Sunday, August 10, 2008

PERIGI, ANJING DAN LEMBU


Gunung Serapi dilihat dari Bukit Siol


Anjing jenis German Shepherd


Seorang budak dan lembunya

Ada masanya saya teringat kembali beberapa peristiwa yang telah berlaku di dalam kehidupan yang telah dilalui. Sesuatu peristiwa itu kembali dalam ingatan, mengusik benak hati. Ada yang manis dan ada yang pahit. Entah mengapa kita berupaya mengingati beberapa peristiwa di dalam kehidupan lalu walaupun ia telah berlaku tiga atau empat puluh tahun yang lalu.

Beberapa peristiwa yang berlaku pada diri masih saya ingati sehingga sekarang. Peristiwa itu kebanyakannya sesuatu yang menakutkan. Sesuatu yang benar-benar mencemaskan. Peristiwa pertama yang masih saya ingati sehingga sekarang ialah apabila saya terjatuh ke dalam perigi di tepi rumah tempat tinggal kami di Sinjo, sebuah kawasan gudang Henry Waugh, di tebing sungai Sarawak. Ketika itu saya berumur di bawah enam tahun.

Saya ingat benar ketika menuruni tangga besi yang terdapat di tepi perigi. Entah bagaimana saya terlepas pegangan pada anak tangga dan terus terjatuh ke dalam perigi yang pada itu walaupun tak sedalam mana tapi pastinya melebihi ketinggian saya. Nasib menyebelahi saya kerana kakak yang berada tak jauh dari sisi ketika itu dengan cepat menerkam rambut saya dan menarik saya keluar dari perigi sehingga tangan saya dapat berpegang kembali ke salah satu anak tangga. Sungguh menakutkan.

Peristiwa kedua yang masih segar dalam ingatan saya, ketika melalui jalan Batu Lintang, masa itu saya bersama kakak menarik lembu masing–masing untuk dibawa balik setelah seharian meragut rumput di padang . Senja itu, dalam perjalanan pulang kami melalui jalan Batu Lintang ini dan melintasi rumah-rumah penduduk Cina yang tinggal di sekitar itu. Salah sebuah banglo yang kami lintasi, penghuninya ada memelihara seekor anjing, rasanya anjing German Shepherd. Seperti yang diketahui anjing ini besar dan jelas nampak garang. Biasanya anjing ini akan berada di dalam kawasan berpagar rumah banglo ini.

Entah kenapa, pada hari itu, pintu pagar terbuka dan anjing itu meluru ke arah saya. Saya sendiri tidak menyedari kedatangan anjing itu sehinggalah saya merasai sesuatu menyentuh belakang saya, sedang tangan saya masih lagi memegang tali lembu yang saya tarik. Sebaik sahaja saya berpaling ke belakang, saya terkejut yang amat sangat kerana anjing itu berdiri dengan dua kaki. Kaki hadapannya menerkam belakang saya. Anjing itu sedikit pun tidak mengeluar suara mahu pun salakan. Saya berlari ke hadapan dengan sekuat hati tanpa mempedulikan lembu yang terlepas dari tangan saya. Tali lembu yang saya pegang tadi saya campak, membiarkan lembu berjalan ke arah tengah jalanraya. Kenderaan yang hendak melalui jalan terpaksa berhenti.

Ketika itu juga pemilik anjing itu meluru keluar mengawal anjing itu. Kakak meluru ke arah lembu saya yang terlepas dan menariknya kembali ke tepi jalan. Ketika itu saya sudah berada jauh di hadapan. Saya bernasib baik kerana tidak digigit anjing itu atau mungkin juga anjing itu tidak berniat untuk mengapa-apakan saya. Ketika itu saya hanya berusia enam tahun. Sejak saat itu saya jadi fobia pada anjing dan hingga hari ini ketakutan pada anjing masih lagi saya alami. Jika bersemuka dengan anjing di hadapan, saya akan cuba mencari jalan lain untuk mengelak diri. Kata orang anjing dapat mengesan jika ada perasaan takut kita padanya. Benarkah?

Begitulah sekelumit catatan peristiwa masa kecil yang masih dapat saya ingati sehingga hari ini. Memori yang terus kekal untuk saya simpan dalam diri sehingga akhir nanti.


2 comments:

CT said...

"Kata orang anjing dapat mengesan jika ada perasaan takut kita padanya. Benarkah?"
CT rasa itu benar kerana CT juga dengar begitu, ditambah lagi melalui pengalaman CT sendiri. Haiwan sebenarnya lebih peka dari manusia...CT suka pada binatang walaupun anjing, dan German Shepherd adalah salah satu dari anjing kegemaran CT! Nanti CT cerita kat blog CT InsyaAllah...nice story Pharo!

Pena_bahari said...

Thanks CT. apa pun ketakutan pada anjing masih lagi bertandang di hati saya.