Sunday, September 20, 2015

KEHIDUPAN DI KAMPUNG PULO HILIR KUCHING (10)- MASA UNTUK BERMAIN

MASA UNTUK BERMAIN

padang badminton tempat kami bermain di hadapan rumah Fatimah Hj Salleh

Pelajar-pelajar SK Pulo. Foto ini dipinjamkan kepada saya oleh sdr Usup Amit.Saya masih tak pasti siapa pemiliknya dana tahunberapa foto ini dirakam . Yang pasti ia selepas 1966 dilatari SK Pulo yang baru yang terdapat di Kpg Semarang.


MASA UNTUK BERMAIN

Bagi kanak-kanak yang tinggal di kampung era enam puluhan sebahagian besar masa dihabiskan dengan bermain. Pelbagai jenis permainan dimainkan mengikut musimnya, antaranya, main senapok, jengkek, seremban, tembak gelang getah, guli, Wau/gudi/layang-layang, lumba rim basikal, lumba prauk bemban dan tidak ketinggalan berenang di sungai Sarawak.
          Setelah kembali dari bersekolah dan selesai makan tengah hari, masa akan diisi dengan bermain. Kanak-kanak hanya akan kembali tatkala senja hampir tiba. Pabila suara ibu berteriak memanggil pulang. masing-masing akan berlari ke rumah. Sebahagian akan terus ke tebing sungai dan mandi di sungai Sarawak.
(i) Main Senapok
Dalam bahasa Inggerisnya kita sebut  permainan "hide and seek". Sebuah tin kosong diisi beberapa butir batu kemudian ditutup mulut. Apabila dikocak ia akan mengeluarkan bunyi. Seseorang akan bertugas mencari di mana teman-teman bersembunyi. Apabila ditemui dia akan mengocak tin tersebut. Tugas yang bersembunyi ialah cuba mengocak tin tersebut tanpa namanya disebut oleh si pencari. Jika ia berjaya, si pencari akan kekal mencari.

(ii) Lumba Rim Basikal
Ia perlumbaan biasa antara peserta yang akan mengelilingi padang sekolah di kampung Pulo. Peserta akan berlari sambil menggunakan sebatang kayu untuk menggerakkan rim basikal agar berputar. Yang seronoknya ada ketika kita dapat hadiah jika dapat no satu, dua atau tiga. Hadiah dibeli dengan menggunakan wang kutipan antara peserta yang ikut serta.

(iii) Lumba Prauk/Lumba Perahu
Apa yang dimaksudkan dengan lumba perahu di sini bukan berlumba dengan perahu di sungai. Sebaliknya ia merupakan lumba lari dengan setiap peserta akan membawa di tangannya sebatang pohon bemban yang dibentuk menyerupai perahu lumba lengkap dengan nama perahu. Biasanya permainan lumba perahu ini bermusim. Ia akan bermula selepas diadakan pesta lumba perahu di sungai Sarawak.

(iv) Main
Bermain dengan guli sangat popular masa lalu. ada beberapa jenis permainan dimainkan dengan guli. Yang biasa saya main ialah main guli "put" yang memerlukan sebuah lubang uuntuk memasukkan guli dan juga untuk memangkah guli kita dengan guli musuh. Rasanya saya banyak dah lupa cara bermain guli.

(v) Lain-lain permainan:
Main seremban biasanya merupakan permainan kanak-kanak perempuan, namun ada juga lelaki yang bermain. Jengkek pula permainan melompat di atas petak yang dilukis pada tanah. Saya kira permainan jengkek ini terdapat di kebanyakan negara di dunia. Mungkin bermain berbeza sedikit sebanyak.
Masuk hutan untuk melastik burung sangat menyeronokkan waktu itu. Bukan sahaja burung yang menjadi mangsa, buah mempelam di kebun orang yang dilalui ikut dilastik sama. memikirkan kembali apa yang dilakukan masa kecil dulu timbul juga kekesalan di hati.


Zaman kanak-kanak merupakan zaman yang sangat menggembirakan. Zaman yang tidak mungkin kembali namun mengingatinya sudah cukup untuk mengembalikan kegembiraan di hati kita.

