Sunday, January 30, 2011

TENTANG BURUNG (24) BELATUK

Nama penuh: Belatuk Belacan Kecil @ Brown-capped Woodpecker. Teringat Woody woodpecker bila ternampak si kecil molekj nie.Dirakam pagi ini di Taman Pustaka Negeri Sarawak. Pertama kali saya dapat merakam jenis ini.

Tuesday, January 18, 2011

TENTANG BURUNG (23) LELAYANG DADA PUTIH


Lelayang dada putih dirakam di kawasan Taman Pustaka sedang bertenggek di atas lampu taman sambil memerhati manja ke arah Jurufotonya.

Monday, January 17, 2011

MUDIK KE HULU SUNGAI SARAWAK


Suatu pagi dingin selepas dibasahi hujan kami mudik ke hulu sungai Sarawak bertujuan merakam panorama i kala suria memancarkan sinarnya. Sunggunh di hulu sungai Sarawak, suasana amt tenang dan nyaman tapi awas, airnya tenang dan buaya ada kelihatan berjemur ditebing.

Sunday, January 16, 2011

TENTANG BURUNG (22) MERAK

Burung merak yang dipelihara di Taman Buaya Jong.

Saturday, January 15, 2011

Bunga Kuala Lumpur

Sepasu bunga Kuala Lumpur dibeli dari Pasar Satok dua minggu lepas. Mengapa agaknya ia diberi nama bunga Kuala Lumpur di tempat kami. Mungkinkah ada nama lain untuknya?

Friday, January 14, 2011

TENTANG BURUNG(22) CINNAMON BITTERN @ PUCUNG BENDANG


Wajah pucung bendang yang saya sempat rakam semasa birding di kawasan MASJA

Thursday, January 13, 2011

PERTARUNGAN (3)


Dua ekor tekukur bertarung...tak pasti mengapa pertarungan berlaku...mungkin masalah kawasan atau cemburu?

Wednesday, January 12, 2011

PERTARUNGAN(2)

Pertarungan dua ekor burung tekukur di atas bumbung rumah jiran saya. Pertarungan agak sengit dan cukup mendebarkan dan bunyi sayap berkepak dengan kuat dan keras sekali. SDesuatu yang jarang kita temui. Foto telah diubah menjadi lukisan digital

Tuesday, January 11, 2011

BINGKAI WAKTU; MENJEJAKI KEINDAHAN BAHASA DAN MAKNA PUISI-PUISI PHARO ABDUL HAKIM

Foto bersama Abizai sewaktu pelancaran Kumpulan Puisi Taifiq Firdausi, JATUH KE LAUT

Bingkai Waktu: Menjejaki Keindahan Bahasa dan Makna Puisi-puisi Pharo Abdul Hakim
oleh: Zainal Abidin Suhaili (Abizai)

Pengenalan

Puisi sudah lama berakar umbi di jiwa masyarakat Melayu dan Nusanatara. Puisi Melayu amat akrab serta luas hubungannya dengan kehidupan harian masyarakat. Sejak zaman dahulu, pantun, gurindam, syair, seloka, mentera, pepatah pepatih dan talibun memainkan peranan tersendiri dan penting dalam mengutarakan pemikiran,mempersembahkan hiburan, menyatakan perasaan, menghuraikan dunia mistik dan menjunjung keindahan.

Puisi merupakan puncak keindnahan bahasaciptaan manusia yang teradun daripada kata-kata yang terpilih dan irama yang 'merdu' lagi sesuai. Dengan bahasa yang 'matang' dan 'segar', para penyair mencari gaya bahasanya sendiri sesuai dengan peribadi masing-masing, menulis puisi, memberikan kepada pembaca rasa dan hikmah.

Menurut Muhamad Hj Salleh dalam Menyeberang Sejarah (1999: 402), bahasa ialah alat pemikiran dan imaginasi. Biasanya pengguna bahasa yang baik ialah penyair yang telah melatih dirinya beberapa waktu dan menguasai bahasa itu sehingga dia dapat melenturkan perkataan dan bunyinya untuk disesuaikan denga apa yang hendak disampaikan.

Menurut Rahman Shaari pula dalam Memahami Gaya Bahasa (1993: X), kekuatan bahasa seseorang penyair bakal membentuk gaya penulisan dan kemudian menentukan keindahan bahasanya. Memang benar sesebuah puisi tidak mungkin menjadi sebuah karya yang besar jika hanya bergantung kepada kekuatan bahasanya tanpa bersandar kepada kebesaran dan kepentingan isinya. Begitulah juga sebaliknya, kedua-duanya harus saling melengkapkan antara satu sama lain. Karya-karya yang memuatkan fikiran besar itu hendaklah disajikan dengan bahsa yang baik dan menarik.

Sehubungan dengan itu, kali ini penulis ingin membincangkan keindahan bahasa yang terdapat di dalam puisi-puisi terpilih Pharo Abdul hakim. Keindahan bahasa ini akhirnya akan menyerlahkan keindahan makna dan kepentingan isinya melalui kumpulan puisi berjudul Bingkai Waktu terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 2008.

Karya-karya Pharo Abdul hakim banyak tersiar dalam akhbar Utusan Borneo, Utusan Sarawak, Jendela Sarawak, Dewan Perintis dan Dewan Sastera. Beliau mula menulis puisi sejak pertengah tahun 70an lagi dan merupakan antara penyair Sarawak yang paling awal mendapat tempat dalam majalah sastera tersohor, Dewan Sastera pada tahun 1971. Puisi-puisinya turut dimuatkan dalam antologi Randau di Pulau (1987), Satu Perasmian (1992), Simfoni Dari Utara (1994), Peti Seniman (1998), dan Penangkap Rama-rama dan Kelawar (2004).

Beliau pernah memenangi Hadiah Penghargaan Penulis Sarawak pada tahun 2002. Jeniri Amir dalam Simfoni Dari Utara (1994:vi) berpendapat penyair ini telah membuktikan daya kekreatifan melalui usaha memanipulasikan unsur bahasa sehingga diksi dan ungkapan yang dibentuknya memiliki kesegaran dan kekuatan untuk meninggalkan kesan apbila dihayati.

Bahasa Puisi dan Keindahan

Dharmawijaya dalam Dunia Puisi Dalam Penelitian dan Pengajaran (1998: 69) mengatakan keindahan bahasa puisi terserlah melalui pemilihan kata atau diksi. Penyair mestilah sentiasa peka memilih kata-kata dan gaya yang tepat dalam menyampaikan gagasan atau mesej dan seterusnya menemukan bentuk yang sesuai dengan keadaan serta nilai rasa yang dimiliki oleh kelompok masyarakat pembaca atau pendengar.

Keseimbangan dan kejelasan nilai rasa dan nilai makna kata-kata yang terpilih menentukan tercapainya kesempurnaan sesebuah karya. Setiap kata dipilih berpandukan kepada makna atau erti yang ingin disampaikan. Di dalamnya terhimpun keindahan bahasa yang tersendiri dalam menitipkan makna yang benar.

Dalam ruang lingkup perbincangan ini, kekuatan-kekuatan tersebut cuba dijejaki dalam puisi-puisi Pharo Abdul Hakim. Diperturunkan stanza pertama dan kedua puisi "Meroboh Penjara Budi" (Bingkai Waktu, 2008:97):

Tembok kezaliman semakin kukuh
membentengi penjara budi
membiarkan malam dihamili kecurangan
menelanjangi siang dengan pendustaan
lantas kita yang terperangkap
di persimpangan kesetiaan dan kebenaran
tersesat di tengah rimba kejujuran

bukankah kita sudah teramat tua
untuk terus terpenjara
sedang pintu kebebasan
masih belum diketemukan

"Meroboh Penjara Budi" menghimpunkan keresahan manusia yang prihatin tentang penghakisan nilai-nilai murni dalam kalangan masyarakat akibat dari 'serangan globalisasi' yang berleluasa pada zaman ini. Keresahan ini disampaikan dengan penuh kesedaran, bernada lembut d an terkawal emosinya.

Dalam usaha untuk mencapai keindahan, menyesuaikan kata-kata, memadatkan penyataan dan mencari ketepatan, penyair menggunakan metafora secara meluas. Muncullah metafora seperti 'jeriji masa', 'kandang kealpaan' dan 'pagar duka' dalam stanza pertama. 'Tembok kezaliman', 'penjara budi' dan 'rimba kejujuran' pula menjelma dalam stanza kedua untuk menzahirkan lagi 'rasa terpenjara' seorang manusia. Kata-kata seperti jeriji, kandnang, tembok, penjara dan rimba dipadanakan dengan masa, kealpaan, duka, kezaliman, budi dan kejujuran bertujuan membandingkan nilai rasa yang dibangunkan, sesuai dengan fungsi metafora sebagai bahasa perbandingan atau kiasan.

Melalui puisi "Pohon Yang Satu" (Bingkai Waktu 2008: 125 - 126) pula penyair menulis:

Pohon yang satu
berakar di perdu Nusantara
merimbun ke penghujung benua
segar menghijau pucuk budaya
layu merayu pohon upaya
rendang d ahan memayungi
berteduh pelaut akhirnya berpaut
sehingga nelayan membina pekan
terakam di laman sejarah

Puisi ini membicarakan tentang perkembangan bahsa Melayu di negara kita dan Nusantara. Di tangan penyair, bahsa Melayu diibaratkan sebuah pohon yang besar , tempat setiap warga 'berteduh' dan menggunakannya sebagai bahasa perhubungan, bahasa ilmu dan bahasa pembangunan.

Bahasa kebangsaan penting dalm konteks pembinaan negara bangsa berkait dengan persoalan ideologi, nasionalisme, integrasi nasional dan identiti nasional.

Bahsa Melayu telah dipilih sebagai bahasa rasmi dan menjadi wadah komunikaksi yang memupuk perpaduan kaum dan pemangkin kepada pembangunan negara. Kehadiran metafora 'perdu Nusantara' dan 'pucuk budaya' sesuai dengan citra 'pohon' dan mengukuhkan lagi pertautan pemikiran penyair.

Personifikasi turut digunakan oleh penyair dalm puisi 'Meroboh Penjara Budi' untuk memberi kesan yang mendalam kepada para khalayak terhadap gagasan yang ingin disampaikan disamping menimbulkan keindahan bahasa. Antaranya ialah 'waktu penuh sendu', 'menelanjangi siang' dan ' malam dihamili kecurangan'. Penggunaan gaya sedemikian akan menjadikan benda yang tidak bernyawa seakan-akan hidup, bertingkah laku, berasa dan berfikir seperti manusia dan seterusnya mendekatkan lagi para pembaca kepada 'suasana' dan 'persekitaran' puisi tersebut.

Selain daripada metafora dan personafikasi, Pharo Abdul Hakim juga banyak menggunakan gaya pengulangan dalam puisi-puisinya. Gaya ini bukan sahaja menimbulkan keindahan dan daya tarikan sahaja tetapi dapat menegaskan penyataan maksud.

