menjadi bestman kepada seorang sahabat yang berkahwin, sdr Hipni Kanaini
Pemandangan di sekitar SMK Simunjan
Bersama seorang guru dari Semenanjung Malaysia, cikgu Muhamad Harun
Kehidupan di Simunjan
sebenarnya sangat sepi dan menyepikan. Sekolah tempat saya bertugas terletak
jauh dari pekan dan jalan dari sekolah ke pekan sangat teruk. Jalan di bina
dengan kepingan simen yang disusun dengan luasnya sekitar 5 kaki begitu.
Simen-simen banyak yang telah retak. Sebahagian tempat lopak dan berlubang.
Di sebelah jalan terdapat rel keretapi
yang digunakan kereta sorong roda keretapi. Untuk menggerakkan kereta sorong
ini penggunanya akan menggunakan buluh panjang atau dalam bahasa tempatan
disebut "suar" jika tak silap. Suar yang digunakan untuk menolak
sehingga kereta bergerak. Kereta ini biasanya digunakan untuk membawa barangan
apa jua termasuk bekalan pembinaan seperti simen dan kayu.
Berbalik kepada
suasana sepi khusunsya selepas jam sembilan malam apabila anak-anak mula tidur,
terasa benar sunyi. Kerana terlalu baru saya tidak punya banyak kawan lagi. Ada
kawan yang diperkenalkan kepada saya oleh Almarhum sdr Kiprawi tapi tinggal di
rumah kerajaan di pekan Simunjan. Kawan-kawan saya ini merupakan staf Kerajaan
dari pelbagai Jabatan Kerajaan. Jadi untuk menghilangkan sepi dan sunyi, setiap
hujang minggu bermula selepas petang hari jumaat saya akan mengayuh basikal
untuk bermalam di rumah teman baru saya.
Antara teman-teman saya termasuklah
saudara Julahi Suhaili dan Cosmas Allen
dari Jabatan Pertanian dan Abang
Abdillah Aerowaini. Hujung minggu kami habiskan dengan menonton wayang d
pawagam Kee Yang. Saudara Julaihi dan Cosmas Allen mempunyai hobi memasak dan
saya penggemar masakan mereka. Hari ahad kami akan ke pekan membeli sayur dan
ikan untuk makan tengah hari. Udang galah ketika itu sangat murah dan senang
didapati dan saya penggemar nombor satu udang galah. Agak lama juga saya tidak
bertemu dengan saudara Julaihi sekarang. Begitu juga dengan saudara Cosmas
Allen. Saudara Abang Abdillah tinggal tidak jauh dari rumah saya kini dan
tidaklah sukar sangat untuk bertemu beliau yang kini seorang pesara Polis.
Melalui saudara Julaihi saya mula
mengenali teman-teman lain di Simunjan. Malam kami habiskan dengan berlatih
menyanyi dengan saudara Cosmas memetik gitar dan meniup harmonika seretntak,
bakat istimewa beliau. Pernah saya bersama Cosmas dan Julaihi menyanyi di
pentas pekan Simunjan ketika diadakan pesta. Mengingati peristiwa itu membuat
saya tersenyum seorang diri. Antara lagu yang kami nyanyikan termasuk lagu
Melody Fair dan First of May.
Ada ketikanya kami dijemput oleh Pegawai
Hutan Daerah, Almarhum Pak Haji Bujang, ayah kepada saudara Murad Bujang
seorang peniaga dan bekas pengurus Syarikat Bumiko. Isteri beliau merupakan
rakan sekerja saya semasa bertugas di SMK Datuk Patinggi Haji Abdul Gapor,
Kuching sekitar awal lapan puluhan. Almarhum sangat pandai memasak laksa
Sarawak. Sikap dan peribadinya yang ramah, murah hati dan sangat baik dengan
anak-anak muuda seperti kami membuat rumahnya sentiasa penuh dengan tetamu.
Pagi isnin seawal jam 7.30 pagi saya
mula mengayuh basikal dari pekan Simunjan ke Sekolah dan bermula pula kehidupan
biasa di sekolah, kehidupan yang sunyi dalam suasana riuh rendah anak-anak
sekolah. Kehidupan di Simunjan ketika itu sangat menguji kesabaran dan
ketabahan hati menghadapi suasana yang serba kekurangan.
2 comments:
Saya rasa sayu membaca coretan-coretan Pena Bahari. Meskipun dari segi usia saya layak memanggil Pena Bahari sebagai abah, ada sesuatu yang mendalam dan universal yang terbit dari ungkapan-ungkapan mudah dan ringkas abah. Semoga nanti ada jawapan untuk kerinduan masa lalu lalu di kehidupan seterusnya yang abadi
Terima kasih anakanda Blizzx atas komen anda. Ya saya semakin temui makna sepi dan akan tetap merindui masa lalu yang kekal menjadi memori yang abadi. Terima kasih
Post a Comment