Monday, March 24, 2008

NO REASON FOR MURDER

Setelah lebih sebulan saya membaca baru semalam saya habis membaca novel "No Reason For Murder" karya seorang penulis Jepun, Ayako Sono dan diterjemah ke Bahasa Inggeris oleh Edward Putzar. Mengapa saya mengambil begitu lama masa untuk menghabiskan sebuah novel setebal empat ratus dua puluh halaman? Yang sebenarnya saya tidak membaca berterusan sesebuah buku itu. Dalam masa yang sama saya membaca novel-novel lain yang telah dibeli mahu pun yang saya pinjam dari Perpustakaan. Seingat saya, dalam tempoh waktu yang sama saya juga telah menghabiskan pembacaan sebuah antologi cerpen bertajuk The Bamboo Sword and Other Samurai Tales oleh Shuhei Fujisawa dan diterjemah ke Bahasa Inggeris oleh Gavin Frew.
No Reason for murder merupakan sebuah novel yang sangat menarik hati saya. Ia menceritakan kisah dua orang insan biasa yang terjerat di dalam suasana yang cukup luar biasa. Novel menceritakan kisah seorang wanita Yukiko Hata, gadis yang jujur , naif dan baik bertemu dengan seorang lelaki, Fujio Uno yang punya perangai yang cukup menjengkelkan.
Cerita berlatarkan sebuah kawasan luar bandar, Semenanjung Miura di barat daya Tokyo. Fujio Uno seorang yang gila perempuan, pembunuh dan perogol bertemu Yukiko Hata, seorang wanita penganut agama Kristian yang berpegang teguh pada prinsip hidup dan pegangan agama.
Yang menarik di dalam cerita ini, penulis telah melukiskan perlakuan jahat Fujio Uno dalam menggoda setiap wanita yang ditemuinya sebelum membunuh dan membuang mayat wanita yang dibunuhnya. Saya juga amat tertarik dengan cara penulis menggambarkan apa yang berlaku di dalam Balai Polis ketika siasatan dijalankan.
Yukiko merupakan seorang wanita yang tidak dapat digoda oleh Fujio. Yukiko berusaha membantu Fujio dalam meleraikan kesukaran dan kecelaruan fikirannya.Dan dalam masa yang sama Fujio terus hanyut di dalam tindakan perogolan dan pembunuhan.
Sebuah novel yang cukup menghiburkan dengan cara perlukisan peristiwa yang jelas dan cantik sekali.

Sunday, March 09, 2008

Kembara Sarawak



Esok saya bersama isteri dan anak, Nurul, akan memulakan perjalanan kami yang saya namakan kembara Sarawak. Perjalanan bermula sebelah pagi menggunakan L200 Mitsubishi akan membawa kami menjenguk setiap pekan dan bandar yang terdaya. Antara yang saya cadang lawati termasuklah Serian, Pantu, Engkilili,Sri Aman, Betong, Roban , Spaoh hingga Sarikei.
Mungkin bermalam di Sarikei semalam sebelum meneruskan perjalanan sehingga Miri atau mungkin setakat Bintulu, tengoklah kemampuan saya.
Lain-lain bandar yang saya ingin nak lawat termasuklah Kanowit, Tatau, Niah dan Bekenu.
Doakan keselamatan kami. Selesai kembara saya cuba poskan foto-foto yang diambil. Begitulah rencana saya. Semoga direstui Ilahi.

Wednesday, March 05, 2008

ANDA PUN BOLEH MENULIS PUISI


Dahiri Saini,novelis Sarawak yang ulung - berfikir dan terus berfikir...

Penyair romantis Darul Hana yang cukup prolifik

ANDA PUN BOLEH MENULIS PUISI…

PUISI. Apakah puisi itu? Mengapa kita menulis puisi? Ensiklopedia Americana mentafsirkan puisi sebagai suatu istilah untuk menggambarkan hasil sastera pelbagai bentuk melaluinya manusia melahirkan pengucapan berirama yang mendalam tentang persepsi diri dan alam sejagat. Puisi lebih tua daripada sejarah. Ia merupakan pengucapan awal manusia primitif lama sebelum tercipta tulisan.
Banyak sekali definisi puisi jika kita suka mengutipnya dari bahan bacaan yang terdapat di perpustakaan mahu pun dari buku-buku yang dibeli di kedai buku. Willam Wordsworth melihat puisi sebagai ‘ limpahan perasaan yang kuat secara spontan dikutip sewaktu jiwa dialun tenang.’ Samuel Taylor Coleridge pula mentafsir puisi sebagai ‘ kata-kata terbaik dalam susunan terbaik.’ Robert Frost, pemuisi Amerika yang ulung berkata bahawa puisi itu ‘ bermula dengan keseronokan dan berakhir dengan kebijaksanaan’. Pastinya begitu kerana jika anda tidak seronok membaca puisi itu maknanya puisi itu akan tinggal menjadi kertas pembungkus ikan pusu. Jika puisi tidak membijaksanakan pembacanya tentu puisi hanya tinggal sebagai alat penghibur sahaja, tidak lebih dari itu.
Jeff Mock, profesor Amerika yang mengajar Penulisan kreatif, dalam bukunya bertajuk You Can Write Poetry menjelaskan bahawa puisi itu sesuatu yang perlu dinyatakan, dan ia dinyatakan dengan cara yang boleh menarik perhatian para pembaca.
Jadi, bolehkah kita menulis puisi? Tentu sahaja boleh. “Puisi itu suatu seni yang menggabungkan keseronokan dengan kebenaran dengan menggunakan imaginasi membantu memberi alasan,” begitu jelas Samuel Johnson, penulis dan pengkritik Inggeris abad ke 18. Tentu sekali gabungan imaginasi dan alasan itu satu gabungan yang agak ganjil. Memang ganjil pun kerana puisi itu lahir dari keganjilan hubungan dua faktor yang disebutkan itu. Maksudnya tiada jalan pintas untuk menjadi penulis puisi. Tiada satu cara yang mudah yang sistematik. Puisi memerlukan penulisnya memiliki pengetahuan tentang puisi. Ia juga memerlukan latihan dan penulisan yang berterusan. Bakat dan kebolehan perlu dipupuk dan diasah dengan gigih dan bukan sambil lewa. Kerja keras dan juga keseronokan menulis akan melahirkan puisi yang baik dan berkualiti.
Mengapa kita menulis puisi? Tentunya kita menulis atas desakan hati. Ada sesuatu yang ingin lahir dari dalam kepala kita. Ia mungkin juga pemikiran atau kesedihan atau keriangan atau persoalan yang sedang mengganggu kita. Ia bergemerencing mencari jalan keluar antara pemikiran dan desakan hati. Desakan, tolakan, dorongan, kegilaan dan keseronokan ini yang kita rasa. Kita menulis kerana kita berfikir, merasa dan ia menjadi dorongan ke atas kita untuk mengukir bahasa, lantas pemikiran, emosi dan imaginasi terbentuk menjadi satu rupa bentuk- puisi.
Lalu apa itu puisi? Puisi menjelaskan idea, emosi, pengalaman atau ketiga-tiganya sekali. Ia menggambarkan sikap, lukisan pemandangan, nyanyian lagu, cerita tentang pertentangan. Ia suatu ekspresi artistik terhadap imaginasi. Ekspresi artistik dicipta melalui kata-kata. Kata-kata indah dan cantik.
Puisi adalah ekspresi artistik bagi satu-satu imaginasi yang berlaku dalam bahasa. Bahasa yang melahirkan puisi melalui tatapan terhadap peristiwa. Apa pun, bahasa lebih penting daripada peristiwa.
Bahasa itu aliran seni dan kata-kata pula diumpamakan sebagai bata yang digunakan untuk mendirikan rumah, rumah puisi. Puisi dibina dengan menyusun kata-kata satu persatu sehingga membentuk rumah puisi. Peristiwa tidak melahirkan puisi, bahasa yang melahirkan dan imaginasi mengukir bahasa. Intinya, pemuisi menterjemah peristiwa kepada bahasa dan pembaca melihat terjemahan sebagai peristiwa dalam kata-kata.
Mungkin ada yang bertanya bagaimana memulakan penulisan puisi. Yang pasti ayat pertama merupakan pintu untuk memasuki bilik puisi. Ayat pertama yang indah biasanya perkara terakhir yang dihasilkan setelah pelbagai tindakan penyuntingan dan pemotongan. Pelbagai jenis pintu yang mungkin disediakan oleh pemuisi, pintu biasa, berbunga, atau pintu yang berselindung di sebalik penyamaran. Ingat, ruang pintu masuk yang hodoh membuat pembaca tidak membaca puisi anda.
Begitu juga dengan baris pertama. Ia perlu segar dan memikat, suatu pujukan atau satu cara menarik hati pembaca. Jangan meraung atau berteriak. Jangan kejutkan pembaca. Sekarang kita perhatikan ayat pertama yang saya kutip dari puisi-puisi oleh pelbagai penulis;
‘Langit malam hanyalah sekeping kertas karbon (imsomniac oleh Sylvia Plath)’
‘Di sinilah pantai;di sinilah pelabuhan (Cell Song oleh Elizabeth Knight)’
Selain itu cuba lihat pemulaan puisi ini;
‘berlari jatuh terlanggar dari satu kegelapan ke kegelapan lain..’
‘apkah persahabatan dengan lelaki itu seperti persahabatan dengan burung..’
Pelbagai cara para pemuisi untuk memulakan penulisan puisinya. Persekitaran tertentu diperlukannya s ebelum dia berupaya meluahkan ilham yang sedang berkandung di dalam kepalanya. Ada penulis yang merenung dan ada yang menanti hujan turun. Ada yang meletak sebakul epal busuk di bawah meja. Anda bagaimana? Apa yang menggerak anda menulis puisi?
Untuk menghasilkan puisi ia menuntut banyak latihan dan pengetahuan. Latihan tidak juga menjanjikan kesempurnaan. Penulisan puisi adalah proses pembelajaran yang berterusan. Setiap kali anda menulis puisi ia merupakan satu pengalaman baru. Nasihat Jeff Mock, ambil contoh Tentera Laut yang boleh kita sesuaikan dalam penulisan puisi. Caranya untuk belajar puisi terjun ke dalamnya seperti mana tentera laut terjun ke dalam laut, menyelam diri, timbul, berenang. Lebih banyak berada di air lebih bijak anda pandai berenang. Lebih bijak berenang, lebih lama kita berada di dalam air. Begitulah dengan puisi. Lalu, mari terjun ke dalam laut puisi dan berenang. Hati-hati supaya saudara tidak lemas di dalamnya.