Melalui puisi "Mendepani Resah" (Bingkai Waktu, 2008:88 -89) dapat dikesan kecenderungan penyair melakukan gaya anfora, suatu gaya bahasa yang mengulangi satu perkataan atau lebih pada awal baris (Kamus puisi, 2005: 5). Perhatikan stanza pertama puisi tersebut:

Melewati perigi duka
aku dihidang resah membara
resah unggas tidak terbatas
resah petani kehilangan padi
resah nelayan tidak bersampan
lalu kukumpulkan resah menjadi puisi
rakaman sejarah budi

Pengulangan perkataan 'resah' dilakukan penyair untuk menguatkan lagi keresahan yang dialami oleh alam dan manusia akibat persengketaan, penjajahan dan kemiskinan. Keresahan dan penderitaan rakyat yang dijajah terpancar jelas dan mengundang simpati para pembaca. Pengulangan ini turut juga menimbulkan keseragaman rentak dan irama disamping mempertajamkan kekuatan inti makna yang disampaikan. Hal yang sedemikian juga terpancar melalui stanza ketiga:

Menatap helaian peristiwa
aku mula terdidik erti setia
terangsang menjunjung tapak saksama
terpanggil menegakkan panji-panji hakiki
kerana setelah setengah abad
belayar di lautan merdeka
masih ada nakhoda tersesat hala
masih ada kelasi terpinggir terali
masih ada juragan mempersendakan janji

Dengan ketelitian serta kesedaran, penyair meletakkan pengulangan yang 'tepat-guna' seperti kata-kata 'masih ada' ntuk menyatakan dengan kukuh sikap sesetengah pemimpin yang terlupa tanggungjawab dan amanh mereka biarpun negara telah merdeka. Kritikan terhadap para pemimpin disampaikan secara halus dan indah. Puisi lain yang banyak mempersembahkan gaya pengulangan ini ialah puisi 'Meludam Dalam Diam' (Bingkai Waktu, 2008: 72).

Dalam diam
ada malam diulam kelam
dalam payah
ada resah menyapa lelah
dalam sunyi
ada sepi mengulit mimpi
dalam diri
ada hati mengusik janji

Perkataan 'dalam' dan 'ada' sengaja diulangi penyair secara berurutan. Pengulangan sedemikian menimbulkan kesan kehalusan, kelembutan, kemrduan atau keindahan bunyi. Kehalusan dan kejernihan perasaan dan pemikiran penyair dapat dihayati melalui keindahan bahasa. Akhirnya pembaca akan menemukan 'keindahan' makna yang disampaikan oleh penyair tentang kesepian Meludam, sebuah daerah di pedalaman Sarawak.

Puisi 'Mendepani Resah' juga 'kaya' dengan permainan bunyi atau musik yang menimbulkan keindahan dan kemrduan apabila dibaca dan dihayati. Penyair ternyata menyelitkan unsur-unsur lagu ini untuk mendapatkan lebih daya tarikan terhadap puisi-puisinya. Sememangnya hakikat mementingkan unsur lagu ialah kerja menyambung tradisi puisi Melayu lama (Menyeberang sejarah, 1999: 398.

Gaya asonansi dapat ditemui dalam baris 'resah unggas tidak terbatas', 'resah petani kehilangan padi', dan 'resah nelayan tidak bersampan'. Dalam puisi 'Maludam dalam Diam' pula dapat ditemui melalui frasa 'ada malam diulam kelam', 'ada resah menyapa lelah', dan 'ada sepi mengulit mimpi'. Melalui permainan bunyi ini, para pembaca dibawa bersama untuk berkongsi kesepian daerah Maludam ini. Kesepian tersebut dilihat secara optimis dan indah, stanza terakhir menyatakan:

sungai mengalir biru
langit menebar awan kelabu
alam terus berzikir
insan kembali berfikir

Kesimpulan

Unsur-unsur bahasa digunakan sebagai alat untuk mencapai keindahan. Penggunaannya pula bergantung kepada pilihan dan kecenderungan seseorang penyair. Pharo Abdul hakim melalui kumpulan puisi Bingkai Waktu memilih kata-kata yang halus, merdu dan tepat, disulami d engan gaya bahasa seperti metafora, anafora, asonansi dan personafikasi. Gaya ini untuk menimbulkan kesan kehalusan serta kepadatan pernyataan pemikiran dan perasaan yang tersimpul dalam tema dan persoalannya.

