Tuesday, August 05, 2008

MENGINGATI UMMI


Semalam saya dan isteri pergi ke kampung Bintawa di rumah adik saya, Japhar. Saya ke sana kerana pada tahun ini adik saya yang mengadakan majlis tahlil untuk almarhumah ibu kami. Ibu pergi enam tahun yang lalu namun ingatan dan kenangan terhadap ibu tetap segar dan indah.

Almarhumah ibu lahir dalam tahun 1929 dan meninggal pada lima belas haribulan Ogos 2002. Ibu meninggal di rumah keluarga di kampung Pulo Hilir Kuching tepat jam satu pagi setelah menderita sakit untuk tempoh yang agak lama jua.

Banyak sekali memori bersama ibu yang tak mungkin dapat saya lupakan. Hanya saya ingin mencatat memori kami dalam catatan ringkas ini untuk tatapan anak cucu masa akan datang. Semasa tinggal di rumah pekerja bagi gudang Henry Waugh yang terletak di sebuah kawasan bernama Sinjo, tidak banyak yang dapat saya ingatkan kerana mungkin masa itu saya terlalu kecil. Hanya yang masih segar dalam ingatan betapa ibu menangis apabila mendapat tahu saya terjatuh ke dalam telaga di belakang rumah ketika ibu tiada bersama untuk seketika kerana menghantar air ke rumah. Namun saya telah diselamatkan oleh kakak saya yang bertindak menarik rambut saya. Saya terselamat daripada menjadi mangsa lemas di dalam telaga.

Ketika tinggal di batu Lintang kesihatan ibu selalu terganggu. Ibu tidak s elesa tinggal di rumah kami di sana dan asyik hendak pergi ke rumah adik-adik ibu di kampong Pulo Hilir. Ketika hari mula senja, ibu akan gelisah dan berusaha untuk pergi ke kampung Pulo. Bayangkan perjalanan dari Batu Lintang ke Kampung Pulo Hilir kami harus pergi ke pangkalan tambang yang terletak di Jalan Blacksmith. Untuk ke sana kami perlu menggunakan teksi yang mengenakan tambang antara 50 sen hingga 80 sen. Ibu akan membawa saya dan dua orang adik untuk pergi ke kampong Pulo. Kakak dan abang akan tinggal di rumah di Batu Lintang. Biasanya kakak dan abang akan menumpang tidur di rumah jiran. Ah, jiran kami terlalu mulia hati mereka, tak kira bangsa, Melayu, Cina, Iban, Bidayah, India dan juga Melanau. Mereka semuanya baik-baik belaka dan amat bertimbang rasa.

Ketika tinggal di kampung Pulo Hilir kami cukup tenteram. Sakit ibu telah sembuh. Sesekali ibu akan membuat kuih-kuih untuk dijual di kampung. Antara kuih yang dijual termasuklah kuih penyaram, nasi manis dan tapai.

Ketika ayah bersama, kami dapat hidup dengan senang walaupun tidak mewah , makan minum tetap tersedia, begitu juga keperluan lain. Berbeza sekali pengalaman ketika ayah tiada bersama kerana pergi ke India untuk melawat keluarga di sana. Biasanya ayah pergi untuk tempoh masa yang agak lama juga yakni dari enam bulan hingga setahun. Yang paling terkesan di hati saya ketika ayah pergi sekitar tahun 1962- 1963. Kehidupan tanpa ayah bersama amat perit dan derita. Kami kehilangan punca rezeki. Orang yang diamanahkan ayah untuk menjaga kami telah tidak menepati janji. Kami tiada tempat mengadu. Sekali lagi peranan jiran amat kami hargai. Jiran kami di kampong Pulo Hilir banyak sekali membantu dengan meminjam beras, gula, kopi dan juga wang. Ah, begitu baik hati mereka.

Semasa berada di sekolah rendah dalam tahun lima dan enam , saya sudah menjadi ahli perpustakaan. Ketika itu perpustakaan terletak di bangunan bersebelahan dengan Muzium Sarawak. Saya akan ke perpustakaan setiap hari sabtu bersama beberapa orang teman. Untuk ke perpustakaan ibu menyediakan wang sebanyak RM1.00 untuk saya. Dengan wang sebanyak itu bolehlah saya ke perpustakaan menggunakan bas dan sempat juga makan rojak atau cendol di open air market. Saya sedar bukan senang untuk ibu mencari wang seringgit tapi kerana sayang ibu pada anaknya, dia memberi wang itu dengan senyum dan senang hati. Mengingati kembali pengorbanan ibu membuat air mata mengalir atas rasa sedih dan teramat merinduinya.

Selepas bekerja saya berusaha menggembirakan ibu dengan memberi wang sedikit sebanyak untuk ibu berbelanja. Saya tahu ibu bukan jenis insan yang suka membeli barang-barang yang tak berfaedah, jauh sekali pakaian dan perhiasan. Wang yang ada itu pun biasanya akan ibu belanjakan untuk membeli makanan dan juga kuih muih. Kadang-kadang wang yang sedikit itu jugalah ibu gunakan untuk diberikan kepada saudara-saudara saya yang kesuntukan.

Tahun 1991 hingga 1999 saya berpindah tugas ke Miri. Untuk tempoh selama lapan tahun itu saya jarang ketemu ibu. Saya hanya ke Kuching jika ada tugas rasmi yang berlaku sebulan hingga dua bulan sekali. Ketika di Kuching saya akan meninggalkan wang saku buat belanja ibu. Ibu sentiasa menunggu kehadiran saya di kuching. Saya sedar ibu tidak memerlukan wang ringgit tetapi kasih sayang anak-anak.

Bulan Jun 1999 saya kembali bertugas di Kuching. Ketika berada di Kuching saya tidak melepaskan peluang untuk terus menjenguk ibu yang masih tinggal di rumah pusaka di kampung Pulo Hilir. Setiap malam saya akan ke rumah ibu. Melihat wajah ibu sudah cukup mengobati kerinduan yang saya alami selama lapan tahun.

Ibu jatuh sakit sekitar tahun 2001. Ketika itu saya tidak menjangka sakit ibu boleh menjadi serius. Hari berganti bulan, kesakitan ibu semakin berat. Kami bawa ke klinik setiap peluang yang ada kerana ibu tidak mahu ke hospital. Namun penyakit ibu masih tidak berkurang. Akhirnya pada 15 Ogos 2002, sekitar jam 1.00 pagi, ketika cengkerik berzikir, ibu menghembuskan nafasnya yang akhir di hadapan kami sekeluarga. Kami lepaskan ibu dengan penuh keredaan. Semoga ibu berada bersama golongan mereka yang dirahmati Allah azza wajalla jua.



20 Julai 2008

No comments: