Wednesday, December 26, 2007

ANTOLOGI PUISI BERTANDANGLAH KE DALAM HATI - Suara hati Jais terhadap kemanusiaan yang tempang


JAIS SAHOK BERSAMA TAN SRI PROF. EMERITUS ISMAIL HUSSEIN


Setiap detik manusia terus-terusan menghakis nilai kemanusiaan dari setiap sudut dan ruang. Manusia lebih menyayangi makhluk lain selain manusia. Duka yang menyelubungi kehidupan segelintir manusia malang di sudut kota hampir dilupakan. manusia seolah-olah tidak mempedulikan duka yang menyelubungi sebahagian manusia lain yang kurang bernasib baik. Nilai kemanusiaan hanya berada di bibir manusia tidak di hati. Nilai kemanusiaan hanya satu cogan kata, imejan dan lambang kepura-puraan, bukan amalan, bukan suara hati dan bukan kesedaran. Begitu manusia dan kemanusiaan yang terus menghadapi ujian dan kegetiran.

Dalam menempuh kerumitan dan kesukaran, golongan manusia yang miskin dan terpinggir terus menjadi lambang kegagalan sistem ekonomi ciptaan manusia. Golongan manusia yang kaya terus bertambah kaya dan yang miskin terus bertambah kedana. Itu hakikat hidup masyarakat kapitalis dan kita sebagai sebahagian daripada masyarakat itu perlu akur terhadap peraturan yang kita bina sendiri. Kita perlu terima suasana ini kerana inilah hasil sistem ekonomi ciptaan manusia.

Tidak dinafikan terdapat golongan manusia yang berhati murni terus berusaha merobah keadaan masyarakat miskin namun golongan yang taksub akan kekayaan, yang telah melupai nilai-nilai kemanusiaan tetap mengatasi bilangan manusia yang punya kesedaran.

Lalu apakah langkah dan tindakan yang harus diambil untuk membantu masyarakat mengatasi kemiskinan? Siapakah yang harus memikul tanggungjawab ini? Siapakah yang mahu tampil ke hadapan membela manusia miskin menentang kemiskinan? Kerajaan dan agensi-agensinya (sebahagiannya masih tersesat di dalam rimba birokrasi)? NGO? Golongan korporat? Atau kapitalis berperut buncit? Bukankah usaha ini tanggungjawab bersama? Apa pula peranan penulis sasterawan dan seniman? Bolehkah atau mahukah mereka melakukan sesuatu dalam mengatasi kemelut kerdil kemanusiaan ini? Apa pun jawapan anda, usaha perlu digembleng segera. TIdak wajar wujud manusia miskin di bumi yang telah dilimpahi kekayaan dan pembangunan yang gah.

Baru-baru ini saya berpeluang menatap sebuah antologi puisi hasil tulisan saudara Jais Sahok(JS) bertajuk Bertandanglah Ke Dalam Hati (BKDH). Antologi puisi yang diusahakan sendiri penerbitannya oleh JS dan rakan-rakan di SMK Batu Kawa ini bertujuan membantu seorang pelajar dhaifyang amat memerlukan bantuan.Hasil jualan antologi BKDH ini akan digunakan untuk membantu pelajar-pelajar yang amat memerlukan bantuan untuk meneruskan proses pembelajaran mereka.
Pada mukadimah antologi ini JS menjelaskan bahawa usaha menerbitkan antologi ini dilakukan setelah beliau gagal dalam usaha mendapatkan bantuan daripada sebuah badan kerajaan untuk pelajar tunakerna. Saya petik kata-kata JS: "Paling redup emosi saya serta beku sistem kognisi saya dan getar seluruh saraf saya adalah apabila seorang ibu kepada seorang pelajar di sekolah saya (tingkatan 4) membawa pulang sepucuk surat yang saya karang dan tandatangani (bagi pihak pengetua sekolah tempat saya bertugas) untuk tujuan memohon bantuan kewangan daripada institusi naungan kerajaan. Surat saya itu ialah surat kakitangan keraajaan yang dikarang khusus untuk memohon bantuan alat bantuan pendengaran pelajar saya yang pekak. Malangnya surat saya itu tidak pun diterima apatah lagi dibalas. Pegawai kaunter mengembalikan surat saya melalui kata-kata: kami tidak pernah memberi bantuan alat pendengaran begini. Faktor ini menjadi penyayat hati yang sangat dahsyat sehingga saya berkira-kira hendak mengadu kepada...". Saya mengerti perasaan manusia seperti JS. Penulis, lebih-lebih lagi penulis puisi, jiwanya mudah terluka, cepat tersentuh emosinya apabila melihat kesedihan melanda insan.
Saya difahamkan sebahagian hasil jualan antologi BDKH ini digunakan untuk membantu seorang pelajar pekak membeli alat pendengaran yang dianggar bernilai RM1,600.00 sebelah. Sesungguhnya penerbitan antologi ini merupakan satu langkah kemanusiaan yang harus dicontohi bukan sahaja oleh golongan penulis tetapi juga oleh mereka yang berupaya termasuk golongan korporat, teknokrat dan bangsawan. Paling kurang, berilah bantuan dengan membeli senashkah antologi ini. Tetapi jika berkemampuan, apa salahnaya membeli sepuluh,seratus atau seribu nashkah untuk dibaca oleh teman-teman, sahabat handai atau dijadikan cenderahati buat rakan niaga yang datang menjenguk pejabat, sebagai tanda sokongan kepada projek kemanusiaan yang murni ini. Seperti kata JS: Ada dua sebab utama kumpulan puisi ini diusahakan iaitukerana puisi dan kerana kemanuisaan. Puisi adalah suara hatinya, lontaran fikiran kepada masyarakat untuk dinilai dan diterima, dalam bentuk tulisan padat, ringkas dan penuh makna. Kemanusiaan pula adalah nilai yang hendak diberi pembelaan. Kemanusiaan yang tercalar. Kemanusiaan yang tercabar. Kemanusiaan yang semakin luntur perlu ditangani dengansegala kekuatan yang ada. JS menjawab segala kerumitan ini dengan menerbitkan antologi puisi BKDH. Apabila JS memulakan usaha ini dengan menulis tentang kemanusiaan, kemudiannya hasil yang diperoleh daripada jualan antologi ini untuk tujuan kemanusiaan, beliau menghantar satu mesej jelas bahawa masih ada duka menyelubungi segelintir insan yang terperosok di sudut kota, di sebalik kemewahan yang melimpah ruah di tanah air yang tercinta ini. Ada insan yang menunggu ihsan belas manusia berada, kaya dan berupaya. Jangan ketepikan masalah kemiskinan. jangan perkecilkan derita manusia. Jangan ejek duka yang menyelubungi mereka dengan ucap kata yang berbisa. Jangan berlaku sombong pada kuasa yang ada. Di kota ini masih ada jiwa yang perlukan pembelaan dan kasih sayang. Jangan biarkan protokol dan birokrasi menghodohkan proses menangani masalah kemanusiaan dan kemiskinan. Jangan terlalu banyak soalan dan alasan dalam melakukan kebaikan. Melalui antologi ini JS mengupas tema manusia dan kemanusiaan dalam cerita yang pelbagai. Bagi JS, puisi adalah suara hati budi dianyam menjadi nyanyi untuk dimengerti isi dan lontaran emosinya.

Puisi adalah munajat, adalah bicara di hujung rasa, menagih simpati...(Bicara di hujung Rasa). Saya mengerti rasa hati manusia bernama JS, cukup prihatin dan cukup tersentuh hatinya melihat melihat duka di depan mata. Saya percaya inilah suara hatinya.
Sebagai seorang pendidik, JS banyak bertemu dengan suasana dan keadaan masyarakat seklilingnya.Cerita luka dan duka, tangis dan hiba, lapar dahaga, terpinggir dan tercela, yang perlu dhadapi segelintir pelajarnya ditatapi dan dihayati setiap ketika. In amat menginsafi dirinya, menjadi satu rangsangan pada hatinya, tercetus gambaran manusia yang ditemuinya menghadapi pelbagai kesukaran. Melalui puisi Gadis Batu Kawa, JS menulis tentang kemiskinan dan kelaparan yang menghantui seorang gadis yang bercita-cita menjadi seorang pendidik.. Kata JS:



di tengah belantara kota
hidupmu sandiwara
kegelapan mengusikmu di bawah
kilauan neon
...
kau merintih pedih
perutmu sejak kelmarin
disentap kelaparan
(Gadis Batu Kawa)
Di dalam puisi Gadis Di Jendela, JS melakarkan perjuangan dan duka seorang gadis yang baru berusia tujuh belas tahun menghadapi kehidupan yang serba kekurangan. Saya percaya tulisan JS ini bukan sekadar sebuah puisi syok sendiri tetapi sebuah cerita benar manusia yang berlaku di hadapan matanya, dipapar melalui sebuah puisi, untuk ditatapi dan diinsafi:
Gadis di jendela
masih mentafsir kehadiran diri
dari semalam bapa masih tidak pulang
untuk membawa sesuap nasi
dan dia perlu mengemis untuk
kekenyangan diri
sedang ibu masih berlagu rindu
kelak ... akan terus ke sekolah
gadis di jendela
menitiskan air mata
(Gadis Di Jendela)
Kedua-dua puisi ini merupakan pengalaman yang dilalui JS semasa berada di sekolah. Ini bukan cerita kreatif untuk dijadikan hiburan manusia tetapi satu realiti di kota taman, betapa duka dan luka masih menghimpit sesetengah insan di tengah-tengah masyarakat yang hidup dilimpahi kemewahan dan keseronokan.
Betapa sendu menguasai diri JS apabila melihat keperitan dan kedukaan yang terus menghimpit. Apapun kesedihan yang dirasa, tindakan pembetulan perlu diambil untuk mempastikan nilai kemanusiaan terus segar dan dipupuk kerana manusia yang diciptakan tuhan punya keistimewaan yang tidak dimiliki oleh makhluk lain:
Dari runtuhan perasaan
kita dirikan tugu kesedaran
dari nurasa pendidikan
dan kegagahan pendirian
kita ajak semua keturunan
menanam azam ketuanan
di sini wajah anak watan
kita lakar bersama keinsafan
tuhan mencipta kita penuh
keistimewaan
(Dari Runtuhan perasaan)
Sayangnya manusia lebih senang bersengketa dari membela kemanusiaan. Sengketa terus menjadi agenda perjuangan yang menyelubungi bumi demi kuasa, demi nama dan demi apa sahaja kecuali kemanusiaan. Perhatikan rintihan JS dalam puisinya Keluhan:
Sudah berapa kali kunyatakan
dari hujung resah ini
kasihan melihat persengketaan
antara mereka yang belum selesai
...nafas kemanusiaan akan kecewa
bersama sengketa sesama manusia

Saya difahamkan JS banyak sekali bertemu dan berinteraksi dengan pelajar-pelajar golongan OKU, termasuklah pelajar tunaaksara dan tunakerna. Hasil interaksi ini JS mencurahkan isi hatinya di dalam puisi berjodol Dari Dalam Tangisnya. Tulis JS:

Dari gerak hatinya

terpancar rayuan, gu...
bawalah daku ke alam ilmu
gu...peganglah jari jemariku
kuingin menulis sepertimu
peganglah tanganku
tarik roh dan sanubariku
aku ingin pandai sepertimu
Kemanusiaan sudah semacam begitu serasi dengan JS. Tema ini sentiasa digarap untuk dihayati dan difahami setiap kata yang dibentuk, tersurat dan tersirat, seperti sebuah puisinya

Sebatang Pena Untuk Penulis:
...
terimalah sebatang pena
untukmu melakar erti
kemanusiaan di ruang rasa
mereka yang pernah lupa
di hati mereka yang bakal alpa
entah esok kita yang mungkin leka
tulis juga tentang hati dan budi
agar teranyam nilai kemanusiaan
di pentas tempaan tamadun
bangsa berdaulat
...

Antologi puisi BDKH nukilan JS ini dihasilkan dengan penuh keinsafan tentang nasib segelintir masyarakat yang tidak begitu baik. Golongan yang dhaif tetapi mempunyai komitmen kental terhadap pendidikan dan ilmu pengetahuan perlu mendapat pembelaan sewajarnya oleh pihak yang mendukung nilai-nilai kemanusiaan.Saya yakin lebih banyak penulis kreatif dan bukan kreatif akan mengikut jejak langkah JS dalam memberi pembelaan terhadap golongan miskin.


Selaku insan yang berhati mulia tentu sekali anda juga ingin ikut sama dalam membantu masyarakt yang kurang bernasib baik ini. Untuk itu dapatkan senashkah antologi puisi Bertandanglah Ke Dalam Hati sebagai tanda sokongan terhadap perjuangan JS dalam membela kemanusiaan. Antologi ini boleh didapati daripada saudara Jais Sahok di SMK Batu Kawa, Kuching.


JS, telah kucurahkan segala upaya mindaku untuk menggerakkan dukunganku terhadap perjuanganmu menegakkan nilai-nilai kemanusiaan. Selebihnya kuserahkan pada Yang Esa.

(Utusan Sarawak: 27 Januari 2008)






Thursday, December 13, 2007

SEMATAN


Satu untuk album, Laila merakam detik istimewa mereka

Pantai Sematan yang saya ingati. Tragedi yang hampir terjadi di sini.
Hari Isnin lalu saya membawa anak sulung saya, Laila dan cucu-cucu yang baru sampai dari Sungai Petani, Kedah, pergi ke Sematan, sebuah pekan di penghujung negeri Sarawak. Perjalanan menggunakan Kenderaan 4WD mengambil masa satu jam setengah. Satu perjalanan yang sederhana laju dan amat memenatkan. Bagi budak-budak, mereka cukup bergembira melihat pemandangan di sekeliling yang kami lintasi.

Kami berangkat agak lewat, kira-kira jam 11.45 pagi. Sampai di Sematan jam 1.15 tengah hari. Budak-budak tak nak makan, lantas kami terus ke surau di kampung berhampiran pekan Sematan. Semasa di surau saya ketemu para pendakwah Jemaah Tabligh yang sedang menjalankan kerja dakwah di sana. Sempat berbicara sebentar dan bertanya khabar. Sesuatu yang amat saya sukai tentang pendakwah ini adalah sikap ramah dan hikmah yang mereka miliki. Semoga usaha mereka mencapai kejayaan cemerlang dan kita sama-sama diberkati Ilahi.

Selepas solat, saya bawa mereka ke kedai untuk minum. Seronok sekali dapat minum air Ice cream soda produk hasil sebuah kilang Di Batu Kitang, Kuching. Botol yang digunakan mengembalikan ingatan saya pada minuman botol yang dihidang semasa menyambut hari raya puasa tahun 60an. Botolnya agak kecil. Ia ditampal dengan gambar dan nama syarikat pengilang dan jenis minuman. Rasanya agak berbeza sedikit daripada Ice cream soda yang biasa diminum yang dikilang oleh jenama terkenal lain.

Selepas minum kami meninjau pemandangan laut dari taman yang terletak di hadapan pekan Sematan, yang dibina dengan cantik sekali. Kelihatan beberapa orang yang agak lanjut usia, golongan orang pencen agaknya, bercakap-cakap di sebuah ponndok rehat yang disediakan. Satu kegemaran kumpulan orang pencen, berbicara dan mengimbau kisah lama masing-masing. Nostalgia pastinya. Air surut ketika itu. Cuaca pula teramat panas. Tak samapi hati pula nak bawa budak-budak meninjau pangkalan persinggahan yang memanjang ke laut itu. Saya ajak mereka pergi ke pantai.

Dari pekan
Sematan kami menaiki kenderaan menuju ke pantai. Tak jauh sebnarnya, kurang lima minit kalau memandu. Sampai sahaja , Laila dan anak-anaknya terus meluru dan berlari ke pantai. Saujana mata memandang. Jauh sekali laut dari tepi pantai. Pantai tidak dijaga. keratan kayu bertaburan dibawa arus dan tertinggal di pantai. Pantai Sematan cantik tapi tidak begitu terurus. Mungkin ia memerlukan sentuhan pihak swasta untuk memajukannya.

Ingatan saya pada Sematan amat kukuh sebenarnya. Ada satu peristiwa yang hampir tragis pernah berlaku pada saya dan seorang teman sepejabat, Shafie Haji Kobil, di pantai ini. memandang pantai Sematan ingatan saya kembali ke tahun 1976, bulan November, kalau tak silap. Ketika itu Laila baru sahaja dilahirkan dan ibunya masih dalam pantang. Saya bersama teman-teman sepejabat berkelah ke Lundu dan Sematan.

Ketika berada di pantai Sematan ini, saya dan Shafie meluru ke pantai dan terus berenang. Kami tidak mengkaji keadaan air waktu itu. Kami berenang menuju ke laut. Semasa bergerak ke laut kami tidak merasi apa-apa, tetapi setlah air bearad di paras bahu, barulah kami merasai pasir yang kami pijak bergerak ke laut. Air sedang surut dan arus laut membawa kami ke laut. Kami cuba berjalan kembali ke pantai tapi kami terus ditarik ke laut. Saat itu saya sudah membayangi kematian. Apakah kematian datang pada saya ketika anak pertama masih lagi di atas ambin? Saya dan Shafie berusaha keras berpeganagan tangan dan melawan arus yang deras itu.

Allah maha berkuasa. Kami berupaya berjalan ke tepi sehingga ke paras pinggang. Tiada seorang teman yang tahu apa yang berlaku pada kami sehingga sampai ke paras pinggang. Saya gementar seluruh badan dan hampir pengsan. Yang paling saya ingati, ketika Shafie berteriak dan meminta saya menantinya. Kami selamat dari tragedi ngeri itu. Shafie terus menjadi teman saya sehingga hari ini. Ada ikatan peristiwa yang mengikat hubungan kami yang tidak mungkin dilupakan.

Laila terus merakam aksi anak-anaknya di pantai. Seronok melihat gelagat Faiz, Juju dan Cici, anak-anak Laila. Kedatangan mereka kali ini telah lama dirancang setelah tidak balik ke Kuching sejak dua tahun lalu. Setelah penat beraksi di pantai kami kembali ke kenderaan dan menuju ke pekan Sematan untuk berehat seketika. Saya sempat meninjau pasar ikan tapi tidak terdapat makanan laut yang masih segar. Mungkin nelayan belum kembali dari laut.

Jam 3.00 petang kami berangkat balik menuju ke pasar Lundu. Tujuan ke Lundu untuk memebeli udang galah , tapi sayang kami tak ketemu. Lantas kami terus berangkat bali melaluyi kampung Stunggang Melayu. Kenderaan bergerak lancar menuju ke pekan Bau.

Sampai di bau saya ke Masjid untuk solat asar. Selepas solat s aya membawa mereka ke Tasik Biru. Sedih mnelihat pemandanagan di sanak. Pemandangan sekeliling tidak begitu terurus dan sunyi sekali. Berbeza benar pemandangan hari ini dengan apa yang pernah saya lihat sekitar awal 1970an. Kalau dulu tempat ini dipenuhi manusia yang beriadah, kini ia seakan-akan tempat yang telah dilupakan. Mungkindengan strategi yang efektif dan sesuai, Bau akan kembali menyerlah sebagai sebuah tempat pelancongan dan riadah yang diminati. Sayang sekali jika segala kenangan manis tentang Bau hilang dari ingatan, jika Bau tidak kembali ke peta pelancongan dengan pakej yang baru dan menghiburkan.

Oh ya! ada sesuatu yang sangat saya sayangi tentang Bau. Isteri saya berasal dari daerah Bau dan kami bertemu di bandar ini buat kali pertama. Peristiwa yang telah membawa kami ke jinjang pelamin akhir 1975. Tentu sekali bau terakam kekal di dalam diari kehidupan saya.

Selepas melihat Tasik Biru, kami berangkat balik ke Kuching. Sampai di Batu Kitang, perjalanan jadi perlahan. Jambatan batu Kitang, yang suatu masa dahulu memegang rekod jambatan terpanjang di Sarawak, sedang ditambahbaik dan hanya seabahagian sahaja lorong yang boleh digunakan. Saya percaya jamabatan itu sedang dilebarkan dan ini akan pasti menambah cepat lagi pembangunan di sekitarnya.

Kami sapai
mdi Kuching jam 5.00 petang. Budak-budak kepenatan. Begitu juga orang tuanya. Tak sempat nak buat apa-apa. Anak-anak terlantar di kerusi panjang dan melelapkan mata masing-masing. Saya tak sempat berehat lagi. perlu ke bandar untuk memebeli ikan d an sayur untuk makan malam. Sayang sekali kami tidak ketemu, ikan udang atau ketam di Sematan. Jika tidak tentu makan malam ini akan lebih menyelerakan.

Thursday, December 06, 2007

GERAKAN KOPERASI : PENYELESAI MASALAH KEMISKINAN?


Penabahari bersama Tuan Haji Mohd Effendi Hj Tready, mantan Pengarah Pembangunan Koperasi Sarawak semasa bertugas di JPK sekitar tahun 1991
Hari ini, seperti hari-hari sebelumnya, saya mulakan kehidupan harian di waktu pagi dengan membaca akhbar tempatan dan nasional untuk mengetahui peristiwa-peristiwa yang berlaku di sekeliling, selain mengunyah rencana-rencana yang dihidangkan oleh para penulis dengan topik yang pelbagai. Menarik dan mencabar minda kadang-kadang. Seperti biasa, tidak terlepas dari pandangan , iklan-iklan pelbagai perkara. Saya tertarik dengan beberapa buah iklan bersaiz sederhana besar yang pasti memancing perhatian pembaca. Antara yang diiklankan yang boleh saya petik tajuknya ialah " SKIM PINJAMAN KOPERASI" dan "PINJAMAN KOPERASI- Khas untuk kakitangan Kerajaan". Intipati iklan ini hanyalah tentang skim pinjaman wang yang dikendalikan oleh pihak-pihak tertentu yang bekerjasama dengan "Koperasi" yang akan menguruskan pembayaran balik melalui potongan gaji. Umum mengetahui Kerajaan Persekutuan dan Negeri ada menyediakan kod potongan untuk kegunaan ANGKASA (sebuah koperasi kategori atasan/Apex cooperative). Kakitangan Kerajaan yang membuat pinjaman melalui skim pinjaman koperasi akan membuat pembayaran balik melalui potongan gaji bulanan.

Apa pun, tulisan saya ini bukan membicarakan tentang iklan koperasi itu, tetapi sekadar untuk memberi sedikit pandangan tentang gerakan koperasi di Sarawak, khususnya, yang mana saya pernah terlibat suatu ketika dahulu, sebagai seorang juruaudit di Jabatan Pembangunan Koperasi Sarawak sekitar tahun 1986 - 1991 dan selaku Setiausaha Koperasi (2001- 2006) semasa berkhidmat di Jabatan Perbendaharaan Negeri Sarawak.

Apakah sebenarnya gerakan koperasi ini? Terlalu banyak tafsiran dan definisi tentang koperasi yang yang diberikan oleh pelbagai pihak yang berhubungan dengannya. Akta Koperasi 1993 mentafsirkan koperasi sebagai " sesuatu pertubuhan yang terdiri daripada orang-orang individu sahaja dan yang matlamatnya ialah untuk meningkatkan kepentingan ekonomi anggota- anggotanya mengikut prinsip-prinsip koperasi."

Ikatan Koperasi Antarabangsa (International Cooperative Alliance - ICA) pula mentakrifkan koperasi sebagai " pertubuhan autonomi manusia yang bersatu secara sukarela untuk memenuhi aspirasi dan keperluan asas ekonomi masyarakat dan budaya, melalui pemilikan bersama sebuah perusahaan yang dikawal secara demokratik. Koperasi boleh juga didefinisikan sebagai sebuah perniagaan yang dimiliki dan dikawal oleh orang-orang yang menggunakan khidmatnya." Begitu sebahagian tafsiran yang boleh dipetik.

Berbicara tentang sejarah penubuhan koperasi, saya lebih senang mengingati diri tentang perjuangan penduduk-penduduk pekan Rochdale, England yang berjuang membela nasib mereka sendiri dengan menubuhkan sebuah koperasi. "Semangat Rochdale" ini cukup dirasai oleh mereka yang terlibat dengan koperasi.

Pada awal tahun 1840an, Rochdale merupakan sebuah pekan kecil di England yang mempunyai penduduk seramai 25,000 orang. Ekonomi Rochdale ketika itu bergantung kepada aktiviti perusahaan tekstil. lombong arang batu dan aktiviti pertanian. Semakin maju perusahaan industri tekstil, semakin sukar pula kehidupan penduduknya yang rata-rata bekerja sebagai penenun khususnya aktiviti penenunan flanel (kain panas yang berbulu).

Desakan dan kesukaran hidup yang semakin perit memberi ruang kepada mereka untuk berfikir dan mencari ide bagaimana hendak membebaskan diri dari kemelut kemiskinan yang semakin meruncing yang terus menerus menghantui mereka. Walaupun mereka terdiri daripada penenun flanel ironinya wanita Rochdale hanya dapat menggunakan kain buruk untuk menutupi tubuh mereka tanpa selimut untuk tidur. Kemiskinan adalah ditahap yang menyedihkan. Begitulah keadaan penduduk Rochdale ketika itu. Lantas timbul cadangan untuk menubuhkan sebuah koperasi. Beberapa percubaan dibuat dan telah menemui kegagalan sebelum mereka mencapai kejayaan pada akhirnya.

Apakah rahsia kejayaan koperasi Rochdale? Mengikut maklumat yang saya kutip di laman Wikipedia, Rochdale berjaya menarik minat umum melalui amalan barangan berkualiti, timbangan yang betul, sukatan yang jujur dan amalan pembelian tanpa unsur penipuan dan rasuah. Dengan lain perkataan penggerak koperasi Rochdale menjadikan integriti sebagai prinsip perjuanagan. Sesungguhnya penipuan, jualan yang tidak jujur dan rasuah sudah menjadi amalan golongan peniaga ketika itu. Kelahiran Koperasi Rochdale(Rochdale Society of Equitable Pioneers) memberi sinar baru kepada kehidupan masyarakat. Malah, amalan jual beli yang beretika inilah yang menjadi asas kejayaan dan kemajuannya.

Di Sarawak, gerakan koperasi bermula sekitar tahun 1949 dengan berkuatkuasanya Undang- undang Koperasi, Ordinan Koperasi 1949 (Cap. 66 of The Lawas of Sarawak) dan kaedah- kaedah yang dibuat di bawahnya, sehingga berkuatkuasa Akta Koperasi 1993 (Act 502).

Berikut adalah sebahagian statistik tentang gerakan koperasi di Sarawak, yang saya petik dari sesawang Jabatan Pembangunan Koperasi Malaysia, untuk tempoh sehingga 30 Jun 2007:

Bilangan Koperasi : 456 buah
Jumlah Anggota: 309,377
Modal Yuran/Syer Terkumpul : RM125,134,707.00
Jumlah Aset: RM255,957,351.00

Penduduk Sarawak ketika ini dianggarkan seramai 2.5 juta orang dan daripada jumlah tersebut hanya 309,377 atau dua belas peratus sahaja yang menjadi anggota Koperasi. Statistik ini tidak termasuk anggota koperasi yang menjadi ahli lebih dari sebuah koperasi. Untuk melihat koperasi menjadi penjana ekonomi negara dan penduduknya pada masa hadapan, usaha lebih giat dan tindakan proaktif perlu diambil oleh pihak berwewenang bagi memperkenalkan koperasi kepada masyarakat Sarawak.

Sewaktu bertugas di Jabatan Pembangunan Koperasi, Sarawak sekitar tahun 1986 - 1991, saya melihat koperasi-koperasi boleh hidup subur dan didukungi penduduk luar bandar dengan bimbingan dan penerangan yang sempurna. Saya mengambil contoh gerakan koperasi di daerah Serian ketika itu sebagai gerakan koperasi yang maju dan bersatu. Koperasi-koperasi berdaftar di sekitar daerah Serian seperti Koperasi Bunan Gega, Koperasi Tebakang Bidayuh dan Koperasi Mujat adalah anatara contoh koperasi yang cukup cemerlang prestasi ketika itu dan mendapat dukungan dan sokongan padu penduduk-penduduk kampung. Koperasi-koperasi ini sangat progresif dan berjaya. Kejayaan dapat dicapai kerana para anggotanya yang terdiri daripada penduduk kampung memahami konsep berkoperasi dan faedah-faedah yang mereka perolehi sebagai ahli.

Di Bandar Raya Kuching juga terdapat koperasi-koperasi yang besar dan mempunyai aset dan modal yang banyak.Contohnya Koperasi Pekerja Kerajaan Sarawak Berhad (KO-Perkasa), Koperasi ANIB Berhad dan Koperasi Polis Di Raja Malaysia Sarawak Berhad (KOPODIMS). Koperasi-koperasi ini didukungi oleh para anggota yang kebanyakannya kakitangan kerajaan. Koperasi-koperasi ini menjalankan aktiviti pinjaman dan simpanan wanga sebagai salah satu aktiviti utama mereka. Telah menjadi lumrah jumlah simpanan adalah terlalu sedikit jika dibandingkan dengan jumlah pinjaman. Dalam keadaan sekarang bilaman pinjman-pinjaman boleh didapati daripada bank-bank swasta dengan kadar faedah pinjaman yang agak berpatutan adalah agak sukar bagi koperasi untuk menandingi dan bersaing dengan bank-bank swasta. Dalam keadaan demikian koperasi perlu melihat kembali prinsip-prinsip koperasi dan mengambil langkah-langkah sesuai bagi memulihkan keadaan. Tidak salah bagi kita untuk menjenguk kembali sejarah lama bagi mempelajari amalan-amalan yang baik daripada mereka yang pernah melalui saat-saat sukar dan dapat mencapai kejayaan seperti halnya dengan penduduk-penduduk Rochdale.

Salah satu perkara yang perlu dititikberatkan oleh koperator dan juga pembimbing- pembimbing sama ada dari pihak Jabatan Pembangunan Koperasi mahupun dari Maktab Kerjasama Malaysia ialah pengetahuan tentang koperasi. Mengapa koperasi diwujudkan? Apakah objektif koperasi ditubuhkan? Ke mana arah perjuangan koperasi? Di mana halatujunya? Tidak cukup hanya dengan memberi pinjaman kepada para anggota koperasi, koperator sebaliknya harus mengambil berat apa tujuan pinjaman diberi. Apakah pinjaman yang diberi oleh koperasi itu bertujuan untuk menjana pendapatan tambahan untuk anggotanya atau hanya untuk suka-suka. Membuat pinjaman kerana semata-mata hendak meminjam. Menjadi satu tanggungjawab koperasi dan pentadbirnya, termasuk pihak berwewenang memberi maklumat dan ilmu berfaedah kepada para anggota supaya tujuan kewujudan koperasi dapat dimengerti.Jika kepentingan berkoperasi tidak ditekankan dengan jelas, ada kemungkinan gerakan koperasi akan hanyut dan akan wujud suasana koperasi menjadi kuda tungganga kapitalis untuk faedah peribadi dan tidak lagi untuk kepentingan masyarakat dan anggotanya. Suasana seperti ini jika tidak dibendungkan menggalakkan kelahiran "Pseudo-cooperative" (Syarikat berbulu koperasi?). Kewujudan "pseudo-cooperative" pasti akan menjadi cabaran yang getir yang perlu ditangani oleh pihak berkuasa, khususnya Jabatan Pembangunan Koperasi selaku pihak yang bertanggungjawab mendaftar koperasi dan membatalkan pendaftarannya. Kehendak Undang-undang perlu dipatuhi dandikuatkuasakan, jika tidak, keyakinan masyarakat terhadap koperasi akan luntur. Ini pasti akan menjejaskan harapan dan cita-cita negara untuk melihat koperasi bergerak dengan efisien, begandingan dalam membangun negara tercinta. Jabatan Pembanunan Koperasi perlu melihat cabaran-cabaran yang ada sekarang dan menanganinya dengan bijaksana agar imej koperasi dan prestasinya boleh dipertahankan.
Koperasi boleh berperanan sebagi pemangkin kepada peningkatan taraf hidup penduduk luar bandar. Koperasi adalah alat yang paling sesuai untuk memerangi kemiskinan. Koperasi merupakan saluran yang amat sesuai bagi kerajaan menyalurkan bantuan kepada rakyat supaya rakyat boleh membantu diri mereka sendiri. Saya yakin koperasi pasti akan memberi impak yang positif dan berkesan dalam memajukan masyarakat dan negara jika diberi peluang. Yang penting di sini amalan berkoperasi perlu mematuhi dengan tegas prinsip-prinsip perjuangan koperasi yang sudah sedia termaktub.

(Utusan Sarawak, Ahad, 9 Disember 2007)









Hujan Oh Hujan!


Pemandangan jalan di hadapan rumah saya di kpg Tunku ketika hujan turun selama dua jam.

Hujan terjadi apabila titik air yang terpisah jatuh ke bumi dari awan. Hujan hadir memainkan peranan yang telah menjadi sunatullah. Kedatangan hujan menyuburkan tumbuhan. Hujan yang turun dari awan dan jatuh ke bumi akan mengalir ke sungai terus ke laut dan proses kitaran semula berlaku.

Apabila hujan turun manusia akan mengelakkan diri dari dibasahi hujan. Lalu diciptakan alat seperti payung dan baju hujan untuk melindungi manusia dari ditimpa hujan. Apabila hujan turun manusia akan terkurung di rumah berlindung di bawah bumbung rumahnya. Banyak sekali aktiviti manusia terhenti. Produktiviti menurun.

