Saturday, October 25, 2008

USU BUJANG DALAM KENANGAN


Entah mengapa, tiba-tiba pagi ini fikiranku melayang jauh. Aku teringatkan Allahyarham Usu Bujang, bapa saudaraku yang telah kembali ke rahmatullah dalam tahun 1968. Ketika itu aku baru berusia lima belas tahun. Allahyarham meupakan adik bongsu ibuku.

Aku punya hubungan istimewa dengan Allahyarham. Aku merupakan anak saudara “favourite”. Ke mana sahaja Allahyarham pegi pasti aku bersamanya. Untuk itu aku diberi gelaran “sampan”.

Usu Bujang mulanya bekerja sebagai penoreh getah. Awal pagi Usu akan ke kebun getah untuk menorah dan kembali ke rumah kira-kira jam 11.30 pagi. Tidak banyak pendapatan dari menorah. Seingatku satu hari menorah Usu hanya dapat menjual getah yang bernilai tiga hingga empat ringgit sahaja.

Apabila harga getah semakin merudum dan semakin berkurangan, Usu berhenti menorah dan mula bekerja mengambil kayu “buta” untuk dibekalkan kepada Syarikat membuat manic di Sarawak ketika itu yakni, Sarawak Match Factory. Saya tak ketemu lagi syarikat itu sekarang.

Setiap kali kembali dari mengambil kayu dengan menggunakan sampan Usu akan singgah di rumah sebelum menghantar kayu ke kilang. Aku akan ikut bersama Usu menghantar kayu ke kilang. Selepas menghantar kayu, kami akan ke Main Bazaar di sebuah kedai yang akan membayar harga kayu itu. Bila dah dapat duit, Usu akan membeli keperluan dapur seperti gula, kopi dan juga sedikit barangan kering. Setelah semua dibeli Usu akan membawaku ke kedai buku untuk membeli komik. Kami mencari komik bersiri ketika itu yang diberi tajuk “Keris Berpuaka”. Seingatku tidak kurang enam siri telah kami beli. Usu sebenarnya tidak boleh menulis dan membaca dalam tulisan roman. Dia hanya boleh menulis d an membaca tulisan jawi. Jadi akulah yang akan menjadi pencerita. Apabila ada kelapangan masa, aku akan membaca komik itu dan Usu akan mendengar dengan penuh teliti.

Usu juga merupakan seorang dukun yang cukup dikenali di kampungku. Setiap kali ada jiran yang sakit, usu akan dijemput untuk mengobati. Cara Usu mengobati pesakitnya dengan membaca mantera dan doa dan kemudian menggunakan kapur untuk diconteng di tempat yang sakit seperti perut dan juga dahi. Bila kuingat kembali tugas Usu ketika itu, timbul keinsafan di hatiku betapa masyarakat ketika itu tidak memikirkan tentang upah perubatan begitu. Apa yang dilakukan semata-mata untuk membantu sesame tetangga dan jiran dengan penuh keikhlasan. Masihkah ada sikap sedemikian masa kini?

Banyak sekali kenangan manis bersama Usu. Usu meninggal dunia ketika berusia awal tiga puluhan kerana sakit batuk kering. Aku berada di sisi katil ketika Usu menghembus nafasnya yang terakhir. Saat yang memilukan hatiku. Saat yang sama berulang kembali dalam tahun 2002 ketika ibuku meninggal dunia. Pilu benar hati ketika melihat nyawa meninggalkan jasad. Usu memrupakan manusia yang amat kukagumi kerana sifatnya yang begitu mulia dan baik hati. Mengingatinya membuat aku merasa insaf da sedar betapa peritnya kehidupan suatu ketika dahulu. Untuk Usu kutitipkan Al-Fatihah.

No comments: