Every day of your life is a page of your history..mutiara kata Arab
Tuesday, July 29, 2008
MENCARI SHANGRI - LA
Yang sebenarnya saya mudah tertarik pada bahan-bahan yang mengungkapkan tentang Shangri-La. Entah di mana saya ketemu kegilaan pada Shangri-La, saya tak pasti, mungkin setelah membaca buku Lost Horizon tulisan James Hilton satu ketika dulu, atau mungkin juga tertarik pada satu rancangan yang ditayangkan di saluran Discovery suatu ketika dulu yang menceritakan tentang pencarian Shangri-La.
Pencarian Shangri-La oleh penulis membawa beliau ke beberapa daerah di China, khususnya Tibet, Qinghai dan Yunnan. Perjalanan ini menemukan penulis dengan beberapa orang tokoh, antaranya komposer San Bao,penari Yang Liping dan penyanyi Dadawa selain pembesar agama Buddha.
Penulis mencari Shangri-La, sebuah tempat yang indah dan menyenangkan yang pernah diceritakan oleh James Hilton. Tapi di mana letak Shangri-La. Pertanyaan demi pertanyaan dikemukakan sepanjang perjalanan namun tiada petunjuk jelas di mana Shangri-La. Akhirnya dia ketemu satu kesimpulan: Shangri-La buakan sebuah tempat tapi sesuatu yang berada di dalam minda masing-masing. Maksudnya Shangri-La berada bersama insan yang mahu mencarinya.
Saya suka pada konsep ini. Sebagai seorang muslim saya dapat gambarkan bahawa kita pun mencrai Shangri-La. Shangri-La yang dicari pasti akan diketemu jika kita ikuti jalan yang telah ditunjukkanNya, yakni "siratal mustaqim".
Bahasa buku ini cantik sekali dan mudah difahami, diselitkan dengan foto-foto yang menarik membuatkan pembacaan s emakin menarik.Bacalah, anda pasti tidak kecewa.
Sunday, July 27, 2008
KEHIDUPAN DI KAMPUNG PULO HILIR (3)- ALLAHYARHAM ODITA IBRAHIM
Setelah tamat darjah enam di Pulo District Council School, aku melanjutkan pelajaran di Sekolah Menengah Bantuan St Thomas. Aku belajar di SMB St. Thomas untuk tempoh lima tahun mulai 1967 hingga 1971. Banyak sekali teman-teman di sekolah itu, namun beberapa teman yang rapat sentiasa dalam ingatanku. Biar hari ini kuceritakan sedikit sebanyak kenangan bersama teman-temanku ini. Ada teman yang selalu kutemui, ada yang jarang-jarang kutemui dan ada yang sudah tidak mungkin kutemui lagi kerana mereka telah kembali kepada Pencipta buat selama-lamanya.
Allahyarham Odita Ibrahim kukenali ketika berada di dalam tingkatan satu. Beliau berada di Tingkatan 1A manakala aku berada di Tingkatan 1C. Persahabatan kami bertambah erat setahun kemudian ketika berada di kelas yang sama, tingkatan 2B. Odita menyukai sastera dan Bahasa Melayu seperti juga aku. Kami sama-sama ikut serta di dalam pertandingan mengarang esei peringkat sekolah menengah. Seperti aku, Odita juga pernah memenangi pertandingan serupa ini.
Selain menulis kami sama-sama terlibat dengan aktiviti bangsawan di kampung. Odita terlibat sebagai salah seoarang aktivis persembahan bangsawan di kampung Astana dan aku terlibat dengan persembahan bangsawan di kampung Pulo Hilir.
Setelah tamat tingkatan lima Odita bekerja sebagai buruh kasar membina bangunan Yun Phin yang terletak berdekatan dengan Sekolah Rendah St Teresa di Padungan. Aku masih menganggur dan cuba mendapatkan kerja. Suatu hari Odita datang ke rumahku dan mengajak aku bekerja di tempat dia bekerja. Sayangnya ketika itu aku sudah mendapat tawaran bekerja sementara di sebuah syarikat lain.
Selepas itu kami membawa haluan masing masing. Odita menyambungkan pelajarannya ke ITM dan aku bekerja dengan kerajaan. Kami bertemu kembali setelah sekitar tahun 1980an. Masa itu beliau seorang arkitek di JKR, kalau tak silap. Kita tak banyak bicara hanya sekali sekala bercerita tentang zaman sekolah yang amat dirasai kemesraannya. Masing-masing sudah punya kehidupan dan tanggungjawab. Ketika itu aku telah menjadi ayah kepada lima orang anak.
Terakhir aku menerima berita Odita kembali ke rahmatullah ketika berada di luar negara. Ketika pemergiannya, beliau seorang arkitek dan ahli perniagaan yang berjaya. Kurasai pemergiannya. Untuk Allahyarham Odita aku pernah menulis dua buah puisi yang kudedikasikanbagi merakam persahabatan kami dengan tajuk Menara Harapan 1 dan Menara Harapan 2.
Selamat tinggal teman. semoga perjalananmu mudah dan kau menemui kebahagian dan keselesaan di alam barumu.
Monday, July 21, 2008
BUYA HAMKA
Setelah membaca HAMKA PUJANGGA ISLAM KEBANGGAAN RUMPUN MELAYU - menatap peribadi dan martabatnya
Oleh H. Rusydi Hamka
Sewaktu menghadiri Kongres Permuafakatan Melayu yang diadakan di Johor Bahru pada 2 hingga 4 Mei 2008 yang lalu saya sempat meluangkan masa di kedai buku bersama seorang anak saya yang kini bertugas di Pasir Gudang. Kedai buku yang terletak berhampiran dengan hotel penginapan para peserta itu saya terokai selama lebih satu jam. Hasilnya saya ketemu buku tulisan putera Buya Hamka, H. Rusydi Hamka. Mengikut kata penulisnya buku ini bukan sebiuah biografi tapi sekadar catatan kehidupan penulis ketika bersama buya.
Penulis telah merakam di dalam buku setebal 396 muka surat ini dengan pelbagai catatan, peristiwa, perasaan dan emosi serta pengalaman-pengalaman humor yang dialami buya termasuk pengalaman di Malaysia.
Penulis telah menulis dengan
Yang paling menusuk jiwa saya apabila penulis menceritakan pengalaman dan penderitaan yang dialami oleh buya ketika berada di dalam tahanan pihak pemerintah (ketika itu pemerintahan Presiden Soekarno). Tidak dapat saya gambarkan betapa menyayat hati melihat seorang ulama besar dikasari, diejek dan diperlaku sekehendak hati oleh pihak berkuasa ketika itu. Tuduhan yang dikenakan terhadap buya yakni merancang membunuh presiden Soekarno cukup tidak masuk akal, tapi begitulah politik. Sesuatu yang tidak masuk akal boleh menjadi kenyataan dengan adanya kuasa. Tapi setakat manakah kebenaran palsu itu dapat dipertahankan.
Sebuah buku yang patut dibaca jika teman-teman ingin menelusuri kehidupan seorang insan yang istimewa dan tinggi martabatnya ini. Buku diterbitkan oleh Pustaka Dini.
Friday, July 18, 2008
KEHIDUPAN DI KAMPUNG PULO HILIR (2)- CIKGU JUSTIN KIRIM
Setelah tinggal di kampung Pulo Hilir aku meneruskan persekolahanku di Pulo District Council School. Sekolah ini terletak di Kampung Pulo Hilir. Bentuk sekolah ini serupa dengan sekolah dewasa yang terdapat di dalam filem Tan Sri P. Ramlee, "Pendekar Bujang Lapok."
Sayangnya aku tak ingat siapakah guru kelas ketika itu.
Banyak guru yang boleh kuingati. Ada yang telah kembali ke rahmatullah. Ada juga yang kutemui dan masih lagi mengingatiku. Seorang guru yang ingin kusentuh hari ini yang masih kuingati hingga hari ini ialah Cikgu Justin Kirim.Kami bertemu dalam tahun 1963, kalau tak silap ingatanku. Cikgu Justin seorang guru sementara yang pada masa itu baru sahaja menamatkan pelajaran persekolahannya.
Apa yang kuingati pada cikgu Justin ialah kemahiran melukis yang ada pada beliau, selain kebaikannya dan cara mengajar yang tidak langsung memberi tekanan padaku sebagai seorang pelajar. Perlu kuceritakan juga, aku tak tahan menerima tekanan daripada guru-guru yang agak kasar dan suka menengking jika kita melakukan kesilapan. Jiwaku cukup tertekan.
Cikgu Justin tidak lama bersama kami, rasanya kurang dari setahun. Beliau berhenti selepas itu. Banyak pelajar menangis kerana sayangkan beliau. Pertama kali dalam hidupku, aku diberi peranan dan kepercayaan oleh guru besar untuk menyampaikan ucapan di majlis perpisahan cikgu Justin Kirim. Tak pasti pula siapa yang menulis ucapan waktu itu, tetapi aku membaca ucapan dengan penuh emosi tapi gementar. Apa pun aku cukup senang dan gembira kerana dapat melakukannya. Seingatku, peristiwa itu satu permulaan penting padaku dalam mengharungi dunia penulisan. Tepukan gemuruh dari teman-teman dan guru-guru yang hadir di majlis perpisahan cikgu Justin hari itu amat kurasai.
Selepas perpisahan dengan cikgu Justin hari itu, sedikit sebanyak rasa tidak senang mengganggu diriku. Aku tidak lagi bertemu dengan cikgu Justin. Tak pasti ke mana arah perjalanan beliau sehingga suatu hari aku membaca salah sebuah majalah terbitan Borneo Literature Bureau (BLB) tapi aku tak pasti sama ada majalah Dolphin atau Perintis. Salah sebuah ilustrasi yang terdapat di dalam majalah itu ditandatangani oleh cikgu Justin Kirim.Tahulah aku bahawa beliau bertugas di BLB.
Aku hanya bertemu kembali dengan cikgu Justin sekitar tahun 1990an ketika menghadiri majlis yang dianjurkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak. Kuperkenal diriku dan cuba meningatkan cikgu Justin tentang cerita lama. Rasanya dia sudah lupa tentang masa itu tapi dia tetap seperti dulu, seorang yang halus pekertinya, agak pendiam dan berbudi tinggi. Aku senang sekali bertemu beliau setelah berpisah lebih tiga puluh tahun. Ah satu perjalanan masa yang lama, namun pertemuan itu yang amat bernilai bagiku.
Hari ini cikgu Justin telah bersara begitu juga diriku. Apa yang kuharapkan belaiu tenang dalam kehdupannya. Pertemuan kali ketiga masih kutunggu walaupun ia mengambil masa tiga puluh tahun lagi.
Selamat pagi cikgu!
Tuesday, July 15, 2008
HAIKU, PUISI DARI NEGERI MATAHARI TERBIT YANG MEMIKAT HATI
Entah mengapa, setelah menatap Haiku tulisan Matsuo Basho yang saya temui di internet, saya mula terpikat pada keindahan Haiku. Saya membaca bahan-bahan tentang Haiku yang terdapat di laman-laman yang temui sehingga ketemu E-Sastera.com. Di sini terdapat sekumpulan penulis haiku
Keghairahan saya berterusan terhadap haiku bertukar menjadi satu keseronokan yang memuncak. Saya ke Perpustakaan untuk mencari bahan-bahan bacaan tentang Haiku tetapi hanya ketemu sebuah buku sahaja yakni: Traditional Japanese Poetry an anthology, terjemahan Steven D. Carter. Saya baca haiku-haiku yang terdapat di dalam buku ini berulang kali untuk memahami dan menikmati keindahan haiku.
Apa itu Haiku? Banyak sekali tafsiran dan definisi haiku yang boleh kita temui jika kita ingin mengkajinya. Haiku merupakan puisi Jepun yang sudah berkembang ke seluruh pelosok bumi. Haiku merupakan puisi yang terdiri daripada tiga baris ayat mengandungi tujuh belas suku kata dalam susunan berikut: 5/7/5.
Pada asasnya Haiku mesti mengandungi kigo yakni kata musim dan kireji yakni kata pemotong. Kata musim di dalam haiku menggambarkan latar belakang puisi ini berlaku atau dilukiskan. Kalau di Jepun musim yang dimaksudkan ialah musim sejuk, panas, bunga dan rontok. Penulis Haiku menulis pengalamannya melalui musim-musim tertentu, menggambarkan apa yang dilihat. Gambaran peristiwa inilah yang dibentuk sehingga menjadi sebuah Haiku yang cantik..
Walaupun Kigo atau kata musim ini dianggap oleh kebanyakan pihak satu unsur penting dalam sesebuah haiku, penulis moden Jepun yang menulis haiku dalam bentuk bebas tidak berpendapat demikian. Dalam haiku bentuk bebas Jepun, mengetepikan kigo merupakan sesuatu yang disengajakan.
Kireji atau kata pemotong pula biasanya diletakkan pada akhir baris kedua menjadi pembeda dua ayat yang mengandungi dua cerita yang berbeza. Kireji dalam bahasa Inggeris atau Melayu diganti dengan tanda koma atau sengkang kerana tiada kata persamaan bagi kireji dalam bahasa Inggeris mahu pun bahasa Melayu.