Ada manusia yang menanti hujan. Ketibaan hujan membantu mengairi padi di sawah. Ada penulis yang mula menulis apabila hujan turun. Ada pemancing akan mula bergerak mencari parit dan tali air atau turun ke sungai kerana hendak memancing. Ikan haruan dan keli banyak yang keluar dari tempat persembunyian ketika hujan turun. Rezeki buat manusia.

Sesekali kita berhujan boleh mengembalikan ingatan masa lalu buat diri kita. Semalam saya pergi ke bandar raya Kuching untuk menjelaskan hutang motosikal di kedai. Kemudian saya terus ke kedai fotostat untuk membuat salinan beberapa dokumen yang diperlukan. Dalam perjalanan pulang hujan turun dengan lebatnya. Kebanyakan penunggang motosikal berhenti di perhentian bas untuk berlindung dari hujan, tapi saya teruskan jua perjalanan. Sesekali berhujan seronok juga rasanya. Yang pasti, apabila sampai ke rumah, saya terus mandi untuk membersihkan badan yang kuyup oleh timpaan dik hujan, bagi mengelakkan diri dari terkena demam, begitu pesan orang tua.
Apabila hujan turun, penduduk-penduduk kampung Tunku, Kuching akan merasa cemas. Mana tidaknya, hujan yang turun berterusan melebihi dua jam boleh menenggelamkan kawasan kampung kami ini. Ia pernah terjadi dalam tahun 2004. Rumah saya dimasuki air sedalam dua kaki. Dua buah kereta saya terpaksa dihantar ke garaj kerana dimasuki air. Hujan yang turun secara mendadak ditambah dengan suasana air pasang di sungai Sarawak. Pintu baraj pula tidak dibuka, maka tenggelamlah kampung Tunku.

Apabila hujan turun, saya menemui ketenangan dan sedikit kesepian. Hujan sesungguhnya satu rahmat Ilahi dan kita amat mensyukuri kehadirannya. Teringat saya pada senikata lagu kanak-kanak yang pernah saya dan teman-teman nyanyikan dahulu...
Hujan oh hujan,
mengapa engkau turun.
bagaimana ku tak turun,
katak panggil aku...

Wednesday, December 05, 2007

Teman sepanjang Jalan

Drs. Valencius Simandjuntak

Aku lebih senang memanggil temanku ini dengan gelaran Pak Siman. Itu juga pintanya. Aku mula bertemu Pak Siman ketika beliau ditukar bertugas dari Semananjung Malaysia ke Sarawak sekitar 1981 atau 1982.Aku kurang ingat.Mas itu aku bertugas di SMK Datuk patinggi Haji Abdul Gapor, Kuching.

Pak Siman seorang guru yang amat berdedikasi. Pelajar-pelajar menghormatinya kerana komitmen yang ditunjukkan. Kulihat Pak Siman senang didampingi dan amat baik bila berteman. Setiap kali perayaan Hari Raya, Pak Siman dan keluarga pasti datang ke rumahku. Malah dia dan kelurganya anatara tetamu yang paling awal menjengukku.

Pak Siman bertugas secara kontrak dengan Kerajaan Malaysia sebagai seorang guru mata pelajaran Sains dan matematik. Teman-teman guru Pak Siman jelas begitu menyenangi Pak Siman, mungkin kerana sikapnya yang peramah, mudah memberi pertolongan dan manusia jenis "no-nonsense".

Walaupun kami berlainan keturunan dan agama, ia tidak mengganggu persahabatan kami. Kami berbicara secara terbuka dan terus terang tanpa ada rasa untuk menghina atau merendah- rendah. Persahabatan amat akrab dan jujur. Pak Siman dengan s enang hati mengajarku cara-cara senaman untuk menjaga kesihatan dan aku tidak pernah lokek menghadiahkan kuih-muih buat Pak Siman dan keluarga. Mereka amat menyenangi pemberianku.

Lama juga kami bersama. Kira-kira dalam tahun 1985 rasanya, Pak Siman meletakkan jawatan dan menamatkan kontraknya di Sarawak. Sebabnya beliau ditawarkan bekerja dengan Syarikat MInyak di Indonesia dan diberi peluang menyambung pengajiannya di peringkat doktor falsafah di Oregon , USA. Rasanya setakat itu perhubungan kami. Aku tak pasti di mana Pak Siman sekarang. Mungkin suatu hari nanti kami dapat berjumpa kembali dan menjalinkan kembali persahabatan yang telah lama terputus.

Pak Siman, di mana sahaj anda berada, saya harap sdr dan keluarga sentiasa tenang menghadapi kehidupan harian .



Sunday, November 25, 2007

TASIK DBKU


Setiap kali melintasi bulatan kecil di antara Choice Super Mall dan Bangunan DBKU, saya akan terpesona oleh ketenangan tasik yang terletak di kaki bukit Siol.Lantas minggu lepas ketika mentari mula menampakkan diri saya ke sana merakam keheningan tasik ini.

Friday, November 23, 2007

Thursday, November 22, 2007

MARRIAGE

A great marriage is not when the 'perfect couple' comes together. It is when an imperfect couple learns to enjoy their differences.
Dave Meurer


Majlis pernikahan Masyitah (anak saudara ) bersama suami di Jabatan Agama Islam Sarawak. Foto bersama ahli keluarga.

Sunday, November 18, 2007

SANDIWARA


Siang sirna di kaki Serapi meninggalkan penambang mengharungi malam yang kian hampir bersama seribu satu sandiwara di tebing bermandi cahaya kota.

Friday, November 16, 2007

LANGIT KUNING


Kuningnya duniaku, laut kuning, langit kuning, ombak kuning aku mencari hening....

Thursday, November 08, 2007

Tanjung Datu, Sarawak



Enjoy the views at Tanjung Datu, Sarawak

Sunday, November 04, 2007

The worst tragedy

The worst tragedy for a poet is to be admired through being misunderstood..
Jean Cocteau

Friday, November 02, 2007

MAJORITY RULES

Majority rules only works if you're also considering individual rights. Because you can't have five wolves and one sheep voting on what to have for supper.
- Larry Flynt

Friday, October 12, 2007

Saturday, September 08, 2007

MAJLIS PERTUNANGAN MUHAMMAD ZAKARIYYA /ERDA ASFAR

Majlis Pertunangan anak keempatku berlangsung pada 1 September 2007 di Miri. Majlis yang serba sederhana itu dihadiri oleh keluargaku termasuk sdr sulungku dan isteri. Ia diadakan di rumah tunangannya, Erda Asfar di Kpg Tudan.




Erda dan CT


Dari kiri Wa Madinah (isteri abgku), isteriku,Habsah (isteri Khairul) Erda dan CT


Muhammad Zakariyya dan adiknya, CT.

Monday, August 27, 2007

FAREWELL JPNS


Bersama Sdr Awg Sahmat, my big boss


Sebuah foto berbingkai keemasan untuk kenangan sepanjang zaman


Terima cenderamata daripada ex-big boss , Sdr Rabuan Mantine dikelilingi staf Seksyen Gaji.

Setelah berkhidmat selam 35tahun 11 bulan dengan Kerajaan akhirnya aku akur atas bisikan hati kecilku. Aku perlu ucapkan selamat tinggal kepada teman-teman. Aku ingin kembali ke suatu zaman yg pernah kutinggalkan. Aku ingin melangkah bebas mengejar mimpi dan cita-cita yang telah lama berada di dalam kotak mindaku.

1 September 2007 ini rasmilah persaraanku dari perkhidmatan dengan Kerajaan. Terima kasih kepada Kerajaan yang telah memberi peluang kepadaku menabur khidmat.

Buat teman-teman yang masih berkhidmat, teruskan usaha dan komitmen sdr. Saya mendoakan kejayaan semua.


Saturday, August 11, 2007

Majlis Perpisahan Hajrah Bee

19 Julai yang lalu saya sempat menghadiri majlis perpisahan buat Puan Hajrah Bee, yang akan bersara dari perkhidmatan kerajaan. majlis dianjurkan oleh Seksyen Gaji tempat belaiu ditempatkan dan saya selaku salah s eorang bekas staf Seksyen tersbut dijemput sama. Saya amat mengahrgai jemputan tersebut.

Pada majlis tersebut saya sempat merakam wajah-wajah warga JPNS , termasuk potret Puan Hajrah Bee untuk tatapan teman-teman.

Buat Puan Hajrah Bee, s elamat bersara dan selamat menempuh alam kehidupan yang lain. Semoga sukses selalu.



Puan Naliah dengan satu pos istimewa



Encik Rabuan Mantine: The Smiling Boss



Puan Ammy menyampaikan ucapan


Monday, August 06, 2007

Kedah dalam Ingatan

Artifak dari Lembah Bujang

Pigura di Muzium Padi

dan yang ini....

...pujangga tersesat di LembahBujangga

Sunday, August 05, 2007

MENJENGAH LEMBAH PUJANGGA


Teman tapi mesra...?


Tiga Jejaka Pekasa
gagah dan berwibawa....



Gadis Singapura dan puisi..



Tarian dari Acheh..


Pada 27 hingga 29 Julai yang lalu saya bersama empat orang teman telah mengikuti Pertemuan Sasterawan Nusantara yang berlangsung di Hotel Holiday Villa, Alor Setar, Kedah. Satu pengalaman yang cukup bernilai ditambah dengan lawatan ke tempat-tempat yang bisa merangsang minda untuk melahirkan kalut emosi yang terkumpul menunggu masa untuk meledak seperti gunung berapi.

Pertemuan banyak berkisar di sekitar Melayu dan cabaran yang tak pernah surut. Kita harus menerima cabaran ini dengan penuh kekuatan. Tanpa cabaran dan rintangan tentu bangsa Melayu akan alpa. Tentangan dan cabaran yang tak kunjung surut ini akan memupuk kekuatan diri bagi bangsa Melayu menempuh segala dugaan.

Sunday, July 15, 2007

Minda Pujangga


“Poverty makes you sad as well as wise.”





“It is better to live under a tree in a jungle inhabited by tigers and elephants, to maintain oneself in such a place with ripe fruits and spring water, to lie down on grass and to wear the ragged barks of trees than to live amongst one's relations when reduced to poverty.”

Sunday, July 08, 2007

Majlis Perpisahan anjuran JPNS



Kumpulan Meningkat Mutu Kerja JPNS "SKIP" yang memenangi tempat kedua sewaktu konvensyen KMK Negeri Sarawak di Miri 13 - 15 Jun lalu



Balada Warga Setia tajuk puisi yang dideklamasikan sewaktu majlis perpisahan sebagai tanda kenangan buat teman-teman di JPNS.


Menerima cenderahati daripada Encik Jumastapha bin Lamat Akauntan Negeri Sarawak sebagai tanda perpisahan dan penghargaan perkhidmatan selama 35 tahun

Sunday, June 03, 2007

Mercu tanda Kuching

Saya sangat tertarik dengan kewujudan bangunan kedai kayu dua tingkat di hadapan masjid Bahagian Kuching ini. Ia telah berada di sana seawal usia saya dan ia terus berdiri dengan persalinan pelbagai yang menarik hati. Ia ikon kepada kehidupan generasi-generasi yang melintasi zaman.

Friday, May 11, 2007

Minda Pujangga

Dari kiri, Abang Haliman,saya, Hj Taufiq Firdausi, Jaafar Hamdan, Jais Sahok dan Dayang semasa menghadiri Kongres Bahasa dan dan Persuratan Melayu VII anjuran Gapena di DBP, KL.



Always be nice to those younger than you, because they are the ones who will be writing about you.
- Cyril Connolly