Tuesday, September 15, 2015

KEHIDUPAN DI KAMPUNG PULO HILIR, KUCHING (9)- TENTANG BANJIR, PELAJO,ENGKABANG DAN REBAK


Tentang Banjir, Pelajo, Engkabang dan Rebak


Allahyarham Habibah Matakip, emak saudara yang bertugas mengambil air di pangkalan besi buat keluarga kami. Allahyarham merupakan adik kepada Allahyarham ibu kami.

 Wajah saya  sekitar tahun 1963-64


Keluarga kami mula menetap di Kampung Pulo Hilir Kuching pada tahun 1962. Kami berpindah dari rumah sewa yang disediakan secara percuma oleh datuk Abdul Shakoor, bapa saudara kepada bapak di Batu Lintang, Kuching. Hari ini tempat tinggal kami itu adalah bersebelahan dengan bangunan Dirgahayu.

          Kami berpindah di kampung kerana keadaan kesihatan ibu yang sentiasa terganggu. Di Kampung ibu berubat dengan seorang saudara ibu yang kami panggil  Nek Leh, seorang dukun yang sangat terkenal menetap di kampung Panglima Seman Ulu. Nek Leh telah memulihkan semangat ibu melalui proses perubatan tradisi sehingga ibu kembali sihat seperti sediakala.

          Kerana perpindahan itu saya ikut berpindah sekolah dari Sekolah Rendah Lumba Kuda ke Sekolah Rendah Pulo( waktu itu dikenali dengan nama Pulo District Council School), yang terletak di Kpg Pulo Hilir. Jika boleh saya gambarkan sekolah kampung Pulo masa itu, ia sama dengan sekolah dewasa yang terdapat dalam filem Tan Sri P. Ramlee, Pendekar Bujang lapok. Sebuah bangunan kayu beratap nipah, bertiang nibong dan dinding separuh sahaja. Rumah kami terletak tidak jauh dari sekolah di tebing sungai Sarawak. Hari ini lokasi rumah kami telah hilang dibawa arus deras. Tembang rumah telah berada di dalam sungai.

          Pabila mengingati rumah di tebing sungai itu terasa benar rindu saya pada kehidupan di tebing sungai. Semacam ada ketenangan semulajadi menyusup ke dalam sanubari. Namun pada ketika itu apa yang dikhuatiri oleh orang tua hanyalah kedatangan banjir yang apbila ia mencapai maksimumnya hampir mencecah hingga ke lantai rumah kami. Namun banjir begitu tidak selalu berlaku.

          Waktu banjir hadir ketika musim landas antara bulan November hingga Mac. Kemuncaknya antara Disember dan januari. Musim landas atau tengkujuh ini banyak juga membawa rezeki kepada kami penduduk tebing sungai. Ketika air surut ia akan membawa sama buah engkabang dan buah pelajo. Buah engkabang saya difahamkan boleh diproses untuk membuat minyak engkabang dan buah pelajo pula digorung atau rebus biji/isinya. Rasanya sedap . Hari ini pabila mengunjungi pasar minggu di Kubah Ria saya tidak lupa membeli pelajo jika ada yang berjual.

          Selain Pelajo dan engkabang, kebiasaan kami menggunakan perahu mengutip rebak, yakni dahan-dahan kayu pelbagai rupa yang hanyut untuk dijadikan kayu api. Ada ketika jika bernasib baik kami bertemu kayu balak yang hanyut. Biasanya ia hanayut mungkin kerana terlepas ikatan dari motobot yang menundanya. Sebatang kayu balak yang ditemui itu boleh dijadikan kayu api untuk sebulan.

          Untuk bekalan air paip, mak saudara saya bersama teman-teman akan mengambilnya dari paip yang terletak di pangkalan besi, sebrang sungai Sarawak tempat tingggal kaum Heng Hua. Air akan diletakkan di dalam tin roti dan ada juga yang membawa tempayan. Kehidupan di tahun-tahun enam puluhan agak sukar dan mencabar.

          Hari ini penduduk kampung Pulo Hilir padat sekali. Dengan pembangunan Darul Hana sangat diharapkan kehidupan penduduk kampung Pulo Hilir dan jiran-jiran di seberang hilir akan dapat merasai kehidupan yang lebih selesa dengan infrastruktur yang sempurna dan teratur. Kita telah lima puluh tahun merdeka dan harus ada perubahan yang drastik sesuai dengan kemerdekaan negara.






