ALLAHYARHAM ODITA IBRAHIM
Setelah tamat darjah enam di Pulo District Council School, aku melanjutkan pelajaran di Sekolah Menengah Bantuan St Thomas. Aku belajar di SMB St. Thomas untuk tempoh lima tahun mulai 1967 hingga 1971. Banyak sekali teman-teman di sekolah itu, namun beberapa teman yang rapat sentiasa dalam ingatanku. Biar hari ini kuceritakan sedikit sebanyak kenangan bersama teman-temanku ini. Ada teman yang selalu kutemui, ada yang jarang-jarang kutemui dan ada yang sudah tidak mungkin kutemui lagi kerana mereka telah kembali kepada Pencipta buat selama-lamanya.
Allahyarham Odita Ibrahim kukenali ketika berada di dalam tingkatan satu. Beliau berada di Tingkatan 1A manakala aku berada di Tingkatan 1C. Persahabatan kami bertambah erat setahun kemudian ketika berada di kelas yang sama, tingkatan 2B. Odita menyukai sastera dan Bahasa Melayu seperti juga aku. Kami sama-sama ikut serta di dalam pertandingan mengarang esei peringkat sekolah menengah. Seperti aku, Odita juga pernah memenangi pertandingan serupa ini.
Selain menulis kami sama-sama terlibat dengan aktiviti bangsawan di kampung. Odita terlibat sebagai salah seoarang aktivis persembahan bangsawan di kampung Astana dan aku terlibat dengan persembahan bangsawan di kampung Pulo Hilir.
Setelah tamat tingkatan lima Odita bekerja sebagai buruh kasar membina bangunan Yun Phin yang terletak berdekatan dengan Sekolah Rendah St Teresa di Padungan. Aku masih menganggur dan cuba mendapatkan kerja. Suatu hari Odita datang ke rumahku dan mengajak aku bekerja di tempat dia bekerja. Sayangnya ketika itu aku sudah mendapat tawaran bekerja sementara di sebuah syarikat lain.
Selepas itu kami membawa haluan masing masing. Odita menyambungkan pelajarannya ke ITM dan aku bekerja dengan kerajaan. Kami bertemu kembali setelah sekitar tahun 1980an. Masa itu beliau seorang arkitek di JKR, kalau tak silap. Kita tak banyak bicara hanya sekali sekala bercerita tentang zaman sekolah yang amat dirasai kemesraannya. Masing-masing sudah punya kehidupan dan tanggungjawab. Ketika itu aku telah menjadi ayah kepada lima orang anak.
Terakhir aku menerima berita Odita kembali ke rahmatullah ketika berada di luar negara. Ketika pemergiannya, beliau seorang arkitek dan ahli perniagaan yang berjaya. Kurasai pemergiannya. Untuk Allahyarham Odita aku pernah menulis dua buah puisi yang kudedikasikanbagi merakam persahabatan kami dengan tajuk Menara Harapan 1 dan Menara Harapan 2.
Selamat tinggal teman. semoga perjalananmu mudah dan kau menemui kebahagian dan keselesaan di alam barumu.
6 comments:
Al Fatihah kepada Arwah, Hj Odita!
Saya kenal beliau mulai 90'an. Teringat saya semasa membantu beliau bersedia untuk Kuching Iron Man untuk veteran---renang Sungai Sarawak, berbasikal dan berlari. Dulu saya ada dua buah road bikes, satu ringan dan satu berat. Yang ringan pinjam untuk beliau hari saingan dan yang berat semasa berlatih.
Semoga beliau damai abadi dalam simpanan Yang Maha Esa.
["Aku belajar di SMB St. Thomas untuk tempoh lima tahun mulai 1967 hingga 1971"]
Nampaknya saya dah berhenti bila Sdra di St Thomas'. Saya berhenti tahun 1968!
Dunia kecil! ;)
Assalam mu'alaikum!
Allahyarham seorang teman yang baik hati dan jujur. Persahabatan kami semasa di sekolah amat saya rasai keakrabannya. Tuhan lebih sayang pada Allahyarham.
Tidak dijangka ya, boleh ketemu seorang Thomian di alam maya yang penuh magik ini.
Benar kata saudara, dunia ini semkin kecil rupanya.
Apakah arwah itu Odita yang pernah menerbitkan sebuah filem lakonan Azhar Che Ree dan Erma Fatimah dirakam di Kuching? Kalau benar, alangkah sedihnya saya lkambat mendengar berita ini.
Dua orang anak lelaki saya berlakon sebagai anak pasangan itu dalam filem tersebut.
Sekarang budak-budak tu dah dewasa dan bekerja setelah lulus daripada IPT masing-masing.
Salam sdr Saiee,
Saya tak pasti tentang penglibatan allahyarham dalam penerbitan filem kerana tidak mengikuti perkembanagan mutakhir allahyarham. Jika benar, saya sangat berbangga. Inin menunjukkan kesungguhan allahyarham dalam bidang kesenian sejak dulu lagi. Kita kehilangan seorang sahabat.
Sdra Saiee Dris,
Ya, betul dia pernah beritahu saya yg dia ada syarikat film production. Pernah juga dia beritahu tentang sebuah film dibuat berlatarbelakangkan Tebingan Kuching. Tapi saya tak pernah lihat film itu!
Kalau Saudara ada clip, elok kita simpan dan ambil petikan upload ke YouTube. Macam mana?
Sdr Saiee Driss,
Seperti yang disarankan sdr Salak, saya harap benar dapat melihat hasil kerja Allahyarham.
Post a Comment