Wednesday, December 09, 2015

KEHIDUPAN DI KAMPUNG PULO HILIR KUCHING (15)-SECEBIS TENTANG MASA LALU

SECEBIS TENTANG MASA LALU

Masa berlalu musim berganti. Perubahan berlaku setiap detik dan waktu. Perubahan ke arah yang lebih baik atau sebaliknya. Perubahan membawa kepada kesejahteraan hidup atau kemusnahannya. Semua bergantung pada hati kecil diri sendiri. Benar suasana sekeliling mempengaruhi hati namun yang lebih penting kemahuan diri. Apakah perlu berubah mengikut peredaran masa tanpa mengira impak dan kesannya? Terserah.
          
        Tahun enam puluhan di seberang hilir banyak jua amalan yang bertentangan dengan ajaran agama termasuk amalan syirik berlaku secara terang-terang dan besar kemungkinan tanpa disedari kerana tipisnya ilmu agama masa itu. Penduduk masih tidak dapat berpisah dengan amalan lalu. Tidak semua begitu tapi yang jelas amalan yang dimaksudkan masih berlaku sekitar tahun enam puluhan.

        Suatu amalan yang masih tidak boleh saya lupakan ialah amalan melepaskan "Ancak" di sungai Sarawak. Jika ingatan tidak menipu saya, ada seorang wanita yang akan melakukan upacara menghanyutkan ancak ke sungai. Saya kurang ingat apakah dia seorang bomoh atau bukan. Yang saya pasti pada hari ancak hendak dihanyutkan wanita ini berjalan mengiringi ancaknya bersama penduduk-penduduk kampung. Saya ingat wanita itu berpakaian yang agak berwarna-warni dan dia sedang dalam keadaan tidak sedarkan diri. Seolah-olah yang berjalan itu orang lain, bukan dia.

     Saya kurang pasti apa yang berlaku selepas itu. Saya kira perempuan ini akan melepaskan ancak, yang berbentuk sebuah perahu atau rakit yang memuatkan beberapa benda seperti lilin , makanan dan mungkin juga ada benda-benda lain, saya benar-benar tidak ingat. Saya difahamkan ia merupakan acara tahunan bagi wanita itu. Apa tujuannya , saya kurang pasti. Saya kira usia saya ketika itu mungkin antara 8-10 tahu begitu.
          Di kampung kebanyakan penduduk yang sakit akan berubat dengan bomoh dan dukun. Yang saya maksudkan dengan bomoh apabila pengamal perubatan ini mengubati pesakitnya dengan menjelma menjadi "hantu" yang akan merasuk badan pengaalaman perubatan. Banyak jenis hantu yang akan meresap ke dalam badan bomoh ini. Saya kira dia memelihara banyak jenis hantu, lengkap dengan namanya.

          Apabila jasadnya telah dimasuki hantu ini, suaranya berubah. Antara hantu itu termasuklah si bisu, hantu Iban, dana beberapa nama lain yang saya tidak ingat. Jika si bisu, bomoh itu akan beraksi seperti orang bisu berdialog dengan pengantaranya yang memahami kehendaknya. Berlakulah proses mengubati dengan menggunakan antaranya mayang pinang (kelapa?) . Untuk membelah mayang ini, bomoh ini akan menunjukkan kekuatannya dengan membelah menggunakan tangannya. Mayang akan disapu ke seluruh badan pesakit. Selepas mengubati pesakitnya, bomoh akan menggunakan kain untuk menutup dirinya.

          Biasanya dia akan pengsan setelah menguabti pesakit dan kemudian kembali menjadi  dirinya seperti biasa. Hari ini memang tidak pernah lagi saya bertemu perubatan seperti ini. Saya yakin ia mula hilang dari amalan masyarakat sesudah masyarakat sedar setelah mendapat didikan-didikan agama dari para uustaz dan ilmuan yang mula menyebarkan apa yang benar dan apa yang syirik. Namun saya tidak dapat menafikan mungkin masih lagi diamalkan sebahagian masyarakat. hanya saya yang belum menemuinya.

          Dukun pula merupakan seorang pengamal perubatan yang akan mengubati dengan membaca mentera/doa tertentu sambil menculit kapur pada badan pesakit. Ada kalanya ia akan membaca doa/ menteranya pada air untuk diminum oleh pesakit. Saya pernah juga membaca doa/mentera yang digunakan oleh dukun.Namun saya tidak pula ada menyimpan ayat--ayat tersebut. saya perhatikan setiap doa/mentera itu akan diakhiri dengan ayata, "Berkat lailahaillalah..begitulah kurang lebih yang saya ingati. Cara dukun mengubat tidak menampakkan bantuan dari makhluk lain selain doa dirinya sahaja.

          Saya mula ke klinik ketika usia menjangkau sembilan atau sepuluh tahun. Ketika itu banyak dari kalangan kami murid-murid sekolah rendah kampung Pulo yang kena pergi ke Klinik ATAS untuk pemeriksaan dan ada sebahagian kami mengambil ubat berterusan. Saya tidak menjangka ketika itu kami diubati kerana penyakit batuk kering yang menjalar dalam kalangan kami.

          Musim menuba ( saya tak ingat tahunnya, mungkin sekitar 1965) di sungai Sarawak merupakan satu pesta menangkap ikan yang mabuk akibat tuba. Setiap orang akan menggunakan semacam lembing bermata dia atau tiga untuk digunakan menikam ikan yang timbul oleh mabuk tuba.

          Saya dan teman-teman berlari di tebing sungai untuk ikut sama melembing ikan yang kelihatan timbul di gigi air. Kami meredah selut. Saya terpijak sesuatu dan mula terasa sakit. Tapak kaki saya telah terpijak sesuatu dan ia mula menyakitkan dengan bisa yang teramat. Saya berlari ke rumah dan menangis sehingga hampir pengsan.

          Ramai penduduk kampung datang dengan sebahagiannya membawa pelbagai jenis ubat dan minyak. Apa bila diperiksa kaki saya, jelas saya terpijak ikan Kitang.Saya menanggung kesakitan untuk waktu yang lama. Percaya tak percaya, saya hanya sembuh sepenuhnya selepas seminggu. Bayangkan kesakitan yang menghantui saya setiap detik dan ketika. Dukun-dukun banyak yang datang mengubati namun tiada kesan. Anehnya tiada siapa berfikir untuk membawa saya ke klinik ketika itu.



          Begitulah secebis catatan masa lalu yang ingin saya kongsikan kali ini. Catatan tentang perubatan tradisional yang diamalkan suatu ketika dulu. Masa alalu itu sejarah kita. Ada pelajaran padanya. Terserah pada kita bagaimana menggunakan sejarah untuk kebaikan masa depan kita.

