Thursday, October 22, 2015

ANAK KECIL DARI SIMPANG TIGA (episod 1)

Memang agak sukar untuk mengingati kehidupan masa lalu namun ada juga peristiwa yang berlaku pada kita tetap melekat di dalam ingatan. Saya dilahirkan dalam tahun 1953. Saya pernah melihat foto saya didukung oleh Datuk saya semasa berusia setahun lebih. Saya juga ingat benar semasa tinggal di sebuah rumah pekerja kilang getah tempat ayah bekerja sebagai jaga.Kawasan itu terletak di tebing sungai Sarawak tidak berapa jauh dari Janakuasa SESCO Western region. Seberang sungai bertentangan dengan rumah kami ialah kampung Bintawa. Tidak jauh dari tebing sungai di mana terletaknya rumah kami ada terdapat rangka sebuah bot zaman Jepun, jika tak silap. Saya tak pasti apakah rangka itu masih di sana ketika ini atau sudah dialih oleh pihak Lembaga Sungai-sungai Sarawak.

          Antara peristiwa dan perkara yang saya ingati  waktu itu ialah peristiwa saya terjatuh dari tangga yang terletak di dalam perigi di tepi rumah kami. Saya terjatuh setelah pegangan tangan saya pada tangga terlepas. Saya berada di dalam air seketika sebelum ayah mengambil saya dengan menarik rambut, begitu cerita kakak. Hingga hari ini saya dapat rasai ketakutan saya ketika berada di dalam perigi.
          Di rumah kami ketika itu tiada bekalan air paip seperti sekarang. Kami mandi menggunakan air perigi. Air minuman bersumberkan air hujan yang ditakung. Saya ingat benar terdapat penapis air yang agak besar diperbuat daripada batu. Air dimasukkan di dalam penapis itu dan akan menetes keluar sedikit demi sedikit. Saya kira penapis batu itu satu cara untuk membersihkan air masa lalu.

          Kami berpindah dari rumah pekerja itu ke Simpang Tiga dalam tahun 1959/60 apabila bapa ditawarkan bekerja di Hongkong Bank sebagai jaga. Di Simpang Tiga kami tinggal di sebuah rumah sewa milik Datuk, Haji Abdul Shakoor. Rumah kami di Simpang Tiga itu terletak tidak jauh dari Bangunan Dirgahayu. Kami sekeluarga tinggal di rumah tanpa perlu membayar sewa. Itu cara Datu membantu keluarga kami. Datuk ikut tinggal bersama kami tapi memang ada bilik berasingan untuk dia. Bilik yang agak cantik dan kemas.
          Saya masih ingat detik-detik kami berpindah rumah. Barang-barang kami dibawa menggunakan lori sewa. Saya ikut bapa menggunakan basikalnya. Basikal bapa jenis yang disebut basikal "onta" atau basikal "gentleman". Di rade belakang bapa letakkan sebuah raga besar untuk menyimpan roti yang dijualnya. Pagi itu bapa letakkan saya di dalam raga di belakang basikal. Saya dapat merasai kegayatan berada di belakang basikal itu.

          Datuk Shakoor merupakan seorang peniaga yang cukup berjaya. Dia memiliki beberapa buah rumah sewa, tanah kebun dan juga sekandang sapi. Saya kira tidak kurang daripada dua puluh ekor sapi yang dipelihara Datuk. Sesekali akan ada pihak dari Veterinar datang merawat sapi datuk. Makanan rumput untuk sapi ini diambil oleh pekerja-pekerja datuk. Seingat saya tidak kurang daripada empat atau lima orang yang bekerja dengan datuk. Saya ingat sampai hari ini nama-nama mereka, antaranya, Mon, James, Richard, Basri. Rumput yang telah dipotong dan diikat dengan sempurna akan dibawa balik menggunakan kereta lembu. (Seperti kereta lembu yang dinaiki P. Ramlee dalam filem Do Re Mi).
          Tinggal di Simpang Tiga saya berkawan dengan anak-anak dari pelbagai bangsa yang tinggal di rumah sewa datuk. Kawan-kawan Cina saya bernama Abeng danabngnya bernama Say Beng. kakak-kakak mereka dikenali dengan nama Jaik,Lily dan Bendi. Ada juga kawan-kawan India, Unju dan Raja, dan dari kaum Dayak( Bidayuh atau Iban saya kurang pasti ) seperti Kulang, Musa dan Maboob. Ada keluarga Melanau Kristian tapi tiada anak kecil untuk menjadi kawan.

          Bapa juga ada memelihara seekor dua sapi. Pagi hari saya dan kakak akan membawa sapi ini seorang seekor ke padang rumput . Sapi akan diikat di kawasan itu untuk meragut rumput. Bayangkan saya baru berumur mungkin dalam lingkungan enam atau tujuh tahun telah berupaya menarik seekor lembu. Kadang-kadang saya sendiri merasa takjub akan kebolehan saya suatu ketika dulu. Jika sekarang saya memang tak boleh melakukannya.

          Biasanya saya dan kakak akan membawa sapi ini di kawasan ragut satu kawasan yang yang sekarang ini terletak di seberang jalan berhadapan dengan restoran Tok Janggut. Teman-teman di Kuching tentu tahu kawasan ini. Ini perkara rutin yang saya dan kakak lakukan.Sebelah petang sapi akan dibawa balik dari kawasan meragut rumput. Pernah berlaku suatu hari kami terlupa membawa balik sapi. Kami menyedarinya sebelah malam. Terpaksalah abang kami, Abang Khalique dan teman-temannya pergi untuk mengambil sapi. Perkara ini dirahsiakan dari bapa takut ada yang kena marah.

          Pernah suatu petang saya dan kakak membawa balik sapi. Sampai di satu kawasan tak jauh dari tokong Cina jalan Batu Litang yang berhadapan dengan bangunan Dirgahayu seekor anjing Alastian terlepas keluar dari sebuah rumah berpagar di sebelah tokong tanpa saya sedari. Saya hanya menyedarinya apabila merasai kesakitan di belakang saya. Saya menoleh dan terkejut yang amat kerana anjing itu sudah berada di belakang saya. Dua kaki hadapannya diletakkan betul -betul di belakang saya dan saya rasa pedih . Saya berlari dan Tuan punya anjing itu memanggil pulang anjingnya. Satu pengalaman yang sangat menakutkan. Sehingga hari ini saya masih lagi fobia akan anjing.

          Banyak lagi yang ingin saya tulis tentang peristiwa dan pengalaman hidup semasa kecil di Simpang Tiga. Buat kali ini cukuplah saya catatkan apa yang boleh saya ingati. Episod lain saya akan cuba mengingati peristiwa-peristiwa lain pula semasa tinggal di Simpang Tiga.
Wajah Allahyarham Ibu 
Anak Kecil dari Simpang Tiga
Wajah Allahyarham Ayah

                   

          

No comments: