Thursday, October 30, 2008

KEHIDUPAN DI KAMPUNG PULO HILIR (4)-ALLAHYARHAM AYAHANDA DALAM KENANGAN


ALLAHYARHAM AYAHANDA HAJI ABDUL HAKIM DALAM KENANGAN
Kadang-kadang kita tidak pernah terfikir betapa bahagianya kita ketika ibu bapa berada di samping, memberi sepenuh kasih sayang dan kehidupan demi kesejahteraan kita. Kita tidak ambil berat akan kehadiran mereka di dalam kehidupan apabila kita sudah dewasa lebih-lebih lagi yang sudah berkeluarga. Malah ada juga antara kita yang sanggup mengasari ibu bapa sama ada melalui lidah atau tangannya. Kehadiran ibu bapa di dalam kehidupan anak-anak seperti satu bebanan. Tapi pernahkah kita terfikir bagaimana jika ibu bapa sudah tidak berada bersama kita. Bagaimana perasaan kita jika orang yang membesarkan kita selama ini telah pergi buat selamanya?

Bagi diri saya, sesekali timbul rasa sedih di dalam hati ketika mengingati ayah yang telah pergi. Selama hidup kami berkeluarga, ayah sentiasa berada di samping membantu dan memberi nasihat. Kasih ayah pada anak-anak begitu tinggi dan mendalam. Ayah tidak ingin anak-anak merasai keperitan. Ayah tidak mahu anak-anak gagal di dalam menempuh kehidupan yang penuh pancaroba.

Ayah meninggal dunia dalam tahun 1989 ketika berada di seberang laut. Kami terima berita kepergian ayah setelah dua puluh hari berlalu tarikh kepergiannya. Amat memilukan sekali, tapi apa yang boleh kita katakan kerana keadaan perhubungan dan tempat tinggal ayah yang agak jauh di pedalaman. Kami terima berita dengan rasa sedih dan terharu. Ayah yang selama ini memberi setiap kebahagiaan, inspirasi dan kempimpinan di d alam kehidupan kami telah tiada. Ayah meninggal kerana sakit darah tinggi yang telah begitu lama menghantui kehidupannya.

Sehingga kini saya masih teringatkan ayah. Kehilangan ayah amat dirasai. Sesungguhnya apabila ayah telah tiada, baru dirasai ketiadaannya. Ketika dia masih bersama, kita diresapi keegoan. Benar, kehilangan insan yang disayangi akan sangat-sangat dirasai seperti ingin benar kita putarkan waktu kembali ke saat yang lalu. Sayang kita tidak mungkin akan dapat melakukannya. Masa yang telah berlalu tidak dapat kembali lagi. Oleh itu, apa jua yang dilakukan hari ini, ingat, ia akan merobah masa depan. Hari ini tidak lagi akan kembali setelah esok hadir. Hari in adalah semalam yang hanya tinggal kenangan. Kenangan yang akan terakam menjadi sebuah igauan atau mimpi indah. Terserah. Kita yang akan melakrkannya.

Bagi saya, terlalu banyak ingatan dan kenangan bersama Allahyarham ayah yang tidak dapat dilupakan. Sejak mencapai usia empat belas tahun( 1967) saya akan bersama-sama ayah setiap petang sabtu, membantu ayah
mencuci lantai pejabat. Selain bertugas menjaga pejabat, ayah diberi tugas sampingan mencuci dan menyapu pejabat. Dengan pendapatan tambahan, ayah dapat menambah pendapatan bagi melayani keperluan keluarga. Kehidupan kami tidaklah begitu sukar. Keperluan sekolah sentiasa dapat kami perolehi kerana ayah berupaya menyediakannya dengan adanya pendapatan tambahan begini.

Selain bertugas menjaga pejabat, ayah juga berusaha memelihara beberapa ekor kambing dan juga lembu. Pada waktu tidak bersekolah dan juga hujung minggu, saya akan membantu ayah membawa kambing-kambing ke tempat yang berumput untuk diragut. Kami juga akan pergi ke padang rumput memootong rumput untuk makanan lembu. Tugasnya berat dan sukar juga tapi hasil daripada usaha ayah ini banyak sekali membantu keluarga dalam menjalanai kehidupan seharian dan memenuhi keperluan keluarga.

Ayah bersara dari tugasnya awal Februari 1979 setelah mencapai usia lima puluh lima tahun. Bula Ogos 1979 anak ketiga saya, Faizal dilahirkan. Tujuh bulan kemudian ayah berangkat kembali ke negeri asal untuk perjalanan ke mekah bagi menunaikan fardhu haji.

Selepas kembali dari Mekah ayah kurang sihat, begitu berita yang kami terima. 1989, kira-kira sepuluh tahun selepas kepergiannya ke negeri asal, kami terima berita ayah kembali kerahmatullah. Ayah pergi tanpa kami di sisinya tapi dalam hati kecil kami tetap yakin, ayah sentiasa mengingati kami. Ayah manusia yang terbaik yang kami ada di dalam kehidupan kami. Ayah mengajar kami erti manusia d an kemanusiaan. Ayah bercerita pada kami melalui kitab-itab yang dibacanya, cerita-cerita yang mengandungi pengajaran tentang budi pekerti dan agama. Kepergian ayah benar-benar dirasai.
Pada ayah, Al-Fatihah kami titipkan, semoga berada bersama mereka yang mendapat perlindungan-Nya dan Rahmat-Nya jua. Amien.

2 comments:

CT said...

Pasti ayah anda gembira mempunyai anak2 yang sentiasa mengingati dan mendo'akannya.
Al-fatihah untuk Haji Abdul Hakim...Allohummarghfirlahu, warhamhu, wa'afihi, wa'fu'anhu...Amien!

Pena_bahari said...

Terima kasih bebanyak atas doa CT. Pemberian yang tinggi nilainya dari seorang teman dan saya amat menghargainya.