Monday, November 30, 2009

UDAK BIBAH BERSIAR-SIAR

Telah hampir dua bulan mak saudara saya, Udak Bibah tinggal bersama kami sekeluarga namun saya belum lagi berpeluang membawa dia berjalan jauh kerana kesihatannya belum mengizinkan. Paling kerap saya bawa dia mengelilingi bandar raya Kuching untuk tempoh waktu setengah jam sahaja.
Dua hari lepas saya bawa dia ke Kpg Telaga Air. Jelas kelihatan girang di wajahnya. Next visit saya nak bawa di ke daerah Samarahan pula.

Saturday, November 28, 2009

RAMBUT

Tak ingat sejak bila kali terakhir saya melawat tukang gunting. Saya tak bercadang nak gunting rambut buat seketika kerana dengan berambut panjang timbul rasa semacam kebebasan yang tak pernah saya rasai sebelum ini.
Mungkin permulaan tahun 2010 saya akan melawat tukang gunting saya. Tentu dia tertanya-tanya mengapa terlalu lama saya tak ke kedainya....

Friday, November 27, 2009

BASIKAL TUA?

Dah lebih setahun saya beli basikal kecil itu untuk Nurul tapi dia tak juga nak belajar. Entah macam mana beberapa hari lalu setelah Siti kembali dari KL dan menunjuk ajar Nurul cara mengawal basikal, kini dia dah boleh menunggangnya...dan dia nak basikal yang lebih besar pula...hahaha

Thursday, November 26, 2009

KPG TELAGA AIR

Untuk menghiburkan hati mak saudara, Udak Bibah, kami ke pergi ke Kpg Telaga Air. Perjalanan mengambil masa 40 minit. Di kpg ini Tebingan Sungai telah siap dibangunkan. Sungguh cantik sekali, lengkap dengan tempat rehat dan pangkalan untuk bot kaki pancing bertolak ke laut. Di tepi jalan kedapatan sebuah dua gerai yang usang menjual ikan segar. Saya beli ikan tongkol dan merah.
Sayang sekali tempat berniaga ikan tidak disediakan. Orang ramai, mcm saya, suka ke sana untuk membeli ikan segar. Kalau gerai disediakan untuk peniaga/nelayan berniaga kecil-kecilan tentu banyak memberi faedah kepada penduduk kampung. Mungkin sedang difikirkan oleh YB dan juga agensi Kerajaan berkaitan. kalau dalam perancangan eloklah, tapi jangan terlalu lama. Pilihanraya pun bukan lama lagi.

Wednesday, November 25, 2009

AKHIRNYA MEREKA BERSAMA

Zak dan isteri, Erda, bertolak dari Kuching menuju Sibu pada hari selasa, 24 Nov. dalam perjalanan ke Miri. Permohonan berpindah tugas ke Miri Erda telah diluluskan dan mulai 2010 beliau akan mengajar di sebuah sekolah menengah berhampiran kediaman mereka. Tentu sekali ayah gembira kerana akhirnya anakand berdua telah dapat hidup bersama sebumbung.

Sunday, November 22, 2009

KPG LIDAH TANAH

Kpg Lidah Tanah merupakan sebuah kampung orang Melayu yang agak tua dan tercatat di dalam sejarah Sarawak sebagai kawasan penempatan Datuk Patinggi sewaktu zaman pemerintahan Brunei sekitar kurun ke sembilan belas. Menyusur Sungai Sarawak sehingga ke hulu adalah pengalaman yang mengasyikkan dan sangat menenangkan.
Foto ini saya rakam ketika berkayuh menyusur sungai untuk ke dusun buah-buahan famili di tebing sungai sekitar 2007 yang lalu.

NIAH

Teringat perjalanan ke Gua Niah setahun lalu. Kagum pada keperkasaan rimba yang tak terdaya didakap sekumpulan pemuda dari kota.

Saturday, November 21, 2009

Di mana bulan aku

Di mana bulan aku, dilindung pokok ara, di mana tunang aku, direbut orang dara.
orang dara luka dada.....

Friday, November 20, 2009

ALAHAI MUKAH


Sungai Telian yang tenang memantulkan wajah keindahan tebingannya...ah, aku ingin kembali melihat keindahan itu...

Thursday, November 19, 2009

GUA NIAH


berdiri di dalam kegelapan gua Niah yang penuh sejarah...