Penyair ternyata sedar bahawa bahasa bukan sahaja digunakan untuk mencapai keindahan malah alat untuk menyampaikan kebenaran, memajukan pemikiran dan budaya masyarakatnya. Menghayati puisi-puisi yang telah diperkatakan akan memberikan dua kesan yang mendalam kepada khalayak pembaca. Pertama, keindahan bahasa dan kedua keindahan makna.

ABIZAI ABI @ ZAINAL ABIDIN SUHAILI








Monday, January 10, 2011

KIAMBANG BERTAUT

Ketika menyusur sungai Sarawak mudik ke hulunya banyak sekali kapar dan kiambang hanyut menghilir yang akhirnya akan terperangkap di d alam perangkap sampah yang sedia menanti di hilir sungai. Satu usaha membersihkan sungai Sarawak daripada sampah sarap yang berasal dari hulu sungai. Tapi bagaimana pula hendak menyelesaikan sampah sarap yang bersala daripada tindakan segelintir manusia yang membuang segala benda/bahan buangan ke dalam sungai...
Tanpa keprihatinan penduduk sekitar sungai ini, sedikit masa lagi sungai akan "mati". Alangkah baiknya jika kita sama-sama menjaga sungai kita agar sentiasa sihat. Mengobati sungai yang sakit sangat sukar d an mahal harganya. Sungai yang mati tentu sekali akan menyebabkan kita ikut sengsara.

Sunday, January 09, 2011

PEMANCING SUNGAI SARAWAK

Aktiviti memancing udang sangat rancak pabila hujung minggu bermula. Setiap hujung minggu kawasan di hulu sungai Sarawak akan dipenuhi perahi pemancing yang melepaskan rasa ghairah mereka terhadap aktiviti memancing...

Saturday, January 08, 2011

REZEKI DARI SUNGAI

Seorang penduduk tebingan sungai Sarawak menebar jala. Semoga ada rezeki untuk hari ini..

Friday, January 07, 2011

PERTARUNGAN

Dua ekor kedidi sedang bertarung...Yang sebelah kanan akhirnya mengalah.

Thursday, January 06, 2011

DUN SARAWAK

DUN Sarawak dirakam ketika menyusur sungai Sarawak ahad lepas menghulu hingga ke Tambak Batu Kitang, satu perjalanan mengambil masa satu jam setengah sebelum berpatah balik, menghilir hingga ke Kpg Bintawa Batu. Di sini terletak rumah penginapan Ketua Menteri Sarawak.

Wednesday, January 05, 2011

BUJANG SEJEJAK

Ahad lepas ketika menyusur sungai Sarawak kami ternampak seekor buaya berjemur di tebing. Melihat bot kami meluncur ia bergerak lari menuju ke sungai dan terus menghilangkan diri...

Tuesday, January 04, 2011

Tambak Batu Kitang


Tambak Batu Kitang, perjalanan kami menyusur sungai Sarawak berakhir di sini. Dari sini kami menghilir sungai sehingga sampai ke Kpg Bintawa Batu, tempat kediaman YB KM Sarawak.

Monday, January 03, 2011

PEMANCING DAN HABUANNYA

Seorang pemancing menunjukkan hasil tangkapan ketika memancing di sungai Sarawak. Foto dirakam ketika saya mengikuti teman-teman menyusur sungai Sarawak kelmarin.

Sunday, January 02, 2011

AKSI SANG BEDAL

Sang bedal dengan aksi akrobatiknya ketika menerkam makanan yg disediakan. Pertunjukan di Taman Buaya Jong, Siburan, Sarawak.

Saturday, January 01, 2011

TENTANG BURUNG (20): PLAINTIVE CUCKOO @ BURUNG MATI ANAK


Burung Mati Anak @ plaintive cuckoo yang saya rakam sedang menikmati hasil tangkapannya. Foto ini dirakam di kawasan taman Pustaka Negeri Sarawak. Suara burung ini agak merdu dengan melodi yang sangat menarik sekali.