Tuesday, August 26, 2014

KEHIDUPAN DI KAMPUNG PULO HILIR (8)- PASARIA DAN BANGSAWAN SK PULO

Banyak sekali memori yang boleh saya ingati, ya tentu sekali memori yang membuat kita gembira, bukan yang menyedihkan, ketika saya tinggal di Kampung Pulo Hilir, Kuching.Tahun 1962 saya belajar di dalam darjah 2 Sekolah Rendah kelolaan Majlis Daerah Luar Bandar kuching (KRDC). Saya kurang pasti tahun berapakah sekolah mengadakan pasar ria dan persembahan bangsawam, mungkin 1962 atau 1963. Apa yang menariknya tentang pasar ria dan persembahan bangsawan anjuran sekolah ini ialah penglibatan warga kampung dalam memberi kerjasama kerpada sekolah tempat anak-anak mereka belajar.

Untuk pasar ria ibu bapa akan memberi pelbagai jenis barangan untuk dijual kepada penduduk kampung dengan harga yang sangat murah. Hasilnya untuk kebajikan sekolah. Antara barangan termasuklah barangan dalam tin, sayur-sayuran hutan ubi keledek dan pelbagai lagi. Pasar ria di adakan di sebelah pagi. Orang kampung datang berduyun duyun.

Sebelah malamnya pula akan diadakan persembahan bangsawan, anatara persembahan termasuklah cerita yang dilakonkan oleh penduduk kampung. Pelakon-pelakon berlatih dengan bersungguh-sungguh di waktu siang termasuk mempelajari pencak silat dan langkah-langkah dalam bertarung untuk menampakkan leasliannya. Begitu juga dengan persembahan-persembahan lain termasuklah tarian dan lawak jenaka.

Saya masih ingat ada patung anak perempuan yang diminta orang ramai meneka namanya. Untuk meneka nama patung ini para peserta kena membayar sedikit wang. Tak ingat berapa waktu itu. Pada malam pengumuman nama yang telah disediakan oleh penganjur diumumkan didapati tiada siapa yang dapat meka nama yang betul. Saya masih ingat nama yang disediakan oleh penganjur. Mereka memilih nama seorang anak murid perempuan darjah satu yang sangat cantik sekali. Beliau ialah Kornia. Untuk menambah cantik ceritanya, hari ini, anak Kornia adalah bekas ketua Seksyen saya di Jabatan Perbendaharaan negeri Sarawak semasa saya bertugas di situ dan mamsih bertugas di sana. Beliau ialah Puan Haslinda Abdul Ghani, seorang akauntan.

Mengingati masa lalu sambil melihat hari ini boleh mebuat saya tersenyum riang. Ah alangkah indahnya dunia ini. Oleh itu jangan persiakannya dengan persengketaan dan permusuhan. Dakaplah harmoni.

Tuesday, September 17, 2013

IDRIS SARDI : P Ramlee The Tribute Concert

Hari Jumaat lepas sebelah malamnya saya berpeluang menonton konsert "P. Ramlee Satu penghormatan" persembahan oleh pemain biola terkemuka dari Indonesia Dato' Idris Sardi dengan iringan simfoni orkestra Sarawak di bawah pimpinan pemusik tersohor negeri Sarawak, Shafiee Obe Haironie. Konsert diadakan sempena menyambut tarikh keramat Hari Malaysia, tarikh Persekutuan Malaysia dibentuk.

Persembahan malam itu benar-benar memukau penonton. Gesekan biola Dato' Idris Sardi begitu mempesona ditambah dengan iringan orkestra Sarawak yang sangat mengagumkan. Penyanyi-penyanyi yang mendendangkan lagu malam itu juga turut mencuit hati. Di hati saya berkata, alangkah indah dan baiknya jika persembahan malam itu direkodkan dan dijual untuk pendengaran orang ramai. Tidak ramai orang berpeluang mengikuti persembahannya. 

 Sesudah selesai persembahan


Dato' Idris Sardi bersama peminat di Sarawak
 

Bersama peminat tegar dan juga ahli kelab Peminat P. Ramlee Sarawak, Sheema.
 Dibuai alunan biola

 Peminat No satu Dato' Idris Sardi

Seniman ulung Indonesia, Dato' Idris Sardi mempersembahkan irama ciptaan seniman ulun Malaysia, P Ramlee

Wednesday, September 11, 2013

KAMPUNG BUNTAL DAN RUMAH SUNGKURNYA


rumah sungkur

Kampung Buntal terletak kira-kira 30 kilometer dari bandaraya Kuching dan agak hampir dengan gunung Santubong dan juga kampung budaya Kuching. Kpg Buntal merupakan lokasi kegemaran saya dan teman-teman untuk merakam matahari terbit.

Kampung Buntal merupakan sebuah kampung nelayan, terletak di tebing sungai Buntal. Di muara sungai terdapat sebuah binaan yang dikenali dengan nama rumah sungkur. Ia digunakan untuk menangkap bubuk, sejenis udang kecil yang merupakan bahan utama untuk membuat belacan. Belacan secara simboliknya merupakan "signature product" bagi Kampung Buntal selain produk ikan kering dan juga lain-lain hasil tani. Terdapat juga restoran makanan laut di kampung ini yang kerap dikunjungi oleh warga kota dan juga pelancong-pelancong.

Sejujurnya saya belum lagi melihat rumah sungkur yang berada di muara sungai Buntal itu memainkan peranannnya selain tempat nelayan mengikat perahu mereka. Saya kurang pasti ia masih digunakan lagi atau tidak kerana sehingga kini belum berpeluang melihat ia digunakan.

Masakini dinding penahan ombak sedang dalam pembinaan di tebing kampung yang menghadapi laut Cina Selatan. Sebuah bangunan (tak pasti lagi kegunaannya) juga sedang giat dibina.Ia pastinya akan mengubah wajah kampung Buntal.





Menanti masa ke laut

Rumah sungkur waktu pagi
 
Perakam setia rumah sungkur dan dingin pagi

Tuesday, September 10, 2013

MARI BERBASIKAL : mengatasi kenaikan harga minyak

Kenaikan harga minyak di Malaysia beberapa hari lalu sebanyak 20 sen agak membebankan. Jika gaya hidup kita bertahan seperti biasa maka perbelanjaan pasti akan bertambah. Apa lagi pihak lain pasti akan menaikkan harga barangan jualan mereka. Satu langkah yang s aya kira amat sesuai masa ini ialah dengan merobah sedikit gaya hidup kita dari segi pengangkutan. Masanya sudah tiba untuk kembali kepada basikal. Tentu banyak faedah kepada kita jika kita kembali menunggang basikal.

Antara kebaikannya, ia langkah ekonomikal. Perbelanjaan minyak dapat diselamatkan sedikit. Selain itu berbasikal merupakan satu senaman yang akan memberi beberapa kebaikan kepada kita  seperti pinggang yang elok, senaman untuk jantung, ketenanagan semasa mengayuh basikal dan pastinya keseronokan lebih-lebih lagi jika berbasikal bersama keluarga.

Saya sedar jalan raya negeri/kota kita masih tidak mesra basikal. Untuk mengubah sistem jalan memerlukan perancangan dan tindakan oleh pihak bandar raya dan juga penguasa tempatan lain. Jika semua mahu menerima basikal kembali dalam kehidupan kita, ia pasti akan memberi lebih banyak kebaikan dari kesusahan.
Ayuh..mari kita berbasikal. 


Tuesday, March 26, 2013

Pucung Keladi @Little Heron





Sepasang pucung keladi yang tinggal di taman Pustaka Negeri Sarawak selalu kelihatan mencari makan di tepi tasik pustaka. Pagi itu saya terjumpa pasangan ini sedang sarapan pagi. Gelojoh sekali si Pucung Keladi ini makan.

Thursday, February 07, 2013









Pagi ini hujan turun renyai-renyai dan s aya tak dapat nak keluar mengayuh basikal mahu pun berjalan s ekitar Taman perumahan kami. Lantas saya gunakan waktu yg ada untuk merakam foto bunga-bunga yg ditanam orang rumah kita.Sayangnya saya tidak tahu nama bunga-bunga yg dia tanam kecuali satu dua yg saya kenal.

Menanam bunga merupakan hobi yg mengasyikkan. Saya lihat orang rumah setiap pagi akan meluangkan masa membelai bunga-bunganya dan kadang-kadang ada dialog yg kedengaran, Oh ya tentu dialog satu pihak sahaja. Pihak bunga hanya mendengar sahaja.

Friday, October 26, 2012

Basikalku, "Pak Lurah"

SAYA namakan basikal ini, PAK LURAH kerana warna merahnya.Ia saya beli di kedai menjual alat ganti kereta yang diimport dari Jepun dengan harga RM780.00 . Jika tak silap saya belikan basikal ini awal 2011.

Telah menjadi satu keseronokan bagi saya mengumpul basikal terpakai yang berjenama dalam pelbagai bentuk. Setakat ini saya dah kumpul lima buah basikal. Sekarang saya sedang mengintai-intai sebuah basikal Raleigh Road bike buatan England yang terpakai berwarna merah juga. Saya masih menanti keadaan yang tepat sebelum berunding dengan kedai itu mengenai harganya. Dalam masa yg sama saya juga masih mahu bertanya dengan teman tentang cara-cara membaiki basikal untuk menambah pengalaman diri.

Saya senang sekali berbasikal namun terasa sedikit kekhuatiran kerana tiada lorong khas untuk basikal di bandaraya Kuching. Saya berharap pihak perancang bandar akan mengambil kira secara serius dalam menyediakan lorong basikal untuk Kuching. Jika ia dilakukan tentu lebih banyak lagi warga kota akan berbasikal dan pasti akan mendatangkan impak positif ke atas bandaraya Kuching dari segi pencemaran dan juga kesihatan warganya. Ini pasti akan mempercepatkan bandaraya Kuching mencapai cita-citanya untuk menjadi bandar taman.


Saya harap dapat menulis sesuatu tentang basikal dalam blog ini dalam Bahasa Malaysia untuk tatapan bersama teman-teman yang menggunakan Bahasa Malaysia sebagai lingua franca mereka. Untuk tulisan dalam Bahasa Inggeris saya sudah sediakan sebuah blog yang saya beri tajuk " Once Upon A Time in Sarawak.


Tuesday, September 11, 2012






Mentari jingga ketika senja di awal september 2012 sekitar Taman Sumber Alam Sanctuary.

Saturday, July 14, 2012

Burung Murai Gila


Burung Murai Gila @ Pied Fantail (ibu)
Burung murai gila (anak/Juvenile)

 Saya ikuti perkembangan keluarga burung murai gila ini sejak 5 Julai 2012 hingga 12 Julai 2012. Menarik bila kita perhatikan ibu bapa burung ini yang bertungkus lumus mencari makanan buat anak-anaknya(dua ekor). Selain itu ia juga cekap menjaga kawasan itu dari gangguan.Saya kira kehadiran saya juga tidak disenangi ibu. Lihat saja cara ia memandang saya..
Nama yang unik ini rasanya tentu ada alasan. Saya terjumpa tulisan di blog seseorang yg menceritakan mengapa namanya murai gila dan saya rasa penjelasannya cukup lojik.:http://piecesoflin.blogspot.com/2012/05/burung-murai-gila.html

Tuesday, May 22, 2012

Lelayang Dada Putih dalam Kedinginan


Awal pagi yang dingin di Taman Pustaka Negeri Sarawak pagi semalam telatah tiga ekor burung Lelayang dada putih ini menarik perhatian saya. Mereka juga seperti kedinginan. Saya kira satu famili yg terdiri daripada bapa, ibu dan anak. Itu jangkaan saya. Burung lelayang dada putih memang banyak terdapat di kawasan Pustaka Negeri Sarawak ini. Selain lelayang dada putih saya juga selalu ketemu burung kunyit kecil , punai gading dan juga ruak-ruak atau nama tempatannya, keruak.

Thursday, March 22, 2012

SEWAH UNGU @ VIOLET CUCKOO (Chrysococcyx xanthorhynchus


Burung Sewah Ungu atau dalam bahasa Inggerisnya, Violet Cuckoo saya rakam pada 20 Mac 2012 semasa berjalan di Taman Pustaka Negeri Sarawak. Spesis Cuckoo ini dari keluarga Cuculidae. Ia tinggal di kawasan hutan tanah rendah dan juga hutan bakau.

Saturday, March 03, 2012

MENJALA UDANG DI SUNGAI SARAWAK


Paling suka hati saya jika diajak teman/jiran pergi menjala udang tapi saya sendiri tidak berapa pandai menbar jala. Tebaran saya selalunya menguncup atau menyenget. Paling mendebarkan pabila jala ditarik ke atas. terbayang janggut dan sepit biru yang membuat hati jadi haru.  Saya ingin kembali ke sungai Sarawak hanya belum ada kesempatan untuk ikut teman menebar jala.