DI SMK DATUK PATINGGI HAJI ABDUL GAPOR, STAMPIN, KUCHING


Saya teringat semasa bertugas di SMK Datuk patinggi haji Abdul Gapor, kuching pabila ketemu foto klasik ini. Wajah-wajah lalu yang segak, cantik dan menawan kini tinggal renta dan layu ditelan waktu. Ada juga yang telah pergi buat selama-lamanya. Jika cikgu Zmhari Haji Mustapha terlihat foto ini tentu memori akan kembali kepadanya, ya sesuatu yang manis dan indah....

Wednesday, November 18, 2009

EMPAT BUDAK HITAM


Foto yang dirakam sekitar tahun 1983, dari kiri Khairul Anwar, Zakariyya (dipangkuan), Faizal dan Laila. Laila di Sungai Petani, Khairul di KL, Zakariyya di Miri dan Faizal pula di Gedong.
Kadang-kadang seperti bermimpi pabila melihat waktu berlalu...

Tuesday, November 17, 2009

BILIK DARJAHKU

Saya belajar di bilik darjah ini (bilik hujung) di SK Pulo, Kuching sekitar tahun 1966 (Darjah 6 ketika itu). Tahun1966 sekolah ini baru disiapkan pembinaannya. Ia terletak di kampung Semarang. Sebelum ini saya belajar di bangunan lama sekolah ini di kampung Pulo Hilir. Nak tahu bagaimana rupa bangunan lama sekolah ini, senang aja, lihat sekolah dewasa dalam filem Pendekar Bujang Lapok..Aahhh..begitulah

Monday, November 16, 2009

Di pantai pulau Satang Besar

SELAMAT KEMBALI


Semasa mencatat entri ini di blog. CT belum sampai lagi. Tak sabar menanti kepulangan CT ke Kuching. Dia dijangka berangkat dari LCCT ke Kuching jam tiga petang ini 17.11.09. Papa, Mama dan adik Nurul amat merindui CT. Di rumah CT ada tugas menanti. Kena jaga Udak Bibah yang kini tinggal bersama kita. Selamat kembali sayang dan selamat berbakti pada keluarga.Masa untuk bangun lewat dah berlalu tau....

KONVOKESYEN TADIKA HIKMAH

Konvokesyen Tadika Hikmah Kpg Malaysia Jaya berlangsung pada hari sabtu, 14 November 2009. Saya ikut hadir kerana cucu keempat antara yg menerima sijil tamat belajar di sini. Tahun depan, cucuku itu, Kamalia Aqilah, akan menyambung pelajaran Tahun satu di SK (A) Madrasah Datuk haji Abdul Kadir Hasan, Kuching. tahniah Aqilah...

Sunday, November 15, 2009

CUBA TEKA?


Lama benar saya tidak menjalankan aktiviti berjalan kaki waktu petang kerana urusan lain. Foto ini saya ambil dari salah satu tempat berjalan kaki. Cuba teka di mana?

Saturday, November 14, 2009

Teringat Dusun


Tiga tahun lepas saya sempat ke dusun di kpg Lidah Tanah. Makan durian didusun seronok. Keenakannya lebih. Lebih seronok mendengar durian jatuh ke bumi dan anak-anak berlari mengutip durian yg jatuh. Bahaya juga berada di bawah pokok durian. Perlu hati-hati.

Kini pak saudara yg selalu bersama kami ke dusun kurang sihat dan tak terdaya nak ke dusun. Tanpa dia kita tak seronok nak pergi. Kira makan durian yg dikutip di tepi jalan Kuching/ Serian. Tapi buah durian di tepi jalan selalunya amat mengecewakan. Jika tak buruk, ia sejuk dan tawar, jika tak pun akan terjumpa yang mentah.

Saya amat merindui dusun, bukan buahnya tapi suasananya.

Friday, November 13, 2009

Gabriel Garcia Marquez - One hundred years of Solitude


Setelah lebih sebulan membaca novel One hundred years of Solitude tulisan Gabriel Garcia Mrquez akhirnya saya sampai juga ke muka surat 442, muka surat terakhir novel itu. Sepanjang membacanya saya dialun oleh satu tulisan yang begitu menakjubkan dengan cerita yang sangat menarik. Setelah membacanya, serasa ingin benar saya menulis secantik itu tapi apakan daya.....

Lalu malam ini saya mula membaca novel tulisan AMITAV GHOSH berjodol Sea of Poppies. Buku ini saya beli lebiuh sebulan yang lalu tapi belum sempat membacanya. Saya pernah membaca tulisan Amitav Ghosh sebelum ini melalui novelnya The Hungry Tide. Saya harap novel Sea of Poppies ini menarik juga seperti Hungry Tide. Tak pasti berapa lama masa yang akan saya perlukan untuk menghabiskan novel setebal 530 muka surat ini.