Wednesday, November 25, 2015

KEHIDUPAN DI KAMPUNG PULO HILIR, KUCHING (14)-PENIAGA-PENIAGA MASA SILAM

PENIAGA-PENIAGA MASA SILAM

Awal tahun enam puluhan laluaN merentas  kampung Pulo Hilir merupakan jalan tanah sahaja. Sebahagian jalan yang becak akan diletakkan batang kelapa sebagai titian bagi mengelak dari terpijak tanah becak. Boleh bayangkan ketika musim landas antara bulan November hingga Mac, jalan di kampung memang sangat sukar untuk digunakan. Namun dalam suasana dan persekitaran yang agak teruk begini tidak menghalang para peniaga untuk datang ke kampung-kampung seberang hilir menjalankan perniagaan mereka. Peniaga-peniaga ini datang ke kampung menggunakan basikal atau berjalan kaki.

          Seorang Cina tua yang kami panggil Ah Song akan datang ke kampung kami setiap hari menggunakan basikalnya. Di kedua-dua belah hendal basikal tergantung raga yang dimuatkan dengan tong untuk menyimpan aiskrim. Ah Song biasanya datang pada sebelah pagi menjual aiskrim dan juga kacang kuda rebus.  

          Peniaga yang kami panggil Ah Bon pula menjual rojak buah. Namun dia tidak datang setiap hari. Kita mungkin dapat bertemunya seminggu sekali atau dua kali. Saya kurang ingat apakah Ah Bon berjual mengguna basikal atau memikul kandar . Saya benar-benar lupa. Selain rojak buah, dia juga menjual sengkuang, mentimun dan tauhi kering yang dibubuh sambal rojak. Harganya lebih murah daripada rojak buah.

          Sesekali di awal pagi ada seorang India yang berjual putu mayong. Dia akan berjalan melintasi rumah-rumah di kampung sambil dengan suara nyaringnya meneriak , "putu mayung!, Putu mayung!" Putu mayungnya memang sedap. Ia dibungkus dengan daun simpur. Dia jarang datang ke kampung, hanya sekali sekala sahaja.

          Pada sebelah petang kira-kira selepas asar hingga maghrib seorang berbangsa Sikh akan berjalan keliling kampung menjual kacang putih (disebut kacang putet). Ia sejenis kacang seperti kacang kuda tapi kecil sedikit saiznya dan dikeringkan. Warnanya kekuningan dan sangat sedap dimakan.

          Ada juga peniaga yang berjual menggunakan perahu/bot berenjin. Ia seperti kedai runcit bergerak. Dalam botnya penuh dengan barangan yang biasa kita dapat di kedai runcit di kampung. Sesekali ia akan berhenti di satu-satu pangkalan di kampung kami. Orang kampung terutama suri rumah akan menuju ke bot untuk membeli barangan dapur yang mereka perlukan.
          Sesekali akan datang perahu besar berlayar yang saya kira datang dari sebelah pekan Pusa atau kawasan-kawasan berhampiran. Ia singgah di kampung membawa bersama tepung lemantak/rumbia untuk dijual. Saya paling gemar lemantak/rumbia ini yang dimasak dan dibuat seperti penkek. Ia sebenarnya makanan suku kaum Melanau tapi sangat popular dalam kalangan masyarakat Melayu.

          Orang dari kawasan Samarahan pun ada juga berdagang menggunakan perahu di kampung kami. Mereka datang membawa buah-buahan ketika musim buah, antaranya Tembikai, langsat, rambai dan rambutan. Harga buah ketika itu sangat murah. Buah-buah yang tidak habis dijual akan dibawa ke pasar cekor d bandar Kuching untuk dijual oleh para peruncit.

          Di kampung kami ada juga yang bekerja sebagai nelayan sungai. Mereka keluar mengkap ikan pada sebelah petang dan keesokan hari akan kembali membawa hasil tangkapan. Ikan-ikan yang ditangkap pelbagai jenis, akan dijual di kampung. Salah seorang yang saya ingat bekerja sebagai nelayan ialah jiran kami, Abang Mat.

          Seorang nyonya yang kami panggil Simoi merupakan peniaga yang menjual ikan terubok di kampung. Ikan-ikan ini ditangkap oleh perahu kotak milik kaum Heng Hua. Kaum Heng Hua tinggal di penempatan mereka yang terletak di seberang sungai Sarawak berhadapan dengan kampung-kampung seberang hilir.Mereka merupakan jiran orang Melayu. Banyak juga orang kampung yang bekerja dengan orang Heng Hua menagkap ikan di laut dengan menggunakan bot kotak ini.

Kehidupan di kampung sangat mudah dan harmonis. Tiada terdengar kata-kata menghina satu kaum dengan yang lain. Bukan tidak pernah berkelahi namun ia adalah kerana perkara biasa bukan yang berbentuk perkauman dan penghinaan terhadap satu-satu bangsa.
Sesungguhnya saya merindui saat-sat indah ketika tinggal di kampung masa silam. Saya sentiasa mengingati detik itu. Ya kita mungkin boleh tinggal jauh dari kampung namun kampung sentiasa di jiwa kita.





Thursday, October 22, 2015

ANAK KECIL DARI SIMPANG TIGA (episod 1)

Memang agak sukar untuk mengingati kehidupan masa lalu namun ada juga peristiwa yang berlaku pada kita tetap melekat di dalam ingatan. Saya dilahirkan dalam tahun 1953. Saya pernah melihat foto saya didukung oleh Datuk saya semasa berusia setahun lebih. Saya juga ingat benar semasa tinggal di sebuah rumah pekerja kilang getah tempat ayah bekerja sebagai jaga.Kawasan itu terletak di tebing sungai Sarawak tidak berapa jauh dari Janakuasa SESCO Western region. Seberang sungai bertentangan dengan rumah kami ialah kampung Bintawa. Tidak jauh dari tebing sungai di mana terletaknya rumah kami ada terdapat rangka sebuah bot zaman Jepun, jika tak silap. Saya tak pasti apakah rangka itu masih di sana ketika ini atau sudah dialih oleh pihak Lembaga Sungai-sungai Sarawak.

          Antara peristiwa dan perkara yang saya ingati  waktu itu ialah peristiwa saya terjatuh dari tangga yang terletak di dalam perigi di tepi rumah kami. Saya terjatuh setelah pegangan tangan saya pada tangga terlepas. Saya berada di dalam air seketika sebelum ayah mengambil saya dengan menarik rambut, begitu cerita kakak. Hingga hari ini saya dapat rasai ketakutan saya ketika berada di dalam perigi.
          Di rumah kami ketika itu tiada bekalan air paip seperti sekarang. Kami mandi menggunakan air perigi. Air minuman bersumberkan air hujan yang ditakung. Saya ingat benar terdapat penapis air yang agak besar diperbuat daripada batu. Air dimasukkan di dalam penapis itu dan akan menetes keluar sedikit demi sedikit. Saya kira penapis batu itu satu cara untuk membersihkan air masa lalu.

          Kami berpindah dari rumah pekerja itu ke Simpang Tiga dalam tahun 1959/60 apabila bapa ditawarkan bekerja di Hongkong Bank sebagai jaga. Di Simpang Tiga kami tinggal di sebuah rumah sewa milik Datuk, Haji Abdul Shakoor. Rumah kami di Simpang Tiga itu terletak tidak jauh dari Bangunan Dirgahayu. Kami sekeluarga tinggal di rumah tanpa perlu membayar sewa. Itu cara Datu membantu keluarga kami. Datuk ikut tinggal bersama kami tapi memang ada bilik berasingan untuk dia. Bilik yang agak cantik dan kemas.
          Saya masih ingat detik-detik kami berpindah rumah. Barang-barang kami dibawa menggunakan lori sewa. Saya ikut bapa menggunakan basikalnya. Basikal bapa jenis yang disebut basikal "onta" atau basikal "gentleman". Di rade belakang bapa letakkan sebuah raga besar untuk menyimpan roti yang dijualnya. Pagi itu bapa letakkan saya di dalam raga di belakang basikal. Saya dapat merasai kegayatan berada di belakang basikal itu.

          Datuk Shakoor merupakan seorang peniaga yang cukup berjaya. Dia memiliki beberapa buah rumah sewa, tanah kebun dan juga sekandang sapi. Saya kira tidak kurang daripada dua puluh ekor sapi yang dipelihara Datuk. Sesekali akan ada pihak dari Veterinar datang merawat sapi datuk. Makanan rumput untuk sapi ini diambil oleh pekerja-pekerja datuk. Seingat saya tidak kurang daripada empat atau lima orang yang bekerja dengan datuk. Saya ingat sampai hari ini nama-nama mereka, antaranya, Mon, James, Richard, Basri. Rumput yang telah dipotong dan diikat dengan sempurna akan dibawa balik menggunakan kereta lembu. (Seperti kereta lembu yang dinaiki P. Ramlee dalam filem Do Re Mi).
          Tinggal di Simpang Tiga saya berkawan dengan anak-anak dari pelbagai bangsa yang tinggal di rumah sewa datuk. Kawan-kawan Cina saya bernama Abeng danabngnya bernama Say Beng. kakak-kakak mereka dikenali dengan nama Jaik,Lily dan Bendi. Ada juga kawan-kawan India, Unju dan Raja, dan dari kaum Dayak( Bidayuh atau Iban saya kurang pasti ) seperti Kulang, Musa dan Maboob. Ada keluarga Melanau Kristian tapi tiada anak kecil untuk menjadi kawan.

          Bapa juga ada memelihara seekor dua sapi. Pagi hari saya dan kakak akan membawa sapi ini seorang seekor ke padang rumput . Sapi akan diikat di kawasan itu untuk meragut rumput. Bayangkan saya baru berumur mungkin dalam lingkungan enam atau tujuh tahun telah berupaya menarik seekor lembu. Kadang-kadang saya sendiri merasa takjub akan kebolehan saya suatu ketika dulu. Jika sekarang saya memang tak boleh melakukannya.

          Biasanya saya dan kakak akan membawa sapi ini di kawasan ragut satu kawasan yang yang sekarang ini terletak di seberang jalan berhadapan dengan restoran Tok Janggut. Teman-teman di Kuching tentu tahu kawasan ini. Ini perkara rutin yang saya dan kakak lakukan.Sebelah petang sapi akan dibawa balik dari kawasan meragut rumput. Pernah berlaku suatu hari kami terlupa membawa balik sapi. Kami menyedarinya sebelah malam. Terpaksalah abang kami, Abang Khalique dan teman-temannya pergi untuk mengambil sapi. Perkara ini dirahsiakan dari bapa takut ada yang kena marah.

          Pernah suatu petang saya dan kakak membawa balik sapi. Sampai di satu kawasan tak jauh dari tokong Cina jalan Batu Litang yang berhadapan dengan bangunan Dirgahayu seekor anjing Alastian terlepas keluar dari sebuah rumah berpagar di sebelah tokong tanpa saya sedari. Saya hanya menyedarinya apabila merasai kesakitan di belakang saya. Saya menoleh dan terkejut yang amat kerana anjing itu sudah berada di belakang saya. Dua kaki hadapannya diletakkan betul -betul di belakang saya dan saya rasa pedih . Saya berlari dan Tuan punya anjing itu memanggil pulang anjingnya. Satu pengalaman yang sangat menakutkan. Sehingga hari ini saya masih lagi fobia akan anjing.

          Banyak lagi yang ingin saya tulis tentang peristiwa dan pengalaman hidup semasa kecil di Simpang Tiga. Buat kali ini cukuplah saya catatkan apa yang boleh saya ingati. Episod lain saya akan cuba mengingati peristiwa-peristiwa lain pula semasa tinggal di Simpang Tiga.
Wajah Allahyarham Ibu 
Anak Kecil dari Simpang Tiga
Wajah Allahyarham Ayah

                   

          

Wednesday, October 21, 2015

KEHIDUPAN DI KAMPUNG PULO HILIR KUCHING (13)-HARI RAYA PUASA

HARI RAYA PUASA



Berhari raya di kampung Pulo Hilir Kuching, 1977



Berhari raya di kampung awal tahun enam puluhan suatu detik yang sangat menggembirakan. Kenangan berhari raya sungguh indah sekali. Pada penghujung bulan puasa warga kampung tentunya sibuk membuat persediaan untuk menyambut aidil fitri. Rumah-rumah akan dicat dengan warna berbeza dari sebelumnya. Bukan semua rumah tapi ada beberapa rumah yang biasa melakukannya termasuk rumah kami yang sentiasa ditukar cat setiap tahun. Saya merupakan tukang cat untuk famili.
          Anak-anak muda sudah berkumpul di surau selepas asar pada hujung ramadan. Beduk akan dipalu menandakan kedatangan syawal. Menitir beduk dilakukan berterusan dan si penitir akan bertukar-tukar. Saya tidak ketinggalan menitir beduk.
          Tok imam surau kami sibuk menyembelih ayam untuk penduduk kampung. Perlu diingatkan tugas-tugas menyembelih ini merupakan tugas tanpa upah atau bayaran. Ia sekadar membantu sesama jiran. Jauh benar bezanya dengan sekarang ya.
          Antara tempat yang akan pasti dikunjungi ramai ialah sebuah kedai di hadapan masjid bahagian Kuching (dulunya dikenali dengan pangggilan masjid besar )kerana di kedai itu ada berjual kari segar. Sekarang kurang sekali kari segar digunakan kerana orang sudah mula menggunakan kari tepung yang boleh didapati di kedai-kedai dan pasaraya dengan mudah. Penjualan kari segar hari ini merupakan sejenis perniagaan yang semakin mengecil dan hampir hilang ditelan masa.
          Pagi hari raya, orang kampung berduyun-duyun ke surau masing-masing. Suarau dari kampung Boyan hingga Bintawa akan dipenuhi penduduk kampung. Selepas solat sunat aidil fitri, orang kampung akan membawa dulang ke surau. Di dalam dulang akan tersedia makanan seperti kari ayam, daging, nasi putih/nasi minyak,dan pelbagai makanan lain. Setiap rumah di kampung akan menghantar sedulang makanan. Sudah lama saya tidak bersolat aidil fitri di kampung. Masihkah mereka membawa dulang ke surau pada pagi aidil fitri?
          Selepas solat kita kembali ke rumah. Biasanya hari raya pertama, saudara mara jauh dan dekat akan berkunjung sedang jiran-jiran dan sahabat handai akan hanya mula berkunjung pada hari kedua dan hari - hari seterusnya.
          Cikgu-cikgu Sekolah Rendah Pulo diketuai oleh guru besar waktu itu, Allahyarham cikgu Othman Ali akan berziarah di rumah orang kampung pada hari raya ketiga atau keempat. Ada satuu amalan yang masih saya ingat masa itu. Pabila guru-guru balik dan mula meninggalkan rumah tetamunya, penduduk rumah yang dilawati tadi akan melontar sekeping mercun papan. Saya kira itu tanda penghormatan terhadap pengunjung VIP ini. Betapa kita menghormati guuru ketika itu.
          Saya dan teman-teman akan berkunjung ke rumah penduduk kampung pada hari raya keempat atau kelima. Kami datang berkumpulan lengkap berpakaian teluk belanga( Baju Melayu). Sampai di luar rumah kami akan memberi salam. Jika salam tidak disahut kami akan beredar dari rumah itu dan pergi ke rumah seterusnya. Biasanya kami akan menziarah setiap rumah yang ada di kampung.
          Kami juga akan berkunjung ke kampung-kampung lain. Pernah kami keluar waktu pagi dan hanya balik ke rumah sebelah malam. Bayangkan berapa banyak rumah yang kami ziarahi. Dan setiap rumah yang dikunjungi menyambut dengan senang hati. Mereka bangga jika rumah mereka dikunjungi waktu hari raya. Hari ini pada musim hari raya sukar benar untuk melihat orang berkunjung ke rumah semeriah dulu. Budaya kunjung mengunjung semakin hilang ditelan masa yang serba canggih. Masa banyak diluangkan dengan menonton rancangan TV di rumah.
          Seminggu dua sebelum berhari raya penduduk kampung akan bergotong royong pergi ke hutan mengambil kayu somah yang akan digunakan sebagai turus untuk meletakkan pelita di sepanjang jalan di kampung. Para pemuda akan diberi jadual kerja menjaga pelita dari proses mengisi minyak dalam pelita, memasangnya dan mengutip balik selepas jam dua belas malam. Memasang pelita di sepanjang jalan itu dikenali dengan "Bertuntung". Jalan di kampung akan terang benderang. Terasa benar kemeriahannya.
          Seperti biasa pada awal pagi selepas solat kami sekeluarga akan berkumpul dan bersalaman memohon keampunan ibu bapa dan saudara atas setiap kesalahan yang pernah kita lakukan sebelum ini. Suasa akan terasa sedikit sebak ketika ini.Inilah amalan yang sangat saya sukai dan amalan ini berterusan di dalam keluarga saya hingga hari ini. Kami tambah sedikit amalan ini dengan yang tua memberi sedikit wang kepada anak-anak dan cucu-cucu. Sedang anak yang sudah bekerja akan memberi sumbangan kepada ibu bapa dan adik-adik yang masih kecil. Saya sangat menyukai suasana ini. Ia benar-benar mengeratkan perhubungan keluarga.
          Setiap kali hari raya pihak pembuat filem seperti malay Film Production dan Cathay Kris Film Production akan menayangkan filem-filem baru mereka. Satu atau mungkindua hari dalam hari raya akan dihabiskan di pawagam bagi menonton filem. Panggung akan dipenuhi dengan pemuda pemudi dengan fesyen dan baju terbaru mereka. Awal enam puluhan para pemuda memakai seluar ketat dan awal tujuh puluhan pula mereka bertukar kepada seluar fesyen bell-bottomed.
          Terlalu banyak yang indah-indah di masa itu. Hari raya puasa tahun-tahun berlalu itu banyak meninggalkan kenangan manis yang sukar dilupakan.




Monday, October 19, 2015

KEHIDUPAN DI KAMPUNG PULO HILIR KUCHING (12) -ZAMAN PERSEKOLAHAN


Sebagai ahli Kadet Polis pertama di Sarawak, 1970


Ketika usia sembilan atau sepuluh tahun

SMB St Thomas ikut serta perarakan Maulidur rasul 1970.

ZAMAN PERSEKOLAHAN

Bukanlah sesuatu yang aneh dalam tahun 60an dan masa-masa lebih awal sebelum itu anak-anak mula bersekolah pada usia yang agak lanjut. Saya dilahirkan dalam tahun 1953 tetapi hanya memasuki  tahun satu (atau darjah satu istilah dahulu) dalam tahun 1961. Maknanya saya masuk darjah satu ketika usia mencecah lapan tahun sedang teman-teman lain baru berusia tujuh tahun.

          Ayah bawa saya ke SRB St Theresa tetapi tidak dapat diterima kerana usia telah lanjut. Lantas saya dihantar oleh ayah ke SR Lumba Kuda. Pakaian sekolah waktu itu baju kemeja putih dan seluar hijau. Berjiran dengan sekolah ialah Padang lumba kuda. Guru Besar sekolah masa itu cikgu Mobel Haji Paris.
          Saya tinggal di rumah sewa sekitar Batu Lintang berhampiran bangunan Dirgahayu. Saya bersekolah sebelah petang. Setiap hari kakak akan menghantar ke sekolah dengan berjalan kaki dari rumah kami ke sekolah yang saya kira jaraknya mungkin sekitar dua kilometer.
         
          Ada beberapa kenangan yang tidak dapat saya lupakan semasa setahun bersekolah di SK Lumba Kuda. Di sekolah ini anak-anak sekolah selalu mengadakan pertandingan berlari berpasukan. Seorang akan menjadi kuda dan seorang penunggangnya. Apa yang selalu berlaku, anak-anak darjah satu akan menjadi kuda. Mereka berada di posisi hadapan sedang budak senior akan menjadi penunggang. Dia akan memegang baju sekitar kolar bau mengenggam erat dan akan menolak kuda mereka tadi. Saya sangat teringin untuk menjadi kuda dalam perlumbaan ini namun tidak berpeluang.

          Suatu hari seorang senior mengajak saya berlumba. Saya sanagat teruja dan mula berada di garisan permulaan. Baru tiga meter saya berlari bersama penunggang saya tersungkur ke tanah kerana tolakan penunggang yang berllari agak pantas sedang saya tidak dapat mengikut momentum beliau. Akhirnya saya menangis dengan kaki berlumuran darah terkena pasir dan batu. Saya tidak lagi mahu menjadi kuda dan tidak juga mahu berlari bersama anak-anak senior lagi.

Akhir tahun 1961 keluarga kami berpindah ke kampung Pulo Hilir. Ayah membawa keluarga tinggal di kampung lantaran masa itu ibu selalu tidak sihat dan perlu penjagaan. Kami tinggal di bersama emak dan bapa saudara yakni adik-adik kepada ibu. Kerana perpindahan ini saya berpindah sekolah ke SK Kampung Pulo (dulu lebih dikenali dengan nama Pulo District Council School). SK Kampung Pulo hanya sebuah sekolah beratap rumbia berdinding separuh dan bertiang nibung.

          Antara teman-teman sekelas dengan saya masa itu termasuklah sdr KK Hassan/Salleh, Sdr Wahab Botek, sdr Daud Gobil, Allahyarham Jamali Tahir, Haji Sani Arbi dan adiknya Allahyarham Amin Arbi. Itu antara nama-nama yang saya masih ingati.Kami bersama selama lima tahun sehingga darjah enam. selepas itu dalam tahun 1967 saya berpeluang melanjutkan pelajaran peringkat menengah rendah di SMB St Thomas.

          Zaman enam puluhan jalan raya di kampung sangat becak ketika hujan. Jalan biasanya bertitikan batang kelapa di sebahagian tempat. Guru-guru yang mengajar terpaksa membuka sepatu mereka kerana jalan yang terlalu becak. Saya kira pengorbanan guru ketika itu amat tinggi dan dalam masa yang sama penghormatan yang diberikan oleh ibu bapa terhadap guru sangat-sangat tinggi. Guru-guru sangat dimuliakan.Tidak dinafikan ada juga ibu bapa yang menongkah arus tapi peratusnya sangat kecil.

          Saya masih ingat nama beberapa orang guru sekolah rendah Kpg Pulo. Guru besar ketika itu ialah Allahyarham cikgu Othman Ali. Guru-guru lain termasuklah Allahyarham cikgu Gobil Hj Ismawi,Allahyarham Cikgu Bujang, Cikgu Saerah, cikgu Edward Haji Ahmad, Miss Lim, Cikgu Halik Simpo, Mrs Lilian Tay dan beberapa nama lain yang saya kurang ingati.
          Banyak kenangan bersama cikgu-cikgu saya, ada yang manis dan ada juga yang pahit. Namun walaupun ada kenangan pahit ketika itu, hari ini setelah dewasa kita pasti akan berfikir kembali, tanpa pengalaman pahit itu, belum pasti kita dapat merasai kemanisan hidup. Ertinya walau sepahit mana pengalaman lalu, ada kemanisan yang terselindung di sebaliknya. Yang penting jangan sekali-kali berdendam dengan kenangan itu.
          Tahun 1967 saya berpindah ke SMB St Thomas memasuki alam sekolah menengah rendah. Jika di SK Kpg Pulo saya bergaul dengan anak-anak Melayu, di SMB St Thomas saya berpeluang belajar bersama anak-anak dari semua kaum. Teman-teman saya adalah anak-anak Cina, Iban Bidayuh dan juga India. Ada juga yang berbangsa Portugis di kelas saya ketika itu.

          Belajar dalam suasana berbilang kaum ada baiknya. Semangat untuk belajar dan bersaing sangat tinggi. Yang membanggakan kita apabila kita dapat mengatasi teman-teman lain dalam pelajaran. Belajar di SMB St Thomas banyak membuka minda kita terhadap dunia yang lebih luas. Saya ditempatkan di dalam Tingkatan satu "C", kelas yang paling lemah, kiranya mengikut kategori sekolah ketika itu. Bermula tahun 1968 saya dinaikkan ke Tingkatan dua "B".

          Akhir tahun 1967 saya dijemput hadir sama ke majlis penyampaian hadiah untuk mengambil hadiah kerana saya antara tiga yang terbaik dalam kelas kami Tingkatan satu C. Saya menerima hadiah yang disampaikan oleh Gabenor Negeri Sarawak ketika itu, Almarhum Tun Abang Haji Openg.

          Terlalu banyak untuk ditulis tentang zaman persekolahan. Mungkin saya akan tulis lagi dengan tajuk yang lebih spesifik. Saya menulis untuk bercerita kepada anak-anak dan cucu-cucu pengalaman hidup masa lalu. Mungkin ada yang boleh dipelajari darinya. Wallahhu'alam.
          

Thursday, October 08, 2015

SEMALAM DI SIMUNJAN : MAKNA SEPI



menjadi bestman kepada seorang sahabat yang berkahwin, sdr Hipni Kanaini

Pemandangan di sekitar SMK Simunjan

Bersama seorang guru dari Semenanjung Malaysia, cikgu Muhamad Harun

Kehidupan di Simunjan sebenarnya sangat sepi dan menyepikan. Sekolah tempat saya bertugas terletak jauh dari pekan dan jalan dari sekolah ke pekan sangat teruk. Jalan di bina dengan kepingan simen yang disusun dengan luasnya sekitar 5 kaki begitu. Simen-simen banyak yang telah retak. Sebahagian tempat lopak dan berlubang.

Di sebelah jalan terdapat rel keretapi yang digunakan kereta sorong roda keretapi. Untuk menggerakkan kereta sorong ini penggunanya akan menggunakan buluh panjang atau dalam bahasa tempatan disebut "suar" jika tak silap. Suar yang digunakan untuk menolak sehingga kereta bergerak. Kereta ini biasanya digunakan untuk membawa barangan apa jua termasuk bekalan pembinaan seperti simen dan kayu.

Berbalik kepada suasana sepi khusunsya selepas jam sembilan malam apabila anak-anak mula tidur, terasa benar sunyi. Kerana terlalu baru saya tidak punya banyak kawan lagi. Ada kawan yang diperkenalkan kepada saya oleh Almarhum sdr Kiprawi tapi tinggal di rumah kerajaan di pekan Simunjan. Kawan-kawan saya ini merupakan staf Kerajaan dari pelbagai Jabatan Kerajaan. Jadi untuk menghilangkan sepi dan sunyi, setiap hujang minggu bermula selepas petang hari jumaat saya akan mengayuh basikal untuk bermalam di rumah teman baru saya.

          Antara teman-teman saya termasuklah saudara Julahi Suhaili dan  Cosmas Allen dari Jabatan Pertanian dan  Abang Abdillah Aerowaini. Hujung minggu kami habiskan dengan menonton wayang d pawagam Kee Yang. Saudara Julaihi dan Cosmas Allen mempunyai hobi memasak dan saya penggemar masakan mereka. Hari ahad kami akan ke pekan membeli sayur dan ikan untuk makan tengah hari. Udang galah ketika itu sangat murah dan senang didapati dan saya penggemar nombor satu udang galah. Agak lama juga saya tidak bertemu dengan saudara Julaihi sekarang. Begitu juga dengan saudara Cosmas Allen. Saudara Abang Abdillah tinggal tidak jauh dari rumah saya kini dan tidaklah sukar sangat untuk bertemu beliau yang kini seorang pesara Polis.

          Melalui saudara Julaihi saya mula mengenali teman-teman lain di Simunjan. Malam kami habiskan dengan berlatih menyanyi dengan saudara Cosmas memetik gitar dan meniup harmonika seretntak, bakat istimewa beliau. Pernah saya bersama Cosmas dan Julaihi menyanyi di pentas pekan Simunjan ketika diadakan pesta. Mengingati peristiwa itu membuat saya tersenyum seorang diri. Antara lagu yang kami nyanyikan termasuk lagu Melody Fair dan First of May.

          Ada ketikanya kami dijemput oleh Pegawai Hutan Daerah, Almarhum Pak Haji Bujang, ayah kepada saudara Murad Bujang seorang peniaga dan bekas pengurus Syarikat Bumiko. Isteri beliau merupakan rakan sekerja saya semasa bertugas di SMK Datuk Patinggi Haji Abdul Gapor, Kuching sekitar awal lapan puluhan. Almarhum sangat pandai memasak laksa Sarawak. Sikap dan peribadinya yang ramah, murah hati dan sangat baik dengan anak-anak muuda seperti kami membuat rumahnya sentiasa penuh dengan tetamu.

          Pagi isnin seawal jam 7.30 pagi saya mula mengayuh basikal dari pekan Simunjan ke Sekolah dan bermula pula kehidupan biasa di sekolah, kehidupan yang sunyi dalam suasana riuh rendah anak-anak sekolah. Kehidupan di Simunjan ketika itu sangat menguji kesabaran dan ketabahan hati menghadapi suasana yang serba kekurangan.


Sunday, October 04, 2015

SEMALAM DI SIMUNJAN: TEMAN SEPANJANG JALAN

Foto bersama sahabat karib, Adenan Jolly

Bersama isteri dan sahabat karib, Saini serta isteri cikgu Razali

Bersama staf SMK Simunjan (1973?)

Cikgu Chong,Cikgu Sebran, Cikgu Sharbini dan cikgu Jerry Chia. Seorang lagi (yg berkaca mata dah lupa namanya)

Setelah beberapa bulan di Simunjan saya mula mengenali teman-teman baharu warga Simunjan dari Kampung Nanas, Kelka, Lintang dan juga Sageng dan Sabun. Teman-teman baharu saya kebanyakannya merupakan pegawai kerajaan termasuk guru-guru yang mengajar di sekitar Simunjan.

Di Sekolah menengah Simunjan saya berkawan dengan semua jenis bangsa. Persahabatan kami sangat akrab. Begitulah kita, apabila berjauhan dari keluarga, sahabatlah tempat kita meluahkan rasa sepi dan rindu kita. Sahabat-sahabat merupakan pengobat segala kekosongan waktu.
Antara teman-teman di SMK Simunjan ketika itu termasuklah Cikgu Sebran Mustaffa (abang kepada cikgu Zamhari Hj Mustaffa) cikgu Ardi Pawi, Ken Sahdi, Shamsherbie Narudin dan abangnya Allahyarham cikgu Haili Naruddin, Cikgu Mohd Tobat,dan adiknya cikgu Fauziah Umar, cikgu Ahmad Ayub, cikgu Merali, Mendiang Frank Merican, Mendiang Bong Khoon Kuet, Mendiang Mr Foo, Nelly Paya Soweng, Mary Wee, Fiona Jong, Janet Foo, Christina Bong @Kartina. Pengetua SMK Simunjan ketika itu Encik Michael Yap sebelum diambil alih oleh Cikgu Abdullah Hj Drahman.

Teman-lain dari sekolah tersebut termasuklah Saini (kini seorang kontraktor yang berjaya) Adenan Jolly (abang kepada cikgu Hamlet Jolly) Lee Kai Cho, Almarhumah Kak Mahani, Kak Yak dan Almarhum Pak Tar (Mahtar Mahli).
Teman-teman dari Simunjan masih lagi berhubung dengan saya, seperti cikgu Abg Yakup, Hamlet Jolly dan beberapa orang lain. Malah pelajar-pelajar di SMK Simunjan dulu pun kini menjadi sahabat dan masih mengingati saya termasuklah cikgu Muhammad Amin, Cikgu Majek Matta, Aman Bujang, Pengarah Fama, sdr Paza.

Ada di antara teman saya yang telah pergi mendahului kita. Untuk mereka yang telah pergi dahulu, takziah buat keluarga mereka. Al-Fatihah buat yang telah kembali kepada-NYA. Masa memisahkan kita namun ingatan tidak pernah saya lupa.

Tahun 1974 guru-guru dari Semenanjung Malaysia mula berkhidmat di Sarawak. Dua orang yang pertama datang ke sekolah kami ialah cikgu Muhammad Harun dan cikgu Ali Idros (Ali Kengkeng). Setahun kemudian dua orang lagi datang yakni cikgu Mohd Sabri Hj Ishak dan cikgu Mohd Zin. Banyak peristiwa manis dan lelucon yang saya perolehi ketika bersama sahabat-sahabat saya ini.

Antara kenangan manis di Simunjan yang saya ingati, cikgu Ahmad Ayup jatuh hati kepada sekuntum bunga di Kpg Nanas namun hubungan terhenti separuh jalan, mungkin tiada jodoh. Cikgu Muhammad Harun beristerikan gadis Kpg Nanas dan dibawa balik ke Kelantan. (Isteri cikgu Muhammad Harun meninggal beberapa waktu lalu, Al-Fatihah).

Pernah pada suatu malam saya bersama cikgu Sharbini dan Boarding Master Mokhtar Ayub hendak pergi ke kampung Skendu keran kami mendengar ada paluan gendang. Masa itu majlis bergendang sangat popular dan menjadi satu cara hiburan untuk para jejaka untuk bertemu dengan gadis-gadis kampung.

Kami menyusur hutan di belakng sekolah untuk mencari jalan pintas. Paluan gendang semakin nyaring namun kami tak dapat ketemu. Kami berpusing sekitar tempat yang sama selama setengah jam. Kami sesat rupanya. Namun dengan kebijaksanaan cikgu Sharbin dan Mukhtar kami temui jalan pulang ke sekolah. Cita-cita untuk melihat orang bergendang berkecai.

Malam ahad biasanya ada majlis bergendang di kampung-kampung sekitar Simunjan seperti Kampung Kelka dan Sageng. Saya akan dibawa pergi oleh teman-teman kaki nopeng, anttaranya cikgu Abang Yakup, Cikgu Hamlet dan teman-teman dari SMK Simunjan. Biasanya saya akan menjadi pembonceng motosikal cikgu Hamlet, Honda CB 100 (jika tak silap). Oh ya bicara tentang motosikal , Allahyarham Abang Zaidell bin Abang Pauzi mempunyai motosikal yang sangat mewah ketika itu, Yamaha 175/250, saya tak berapa ingat. Allahyarham merupakan seorang Health Inspector di Majlis Daerah Hilir Sadong (kini Majlis Daerah Simunjan, jika tak silap).

Walaupun banyak kampung saya jelajahi untuk nopeng di majlis bergendang, saya tidak ketemu gadis idaman. Mungkin bukan jodoh saya di Simunjan. Saya bertemu jodoh dengan gadis dari Kampung Lidah Tanah. Dengan gadis ini kami membina kehidupan. Saya bawa dia bersama ke Simunjan untuk beberapa bulan sebelum berpindah ke Kuching. Hasil perkahwinan kami, Allah amanahkan kami dengan empat putera dan tiga puteri bersama lima orang menantu dan lima belas orang cucu. 

Waktu yang lalu itu sebenarnya adalah petunjuk buat kita. Mengingati waktu lalu boleh membantu kita membentuk masa muka yang bahagia.





Saturday, October 03, 2015

SEMALAM DI SIMUNJAN : PROLOG

Di Pejabat SMK Simunjan

Almarhum ayahanda Haji Abdul Hakim (foto dirakam sekitar 1960an)

Almarhumah bonda Saimah Matakip


Awal bulan mac 1973 ketika usia baru 20 tahun saya dipindah kerja ke Sekolah Menengah Kerajaan Simunjan oleh pihak Jabatan Pelajaran Sarawak. Saya ke Simunjan dari Kuching menggunakan bot ekspres merentasi laut Cina Selatan setelah bot menghilir sungai Sarawak. Setelah menghadapi ujian menyeberangi laut dengan bot ekspres yang memuatkan  40 orang penumpang, jika ingatan tidak mendustai saya, bot memasuki sungai/batang Sadong yang perkasa. Pekan pertama disinggahi ialah pekan Sebangan yang terletak di tepi laut.
          Pemergian saya ke Simunjan ditemani oleh saudara tua, kekanda Mahrof. Perjalanan ke Simunjan meninggalkan ibu dan bapa merupakan pengalaman pertama berjauhan dengan orang tua. Sedih dan sebak dan juga rindu yang sangat terasa ketika meninggalkan mereka di kampung. Namun sebagai anak yang sudah dewasa tanggungjawab harus dipikul.
          Untuk ke Simunjan ada dua cara pengangkutan yang ada. Pertama menggunakan bot ekspres atau kapal kargo dari Kuching ke Simunjan merentas laut Cina Selatan dan kedua dengan menaiki bas/teksi dari Kuching ke Serian. Dari Serian menaiki bas atau kereta sewa/teksi ke Gedong dan dari Gedong ke Simunjan menaiki bot menghilir sungai Sadong ke Simunjan sambil melintasi beberapa buah kampun di sepanjang perjalanan. Kampung yang amat saya ingat ialah Kampung Lubok Punggor, sebuah kampung di mana terdapat projek penanaman kelapa dengan bantuan Kerajaan.
          Saya bawa bersama sebuah basikal lumba ke Simunjan. Basikal baru sahaja saya beli selepas dilantik di dalam perkhidmatan awam dengan harga kurang lebih dua ratus ringgit. Sampai di Simunjan saya disambut oleh staf yang akan saya ambil alih tugasnya Allahyarham saudara Kiprawi Haji Hasli. Kerana ada sebuah basikal sahaja kami mencari sebuah lagi basikal untuk saudara saya. Kami dipinjamkan sebuah basikal jenis unta oleh Kapitan Cina Simunjan, mendiang Liew Ming Chung. Mendiang merupakan pembekal makanan untuk pelajar-pelajar asrama SMK Simunjan.
          Kami mengayuh basikal  menuju ke SMK Simunjan yang terletak tiga kilometer dari pekan Simunjan melintasi kampung Nanas. Sekolah terletak tidak berapa jauh dari gunung Ngeli. Sampai di sekolah jam sudah tengah hari. Saya ditempatkan di rumah pengetua, Encik Michael Yap, untuk sementara waktu sehingga rumah untuk saya siap untuk diduduki. Ketika itu empat unit rumah berek telah siap dibina hanya menunggu kelulusan untuk diduduki.
          Malam pertama saya sukar tidur. Janakuasa yang membekalkan elektrik di sekolah ditutup jam 11.00 malam. Selepas itu kami memakai pelita. Pengalaman memakai pelita sangat menggelikan hati. Sumbu pelita yang agak panjang menyebabkan ia mengeluar bidu yang banyak. Paginya pabila bangun dari tidur, lubang hidung saya dipenuhi bidu pelita.
          Pagi esoknya abang saya balik ke Kuching dan saya memulakan kehidupan di Simunjan sendiri, tanpa orang tua dan saudara. Memang terasa sedih pabila berpisah dan berada di tempat baru. Saya tinggal di Simunjan untuk tempoh tiga tahun dua bulan mengutip pelbagai pengalaman dan kenangan yang kekal bersemi di dalam memori saya. Kehidupan di Simunjan merupakan antara detik yang terindah di dalam hidup saya.

          

Sunday, September 27, 2015

KEHIDUPAN DI KAMPUNG PULO HILIR KUCHING (11)-KEDAI RUNCIT DI KAMPUNG

KEDAI RUNCIT DI KAMPUNG

Antara tempat yang paling suka dijenguk masa kanak-kanak dulu tentulah kedai runcit, lebih-lebih lagi pabila ke kedai bersama ayah atau ibu. Ada peluang untuk membeli apa yang dihajati sebab pegawai kewangan berada di samping kita.

          Di Kampung Pulo Hilir terdapat beberapa buah kedai runcit yang menjual keperluan penduduk kampung. Kedai runcit tempat kebanyakan penduduk membeli barangan keperluan dapur seperti beras, gula, kopi, teh, minyak masak, kicap dan juga makanan dalam tin. Kedai runcit akan penuh sesak dengan pelanggan pada hujung bulan pabila penduduk-penduduk kampung yang bekerja mendapat gaji mereka. Masing-masing datang ke kedai untuk melunaskan hutang bulan lepas dan membuat belian hutang baru.

          Zaman enam puluhan kedai runcit kampung memainkan peranan yang penting dalam kehidupan masyarakat setempat. Kedai runcit memberi kredit kepada penduduk dan dengan cara ini membantu penduduk kampung menjalani kehidupan mereka. Cara pekedai menjual barang juga sangat sesuai dengan keadaan penduduk setempat. Barangan seperti minyak masak, minyak tanah, kicap, beras dan lain-lain keperluan dijual dengan kuantiti sedikit mengikut kemampuan penduduk. Minyak masak dan kicap dijual mengikut sukatan tertentu dan tak perlu membeli satu botol atau satu tin. Dengan cara begini mereka yang tidak cukup wang boleh juga membeli keperluan dengan cara berdikit-dikit.

          Sesungguhnya pemilik kedai runcit insan yang berhati mulia. Saya yakin apa yang telah mereka sumbangkan kepada masyarakat kampung akan menjadi ibadah buat mereka. Antara pemilik kedai di kampung Pulo Hilir ialah Allahyarham Haji Awang Amit Sepeh dan isterinya Hajah Zainabon Yahya. Allahyarham merupakan saudara dekat saya dan ayah kepada teman FB, (Usuf Amit). Di kedai Allahyarham kami membeli keperluan keluarga secara kredit. Malah saya masih lagi membeli dikedai Allahyarham selewat tahun 1977. Ada semacam keseronokan berurusan dengan kedai runcit kampung walaupun harga lebih mahal daripada harga di pasar.

          Setiap kampung terdapat kedai runcit antara kedai runcit yang popular dulu termasuklah Kedai  Nek Paiee (Datuk kepada Belia Drahman) Kedai Runcit Hj Zainudin / Hj Jemaloi(Kpg Pulo Ulu), Kedai Runcit Pak Zen (kpg Semarang) dan beberapa buah lagi yang saya tak berapa ingat. Kedai Allahyarham Awang Amit kini diteruskan oleh anak perempuannya.

          Kehidupan di kampung Pulo Hilir Kuching di zaman enam puluhan sangat menyenangkan hati jika ingin mengingatinya. Setiap detik dan peristiwa membawa pengajaran kepada mereka yang mahu melihatnya.


Adik saya (kanan) berpotret bersama anak kepada Awang Amit yang mengambil alih perniagaan kedai runcit di kampung Pulo dari Allahyarham bapanya.

Kaka saya bersama seorang kawan di tebing sungai Sarawak

Saya bersama teman-teman menghanatar seorang kawan dari kampung kami yang melanjutkan pelajaran ke Australia. Saya kira foto ini dirakam sekitar 1972.

Sunday, September 20, 2015

KEHIDUPAN DI KAMPUNG PULO HILIR KUCHING (10)- MASA UNTUK BERMAIN

MASA UNTUK BERMAIN

padang badminton tempat kami bermain di hadapan rumah Fatimah Hj Salleh

Pelajar-pelajar SK Pulo. Foto ini dipinjamkan kepada saya oleh sdr Usup Amit.Saya masih tak pasti siapa pemiliknya dana tahunberapa foto ini dirakam . Yang pasti ia selepas 1966 dilatari SK Pulo yang baru yang terdapat di Kpg Semarang.


MASA UNTUK BERMAIN

Bagi kanak-kanak yang tinggal di kampung era enam puluhan sebahagian besar masa dihabiskan dengan bermain. Pelbagai jenis permainan dimainkan mengikut musimnya, antaranya, main senapok, jengkek, seremban, tembak gelang getah, guli, Wau/gudi/layang-layang, lumba rim basikal, lumba prauk bemban dan tidak ketinggalan berenang di sungai Sarawak.
          Setelah kembali dari bersekolah dan selesai makan tengah hari, masa akan diisi dengan bermain. Kanak-kanak hanya akan kembali tatkala senja hampir tiba. Pabila suara ibu berteriak memanggil pulang. masing-masing akan berlari ke rumah. Sebahagian akan terus ke tebing sungai dan mandi di sungai Sarawak.
(i) Main Senapok
Dalam bahasa Inggerisnya kita sebut  permainan "hide and seek". Sebuah tin kosong diisi beberapa butir batu kemudian ditutup mulut. Apabila dikocak ia akan mengeluarkan bunyi. Seseorang akan bertugas mencari di mana teman-teman bersembunyi. Apabila ditemui dia akan mengocak tin tersebut. Tugas yang bersembunyi ialah cuba mengocak tin tersebut tanpa namanya disebut oleh si pencari. Jika ia berjaya, si pencari akan kekal mencari.

(ii) Lumba Rim Basikal
Ia perlumbaan biasa antara peserta yang akan mengelilingi padang sekolah di kampung Pulo. Peserta akan berlari sambil menggunakan sebatang kayu untuk menggerakkan rim basikal agar berputar. Yang seronoknya ada ketika kita dapat hadiah jika dapat no satu, dua atau tiga. Hadiah dibeli dengan menggunakan wang kutipan antara peserta yang ikut serta.

(iii) Lumba Prauk/Lumba Perahu
Apa yang dimaksudkan dengan lumba perahu di sini bukan berlumba dengan perahu di sungai. Sebaliknya ia merupakan lumba lari dengan setiap peserta akan membawa di tangannya sebatang pohon bemban yang dibentuk menyerupai perahu lumba lengkap dengan nama perahu. Biasanya permainan lumba perahu ini bermusim. Ia akan bermula selepas diadakan pesta lumba perahu di sungai Sarawak.

(iv) Main
Bermain dengan guli sangat popular masa lalu. ada beberapa jenis permainan dimainkan dengan guli. Yang biasa saya main ialah main guli "put" yang memerlukan sebuah lubang uuntuk memasukkan guli dan juga untuk memangkah guli kita dengan guli musuh. Rasanya saya banyak dah lupa cara bermain guli.

(v) Lain-lain permainan:
Main seremban biasanya merupakan permainan kanak-kanak perempuan, namun ada juga lelaki yang bermain. Jengkek pula permainan melompat di atas petak yang dilukis pada tanah. Saya kira permainan jengkek ini terdapat di kebanyakan negara di dunia. Mungkin bermain berbeza sedikit sebanyak.
Masuk hutan untuk melastik burung sangat menyeronokkan waktu itu. Bukan sahaja burung yang menjadi mangsa, buah mempelam di kebun orang yang dilalui ikut dilastik sama. memikirkan kembali apa yang dilakukan masa kecil dulu timbul juga kekesalan di hati.


Zaman kanak-kanak merupakan zaman yang sangat menggembirakan. Zaman yang tidak mungkin kembali namun mengingatinya sudah cukup untuk mengembalikan kegembiraan di hati kita.