Sebagai ahli Kadet Polis pertama di Sarawak, 1970
Ketika usia sembilan atau sepuluh tahun
SMB St Thomas ikut serta perarakan Maulidur rasul 1970.
ZAMAN PERSEKOLAHAN
Bukanlah sesuatu yang
aneh dalam tahun 60an dan masa-masa lebih awal sebelum itu anak-anak mula
bersekolah pada usia yang agak lanjut. Saya dilahirkan dalam tahun 1953 tetapi
hanya memasuki tahun satu (atau darjah
satu istilah dahulu) dalam tahun 1961. Maknanya saya masuk darjah satu ketika
usia mencecah lapan tahun sedang teman-teman lain baru berusia tujuh tahun.
Ayah bawa saya ke SRB St Theresa
tetapi tidak dapat diterima kerana usia telah lanjut. Lantas saya dihantar oleh
ayah ke SR Lumba Kuda. Pakaian sekolah waktu itu baju kemeja putih dan seluar
hijau. Berjiran dengan sekolah ialah Padang lumba kuda. Guru Besar sekolah masa
itu cikgu Mobel Haji Paris.
Saya tinggal di rumah sewa sekitar
Batu Lintang berhampiran bangunan Dirgahayu. Saya bersekolah sebelah petang.
Setiap hari kakak akan menghantar ke sekolah dengan berjalan kaki dari rumah
kami ke sekolah yang saya kira jaraknya mungkin sekitar dua kilometer.
Ada beberapa kenangan yang tidak dapat
saya lupakan semasa setahun bersekolah di SK Lumba Kuda. Di sekolah ini
anak-anak sekolah selalu mengadakan pertandingan berlari berpasukan. Seorang
akan menjadi kuda dan seorang penunggangnya. Apa yang selalu berlaku, anak-anak
darjah satu akan menjadi kuda. Mereka berada di posisi hadapan sedang budak
senior akan menjadi penunggang. Dia akan memegang baju sekitar kolar bau
mengenggam erat dan akan menolak kuda mereka tadi. Saya sangat teringin untuk
menjadi kuda dalam perlumbaan ini namun tidak berpeluang.
Suatu hari seorang senior mengajak
saya berlumba. Saya sanagat teruja dan mula berada di garisan permulaan. Baru
tiga meter saya berlari bersama penunggang saya tersungkur ke tanah kerana
tolakan penunggang yang berllari agak pantas sedang saya tidak dapat mengikut
momentum beliau. Akhirnya saya menangis dengan kaki berlumuran darah terkena
pasir dan batu. Saya tidak lagi mahu menjadi kuda dan tidak juga mahu berlari
bersama anak-anak senior lagi.
Akhir tahun 1961
keluarga kami berpindah ke kampung Pulo Hilir. Ayah membawa keluarga tinggal di
kampung lantaran masa itu ibu selalu tidak sihat dan perlu penjagaan. Kami
tinggal di bersama emak dan bapa saudara yakni adik-adik kepada ibu. Kerana
perpindahan ini saya berpindah sekolah ke SK Kampung Pulo (dulu lebih dikenali
dengan nama Pulo District Council School). SK Kampung Pulo hanya sebuah sekolah
beratap rumbia berdinding separuh dan bertiang nibung.
Antara teman-teman sekelas dengan saya
masa itu termasuklah sdr KK Hassan/Salleh, Sdr Wahab Botek, sdr Daud Gobil,
Allahyarham Jamali Tahir, Haji Sani Arbi dan adiknya Allahyarham Amin Arbi. Itu
antara nama-nama yang saya masih ingati.Kami bersama selama lima tahun sehingga
darjah enam. selepas itu dalam tahun 1967 saya berpeluang melanjutkan pelajaran
peringkat menengah rendah di SMB St Thomas.
Zaman enam puluhan jalan raya di
kampung sangat becak ketika hujan. Jalan biasanya bertitikan batang kelapa di
sebahagian tempat. Guru-guru yang mengajar terpaksa membuka sepatu mereka
kerana jalan yang terlalu becak. Saya kira pengorbanan guru ketika itu amat
tinggi dan dalam masa yang sama penghormatan yang diberikan oleh ibu bapa terhadap
guru sangat-sangat tinggi. Guru-guru sangat dimuliakan.Tidak dinafikan ada juga
ibu bapa yang menongkah arus tapi peratusnya sangat kecil.
Saya masih ingat nama beberapa orang
guru sekolah rendah Kpg Pulo. Guru besar ketika itu ialah Allahyarham cikgu
Othman Ali. Guru-guru lain termasuklah Allahyarham cikgu Gobil Hj Ismawi,Allahyarham
Cikgu Bujang, Cikgu Saerah, cikgu Edward Haji Ahmad, Miss Lim, Cikgu Halik
Simpo, Mrs Lilian Tay dan beberapa nama lain yang saya kurang ingati.
Banyak kenangan bersama cikgu-cikgu
saya, ada yang manis dan ada juga yang pahit. Namun walaupun ada kenangan pahit
ketika itu, hari ini setelah dewasa kita pasti akan berfikir kembali, tanpa
pengalaman pahit itu, belum pasti kita dapat merasai kemanisan hidup. Ertinya
walau sepahit mana pengalaman lalu, ada kemanisan yang terselindung di
sebaliknya. Yang penting jangan sekali-kali berdendam dengan kenangan itu.
Tahun 1967 saya berpindah ke SMB St
Thomas memasuki alam sekolah menengah rendah. Jika di SK Kpg Pulo saya bergaul
dengan anak-anak Melayu, di SMB St Thomas saya berpeluang belajar bersama
anak-anak dari semua kaum. Teman-teman saya adalah anak-anak Cina, Iban Bidayuh
dan juga India. Ada juga yang berbangsa Portugis di kelas saya ketika itu.
Belajar dalam suasana berbilang kaum
ada baiknya. Semangat untuk belajar dan bersaing sangat tinggi. Yang
membanggakan kita apabila kita dapat mengatasi teman-teman lain dalam
pelajaran. Belajar di SMB St Thomas banyak membuka minda kita terhadap dunia
yang lebih luas. Saya ditempatkan di dalam Tingkatan satu "C", kelas
yang paling lemah, kiranya mengikut kategori sekolah ketika itu. Bermula tahun
1968 saya dinaikkan ke Tingkatan dua "B".
Akhir tahun 1967 saya dijemput hadir
sama ke majlis penyampaian hadiah untuk mengambil hadiah kerana saya antara
tiga yang terbaik dalam kelas kami Tingkatan satu C. Saya menerima hadiah yang
disampaikan oleh Gabenor Negeri Sarawak ketika itu, Almarhum Tun Abang Haji
Openg.
Terlalu banyak untuk ditulis tentang
zaman persekolahan. Mungkin saya akan tulis lagi dengan tajuk yang lebih
spesifik. Saya menulis untuk bercerita kepada anak-anak dan cucu-cucu
pengalaman hidup masa lalu. Mungkin ada yang boleh dipelajari darinya. Wallahhu'alam.
No comments:
Post a Comment