilunaskan s ekembali beliau dari negara asal.

Begitulah manusia, tidak pernah berpegang pada janji dan tanggungjawab. Teman-teman ayah tidak melaksanakan janji mereka dan kami dalam keadaan yang amat daif sekali. Bantuan yang diharapkan setiap bulan tidak kunjung tiba, lantas ibu, ibu saudara dan abang tua terpaksa bertungkus lumus untuk meneruskan kehidupan. Bermacam kerja dilakukan termasuk mengambil upah membuat atap nipah.Saudara tua yang ketika itu berumur enam belas tahun telah berhenti dari sekolah dan bekerja di stesen minyak sebagai pencuci kereta dengan upah sebanyak kira-kira RM30.00 sebulan.

Selain abang, bapa saudara kami juga turut membantu, tapi dengan kerja sebagai penoreh getah, ketika getah jatuh harga, pendapatan memang tidak seberapa.ada ketika kami hanya makan sekali sehari. Sukar bagi ibu untuk mencari secupak beras. keperitan ketika itu masih lagi dirasai sehingga hari ini.

Sehingga sekarang sukar untuk melupai jasa dan bantuan yang dihulurkan oleh jiran tetangga kami ketika itu. Mereka terus menerus membantu kami sekeluarga dengan meminjam kami beras dan juga lain-lain keperluan. Saya tersentuh sekali menatap wajah Dayang Sofia dalam filem Bujang Lapok , ketika beliau berjumpa dengan Normadiah untuk meminjam beras.Hati berkata, begitulah perasaan ibu ketika itu.Dan tentu jiran-jiran kami sama seperti Normadiah, yang berhati mulia.

Lantas makan malam kali ini memberi sedikit kesedaran dan ingatan tentang keperitan hidup yang pernah dialami. Hari ini anak-anak ingin melihat kami merasai sedikit kesenangan dan keceriaan dalam hidup. Alhamdulillah..

No comments: