Berhari raya di kampung Pulo Hilir Kuching, 1977
Berhari raya di
kampung awal tahun enam puluhan suatu detik yang sangat menggembirakan.
Kenangan berhari raya sungguh indah sekali. Pada penghujung bulan puasa warga
kampung tentunya sibuk membuat persediaan untuk menyambut aidil fitri.
Rumah-rumah akan dicat dengan warna berbeza dari sebelumnya. Bukan semua rumah
tapi ada beberapa rumah yang biasa melakukannya termasuk rumah kami yang
sentiasa ditukar cat setiap tahun. Saya merupakan tukang cat untuk famili.
Anak-anak muda sudah berkumpul di
surau selepas asar pada hujung ramadan. Beduk akan dipalu menandakan kedatangan
syawal. Menitir beduk dilakukan berterusan dan si penitir akan bertukar-tukar.
Saya tidak ketinggalan menitir beduk.
Tok imam surau kami sibuk menyembelih
ayam untuk penduduk kampung. Perlu diingatkan tugas-tugas menyembelih ini
merupakan tugas tanpa upah atau bayaran. Ia sekadar membantu sesama jiran. Jauh
benar bezanya dengan sekarang ya.
Antara tempat yang akan pasti
dikunjungi ramai ialah sebuah kedai di hadapan masjid bahagian Kuching (dulunya
dikenali dengan pangggilan masjid besar )kerana di kedai itu ada berjual kari
segar. Sekarang kurang sekali kari segar digunakan kerana orang sudah mula
menggunakan kari tepung yang boleh didapati di kedai-kedai dan pasaraya dengan
mudah. Penjualan kari segar hari ini merupakan sejenis perniagaan yang semakin
mengecil dan hampir hilang ditelan masa.
Pagi hari raya, orang kampung
berduyun-duyun ke surau masing-masing. Suarau dari kampung Boyan hingga Bintawa
akan dipenuhi penduduk kampung. Selepas solat sunat aidil fitri, orang kampung
akan membawa dulang ke surau. Di dalam dulang akan tersedia makanan seperti
kari ayam, daging, nasi putih/nasi minyak,dan pelbagai makanan lain. Setiap
rumah di kampung akan menghantar sedulang makanan. Sudah lama saya tidak
bersolat aidil fitri di kampung. Masihkah mereka membawa dulang ke surau pada
pagi aidil fitri?
Selepas solat kita kembali ke rumah.
Biasanya hari raya pertama, saudara mara jauh dan dekat akan berkunjung sedang
jiran-jiran dan sahabat handai akan hanya mula berkunjung pada hari kedua dan
hari - hari seterusnya.
Cikgu-cikgu Sekolah Rendah Pulo
diketuai oleh guru besar waktu itu, Allahyarham cikgu Othman Ali akan berziarah
di rumah orang kampung pada hari raya ketiga atau keempat. Ada satuu amalan
yang masih saya ingat masa itu. Pabila guru-guru balik dan mula meninggalkan
rumah tetamunya, penduduk rumah yang dilawati tadi akan melontar sekeping
mercun papan. Saya kira itu tanda penghormatan terhadap pengunjung VIP ini.
Betapa kita menghormati guuru ketika itu.
Saya dan teman-teman akan berkunjung
ke rumah penduduk kampung pada hari raya keempat atau kelima. Kami datang
berkumpulan lengkap berpakaian teluk belanga( Baju Melayu). Sampai di luar
rumah kami akan memberi salam. Jika salam tidak disahut kami akan beredar dari
rumah itu dan pergi ke rumah seterusnya. Biasanya kami akan menziarah setiap
rumah yang ada di kampung.
Kami juga akan berkunjung ke
kampung-kampung lain. Pernah kami keluar waktu pagi dan hanya balik ke rumah
sebelah malam. Bayangkan berapa banyak rumah yang kami ziarahi. Dan setiap
rumah yang dikunjungi menyambut dengan senang hati. Mereka bangga jika rumah
mereka dikunjungi waktu hari raya. Hari ini pada musim hari raya sukar benar
untuk melihat orang berkunjung ke rumah semeriah dulu. Budaya kunjung
mengunjung semakin hilang ditelan masa yang serba canggih. Masa banyak
diluangkan dengan menonton rancangan TV di rumah.
Seminggu dua sebelum berhari raya
penduduk kampung akan bergotong royong pergi ke hutan mengambil kayu somah yang
akan digunakan sebagai turus untuk meletakkan pelita di sepanjang jalan di
kampung. Para pemuda akan diberi jadual kerja menjaga pelita dari proses
mengisi minyak dalam pelita, memasangnya dan mengutip balik selepas jam dua
belas malam. Memasang pelita di sepanjang jalan itu dikenali dengan "Bertuntung".
Jalan di kampung akan terang benderang. Terasa benar kemeriahannya.
Seperti biasa pada awal pagi selepas
solat kami sekeluarga akan berkumpul dan bersalaman memohon keampunan ibu bapa
dan saudara atas setiap kesalahan yang pernah kita lakukan sebelum ini. Suasa
akan terasa sedikit sebak ketika ini.Inilah amalan yang sangat saya sukai dan
amalan ini berterusan di dalam keluarga saya hingga hari ini. Kami tambah
sedikit amalan ini dengan yang tua memberi sedikit wang kepada anak-anak dan
cucu-cucu. Sedang anak yang sudah bekerja akan memberi sumbangan kepada ibu
bapa dan adik-adik yang masih kecil. Saya sangat menyukai suasana ini. Ia
benar-benar mengeratkan perhubungan keluarga.
Setiap kali hari raya pihak pembuat
filem seperti malay Film Production dan Cathay Kris Film Production akan menayangkan
filem-filem baru mereka. Satu atau mungkindua hari dalam hari raya akan
dihabiskan di pawagam bagi menonton filem. Panggung akan dipenuhi dengan pemuda
pemudi dengan fesyen dan baju terbaru mereka. Awal enam puluhan para pemuda
memakai seluar ketat dan awal tujuh puluhan pula mereka bertukar kepada seluar
fesyen bell-bottomed.
Terlalu banyak yang indah-indah di
masa itu. Hari raya puasa tahun-tahun berlalu itu banyak meninggalkan kenangan
manis yang sukar dilupakan.
No comments:
Post a Comment