Sunday, July 13, 2008

KEHIDUPAN DI KAMPUNG PULO HILIR, (1)- PINDAH KE KAMPUNG PULO HILIR

Keluargaku berpindah dari rumah sewa kami di Batu Lintang ke kampung Pulo Hilir pada akhir tahun 1961. Di kampung kami tinggal di rumah keluarga ibuku yang telah dibina oleh ayahku sebelum ini. Rumah kampung sekitar tahun 1960an kebiasaannya beratap nipah berdinding kajang dan bertanggakan kayu nibong.
Sebelum kehadiran kami, rumah keluarga ibu itu telah dihuni oleh adik-adik ibuku, Allahyarham ayahanda Bujang dan Bonda Habibah. Usu Bujang( begitu kami memanggilnya) Udak Bibah sebelum ini telah menduduki rumah itu berdua. Dapat kugambarkan kini betapa sunyinya kehidupan mereka sebelum kehadiran kami sekeluarga.
Usu Bujang tidak punya kerja tetap, sekadar seorang penoreh getah, menoreh di kebun getah peninggaln datuk kami. Kebun getah yang sudah tua tentunya tidak banyak mengeluarkan susu getah dan oleh itu dapat kita gambarkan betapa keperitan dan kemiskinan sentiasa menghimpit kedua-dua ibu dan bapa saudaraku itu.
Kehadiran kami di rumah itu memeriahkan kehidupan. Ibu yang selama ini sentiasa di d alam keadaan kurang sihat kini jelas ceria dan bahagia, lebih-lebih lagi dia telah dapat kembali bersama tinggal dengan adik-adik yang sangat disayanginya. Telah lama mereka berpisah. Kerinduan begitu terasa oleh mereka bertiga.
Bagiku, kehadiranku di kampung Pulo Hilir ini mendatangkan sedikit rasa gementar kerana terpaksa belajar di sekolah baru di kampung Pulo. Kalau dulu ketika belajar di Sekolah Rendah Lumba Kuda aku dapat bergaul dengan kawan-kawan dari pelbagai keturunan, kini aku hanya akan dapat bersahabat dengan anak-anak Melayu sahaja...

No comments: