Tuesday, July 15, 2008

MAMU GHAFOOR

Mamu Ghafoor, bapa saudara ayahku, sangat sayang pada anak-anak. Kata ibu, Mamu Ghafoor suka berbelanja membeli permainan anak-anak. Kasihnya pada anak-anak mungkin atas rasa rindu dan keinginannya yang teramat sangat untuk mempunyai anak sendiri. Tetapi itulah satu yang Mamu Ghafoor tidak dapat capai.

Untuk melepaskan kerinduannya terhadap anak sendiri yang tidak pernah dimilikinya, Mamu Ghafoor cuba untuk mengambilku sebagai anak angkatnya. Mamu Ghafoor menyatakan hajatnya pada ayah dan ayah bersetuju, tetapi tidak ibu. Ibu tak mengerti mengapa ayah begitu mudah untuk memberi anak kepada saudaranya. Ibu masih merasai kesedihan apabila kakakku yang sulung bernama Segera meninggal dunia setelah dijadikan anak angkat oleh Mamu Ghafoor. Kak Segera meninggal dunia di India dan mengikut berita yang keluraga kami terima, beliau meninggal kerana demam panas. Ibu terima kenyataan itu dengan kesedihan.

Sekarang ayah nak serahkan pula aku pada Mamu Ghafoor. Ibu tak faham mengapa ayah tidak mempunyai rasa sayang pada anaknya. Mengapa ayah sanggup memberi aku untuk dijadikan anak angkat bapa saudaranya. Tapi ibu jelas menolak cadangan ayah. Akhirnya ayah mengalah. Aku terus bersama ibu. Dalam masa yang sama kerana Mamu Ghafoor tinggal bersama kami, aku menjadi anak istimewa yang mendapat sepenuh kasih sayang daripada Mamu Ghafoor. Bermacam jenis permainan dibeli untukku. Begitu kata ibu.

Manusia bernama Mamu Ghafoor memang aneh sedikit perangainya. Dia suka memelihara burung. Kata ibu, Mamu memelihara burung tekukur yang mengeluarkan suara yang sangat cantik. Siang hari sangkar burung akan diletakkan di atas galah yang tinggi. Cara Mamu meletakkan sangkar itu ke atas galah sama seperti kita menaikkan bendera. Ketika senja barulah diturunkannya burung itu. Beginilah setiap hari, Mamu Ghafoor akan melakukan perkara yang sama.

Mamu Ghafoor juga rajin bertanam sayur-sayuran. Biasanya keluarga kami mendapatkan bekalan sayur-sayuran sebahagiannya dari hasil tanaman Mamu Ghafoor. Ketika malam aku akan didukung oleh Mamu Ghafoor tinggi – tinggi. Kadang – kadang dia akan menimangku tinggi-tinggi. Masih kurasai hingga hari ini perasaan gayat ketika ditimang begitu tapi aku seronok sekali.

Ah! Betapa seronoknya zaman kanak-kanak kita. Kalaulah boleh kukembalikan zaman yang indah itu.

3 comments:

CT said...

"Ah! Betapa seronoknya zaman kanak-kanak kita. Kalaulah boleh kukembalikan zaman yang indah itu."

Salam bang,
kalau dikenang2 kembali memang seronok zaman kanak2 kita dulu...betul kata2 abang di atas.

Pena_bahari said...

CT pasti byk cerita zaman kanak-kanak yang menarik untuk dirakam. Tulislah..biar kita kongsi pengalaman untuk makluman anak cucu kemudian hari.

CT said...

Idea yang baik tu bang tapi CT ni baik sangat laaa...suka main longkang lagipun macam tom boy hahaha...