Di Pejabat SMK Simunjan
Almarhum ayahanda Haji Abdul Hakim (foto dirakam sekitar 1960an)
Almarhumah bonda Saimah Matakip
Awal bulan mac 1973
ketika usia baru 20 tahun saya dipindah kerja ke Sekolah Menengah Kerajaan
Simunjan oleh pihak Jabatan Pelajaran Sarawak. Saya ke Simunjan dari Kuching
menggunakan bot ekspres merentasi laut Cina Selatan setelah bot menghilir
sungai Sarawak. Setelah menghadapi ujian menyeberangi laut dengan bot ekspres
yang memuatkan 40 orang penumpang, jika
ingatan tidak mendustai saya, bot memasuki sungai/batang Sadong yang perkasa.
Pekan pertama disinggahi ialah pekan Sebangan yang terletak di tepi laut.
Pemergian saya ke Simunjan ditemani
oleh saudara tua, kekanda Mahrof. Perjalanan ke Simunjan meninggalkan ibu dan
bapa merupakan pengalaman pertama berjauhan dengan orang tua. Sedih dan sebak
dan juga rindu yang sangat terasa ketika meninggalkan mereka di kampung. Namun
sebagai anak yang sudah dewasa tanggungjawab harus dipikul.
Untuk ke Simunjan ada dua cara
pengangkutan yang ada. Pertama menggunakan bot ekspres atau kapal kargo dari
Kuching ke Simunjan merentas laut Cina Selatan dan kedua dengan menaiki
bas/teksi dari Kuching ke Serian. Dari Serian menaiki bas atau kereta
sewa/teksi ke Gedong dan dari Gedong ke Simunjan menaiki bot menghilir sungai
Sadong ke Simunjan sambil melintasi beberapa buah kampun di sepanjang
perjalanan. Kampung yang amat saya ingat ialah Kampung Lubok Punggor, sebuah kampung
di mana terdapat projek penanaman kelapa dengan bantuan Kerajaan.
Saya bawa bersama sebuah basikal lumba
ke Simunjan. Basikal baru sahaja saya beli selepas dilantik di dalam
perkhidmatan awam dengan harga kurang lebih dua ratus ringgit. Sampai di
Simunjan saya disambut oleh staf yang akan saya ambil alih tugasnya Allahyarham
saudara Kiprawi Haji Hasli. Kerana ada sebuah basikal sahaja kami mencari
sebuah lagi basikal untuk saudara saya. Kami dipinjamkan sebuah basikal jenis
unta oleh Kapitan Cina Simunjan, mendiang Liew Ming Chung. Mendiang merupakan
pembekal makanan untuk pelajar-pelajar asrama SMK Simunjan.
Kami mengayuh basikal menuju ke SMK Simunjan yang terletak tiga
kilometer dari pekan Simunjan melintasi kampung Nanas. Sekolah terletak tidak
berapa jauh dari gunung Ngeli. Sampai di sekolah jam sudah tengah hari. Saya
ditempatkan di rumah pengetua, Encik Michael Yap, untuk sementara waktu
sehingga rumah untuk saya siap untuk diduduki. Ketika itu empat unit rumah
berek telah siap dibina hanya menunggu kelulusan untuk diduduki.
Malam pertama saya sukar tidur.
Janakuasa yang membekalkan elektrik di sekolah ditutup jam 11.00 malam. Selepas
itu kami memakai pelita. Pengalaman memakai pelita sangat menggelikan hati.
Sumbu pelita yang agak panjang menyebabkan ia mengeluar bidu yang banyak.
Paginya pabila bangun dari tidur, lubang hidung saya dipenuhi bidu pelita.
Pagi esoknya abang saya balik ke
Kuching dan saya memulakan kehidupan di Simunjan sendiri, tanpa orang tua dan
saudara. Memang terasa sedih pabila berpisah dan berada di tempat baru. Saya
tinggal di Simunjan untuk tempoh tiga tahun dua bulan mengutip pelbagai
pengalaman dan kenangan yang kekal bersemi di dalam memori saya. Kehidupan di
Simunjan merupakan antara detik yang terindah di dalam hidup saya.
5 comments:
๐๐ mengujakan...sik puas baca.
๐๐mengujakan...menanti sambungan selanjutnya.
Sjan spt sediakala
Sdr Dazuki,
Sedang saya usahakan mencatat kenangan semasa di Simunjan selama lebih tiga tahun. Insya Allah minggu depan akan saya siarkan cerita tentang beberapa teman yang baru dikenali dan aktiviti hujung minggu kami.
Sdr Muhd Amin,
Simunjan memerlukan pemimpin yang berhati waja untuk merobah suasana dan persekitarannya
Post a Comment