Wednesday, April 30, 2008

SEDIKIT CATATAN TENTANG SAJAK-SAJAK PENULIS SARAWAK

Foto sdr Hazami Jahari sedang menyampaikan ceramahnya

Rencana berikut merupakan tulisan saudara Hazami Jahari yang pernah disiarkan dalam akhbar Utusan Borneo pada 9 Mac 1995:


"Pada hemat saya puisi di Malaysia dewasa ini sudah sampai pada suatu tingkat yang boleh dibanggakan. Ia memperlihatkan bukan sahaja kematangan dan keseriusan pengolahannya. Di dalam bidang puisi ada beberapa penyair yang meneroka pengalaman-pengalaman baru kepada definisi-definisi baru yang tidak ditempuhi oleh datuk nenek mereka. Mereka juga menurunkan sudut pandangan diasaskan oleh peribadi yang kuat dan berprinsip. Pintu fikiran mereka sudah terbuka luas dan dapat menghadapi semua yang berlaku di sebelah dalam atau luar pintu itu."
Begitulah tanggapan SN Prof.Dr.Muhammad Haji Salleh dalam tulisan yang bertajuk " Arah Perkembangan Puisi Melayu Dewasa Ini" pada 1976 (Gejala: Esei Perkembangan Puisi Melayu Dewasa Ini" pada 1986): Pandangan atau tanggapan tegas itu diutarakan hampir dua puluh tahun yang lalu. Melihat akan jarak waktu,sudah pasti puisi penyair Malaysia sudah lebih maju dan hebat daripada itu dewasa ini? Apakah kenyataan ini benar?
Dalam konteks Sarawak,ternyata ada perubahan baik dari segi penglibatan penulis mahupun kemantapan sajak-sajak yang dihasilkan. Tetapi yang jelas penyertaan penulis dekad 1970-an dan 1980-an kian sampai ke bait-bait terakhir pengkaryaan. Dalam masa yang sama pula muncul rombongan penulis baru yang mencuba-cuba menulis sajak. Mereka muncul di akhbar, majalah tempatan dan nansional. Tidak kurang pula yang lahir melalui benih-benih peraduan. Suasana ini banyak menimbulkan keyakinan bahawa sajak di Sarawak tetap ada penghasilnya yang rajin dan berani menyelusuri tema, gaya dan sikap yang lebih s ejagat.
Dua bulan kebelakangan ini saya berkesempatan meneliti beberapa sajak penulis Sarawak yang tersiar dalam Utusan Borneo. Melalui pemerhatian singkat ini, saya akan cuba membincangkan tentang persoalan d alam sajak-sajak tersebut. Sekali gus saya cuba menghubungkan pemilihanpersoalan dengan sikap penyair terhadap dunia yang lebih luas merentasi sempadan negara mahupun benua. Dan memanglah tugas sipenyair untuk memperkatakan tentang hal-hal yang menyinggung akal waras sebagai manusia biasa dan minda kreatif sebagai seorang insan penyair.
Ada tujuh sajak yang akan diperkatakan dalam pembicaraan ini. Sajak-sajak tersebut pula menyentuh tiga persoalan berikut:
1.Kemanusiaan/Peperangan
2.Keagamaan/Keinsafan
3.Nasionalisme/Patriotisme
Persoalan peperangan yang meragut ribuan nyawa digarap oleh Pharo Abdul Hakim melalui sajaknya, "Belasungkawa Kemanusiaan". Sajak ini mengambil iktibar daripada peperangan yang berlaku di Bosnia Herzegovina yang kini melebihi seribu hari. Peperangan pada penyajak adalah pembunuh kepada kedamaian dan kemanusiaan itu sendiri. Pharo semacam kecewa dengan apa yang berlaku di negara bekas Yugoslavia itu. Dia menyatakan
kuburu protagonis
yang mendaulatkan kemanusiaan
di tengah kekalutan kerana
di sisiku adalah pepatung
kaku dan sepi.
Kekecewaan dan kesedihan Pharo semakin terpancar melalui bait seterusnya.
Hari ini mesyuarat ditangguhkan
peta baru masih dilakar
lusa sebuah negara akan lahir
dari kemusnahan sebuah tamadun
hadiah buat pencabul kemanusiaan
belasungkawa buat mangsa yang
kehilangan identiti
dsn dunia yang hilang harga diri.
Kekecewaan itu lahir kerana Bosnia yang dicabul maruahnya oleh pihak Serb tidak pernah dibela sewajarnya. Bahkan pelbagai perjanjian, mesyuarat dan gencatan s enjatayang dibuat belum mampu memberikan keadilan kepada Bosnia dan rakyatnaya.Apa pun Pharo Abd.Hakim benar-benar tergugat oleh peperangan yang mencabul kemanusiaan.
Persoalan yang hampir sama dikemukakan oleh Redan Ginoh lewat sajak "Pertemuan Comel-Comel Manis". Sajak ini lebih optimistik berbanding sajak "Belasungkawa Kemanusiaan". Ini kerana Redan Ginoh berbicara tentang manusia yang lahir daripada benih-benih wawasan yang mencintai kemanusiaan. Generasi baru ini; akan sedaya upaya menghulurkan tangan/menghulurkan bantuan/akan sedayanya tunduk patuh kepada hukum seragamnya.
Selanjutnya penyajak menegaskan,
Pertemuan comel manis di padang basah
rumput basah
bukan untuk membincangkan mencari kedamaian
kerana hati sanubarinya tidak mengenal
permusnahan.
Bukan untuk mengatur strategi peperangan
pembunuhan
kerana semua umat padanya tercipta
untuk persahabatan.
Persoalan keagamaan dibawakan oleh Hisyam A.S.Dia penyajak yang mempunyai rasa kesedaran terhadap manusia yang mula melupai tuhannya. Dalam arus permodenan, masjid kian disepikan. Seolah-olah kewujudan masjid hanyalah sebagai lambang keagamaan cuma. Malah usia yang kian meningkat tidak pernah mengajar manusia untuk beribadat kepada Allah. Seperti kata Hisyam A.S.
Masjid tua terpegun melihat
manusia
lupa pada diri dimamah usia
Dalam bait berikutnya, Hisyam A.S. dengan nada penuh mengharap menyimpulkan,
Masjid tua tinggal kesepian
usang dan nuzur dihakis zaman
menanti ada hati yang mengingati
ada mata yang tidak buta
ada suara yang akan berbicara
tentang esok yang kian bergelora
Dalam sajak "Harga Sekotak Macis" pula Hazami Jahari memperkatakan tentang perbuatan maksiat yang meruntuhkan iman seorang muslim. ia lahir dari runtuhan nafsu yang gagal dibendung. Apatah lagi sang pelcur tanpa segan silu memperdagangkan maruah demi sesuap rezeki. Penyajak antara lain mencatatkan,
di sini iman sudah terlalu longgar
dosa bukan lagi peringatan
yang benar adalah nafsu
yang menang adalah engahan payah
di ranjang resah.
Penyelesaian di saat sesudah melakukan keterlanjuran pada penyajak tidak lagi memeberi makna; maka iman adalah ulangan keterlanjuran /membawa kami ke muara kehinaaan/di sungai penyesalan. Begitulah Hazami Jahari menyimpulkan berapa iman yang rapuh menyebabkan manusia mudah tergoda untuk melakukan larangan-laranagan Allah.
Zahirah Zaidani tidak ketinggalan mengungkapkan persoalan ketuhanan . Dia mengingatkan insan muslim agar berpegang dengan kalimat Allah kerana di bawah kalimah/berkuntum kemurnian iman. Pesanan ini dimuatkan oleh Zahirah Zaidani dalam sajaknya "Lailahaillallah".
Persoalan nasionalisme iaitu mencintai bangsa dan watan dituang oleh Hipani Alwi dalam bait-bait sajaknya. Dia bercerita tentang sejarah bangsa peribumi yang kini kehilangan harga diri. Kegemilangan lampau bukan lagi kebanggaan kini. Bangsa kita kini terhimpit oleh sikap negatifdiri sendiri serta kelemahan yang tidak pernah mahu diperbaiki. Hipani Alwi dengan nada yang sinis bercerita;
katanya elbih seabad lampau
atuknya adalah saudagar besar
negeri ini sungguh senang dan selesa
kita adalah peniaga yang berjaya.
Namun nasib malang menimpa bangsa kita akibat kelalaian sendiri. Dan penyajak terus menceritakan kedukaan itu;
katanya entah kenapa seabad lampau
negeri in terjual satu persatu
orang putih dengan dogma angkuh
dan kita pun terlempar jauh dan jatuh
lalu tertekan menjadi petani cukup makan.
Lanjutan daripada sikap lalai itu, bangsa kita menjadi;tunggul batu mati/akal kita telah terbelenggu dan mati/dan kita membina rumah di tepian sungai/arus tanah-tanah terbiar/dalams ebuah negara merdeka'
Akhirnya jadilah bangsa kita yang hampir terjual hidup di pinggir-pinggir kota yang pesat membangun. Semuanaya kerana kita leka dengankeistimewaan yang ada suatu ketika dahulu. Dalam hal ini Hipani Alwi berharap kesilapan lampau dijadikan sejarah untuk mengembalikan kekuatan bangsa dan negara, katanya;
sejarah adalah kekuatan kita
menuju kegemilangan nusa
sebuah wawasan akan terpeta
di pinggir-pinggir kota
dan merata desa.
Hisyam A.S. turut menyentuh persoalan mencintai tanah air sendiri.Tetapi dia menggunakan imej "Bunan Gega" bercerita tentang keharmonian dan kedamaian. Dengan bahasa penuh halus dia mengungkapkan keindahan buminya sendiri. Perhatikan bagaimana Hisyam A.S. memperkatakan tentang keindahan, ketenangan dan kedamaian Bunan Gega;
Bunan Gega
langitmu dicantas pelangi
lembahmu adalah permaidani
puteramu menjunjung harmoni
Walau bagaimanpun dalam keindahan dan kedamaian bumi tercinta, maruah dan harga diri rakyat tetap dipelihara kukuh. Kerana sejarah mempertahankan bumi ini tetap menjadi pendorong untuk terus menjaga keharmoniannya. Untuk itu Hisyam A.S meminta kita (rakyat) merakmkan perjuangan petani dan pejuang lain yang bersama-sama mempertahan harga diri bangsa d an negara. Dia mencatat;
Bunan Gega
lukiskan figura senja
bersalut pelangi dan menatri
lakarkan cerita
tentang petani danh harga diri
rakamkan s ejarah bangsa
yang kembali dari memdan
menegakkan panji-panji pelangi
di tengah rimba yang suci
Penelitian ringkas terhadap beberap sajak penulis Sarawak ini jelas mempamerkan perubahan sikap dan tanggapan mereka. Penyajak tidak lagi didodoi oleh perasaan melankolik memuja kekasih atau meratapi kematian orang yang dicintai. Sebaliknya permasalahan sejagat yang menyinggung hal-hal kemanusiaan, peperangan, penindasan dan pencabulan maruah diangkat dan dicerna untuk tatapan khalayak. Semacam ada kecenderungan pula perasaan cintakan bangsa dan negara turut melakari peta sajak mereka. Dan dalam kekalutan mencari kehidupan yang benar-benar damai, penyajak dengan penuh rasa insaf menyingkap peri agungnya Allah sebagi pelindung hambanya. Bagi penyajak hanya Allah sahaja yang mapu memberikan ketenangan, kebahagiaan dan segalanya. Ini membuktikan penulis Sarawakdekad terakhir ini mulai serius dalam berkarya. Sikap mereka juga ternyata lebih positif dan tegas.
Dalam pada itu, kemun culan Hipani Alwi dan Pharo Abdul hakim melayari lautan puisi adalah umpama nakhoda kepada penulis-penulis lama yang telah berlabuh di penghujung penglibatan. Dua penyajak ini kelihatan semakin giat bersajak ditambah pula dengan karya yang semakin mantap. Merekalah antara penulis yang wajar dicontohi.
Begitulah tanggapan saya setelah kembali merenung -renung lautan persajakan kita yang mulai sepi dengan kehadiran penulis lama. Apa pun, kepada yang masih aktif, teruskanlah usaha anda. Dan kepada yang telah berlabuh di pelabuhan "bersara", terima kasih!




Saturday, April 19, 2008

PAGI DI TEBINGAN KPG BOYAN


Seperti di dalam filem koboi


Pemandangan Sg Sarawak dari Tebingan Kpg Boyan

Pagi ini sebelum jam 7.00 saya dan isteri memandu ke Tebingan Kpg Boyan. Saya ke sana dengan harapan untuk merakam pemandangan di sana semasa mentari mula terbit. Tapi jelas sekali saya datang agak terlewat sedikit. Cahaya langit yang kekuningan sudah tiada lagi kerana agak lewat. Apapuun saya sempat mengambil pemandangan Sungai sarawak dari sudut Tebingan Kpg Boyan.
Seperkara yang menarik perhatian kami suami isteri pagi tadi apabila melihat seorang pemuda sedang menunggang kuda dan berlari di kawasan tebingan. Kuda di Kpg Boyan? Ya, agak aneh sedikit tapi ia benar berlaku. Saya sempat merakam satu dua foto kuda dan penunggangnya.

MENANGANI 7 BUAH PUISI PHARO ABDUL HAKIM


Menangani 7 buah puisi Pharo Abdul Hakim oleh : Jais Sahok
(Rencana ini disiarkan di akhbar Utusan Borneo dalam ruangan Yang indah itu bahasa pada 21.02.1990)

Tidak dapat dikesan di mana akan ditemukan semua karya penyair Pharo Abdul Hakim. Dalam antologi BUIH DI AIR, cuma ada tujuh buah - antologi bersama-sama Shamsherbie Narudin, Slleh Hj. Ahmad, Jali Kenoi dan Mat Sout Ahmad. Kebanyakan puisi (sajak) Pharo Abdul Hakim tersiar dalam PERINTIS terbitan Biro Kesusasteraan Borneo ( dan kemudian dilanjutkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak buat seketika. Kini majalah itu sudah tidak diterbitkan lagi).
Lewat puisinya yang 7 buah ini, apakah yang hendak dibicarakan oleh Pharo Abdul Hakim? Mencari jawapan kepada soalan inilah yang cuba diusahakan melalui penulisan rencana ini.
Tujuh buah puisi Pharo Abdul Hakim itu ialah:
i) Tradisi?
ii) Joker
iii) Cerita sebuah Senja
iv) Cintaku Jauh di Kuala
v) Ombak
vi) Pesanan
vii) Pencarian
Sebagai penulis puisi yang beragama Islam, Pharo menulis dua buah sajak berunsur Islam - yang jelas menampakkan harapan dan kehendaknya.
Kedua-dua buah sajak berunsur Islam yang dimaksudkan itu ialah
Pencarian dan Cerita Sebuah Senja. Dalam Cerita Sebuah Senja Pharo mengajak kita bersama-sama mendatangi panggilan ke ararah kemenangan. Ia dapat dilihat dalam rangkap kedua sajaknya itu:
anakku memanggil
memujuk
merayu engkau
datanglah ke barisan kami
datanglah kepada kemenangan.
Pnggilan itu pula adalah satu panggilan yang nyaring hingga diibaratkan bergema ke angkasa luas seperti tulisnya dibait pertama:
Dengan irama nan mendayu
barisanku bernyanyi
bergema di angkasa luas.
Adakah semua orang menyahut panggilan (azan) demikian? Selalunya tidak. Perkara inilah yang diperjuangkan oleh Pharo lewat sajaknya itu. Ini kerana masih banyak manusia yang lalai dengan serba serbi kegiatan keseronokan masing-masing seperti dikesalinya:
.....
tapi engkau tertawa saja
bersama dayang-dayang keliling pinggang
dan kini cafe itu telah jajdi istimewa
kerana sudah separuh abad usiamu
masih jua menjenguk monalisa
Monalisa seperti kebanyakan orang tahu adalah lukisan wajah wanita yang paling cantik di dunia. Banayak orang memodelkan nama itu sebagai nama perempuan, malah tidak kurang pula yang memujanya.
Monalisa sebagai lambang pelayan di cafe yang digunakan oleh Pharo dalam sajaknya ini memang tepat dan sesuai. Ini kerana selain minuman keras dan alunan musik yang menghangatkan suasana , pelayan yang menggoda jiwa adalah satu lagi daya tarikan yang sentiasa mengajak orang berkunjung ke cafe atau kelab malam. Kerana kelalaian itu, biasanya manusia pengunjung dan pemuja Monalisa, melupakan amal ibadat dan kewajipanya tetapi kelalaian menang jua:
Di bukit sana masjid emas menunggu lawat
dan di kakinya istanamu bermegah
dan kini anakmu memanggil lagi
tapi
engkau membisu
memekak
membiar senja berlalu
Hari-hari seterusnya manusia yang lalai ini akan mengulangi perbuatannya walaupun rumahnya cuma terletak di luar pagar masjid.
Lewat sajak
Pencarian pula Pharo benar-benar melukiskan gambaran pencarian itu sendiri. Dalam pencarian itu beberapa perkara aneh yang kadang-kadang mencabar akal manusia ditemukannya. Perhatikan bait pertama sajak itu:
Kembara aku sampai ke horizon
ke barat, ke timur, ke utara, ke selatan
mencari yang tak boleh kulihat
tapi kuhormat
tak pernah kudengar suara
tapi pernah bermadah
Sejauh kembara di muka bumi mungkin masih mudah difikirkan tetapi keupayaan manusia hingga mencecah kaki di bulan, kecuali manusia yang terpilih khas - sukar dilakukan. Namun , walau sampai di bulan pun bukannya mudah mencari kehendak kita sendiri.
kembara aku sampai ke bulan
tak kujumpa jawapan
hanya jiwa yang tertekan
Jika seseorang sentiasa bertanya dan mencari, seperti kata Pharo dalam puisinya, dituduh gila atau pelampau yang murtad. Begitu sukarnya kita menemukan jawapan soalan di mana Tuhan! Bagaimanapun seperti hakikatnya yang diterangkan dalam Islam, Pharo menulis :
Dengan hati rawan
kutanya pada semua
hanya satu yang kutemui
- Ia ada bersamamu-
Walaupun tidak kelihatan, Ia yang dimaksudkan itu tidak harus dilempari noktah kecewa atau putus asa. Pharo terus mengembara, seperti tulisnya lagi:
Aku terus kembara
mencari
yang ingin kutemui
dan berbicara sama
Melalui pengamatan, pengalaman dan pemerhatiannya tentang alam sekeliling, cara hidup dan sikap masyarakat di sekelilingnya, Pharo saya ibaratkan pengkritik sosial yang tajam - melalui puisinya.
Melalui soalannya dalam sajak
Tradisi? Pharo sebenarnya membenci sikap orang Melayu (orientasi masyarakat Pharo adalah Mmelayu) yang turun -temurun tidak pernah berubah kepada kebaikan, kemenangan atau pencapaian mutu tinggi.
Bagi orang Melayu selalunya:
Bapa borek anak rintik
bapa berat di lengan
anak berat di bahu
Bagaimanapun hakikat contoh dan teladan sememangnya begitu. Anak akan menjadikan bapanya model contoh yang paling dekat. Maka itu, kalau bapanya borek,apa lagi, anaknya rintiklah. Justeru kalau bapamalas, anaknya lebih malas atau paling kurang pun sama malas.
Persoalan ini berat, walaupun sajak ini ditulis dalam tahun 1970an, tapi persoalannya masih segar, masih menular gejalanya dalam sistem sosial kita ini. Bagaimanapun tentulah semua orang menyesalinya seperti juga Pharo:
kulihat ini penuh kesalan
menggigit jari pada tradisi
Sememangnya tradisi ini harus ditinggalkan atau dihapuskan sama sekali. Inilah yang dapat saya lihat dalam sajak sebait karya Pharo ini. Alat yang paling berkesan untuk cuba mengusahakannya ialah pendidikan yang lebih baik. Cabaran ekonomi dan perebutan peluang sudah tentulah menjadi fenomena asasnya tetapi sikap negatif yang dikesali itu, dapatkah diubah?
Daripada kekesalannya terhadap tradisi yang merugikan itu fikiran Phareo bercambah kepada kritikan yang lain seperti perangai tahi judi, rantai d an belenggu hidup para nelayan lalu dia menasihatkan pembaca tentang kehidupan.
Dalam sajak
Joker, iaitu kritikan terhadap perangai canggung tahui judi, gambaran porak-peranda hati judi begitu jelas iaitu:
di rumah isteri menangis
peluh sebulan kekring semalam
esok berpeluh lagi
joker tetap tersenyum ria
Kepada tahi judi, wang isteri dan anak-anak pun tidak diendahkan. Yang penting baginya ialah berjudi. Kalau kalah begitulahjadinya, tapi kalau menang pun tidak pernah akan kaya sepanjang zaman. Dapat pula diibaratkan keadaan menang jadi arang kalah jadi abu.
Itulah tentang kesan judi kepada keluarga dan keadaan secara keseluruhannya. Tentang diri tahi judi itu pun Pharo berpandangan jijik dan mengecamnya.Perhatikan dia menulis:
Ayam berkokok
menguap
bila balik tyerhoyong-hayang
puas
Rantai dan belenggu hidup para nelayan yang tidak pernah berubah diperlihatkannya dalam sajak
Ombak:
nelayan ke laut mencari nafkah
untuk sesuap nasi
kembalinya melihat perubahan pantai
menyumpah ombak yang menggila
yang menarik istana dunianya.
Yang dimusykilkan di sini ialah keadaan pantai boleh berubah oleh tamparan dan hempasan ombak- selalunya menjadi lebih baik-lebih cantik, menarik. Tapi bagi nelayan-kebahagiaannya diragut dan ombak itu diibaratkan fenomena alam yang menggila.
Ada mesej dan amanat yang tersembunyi di balik kata perubahan itu- pada tanggapan saya. Kalau ombak ganas dan gila itu dapat mengubah dan mencantikkan pantai, kenapa kehidupan manusia(nelayan) itu menjadi papa kedana- sedangkan manusia adalah makhluk istimewa yang ada akal dan fikiran. mengap tidak diubah untung nasib diri sendiri dengan melakukan kerja lain? Hanya dengan menjadi nelayan sahajakah para nelayan kini dapat hidup? Di negeri-negeri yang lainpara nelayan sudah naik ke darat - bertani dan/atau berniaga. Kelak apabila keadaan sudah mengizinkan, kembalilah ke laut.
Ombak, sebagai sifat semula jadinya, kalau diharungi dengan perahu kecil tentulah menjadi pembunuh, tapi kalu dibiarkan sendirian sambil manusia mencuba nasib di tempat lain- rezeki di tangan Tuhan dan ada di mana-mana. Lagipun Tuhan tidak akan mengubah nasib satu-satu bangsa, melainkan bangsa itu sendiri yang mengusahakannya.
Dalam sebuah sajak yang yang lain,
Pesanan (untuk seorang teman), Pharo berpesan:
Pergilah
moga kau temui dunia baru-pintamu
pesanku
hidup sebagai lilin
nanti kau kan temui...?
Bagi saya, Pharo memperlihatkan fikiran dan sikap keterbukaannyadalam sajak ini. Baginya, orang yang pergi terlalu cepat yang enggan mendengar nasihat orang lain, haruslah dibiarkan pergi agar tercapai cita-cita dan hajatnya.Manusia memang mahu bebas bertindak.
Begitulah tujuh buah sajak hasil tangan Pharo Abdul Hakim yang sempat diteliti. Sudah lebih lima belas tahun Pharo tidak menulis sajak- satu penantian yang terlalu lama bagi para peminat sastera (genre puisi khususnya) di Bumi Kenyalang.

Utusan Borneo: 21.02.1990
catatan: Rencana yang sdr Jais tulis ini telah menghidupkan kembali keinginan dan minat saya menulis puisi. Sejak itu, puisi terus lahir dari tinta sehingga hari ini. Terima kaksih Sdr Jais Sahok.

Tuesday, April 15, 2008

Temanku, Mejar Ramlee Tambek


Mejar(B) Ramlee berdiri di kanan sekali sedang memeluk Superintendan Polis Hj Sulaiman Razak. Gambar ketika kami kembali dari berkelah di Santubong, kalau tak silap.

Malam Jumaat, 3 April lepas, semasa berada di masjid Jamek negeri Sarawak, saya ketemu seorang teman lama, Mejar (bersara) Haji Ramlee Tambek. Telah beberapa tahun tidak bertemu tetapi dia tetap seperti dulu, ramah dan mesra. Tiada perubahan langsung. Kalau ada pun perubahan, mungkin dari sudut pandangannya, kini lebih menjurus kepada mendekati Allah, kerana begitulah semestinya, ketika usia menghampiri senja.

Sebelum ini kami pernah bertemu sekali beberapa tahun sebelum, di kawasan Perpustakaan. Kami bertemu ketika jogging di sana. Lebih awal dari itu kami bertemu sekali lagi sekitar tahun 1994 atau 1995 (kurang ingat) di lapangan terbang Bario. Ketika itu Maj. Haji Ramlee masih lagi bertugas dengan ATM. Saya masih ingat ketika bertemu di sana saya beritahu dia, "pelik benar kehidupan ini, dalam banyak-banyak tempat, kita dipertemukan di Bario, tempat yang begitu jauh dan agak terasing".

Kami menuntut bersama-sama di Sekolah Menengah St. Thomas dalam tahun 1967 hingga 1971 dan berpisah setelah menamatkan pelajaran setakat Sijil Senior Cambridge. Selesai belajar di SM St. Thomas Maj.(B) Ramlee melanjutkan pelajaran di ITM ketika itu dan saya bertugas di Simunjan sebagai s eorang kakitangan kerajaan.

Semasa di sekolah banyak sekali kenangan manis bersama Mejar(B) Hj. Ramlee. Mejar(B) Hj. Ramlee seorang teman yang sangat baik dan menghargai teman. Dia tidak melupai teman walaupun telah berada di puncak kejayaannya. Saya kagum dengan teman-teman yang berjaya dan tidak pula melupai teman-teman lama dan saya sedih dan terkilan apabila teman sedarjah yang telah berada di puncak seolah-olah tidak mengenali saya lagi. Sepatutnya keakraban hubungan dipelihara agar silaturahim berlanjutan. Bukankah kehidupan memerlukan kita berlaku baik, setia dan akrab pada teman dan berbudi bahasa tinggi . Bukankah berlaku sombong itu tidak baik?

Menatap wajah mejar(B) Hj. Ramlee mengembalikan ingatan pada zaman silam kami. Zaman ketika masih menuntut di sekolah menengah, ketika jiwa dipenuhi dengan semangat dan keinginan untuk menjadi manusia yang berguna kepada masyarakat. Masing-masing mempunyai cita-cita dan harapan. Masing-masing punya buah hati yang ingin dipuja sampai mati. Tetapi, yah..bagaimana akhirnya? Siapakah yang terus hidup bersama kekasihnya di masa remaja? Siapa pula yang putus di tengah jalan? Tak pasti..itu cerita yang ingin juga diketahui. Yang pasti Mejar(B) Hj. Ramlee hidup kekal bersama buah hatinya sejak dulu lagi dan saya doakan agar mereka kekal hingga akhir nanti…

Sesekali menjenguk masa lalu, elok juga, agar fikiran kita sentiasa diremajakan, tapi pastikan ia menjurus pada yang positif. Apa-apa yang kurang baik yang telah berlaku di masa lalu, baik benar kalau dapat dilupakan. Ingat pada satu adegan dalam iklan.." berjalan, pandang hadapan..." begitu ye?


Monday, April 14, 2008

ANTOLOGI PUISI PESARA SARAWAK
























Salam,
Perhatian buat pesara-pesara dan juga bakal pesara, tak kisah ahli PEKASA
atau bukan.Atas saranan seorang teman saya bercadang nak kumpul puisi-puisi para pesara untuk diantologi dalam sebuah antologi puisi. Urusan penerbitan masih dirunding bersama PEKASA atau lain-lain pihak yang berminat.

Setiap pesara yang berminat boleh mengemukakan puisi mereka kepada saya.
Boleh hantar puisi-puisi seberapa yang mampu tapi sya rasa maksimum lima buah puisi cukup elok.Adalah diharapkan antologi ini dapat diterbitkan akhir tahun ini atau awal tahun depan.

Bagi yang berminat untuk ikut serta tolong kemukakan puisi-puisi anda kepada saya melalui alamat di bawah ini:

Pharo Abdul Hakim
No.269, Lot 1983,
Lorong B4
RPR FASA 2, Kpg Tunku
Jalan Astana,
93050 Kuching

Bagi pihak-pihak yang berminat untuk menrbitkan antologi ini sila hubungi saya di alamat seperti di atas.
Terima kasih

Sunday, April 13, 2008

MENITI PELANGI

Cerpen: Meniti Pelangi





EMBUN bergantungan di hujung rumput. Dingin pagi mendakap bumi. Kabus menebal di langit Tanah Tinggi Kelabit seperti selimut menutupi matahari. Sunyi. Bario didakap sepi. Tiada deruan enjin kenderaan. Tiada hiruk pikuk manusia. Sesekali terdengar jeritan mergastua di belantara. Nyanyian burung dalam bahasa yang asing, sukar dimengerti tapi cukup menghiburkan. Bario yang terhimpit di tengah belantara, asing dan terpencil, menghimpun segala unggas, begitu tenang ketika pagi.

Jam tanganku sudah menunjukkan pukul lapan pagi. Suasana masih gelap dan dingin. Aku terus berbaring di atas katil di bilik penginapanku. Sebuah potret di dinding bilik itu menarik perhatian mataku. Potret Lutfi, berbingkai kayu warna keemasan dengan ukiran peribumi, tersenyum lebar, dengan baju kot, bertali leher warna gelap dan kemeja putih melepah. Kutatap wajahnya yang tampan, keseluruhan rambutnya telah bertukar putih walaupun usianya tak setua yang dijangka. Mungkin petanda wibawanya semakin terserlah. Namun di sebalik ketampanan dan senyum lebar wajah yang terukir di potretnya, hati kecilku dapat membaca apa yang tersemat di hati Lutfi. Manusia seperti Lutfi, bicara hatinya sungguh aneh, seaneh strategi politiknya. Wajahnya mengingatkan aku kembali kepada zaman perjuanganku dalam arena politik negara. Betapa keperitan telah menusuk kehidupanku.

Aku dihina dan dimalukan sepuas hati. Aku tidak dapat dan tidak boleh melupakannya. Wajah Lutfi mengembalikan ingatan masa laluku. Masa yang telah membunuh karier politikku. Tiada siapa menduga aku boleh tersungkur di gelanggang pertarungan yang terletak di belakang rumahku sendiri.

Apa lagi yang mereka mahu? Aku sendiri tidak tahu. Kalau perubahan yang mereka harapkan, bukan begitu caranya. Apakah perubahan akan berlaku dengan memalukan aku. Tak pernah sedikit pun terfikir di benak hatiku akan menerima penghinaan sebegini rupa. Aku kesal pada sikap mereka. Hodoh dan hina. Mereka kehilangan rasa tanggungjawab terhadap masyarakat dan perjuangan. Mereka lupa erti perjuangan. Mereka betul-betul sesat. Sesat di dalam rimba pertarungan yang menggerunkan.

Tidak pernah kuduga masih ada manusia yang boleh terpedaya dengan janji-janji kosong dan kepingan ringgit sehingga sanggup menggadaikan masa depan bangsa. Mereka menolak kesejahteraan dan keharmonian dan memilih masa depan yang tidak menjanjikan apa-apa, selain pertelingkahan dan pertentangan. Wang telah benar-benar membuat mereka hilang pertimbangan. Mereka sanggup memperjudikan nasib bangsa. Tidak terfikirkah oleh mereka betapa susahnya untuk berada di kedudukan sekarang?

Tolol! Itulah perkataan yang boleh kugunakan untuk menggambarkan mereka. Kebodohan telah benar-benar merasuk ke dalam diri mereka. Ke mana arah yang hendak mereka tuju. Kejayaankah atau kehancuran?

Telah kuserahkan seluruh upaya dan kehidupanku untuk memperjuangkan nasib dan kesejahteraan mereka. Perjuanganku adalah untuk masa depan mereka. Aku pernah ditahan selama dua tahun tanpa dibicara demi membela mereka. Kutempuhi segala keperitan ini untuk mereka, supaya mereka boleh bahagia dan menjadi manusia yang dihormati. Kuberi segala kemewahan. Kubuka segala ruang dan peluang untuk mereka. Apa yang aku dapat sebagai balasan? Keaiban! Kecelaan! Kehinaan! Malu yang membuat aku tidak sanggup mengangkat mukaku. Aku tak dapat menatap wajah teman-teman seperjuanganku yang begitu yakin terhadap kepimpinanku.

Tidak! Mereka tidak memikirkan semua ini. Apa yang mereka mahu hanyalah wang! Wang! Wang membutakan hati mereka, menulikan telinga mereka. Wang telah memperbodohkan mereka. Mereka bertukar menjadi manusia penyembah wang. Mereka tidak boleh berfikir seperti manusia lagi. Mereka bertukar menjadi lembaga yang hidup bertuhankan wang.

Siapa menjangka nasibku begini malang. Madu yang kuhulurkan kepada mereka, dibalas dengan racun dari patukan seribu ular berbisa.Tidak terfikirkah oleh mereka betapa beruntungnya mereka selama ini? Mereka seperti belayar di dalam sebuah bahtera mewah, menikmati segala keseronokan dan kesenangan. Dan aku, akulah nakhodanya. Kulayari bahtera ini menerjah lautan garang. Kubawa mereka ke pulau impian. Pulau yang diimpikan oleh leluhur mereka. Kubebaskan mereka dari terongko akal yang kolot. Kuhindari kematian dari menjejaki mereka dengan berjuang di landasan undang-undang. Aku telah mengorbankan seluruh tenaga dan upayaku. Kulakukan semua ini untuki mereka, bangsaku. Dan, akhirnya mereka campak aku ke kandang khindzir, dilumuri kekotoran dan kebusukan.

Kubawa mereka mengecapi kehidupan yang harmoni dan kuajar mereka hidup berkompromi, bukan konfrantasi, seperti yang diajar oleh leluhur mereka. Kubawa mereka lari dari sikap keras kepala yang selama ini telah mengheret mereka ke lembah permusuhan yang berpanjangan. Selama ini mereka telah memusuhi semua orang. Mereka bermusuhan sesama sendiri. Mereka bermusuhan dengan dunia. Mereka seperti kucing dengan anjing. Bercakaran. Tidak pernahkah keinsafan mengetuk pintu hati mereka? Tidak pandai bersyukurkah mereka? Apakah yang menghuni kotak fikiran mereka? wang? Apakah wang itu segala-galanya?

Mereka lari dari keperitan untuk mencari kesenangan. Tetapi setelah mereka menikmati kehidupan senang, mereka bertindak bodoh. Istana yang dibina untuk bangsa hendak mereka robohkan. Bukankah itu kebodohan yang nyata! Kalau bukan kebodohan , apakah gelaran yang selayak mereka terima?

Mereka menconteng arang di mukaku yang tua dan berkedut ini. Tidak mungkin dapat dipadamkan lagi. Sekarang mereka tentu gembira. Mereka tentu berpesta. Tentu mereka akan bernyanyi sepanjang malam. Mereka telah dapat wang yang banyak hasil perbuatan terkutuk dan bodoh mereka itu. Mereka pertaruhkan masa depan bangsa. Mereka perjudikan nasib bangsa. Demi wang mereka sanggup meletakkan bangsa sebagai pertaruhan. Mungkin mereka sudah lupa pada bangsa. Mungkin mereka tidak memahami nilai bangsa. Mungkin mereka dari bangsa yang tidak punya budaya dan harga diri. Kalau tidak, bagaimana mereka boleh pertaruhkan bangsa untuk mendapatkan wang yang tak sebanyak mana. Wang yang pastinya tidak dapat memebeli maruah dan martabat bangsa yang telah mereka nodai.

Aku sudah puas menempuh pelbagai keperitan. Aku ditahan tanpa bicara. Aku dianggap petualang negara. Aku dilabelkan sebagai musuh negara. Semua ini kerana apa? Kerana mempertahankan mereka. Kulakukan semua untuk mempastikan kehidupan bangsaku terjamin. Kuterima semua derita dengan hati terbuka kerana aku yakin suatu hari nanti mereka akan memandang padaku sebagai pembela mereka. Aku tidak merasa malu menerima semua itu. Bagiku segala keperitan dan kehinaan yang kuterima ini ada nilainya. Tapi aku silap, mereka tidak pernah berterima kasih. Mereka tidak pandai menilai pengorbananku. Apa yang ada di dalam kepala mereka hanyalah permainan politik kotor. Mungkin mereka memang dari benih yang kotor. Kehidupan mereka dipenuhi kekotoran. Siapa tidak kenal dengan perangai mereka yang sanggup bersekedudukan dengan betina-betina dari negara luar untuk memuaskan nafsu binatang mereka dan membiarkan isteri-isteri mereka menderita dan sakit jiwa oleh perangai buruk mereka. Sekarang mereka sudah kaya dan ternama. Mereka banyak wang. Mereka bijak. Mereka sudah tidak memerlukan aku lagi. Mungkin kerana itulah mereka menghukum aku. Aku sudah tua. Aku tidak tertanggung segala yang mereka lontarkan padaku.

Nampak jelas mereka tidak mahu melihat aku mati dengan tenang. Mereka tidak mahu melihat aku senyum, walaupun sudah menjadi tabiatku sentiasa murah dengan senyuman. Dalam kesedihan dan derita ini aku masih boleh tersenyum.

Mereka ugut aku. Mereka bercita-cita besar. Semangat juangku hendak mereka lunturkan. Tentu mereka gembira sekarang dengan kejayaan yang mereka diperolehi. Mereka telah merosakkan hidupku. Segala budi yang kutaburkan kepada mereka telah bertukar menjadi kapar yang hanyut di sungai. Terbuang dan menunggu masa untuk sampai ke laut luas menjadi objek yang akan terkapi-kapi tanpa haluan dan tujuan. Segala pengorbananku tidak bernilai di sisi mereka. Besar sangatkah kesalahanku sehingga mereka sanggup memusnahkan terus masa depan perjuanganku?

Aku tidak dapat menatap wajah Lutfi kerana terasa amat malu. Keputusan yang diterima tidak masuk akal. Apa yang terjadi? Aku masih ingat ketika Lutfi menatapku dengan satu pandangan yang penuh tanda tanya. Terpampang kehairanan di wajah Lutfi. Dia tidak percaya. Atau, mungkinkah pura-pura tidak percaya? Dia seperti menyatakan padaku kekesalannya terhadap keputusan hari itu. Aku tahu Lutfi kecewa. Atau pura-pura kecewa? Dia menggapai bahuku, meluahkan rasa simpatinya. Simpati padaku kerana melihat nasibku ini. Kesedihan meruntun jiwaku. Namun air mata tidak juga mahu keluar dari kelopak mataku.

Mary, isteriku, menggenggam erat tanganku. Mary memahami kesukaran yang kualami. Mary telah hidup bersamaku lebih empat puluh tahun. Dia sangat faham tentang sikapku. Dia tahu betapa aku berusaha keras untuk mempastikan kejayaan bangsaku. Dia tahu betapa aku tidak tidur malam memikirkan langkah-langkah dan strategi yang harus diambil untuk mempastikan kelangsungan kuasa. Kuasa yang telah diperoleh tidak patut dipersia-siakan. Kuasa yang ada sekarang membolehkan bangsa menjadi unggul dan dihormati. Untuk dihormati kita perlu menghormati dan jujur pada teman. Toleransi dan persefahaman adalah inti kejayaan dan kemajuan. Tapi, tidak begitu bagi mereka. Mereka lebih gemar mempermainkan kuasa yang ada. Mereka lebih suka kuasa yang ada luntur. Mereka memperkotak-katikkan suasana harmoni dan tenang.

Apa yang ada pada Timala? Apa yang Timala boleh sumbangkan untuk bangsanya? Timala hanya boleh bercakap, bercakap dan terus bercakap. Tetapi cakapnya kosong. Apakah percakapan kosong boleh membangun bangsa? Mengapa mereka tidak memikirkan ini? Mengapa mereka mempersia-siakan segala kemudahan yang ada? Mereka fikir dengan meletakkan Timala semeja dengan Lutfi, mereka dapat memperoleh lebih banyak keuntungan? Jangan mimpi. Lutfi bukan bodoh. Lutfi dari bangsa yang bertamadun. Keturunannya telah memerintah tanah bertuah ini sejak seratus tahun yang lalu. Bangsa mereka memerintah dengan dasar harmoni dan berbaik-baik. Mereka faham makna kompromi. Mereka menganuti erti setia kawan dan persepakatan. Tapi, tidak begitu bagi kaumku. Mereka mengejar perubahan. Mereka inginkan revolusi, reformasi, meritokrasi. Apa yang mereka dapat dari perubahan ini? Apa yang boleh Timala berikan untuk mereka? Hanya air liur basi.

Panggilan Joseph mengejutkanku dari khayalan. Peristiwa sepuluh tahun lalu masih segar dalam ingatan. Luka dan duka lampau masih terlekat di celah-celah ingatanku. Kesakitannya masih terasa. Menatap potret Lutfi mengingatkanku pada mereka yang telah menjahanamkan karier politikku tapi, mereka sebenarnya gagal membunuh jiwaku. Selagi jiwaku masih hidup, mereka pasti akan menerima pembalasan. Bukan dari aku. Aku bukan pendendam. Mereka lupa, dalam parti politik yang kupimpin itu, masih banyak daripada pemimpin akar umbi yang menyokongku. Mereka penyokong setiaku. Mereka tidak akan berdiam diri. Petualang pasti akan didedahkan. Mereka yang terlibat memusnahkan kepimpinanku tidak akan senang. Mereka akan terus dihantui oleh perbuatan mereka sendiri yang keji dan curang itu.

Hari ini jauh di atas tanah tinggi ini kuterima berita. Pengikut-pengikutku telah dapat mengesani mereka yang terlibat merencana kejatuhanku sepuluh tahun lalu. Kepimpinan parti yang mengambil alih kuasa dariku dahulu telah terpaksa mengaku bertanggungjawab dalam merancang kemusnahanku. Mereka telah meletak jawatan di dalam parti dan diminta berundur atau menerima tindakan yang lebih drastik. Mereka merancang satu rencana jahat tetapi segalanya telah kebongkar. Sekarang mereka harus menerima kenyataan.

Belacan, selaku ketua parti, mengaku terlibat dalam rancangan kotor itu. Tindakan Belacan benar-benar memusnahkan terus masa depan politiknya. Dia tidak lebih dari sampah masyarakat yang telah membina kekuatan politiknya melalui tiga cara yang paling hina. Pengkhianatan, penjualan maruah diri dan penglibatan di dalam budaya ganas. Pemimpin sepatutnya mendukung undang-undang dan peraturan negara. Tapi tidak bagi Belacan. Dia bertindak sebaliknya. Rasanya dia perlu berhadapan dengan undang-undang negara. Terlalu banyak kesalahan jenayah yang dibuatnya. Kalau memilik teman seperti Belacan, tak perlu lagi ada musuh. Aku lebih senang bersemuka dan berlawan dengan Timala yang jelas seorang musuh politikku. Aku lebih hormat pada Timala kerana sekurang-kurangnya Timala masih ada maruah dan harga diri dalam menyatakan pendiriannya. Dia berkata apa yang dibuat dan melakukan apa yang terucap dibibir.

Lutfi juga sudah serik dengan tingkah laku dan tindakan Belacan yang cukup mencemarkan parti. Punya isteri tetapi di lontar ke luar negeri. Belacan menjalani kehidupan seperti di z aman bahari berkepit dengan gundik dan dayang. Hidup dipenuhi dengan foya-foya bersamadengan wanita-wanita muda dari utara.

Hari ini Belacan perlu menerima hakikat bahawa masa depan politiknya sudah berakhir. Tidak mungkin dia dapat bangkit kembali. Tidak mungkin rakyat dapat menerima manusia seperti Belacan sebagai pemimpin negeri. Belacan terlalu kotor dan busuk untuk diletakkan di persada mulia. Belacan hanya sesuai tinggal di terongko yang dihunikan oleh manusia dari kerabat haiwan rimba.

Terdetik di hatiku melihat enigma yang menjelma. Perjalanan waktu yang aneh dan membingungkan. Seketika manusia berada di puncak mulia. Dalam sekelip mata segalanya sudah tiada. Dia menjadi sampah menghuni di daerah yang paling hina. Kehidupan ini rupanya seperti meniti pelangi selepas hujan yang membasahi bumi. Pelangi yang indah, dikejar dan dijejaki. Sayang itu hanyalah impian. Khayalan. Pelangi akan pergi. Manusia sepi ditinggal mimpi.

(Utusan Borneo/10 Mac 2008)

Wednesday, April 09, 2008

KEHIDUPAN DI SINJO (1)


Kata ibu aku dilahirkan pada hari rabu dalam bulan rejab ketika mentari di penggalahan. Tangisku berpanjangan dan aku dikatakan ibu anak yang terus menerus menyusu ibu dengan gelojoh. Aku dilahirkan di kampung Pulo Hilir dibidani bidan yang juga saudara ibuku, Wa Mahani.

Selepas empat puluh hari kami kembali ke rumah kediaman kami yang terletak di Sinjo( mungkin Syn Joo, aku tak pasti). Tempat yang bernama Sinjo itu ialah sebuah kilang memproses getah terletak di kawasan berhampiran dengan Pejabat Wilayah, Wilayah barat SESCo. Ia terletak di tebing sungai Sarawak menghadapi Kampung Pulo Hilir yang terletak di seberang sungai.

Rumah di Sinjo tempat tinggal kami sekeluarga merupakan rumah pekerja yang disediakan oleh majikan ayah. Sebagai seorang Jaga, ayah perlu berada di sekitar kilang. Ayah bekerja di waktu malam. Waktu siang hari ayah gunakan masa untuk menjadi penjual roti. Aku amat tersentuh sekali apabila mendengar lagu “Penjual Roti” yang didendangkan oleh S. Effendy berkumandang di udara. Lagu ini adalah cerita hidup ayahku yang telah banyak sekali membuat pengorbanan untuk membesarkan anak-anaknya supaya keluarga tidak lagi mengalami kehidupan yang perit dan sukar.

Di tepi rumah kami terdapat sebuah telaga untuk kami mandi. Tak jauh dari rumah kelihatan padang tempat kerbau dipelihara. Jiran kami ketika itu bernama Pak Amin dan dia merupakan gembala kerbau. Suatu pagi aku dan kakak mandi. Entah bagaimana kakiku terperosok dan aku jatuh ke dalam telaga. Yang kuingat ketika berada di dalam telaga rambutku ditarik dan aku dapat dikeluarkan dari telaga itu. Lainnya aku tak ingat. Yang pasti aku menangis..dan terus menangis.ketakutan yang amat sangat. Tak tahu menagap peristiwa itu masih boleh kuingat padahal waktu itu umurku rasanya di bawah enam tahun.

Kami berpindah dari tempat itu setelah ayah dapat kerja baru dan kami pun berpindah ke satu kawasan baru yakni Simpang Tiga (tempat itu sekarang berhampiran dengan Bangunan Dirgahayu). Banyak peristiwa berlaku di Simpang Tiga…nantilah akan kucuba ingat dan ceritakan. Salam

MAKAN MALAM










Hari Isnin, 31 Mac lalu saya bersama keluarga (isteri, anak-anak , menantu dan dua cucu) keluar makan malam di salah sebuah gerai makan yang cukup popular di Kuching yang bertempat berhampiran dengan Jambatan Tun Abdul Rahman Yaakob.Zakariyya yang belanja kami.

Makanan yang dipesan cukup menyelerakan dan pasti sekali mengandungi kolesterol yang tinggi.Apa pun sekali sekala makan begini tak perlu fikirkan sangat tentang kolesterol.Yang pasti, anak-anak ingin melihat kami suami isteri ikut sama sekali sekala enjoy kat luar ketika malam seperti yang mereka rasai. Menatap makanan yang terhidang yang pelbagai jenis dan rasa itu mengingatkan kembali kehidupan semasa diri masih kecil sekitar tahun 60an. Ketika itu saya berumur sembilan ke sepuluh tahun.

Sekitar tahun 1964, almarhum ayah tiada di Kuching. Allahyarham kembali ke negara asal untuk menmui keluarga pertama di sana. Telah menjadi kebiasaan Allahyarham akan kembali ke negara asal setelah berada di Malaysia selama lima ke sepuluh tahun

Sepeninggalan ayah, kehidupan kami sekeluarga cukup perit kerana tiada siap yang bertanggungjawab terhadap perbelanjaan dan keperluan harian kami. Sebelum ayah pergi , ayah membuat perjanjian dengan teman-teman dan bapak saudaranya supaya membantu kami dengan membuat pendahuluan perbelanjaan kami untuk setiap bulan selama enam bulan dan teman-teman telah menyanggupi tanggungjawab ini.Ayah minta bantuan kawan-kawan membeli keprluan harian seperti kopi, beras , gula, tepung dan lain-lain.Janji ayah, segala perbelanjaan pendahuluan akan dilunaskan s ekembali beliau dari negara asal.

Begitulah manusia, tidak pernah berpegang pada janji dan tanggungjawab. Teman-teman ayah tidak melaksanakan janji mereka dan kami dalam keadaan yang amat daif sekali. Bantuan yang diharapkan setiap bulan tidak kunjung tiba, lantas ibu, ibu saudara dan abang tua terpaksa bertungkus lumus untuk meneruskan kehidupan. Bermacam kerja dilakukan termasuk mengambil upah membuat atap nipah.Saudara tua yang ketika itu berumur enam belas tahun telah berhenti dari sekolah dan bekerja di stesen minyak sebagai pencuci kereta dengan upah sebanyak kira-kira RM30.00 sebulan.

Selain abang, bapa saudara kami juga turut membantu, tapi dengan kerja sebagai penoreh getah, ketika getah jatuh harga, pendapatan memang tidak seberapa.ada ketika kami hanya makan sekali sehari. Sukar bagi ibu untuk mencari secupak beras. keperitan ketika itu masih lagi dirasai sehingga hari ini.

Sehingga sekarang sukar untuk melupai jasa dan bantuan yang dihulurkan oleh jiran tetangga kami ketika itu. Mereka terus menerus membantu kami sekeluarga dengan meminjam kami beras dan juga lain-lain keperluan. Saya tersentuh sekali menatap wajah Dayang Sofia dalam filem Bujang Lapok , ketika beliau berjumpa dengan Normadiah untuk meminjam beras.Hati berkata, begitulah perasaan ibu ketika itu.Dan tentu jiran-jiran kami sama seperti Normadiah, yang berhati mulia.

Lantas makan malam kali ini memberi sedikit kesedaran dan ingatan tentang keperitan hidup yang pernah dialami. Hari ini anak-anak ingin melihat kami merasai sedikit kesenangan dan keceriaan dalam hidup. Alhamdulillah..

BACK TO BASIC


Kuala Lumpur , 7 April: Najib berkata Kerajaan tidak akan teragak-agak beri kelulusan semak semula sabsidi petrol jika praktikal dan memanfaati orang ramai/ BERNAMA

Saya terima ringkasan berita itu semalam daripada BERNAMA melalui sms yg saya langgani dengan bayaran RM5.00 sebulan. Menarik sekali saranan TPM. Saya fikir elok benar harga minyak diturunkan sedikitr untuk mengurang beban rakyat. Apalah erti pembangunan jika kebajikan rakyat tidak dapat diberi keutamaan.
Hari ini berlaku pertembungan ideologi. Pertembungan antara
POLITIK PEMBANGUNAN VS. POLITIK KEBAJIKAN
Saya melihat pembangunan sebagai suatu tanggungjawab dan tugas rutin mereka yang dipilih bukan untuk dibanggakan. Manusia sekarang ingin melihat kebajikan mereka dijaga dengan penuh kebijaksanaan.