Haiku bercerita tentang apa sahaja yang berupaya ditulis tapi jarang benar kita ketemu tema yang padat mahupun kompleks untuk difahami oleh insan biasa. Haiku ditulis untuk menggambarkan tentang kehidupan harian yang biasa tetapi cara penulisannya membawa pembaca ke satu era dan pengalaman baru.Walaupun penulisan haiku dikongkong oleh pelbagai syarat dan tradisinya, seseorang penulis haiku pastinya akan menulis mengikut
Di bawah ini saya tunjukkan contoh haiku yang saya terjemah secara bebas . Haiku ini merupakan tulisan guru haiku yang sangat dikagumi, Matsuo Basho (1644 -1694):
Di kolam tua
kodok melompat masuk –
air memercik
MAMU GHAFOOR
Mamu Ghafoor, bapa saudara ayahku, sangat sayang pada anak-anak. Kata ibu, Mamu Ghafoor suka berbelanja membeli permainan anak-anak. Kasihnya pada anak-anak mungkin atas rasa rindu dan keinginannya yang teramat sangat untuk mempunyai anak sendiri. Tetapi itulah satu yang Mamu Ghafoor tidak dapat capai.
Untuk melepaskan kerinduannya terhadap anak sendiri yang tidak pernah dimilikinya, Mamu Ghafoor
Sekarang ayah nak serahkan pula aku pada Mamu Ghafoor. Ibu tak faham mengapa ayah tidak mempunyai rasa sayang pada anaknya. Mengapa ayah sanggup memberi aku untuk dijadikan anak angkat bapa saudaranya. Tapi ibu jelas menolak cadangan ayah. Akhirnya ayah mengalah. Aku terus bersama ibu. Dalam masa yang sama kerana Mamu Ghafoor tinggal bersama kami, aku menjadi anak istimewa yang mendapat sepenuh kasih sayang daripada Mamu Ghafoor. Bermacam jenis permainan dibeli untukku. Begitu kata ibu.
Manusia bernama Mamu Ghafoor memang aneh sedikit perangainya. Dia suka memelihara burung. Kata ibu, Mamu memelihara burung tekukur yang mengeluarkan suara yang sangat cantik. Siang hari sangkar burung akan diletakkan di atas galah yang tinggi. Cara Mamu meletakkan sangkar itu ke atas galah sama seperti kita menaikkan bendera. Ketika senja barulah diturunkannya burung itu. Beginilah setiap hari, Mamu Ghafoor akan melakukan perkara yang sama.
Mamu Ghafoor juga rajin bertanam sayur-sayuran. Biasanya keluarga kami mendapatkan bekalan sayur-sayuran sebahagiannya dari hasil tanaman Mamu Ghafoor. Ketika malam aku akan didukung oleh Mamu Ghafoor tinggi – tinggi. Kadang – kadang dia akan menimangku tinggi-tinggi. Masih kurasai hingga hari ini perasaan gayat ketika ditimang begitu tapi aku seronok sekali.
Ah! Betapa seronoknya zaman kanak-kanak kita. Kalaulah boleh kukembalikan zaman yang indah itu.
Sunday, July 13, 2008
KEHIDUPAN DI KAMPUNG PULO HILIR, (1)- PINDAH KE KAMPUNG PULO HILIR
Sebelum kehadiran kami, rumah keluarga ibu itu telah dihuni oleh adik-adik ibuku, Allahyarham ayahanda Bujang dan Bonda Habibah. Usu Bujang( begitu kami memanggilnya) Udak Bibah sebelum ini telah menduduki rumah itu berdua. Dapat kugambarkan kini betapa sunyinya kehidupan mereka sebelum kehadiran kami sekeluarga.
Usu Bujang tidak punya kerja tetap, sekadar seorang penoreh getah, menoreh di kebun getah peninggaln datuk kami. Kebun getah yang sudah tua tentunya tidak banyak mengeluarkan susu getah dan oleh itu dapat kita gambarkan betapa keperitan dan kemiskinan sentiasa menghimpit kedua-dua ibu dan bapa saudaraku itu.
Kehadiran kami di rumah itu memeriahkan kehidupan. Ibu yang selama ini sentiasa di d alam keadaan kurang sihat kini jelas ceria dan bahagia, lebih-lebih lagi dia telah dapat kembali bersama tinggal dengan adik-adik yang sangat disayanginya. Telah lama mereka berpisah. Kerinduan begitu terasa oleh mereka bertiga.
Bagiku, kehadiranku di kampung Pulo Hilir ini mendatangkan sedikit rasa gementar kerana terpaksa belajar di sekolah baru di kampung Pulo. Kalau dulu ketika belajar di Sekolah Rendah Lumba Kuda aku dapat bergaul dengan kawan-kawan dari pelbagai keturunan, kini aku hanya akan dapat bersahabat dengan anak-anak Melayu sahaja...
Wednesday, July 09, 2008
MELANGKAH KE MUKAH
Para Peserta PPS 08 ikut bertandak
Para peserta dari Kuching yang mengikuti program Perkampungan Penulis Sarawak 2008 (PPS 08) di Mukah berangkat dari perkarangan DBPCS jam 9.30 malam , 26.06.08. Satu perjalanan panjang dan cukup memenatkan bagi yg tidak dapat melelapkan mata.
Rombongan tiba di Politeknik Mukah jam 7.30 pagi dalam keadaan mengantuk, lapar dan letih. Sayang sekali, sampai di sini Urusetia belum bersedia. Rombongan terpaksa menunggu sehingga selepas jam 8.00 pagi. Bertambah sedih dan pilu, tiada minum pagi disediakan. Lantas para peserta berusaha sendiri mencari apa yg patut dijadikan habuan pagi. Saya beruntung sedikit kerana ada membawa kuih semalam yang kiranya bolehlah untuk menahan kelaparan.
Antara jam 8.30 pagi hingga 3.30 petang tiada aktiviti apa-apa. Lantas saya dan teman-teman bertanya kepada diri sendiri, apa relevannya kami berangkat waktu malam jika pagi 27.06.08 tiada apa-apa program? Sepatutnya boleh berangkat dari Kuching pada pagi 27.06.08.
Program PPS tidaklah sekompak mana. Saya menjangka,masa pengendaliannya boleh dipendekkan lagi kerana terlalu banyak masa lapang. Mungkin Urus setia boleh memikirkannya pada masa akan datang. Program yang padat dan kompak lebih mencabar minda. Program yang terlalu santai tidak banyak membantu ke arah profesionalisme.
Pembentangan kertas kerja berjalan lancar. Setiap yang dipertanggungjawabkan telah membentang semampu yg boleh. Kertas kerja yang dibentangkan telah diulas oleh teman-teman di akhbra-akhbar tempatan. Saya hanya ingin menyentuh satu dua perkara sahaja. Antaranya:
1. William Chan Khun Neng dengan kertas kerja bertajuk Media Massa penyubur minat terhadap kesusasteraan di Sarawak - Pembentangan yang cukup menarik oleh seorang wartawan yang berbicara bidangnya. Sayang , masa banyak yang terlebih, mungkin pada masa akan datang William boleh memadatkan lagi isi perbincangan.
2. Nik Mohd Iznan Tuan Yaakub membentang kertas kerja bertajuk Masa depan Sastera di Sarawak. Kertas yang disediakan oleh sdr Nik melalui kajian di internet dan dari blog teman-teman sasterawan di Sarawak. Kertas kerja Sdr Nik merangkumi ruang bicara yang agak luas dan beliau jelas berusaha bersungguh-sungguh dalam menyediakan bahan-bahannya. Apa pun sesekali terdapat fakta-fakta yang kurang tepat kerana mungkin asas atau sumber yang diperolehi belum dikemaskini.
3.Sdr Saiee Driss selaku seorang pemakalah yang berwibawa dan berpengalaman tiada masalah dalam membentangkan kertas kerjanya bertajuk Menyusuri Perkembangan Sastera Sarawak Sepanjang 45 tahun. Saya tertarik dengan pembentangan beliau. Seingat saya, sepanjang mendengar Saiee membentang kertas kerjanya, jelas beliau semakin profesional dan lebih berhati-hati ketika berbicara dengan bahasa yang sesuai.
4. Sdr Hj Sazali Morshidi juga seorang pembentang yang menarik hati saya. Cara beliau membentang kertas kerjanya tidak membosankan walaupun isi kertas kerjanya tidak begitu memuaskan. Sebagai bekas seorang pegawai kebudayaan, beliau mempamerkan gaya tersendiri yang boleh membuat kita terus terjaga. Tahniah Tuan Haji.
5. Antara kertas kerja yang telah dibentangkan dan sempat saya ikuti, saya merasakan pembentangan oleh Ketua Unit Pengembangan Sastera DBPCS amat mengecewakan sekali. Beliau tidak membentangkan apa yang terdapat di dalam kertas kerjanya dengan alasan perkara yang hendak beliau bentangkan telah digunakan oleh para pemakalah yang terdahulu. Persoalannya bagaimana boleh terjadi begitu jika masing-masing punya topik yang khas?
Sdr Hazami sepatutnya membentangkan kertas kerjanya bertajuk Perkembangan Sastera di sarawak; Antara penyediaan prasarana sastera dan keberkesanan DBP membina penulis berwibawa, tetapi beliau sebaliknya awal-awal lagi banyak menyentuh perkara-perkara lain.
Antara yang disentuh beliau ialah sikap golongan penulis yang beliau gambarkan seperti berikut: Penulis tua/lama suka merajuk dan sudah "babo". Penulis muda terlalu manja. Saya tak dapat kesan fakta-fakta yang beliau kemukakan untuk menyokong perkara tersebut. Saya kira beliau cuba membuat perkara tersebut sebagai gurauan, tapi jika itu satu gurauan tentulah gurauan seperti itu tidak menepati kehendak majlis dan terkeluar dari tata susila berbahasa.Saya percaya penulis-penulis yang sudah lama/veteran dari segi usianya seperti Beb Sabariah dan A.B. Nor tentu terasa apbila mereka dilabelkan sebagai sudah babo dan suka merajuk.
Seperkara lagi yang saya rasa cukup menyedihkan apabila pemakalah ini memberi respons terhadap seorang penulis, Armiza Nila. Respons yang beliau beri betul-betul mengaibkan penulis tersebut apabila beliau(Armiza) menjadi bahan tertawa para peserta. Ini satu respons yang tidak bijaksana dan sepatutnya tidak datang dari seorang yang berkedudukan tinggi dan bertaraf pemimpin di dalam birokrasi sastera. Semoga perkara seperti ini tidak berulang ada masa akan datang.
Akhirnya para peserta balik pada hari isnin, 30 Jun 2008. Saya terpaksa balik lebih awal yakni pada 29.06.08 kerana urusan peribadi. Harapan saya, biarlah apa jua kelemahan yang ditemui pada perkampungan kali ini dijadikan iktibar. Dan sebagai satu syor, elok benar para penulis dari badan-badan penulis di sarawak dibawa berbincang sama untuk mendengar pandangan mereka sebelum mengadakan perkampungan. Bukankah perkampungan ini untuk penulis?
Tuesday, July 01, 2008
ANTOLOGI PUISI PESARA SARAWAK-sumbangan sdr Sabin Talip
http://talipsabin.blogspot.com
Pada masa yang sama beliau juga telah menyerahkan lapan buah puisi untuk dimasukkan ke dalam antologi Puisi Pesara Sarawak yang ingin kami terbitkan.Puisi- puisi beliau ialah:
BAKUN
bila kusebut namamu
pepohon dan dedaun kehijauan
begitu tenang melambaikan....
......
sebuah legenda pusaka bonda yang ditinggalkan
akan tenggelam di d alam tasik penjana
BULAN MENGAMBANGLAH BERPANJANGAN
....
adakah sinar itu penyuluh laman
atau sekadar penyuluh bayi dalam buaian...
KEHIJAUAN PANTAI DAMAI
..membalut lembut pada batu-batan
dengan menghitung buih pada ombak beralun merintih
mungkinkah membawa seribu harapan
DI DADAMU AKU BERDIRI KEMBALI
dalam diam terpapar seraut wajah suram
dengan jari jemari yang halus
meraba-raba mencari penghujungnya
AKAR-AKAR TUNAS HARAPAN LAHIR MENUJU WAWASAN
akar-akar dan tunas warisan yang menjalar berbisik sayu
melangkah penuh kesyahduanmelihat manusia yang jahil dan kapitalisme
mencengkam perasaan mengeluh kehampaan...
SEEKOR RAMA-RAMA
Rama-rama
terbanglah kau menyusuli ulu sungai Rejang
di sana ada satu muara
ikutlah arus airnya mengalir
WATERFRONT
lautan manusia yang berpesta
di malam yang penuh ceria
hanyut dibawa arus laknat
tersekat dan terpukat
di ampangan maksiat.
BERSEMARAK KITA BICARA
bersemarak anak0anak seni berhimpun
lali dengan pembentangan kertas kerja
yang memperkatakan
hak kita
hak bangsa
hak negara
Kepada teman-teman pesara lain yang belum menyerahkan puisi kepada saya sila serahkan secepat mungkin. Lebih cepat anda serahkan, lebih lancar urusan penerbitannya nanti.